عَنْ ابْنِ عُمَرْ رضي الله عَنْهُمَا قَالَ : أَخَذَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم بِمَنْكِبَيَّ فَقَالَ : كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيْبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيْلٍ
Terjemahan hadith :
Dari Ibnu Umar R.A berkata : Rasulullah S.A.W memegang bahuku seraya bersabda : “Jadilah engkau di dunia seakan-akan orang asing atau pengembara”,
[Hadis Riwayat Bukhari]
[Hadis Riwayat Bukhari]
Kenapakah kita harus bersusah payah meredah hutan, bukit-bukau, menyusuri sungai berarus deras, tebing curam, dan laluan becak?
Sanggup pula mengambil risiko yang begitu tinggi di hutan yang dipenuhi binatang liar dan buas?
Sanggup meninggalkan dunia moden untuk tidur di atas tanah, berhujan, berpenat-lelah dan menempuh pelbagai kesusahan dan kesukaran?
Kadang-kadang terpaksa meredah hujan lebat dan malam yang gelap gelita. Pendek kata, menyusahkan diri sendiri sahaja.
Inilah cara kami mengembara.
Tidak semua orang sanggup melakukan apa yang kami lakukan. Kepuasan dan kenikmatan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Hanya para pendaki dapat merasai kepuasan dan kenikmatan apabila mendaki gunung. Keindahan pemandangan di puncak setelah mengharungi trek yang mencabar kekuatan fizikal dan mental adalah kepuasan yang paling tinggi. Tiada gunung di dunia ini mampu menandingi ketinggian kepuasan seorang pendaki.
Walaupun tangan calar-balar meredah onak dan duri, kaki krem melayan pacak berjam-jam, tangan luka terpegang duri atau jatuh tergolek, kita tetap puas apabila berjaya mengharunginya. Ibarat sang juara yang berjaya memenangi sesuatu pertarungan. Kita bukan bertarung dengan alam. Tapi sebenarnya kita bertarung dengan diri sendiri. Kemampuan kita mengatasi kemampuan fizikal dan mental dalam sesuatu yang difikirkan sukar untuk dilakukan. Bak kata insan tersohor Nelson Mandela, "It always seems impossible until it's done.”
Walaupun begitu, menawan puncak tidak sepatutnya dijadikan matlamat sesuatu pendakian.. Kita seharusnya menghayati apa yang ada disekelilingnya. Menikmati keindahan ciptaan Allah dan bersyukur kepada-Nya. Namun setiap pendaki mempunyai matlamat tersendiri. Tepuk dada tanya selera. Yang penting kita dapat mempelajari sesuatu dalam setiap pendakian.
Setelah Bulang, Che Nik dan Mat Arisan berjaya melakukannya buat pertama kali dalam sejarah ketamadunan manusia pada tahun 1905, kini 114 tahun berlalu, tibalah giliran kami untuk menakluk puncak tertinggi semenanjung pada era Malaysia moden.
Gunung Tahan, puncaknya berada pada ketinggian 2,187 meter atau 7,182 kaki dari paras laut merupakan dataran tertinggi di Semenanjung Malaysia. Mengungguli kedudukan nombor 1 dalam carta G7, serta no.6 dalam Malaysia,(tewas kepada puncak-puncak di kepulauan Borneo), ianya terletak dalam kawasan Taman Negara negeri Pahang. Ia tidak terletak dalam banjaran Titiwangsa yang gah itu, tapi terletak dalam banjaran yang dikhaskan untuk dirinya sendiri iaitu Banjaran Tahan. Bagi kebanyakkan pendaki, Gunung Tahan berada dalam kategori hardcore.
Kenapa hardcore?
Mula-mula, kita tengok trek pendakian.
Bagi mencapai objektif menawan puncak Tahan, tiga trek pendakian boleh digunakan.
1) Kuala Tahan - Kuala Tahan; menawarkan trek pendakian paling jauh, paling lama, sekaligus menjadikannya paling mencabar. Boleh diselesaikan dalam tempoh antara 7 ke 9 hari.
2) Merapoh - Kuala Tahan atau Kuala Tahan - Merapoh via Kuala Juram; trek pendakian jarak sederhana. Boleh diselesaikan dalam tempoh antara 5 ke 9 hari.
3) Merapoh - Merapoh via Kuala Juram; trek pendakian paling minima. Boleh diselesaikan antara 3 ke 5 hari.
Setelah mengambil kira pelbagai faktor dengan mengambil kira kekangan masa, kudrat, bajet ditambah dengan konsep group kami yang ingin santai-santai sahaja (santai2 pun pergi Tahan?), maka kami menggunakan trek Merapoh - Merapoh, dengan tempoh maksimum selama 5 hari, 4 malam.
Bagi kebanyakkan pendaki yang melalui trek ini, lazimnya memilih pendakian selama 4 hari 3 malam. Tapi kami sedar kemampuan diri, berdasarkan faktor-faktor yang telah disebutkan tadi, 5 hari sesuai sangatlah dengan kami.
Mendaki Gunung Tahan bukan percuma bagi orang kebanyakkan seperti kami. Kadar bayaran berbeza dikenakan mengikut tempoh pendakian. Sila rujuk laman web Taman Negara Pahang untuk pencerahan.
Memandangkan ekspedisi kali ini bukan calang-calang gunungnya, latihan kecergasan dan stamina amatlah penting bagi mempersiapkan mental dan fizikal dalam menempuhi cabaran yang mendatang. Buatlah apa sahaja,... jogging ke, panjat tangga ke atau naik bukit / gunung kecik2 yang berhampiran dengan kediaman anda. Biarlah bersusah-susah dahulu, asalkan bersenang-senang kemudian.
Maka berlatih lah kami mengikut lokaliti masing2. Ada yang berlari, ada yang masuk marathon, ada yang panjat bukit, ada yang pergi gym, pelbagai cara, walau pun tak dapat bersama disebabkan penempatan yang berbeza, namun kami sedar risiko yang bakal dihadapi sekiranya latihan tidak dilaksana.
Persediaan dari segi kekuatan fizikal adalah amat penting sebelum memulakan sebarang aktiviti pendakian. Untuk aktiviti yang mencabar seperti ini memerlukan kami bersedia dari segi fizikal dan memerlukan ketahanan stamina yang tinggi. Justeru, aktiviti seperti berjogging atau berbasikal boleh dijadikan aktiviti persediaan yang baik sebelum memulakan pengembaraan lasak untuk membina ketahanan fizikal. Amalan menggunakan tangga untuk bergerak ketika di pejabat adalah
juga sebahagian daripada latihan untuk mengguatkan lutut dan betis.
Secara teknikal, latihan kecergasan harus ditumpukan kepada latihan berbentuk cardiovascular, strength dan endurance. Kalau saya ceritakan pasal senaman ini, nanti panjang lebar pula sehingga menyimpang tujuan blog ini ditulis. Sila tinggalkan komen anda di bawah dan saya akan jelaskan kemudian.
Persiapan dari segi material juga penting bagi memastikan kelancaran ekspedisi. Selain daripada barangan biasa yang perlu ada pada pendaki seperti pakaian, sleeping bag, ubat-ubatan dan barangan lain (if you were hiker, you will know what things to bring).
Ada juga pendaki yang memilih untuk membawa makanan (ration) sendiri. Maka perlu difikirkan juga bahan makanan dan peralatan memasak. Harus diingat, ini akan menyumbang kepada berat beban yang digalas.
Kami mengambil inisiatif dengan menggunakan perkhidmatan porter (semestinya dengan bayaran tambahan) untuk membawa bekalan makanan, menyediakan makanan serta memasang fly dan ground, dengan harapan berkuranglah sedikit beban yang dibawa. Walau pun tanpa ration utama (sarapan, makan tengah hari dan makan malam), peralatan memasak dan khemah, beban muatan kami sudah senang-senang sahaja melepasi angka 10kg.
Maka penggunaan beg yang sesuai, dan yang penting berkualiti harus diambil kira bagi mengelakkan kecederaan bahu. Salute pada geng guide dan porter yang mampu membawa beban sehingga mencecah 50 kilogram. Alah bisa, tegal biasa.
Tiba hari yang dinantikan, kami bergerak sehari sebelum pendakian menuju ke lokasi pertemuan kami; sebuah homestay di Gua Musang. Kami datang dari beberapa negeri berbeza, majoriti dari Terengganu, ada dari Kuala Lumpur, ada dari Pahang dan ada dari Negeri Sembilan. Gua Musang, kira-kira setengah jam perjalanan dari Merapoh merupakan bandar terbesar dan terdekat dengan Merapoh. Maka tidak hairanlah, Gua Musang menjadi pilihan pendaki untuk bertemu dan membuat persiapan terakhir sebelum tiba hari pendakian. Disebabkan jarak yang tidak begitu jauh ini, kebanyakkan rakyat di Merapoh, walau pun mereka anak negeri Pahang namun menggunakan dialek Kelantan dalam pertuturan.
Dua buah homestay dalam satu taman perumahan, terletak bersebelahan bagi menempatkan kami berlainan jantina. Memandangkan lelaki lebih ramai dari wanita, homestay lelaki agak sesak dengan manusia. Nak mandi pagi tu pun terpaksa beratur sebab bilik air cuma ada dua.
Kami makan malam secara berjemaah di sebuah restoran berhampiran sambil bercerita tentang kehidupan masing2 setelah sekian lama tidak berjumpa. Kami datang dari lokaliti berbeza, latar belakang berbeza, kehidupan berbeza, karier berbeza, umur pun berbeza. Hobi dan minat mendaki inilah yang menyatukan kami, secara tidak langsung, aktiviti ini dapat merapatkan lagi ukhuwah sesama kami.
Usai bersantap menu yang sama untuk semua orang, kami pulang ke homestay untuk membuat persiapan terakhir, memeriksa segala kelengkapan dan bergelak ketawa lagi sebelum tidur. Kebetulan ada siaran langsung perlawanan bola sepak separuh akhir antara Kedah dan Pahang di kaca televisyen yang berkesudahan dengan agregat 8-8. Bertempik bersoraklah kami dengan gol yang banyak itu.
Kami harus tidur awal kerana esok kami harus bergerak selewat-lewatnya jam 6.30 pagi. Kena bangun awal untuk merebut tempat ke bilik air yang terhad itu.
Jam 6.30 pagi, konvoi berkereta mula meninggalkan homestay, meredah kedinginan pagi, menyelusuri jalan raya, meredah kabus pagi menuju ke Merapoh. Setibanya di Merapoh, kami singgah sebentar di Dataran Merapoh sedang beberapa orang sahabat mengambil bekalan sarapan pagi yang telah siap ditempah sehari sebelum kedatangan kami ke mari. Perlu pesan lebih awal supaya makcik yang menyediakan sarapan dapat menyediakan bekalan yang mencukupi untuk mengisi perut kami seramai 25 orang ini. Memandangkan kami memerlukan tenaga berlebihan untuk meredah hutan belantara pada hari ini, makanan berunsurkan karbohidrat menjadi pilihan. Nasi putih berlaukkan ayam goreng berkuah gulai dengan beberapa hirisan timun menjadi santapan kami. Terlupa pula untuk memesan teh dan kopi yang biasanya menjadi hidangan di pagi hari. Teguklah sahaja air bekalan yang dibawa sendiri. Itu sudah memadai.
Kami berhenti tidaklah lama. Sekadar untuk mengambil sarapan sahaja. Perjalanan diteruskan, 10 minit di hadapan, kami tiba di pejabat Perhilitan.
Terlalu awal agaknya apabila menyedari pintu pejabat masih belum dibuka, kelibat kakitangan seorang pun tiada, hanya beberapa orang pendaki macam kami bersiap sedia. Kami mengambil kesempatan ini untuk menikmati bekalan sarapan yang baru diambil sebentar tadi. Makan dulu siap-siap. Andai kata nak memerut, disini tempat terakhir dimana tandas dapat ditemukan. Lepas ni selamat tinggal tandas. Lima hari kita bakal terpisah.
Jam 9.00 pagi, barulah kelihatan seorang demi seorang kakitangan Perhilitan hadir ke pejabat. Pejabat kerajaan jauh terperusuk ke pedalaman macam ini, saya fikir boleh ikut suka nak datang pukul berapa. Boss pula jauh di kota. Boleh buat pejabat macam sendiri punya... Saya bagi 5 ha!
Maka bermulalah acara pengisytiharan barang-barang. Ini adalah acara wajib yang harus dilalui oleh setiap insan bergelar pendaki Gunung Tahan. Dari sekecil-kecil plastik pembungkus gula-gula, hinggalah sebesar-besar khemah, semua harta yang dibawa wajib diisytiharkan. Peraturannya mudah; setiap barangan yang dibawa jumlahnya wajib sama apabila pulang nanti. Kalau anda bawa 100 biji gula-gula, pastikan jumlahnya tetap sama apabila pulang, sekurang-kurangnya pembungkusnya masih ada tersimpan tak boleh hilang waima sehelai. Ini terpaksa dilakukan demi kebaikkan bersama bagi memastikan kelestarian flora dan fauna Taman Negara Pahang bebas dari pencemaran sampah.
Kerana itu, bagi memudahkan proses semakkan dan urusan logistik naik dan turun gunung, berpada-padalah ketika membawa barangan. Bawa barangan yang diperlukan, dalam kuantiti yang kecil sahaja. Contohnya pakaian, bawa dalam jumlah paling minimum, bukan sahaja untuk memudahkan urusan pengisytiharan, malah untuk mengurangkan juga berat beban yang digalas sepanjang tempoh perjalanan naik dan turun. Pakaian itulah yang diulang pakai selama berhari-hari. Usah pedulikan perubahan warna dan bau. Undang-undang rimba, mandi atau tidak, rupa tetap sama. Tiada siapa cakna. Kita semua serupa.
Semakkan bersama kakitangan Perhilitan dijalankan secara manual, berulang-ulang, seorang demi seorang, sampai habis. Setiap barangan perlu dikeluarkan dari beg dan pengiraan harus dilakukan di hadapan kakitangan tersebut sebagai penyaksian yang tepat lagi jitu. Ada beberapa barangan larangan, sekiranya terbawa, pada peringkat ini, dinasihatkan supaya ditinggalkan.
Selesai urusan pengisytiharan, sementara menunggu ketibaan powil, kami berlegar-legar di sekitar kawasan Perhilitan serta mengambil peluang pergi ke tandas buat kali terakhir. Kami juga mengambil kesempatan ini untuk menghubungi teman-teman dan orang tersayang apabila menyedari tiada lagi liputan pada beberapa hari yang mendatang. Liputan internet agak mengecewakan, walau pun pada tempat yang disyorkan. Harus menggunakan kaedah cuba dan jaya untuk mendapatkan liputan.
Setelah ketibaan powil yang dinantikan, kami diangkut dan disusun dalam kenderaan. Beg dan manusia diasingkan bagi mengoptimumkan ruang dan melancarkan perjalanan.
Perjalanan menuju ke permulaan pendakian, terletak kira-kira 12km dari Perhilitan, melalui jalan tar yang sempit hanya muat satu kenderaan, naik dan turun bukit seumpama roller coaster. Siapa gayat akan terasa seriaunya. Hinggalah ke penghujung jalan, tiada lagi tar, jalan mati tiada lagi laluan. Walau pun jauh ke dalam, masih ada pelancong yang datang, kerana di sungai ini juga menjadi pilihan, ikan kelah datang bertandang. Maka diwujudkan santuari sebagai tarikan pelancongan.
Sebelum bermulanya perjalanan, taklimat ringkas diberikan, sebagai penjelasan trek perjalanan, diiringi bacaan doa, bagi memastikan keselamatan dan kemudahan sepanjang pendakian.
Dinyatakan rentis, atau dalam bahasa mudahnya 'trek' (trail; in English) untuk sampai ke puncak bermula dari Sungai Juram adalah sejauh 32km sehala. Bermakna jumlah perjalanan menggunakan kudrat kaki, pergi dan balik bersamaan dengan 64km. Jalan kaki naik turun bukit, galas beban berbelas kilo selama 5 hari... anda rasa hardcore ke tidak?
No matter what. Bring it on!
Maka, pengembaraan pun bermula...
Sungai Juram - Lata Luis (11km)
Jam 10.45 pagi, kami memulakan langkah pendakian menuju ke check point pertama. Perjalanan yang santai, penuh gelak ketawa apabila merentasi trek yang agak landai dan kurang berbukit bukau. Kami juga merasai pengalaman merentasi bukan satu, tapi lima sungai yang paling dalam pun hanya setakat pinggang sahaja. Cuaca baik dan segalanya berjalan lancar. Pada ketika ini, saya merasakan penggunaan sandal yang berkualiti sudah memadai. Atau boleh juga menggunakan kasut spesis Adidas kampung, supaya kebasahan kaki boleh dikurangkan pada tahap minimum.
Walau pun trek agak landai, tetapi bukan bermakna 100% landai. Ada masa dan ketika terpaksa menempuh trek yang licin berselut kesan daripada hujan yang turun pada hari sebelumnya. Kerana itu saya nasihatkan, sekiranya bersandal, gunakan produk berkualiti untuk mendapatkan lebih cengkaman, bukan sahaja untuk menghadapi trek selut yang licin, malah di dalam air juga ketika menapak di atas batu yang licin.
5km berikutnya, kami berhenti untuk rehat dan rawat di tepian sungai Kuala Luis bagi menikmati hidangan makan tengahari ala kadar sahaja berupa nasi goreng yang dibungkus dalam plastik. Awal pendakian, bekalan air minuman masih banyak, air sungai kita buat tak endah, takkan nak minum air sungai kot. Perasaan jijik masih bersarang di hati padahal air sungai tu bersih, jernih, segar dari mata air gunung. Maka mengusunglah beg yang sebahagian besar beratnya disumbangkan oleh bekalan air yang dibawa.
Perjalanan diteruskan menuju ke Lata Luis yang berjarak 6km di hadapan. Trek masih landai, hanya sesekali berhempas pulas melangkaui batang balak yang tumbang. Ancaman pacat tidak terlalu ketara sangat. Mereka ada walau pun kita tak nampak. Mungkin disebabkan cuaca yang agak panas menyebabkan mereka lebih selesa berlindung di kawasan teduhan. Tanpa disedari, terkena jugalah beberapa gigitan, parut dan kegatalan sebagai kenangan untuk dibawa pulang.
Agak lama juga berjalan, dari lewat pagi membawa ke hampir jam 5.00 petang, kami tiba di Kem Lata Luis dengan jayanya. Berada pada ketinggian 558mdpl, persekitaran kem ini agak selesa dengan permukaan yang lapang, luas serta landai, mampu memuatkan kami seramai 25 orang. Bekalan air juga dekat dan tiada had membolehkan kami bergembira menggunakan nikmat ini untuk mandi sesuka hati.
Khemah didirikan dan santapan malam disediakan. Bagi perjalanan hari ini, walau pun majoriti trek adalah landai dan tidak terlalu mencabar, cabarannya lebih menjurus kepada beban yang digalas sejauh 11km. Lalu ramai yang mengadu rasa tidak sedap badan, seumpama terkena renjatan, tak pernah sekali pun dalam kehidupan, 11km membawa beban, tiba-tiba hari ini terpaksa dilakukan. Maka kerana itu, konsep tidur dalam khemah terbuka (istilah hiking; fly and ground) amat sesuai bagi mereka yang tidak bersedia memikul beg lebih berat. Namun tidak salah untuk membawa khemah sendiri yang tertutup dengan sempurna sekiranya berkemampuan, tiada siapa yang melarang. Asalkan tidak menyusahkan orang.
Kerana itu, sekiranya kita tidak mempunyai kekuatan fizikal dan daya tahan yang tinggi, bagaimana kita mampu memikul beg kita sendiri. Berat beg yang biasanya dibawa oleh pendaki adalah 15-20 kg. Kebanyakan gunung tidak mempunyai sumber air di puncak. Kita perlu memikul sekurang-kurangnya 4.5 liter air sehingga ke puncak. Berat beg sudah tentu akan bertambah, trek pula sudah pasti akan semakin menaik. Bebanan yang perlu dipikul pasti akan sangat menyeksakan dan boleh melambatkan perjalanan sekiranya kita tidak kuat.
Itu kesilapan kami pada hari ini. Minuman terlalu banyak.
Malam harinya, sewaktu taklimat, abang malim menerangkan beberapa tips yang berguna untuk diamalkan sewaktu pendakian.
- Jangan terbeban dengan bekalan air yang dibawa. Seringkali kami dimomokkan dengan sumber minuman yang sangat terhad membuatkan kami taksub membawa bekalan air berlebihan sebab kami tahu kami akan minum banyak. Sebenarnya satu botol 1.5liter sudah mencukupi. Selebihnya, kami boleh mengisi semula bekalan air menggunakan sumber dari alam semula jadi. Air sungai yang diharungi, selamat untuk diminum. Dan tak perlu juga minum dengan rakus sehingga berkocak air di dalam perut. Kaedahnya adalah minum sedikit-sedikit sekadar untuk membasahkan tekak, secara tidak langsung dapat menjimatkan air yang dibawa. Kena bijak dan kreatif bagi kelangsungan hidup dalam hutan.
- Pendekkan langkah bagi mengoptimumkan penggunaan tenaga. Langkah yang kecil mampu memanjangkan endurance berbanding dengan langkahan yang besar. Tidak perlu kelam kabut untuk bersegera. Takkan lari gunung dikejar. InshaAllah, semua orang pasti sampai.
Kem Lata Luis - Kem Kubang (8.5km)
8.00am: Setelah bangun dan menunaikan kewajipan, kami melakukan sedikit senaman ringkas secara berjemaah untuk memulihkan kembali otot-otot badan.
Kemudiannya menikmati sarapan dan membersihkan tapak perkhemahan. Kami meninggalkan kem berbekalkan nasi goreng siap berbungkus dalam plastik untuk hidangan makan tengah hari kelak. Kepada sesiapa yang berhajat meninggalkan beban yang dibawa sama ada bekalan air berlebihan atau pakaian yang tidak lagi digunakan atau apa sahaja barangan yang tidak diperlukan ketika dalam perjalanan seterusnya, adalah dinasihatkan untuk tinggalkan sahaja di kawasan kem. Bungkus seeloknya dalam plastik dan gantung di dahan pokok dalam kawasan kem. InshaAllah selamat. Waktu pulang nanti, boleh singgah untuk mengutip barangan kerana trek tetap sama. Melainkan kalau turun melalui trek Kuala Tahan, kaedah meninggalkan barang adalah tidak praktikal.
Walau pun perjalanan hari ini lebih dekat dari hari semalam, namun tahap kesukarannya jauh berbeza disebabkan trek pendakian mula menunjukkan peningkatan mendadak bagi menuju ke 1000 meter berikutnya. Walau pun malam tadi tiada hujan, namun hujan yang turun beberapa hari sebelumnya meninggalkan trek yang lembab, menjadikannya agak licin. Dalam pendakian ini juga, kami melalui beberapa kem yang lazimnya menjadi tapak perkhemahan seperti kem Kor dan kem Permatang.
12.10pm: RnR di kem Permatang untuk menjamah sedikit karbohidrat sambil menunggu rakan sependakian yang masih terkebelakang untuk berkumpul semula.
Di sepanjang trek ini, kami mula berselisih dengan pendaki yang dalam perjalanan pulang. Sempat jugalah bertegur sapa, bertanya khabar berita perihal situasi semasa.
Sejurus selepas kem Permatang, pendakian semakin mencabar dengan trek yang semakin kejam tak boleh bawak bincang. Pacak demi pacak kami tempuhi tanpa belas kasihan persis sang komando yang berjuang untuk meneruskan kelangsungan hidupnya. Beban yang digalas kadangkala menjejaskan kestabilan diri, menjadikan kami lebih berhati-hati supaya tidak jatuh tersembam bumi.
Pada tahap yang paling mencabar, mujurlah ada bantuan tali dan tangga. Walau pun nampak uzur dan usang, tapi masih boleh digunakan.
Bekalan air yang ada disini sangat terhad. Cukup sekadar untuk kegunaan minum dan masak. Sekiranya ingin membersihkan diri dengan berwuduk, adalah dinasihatkan supaya mengisi air ke dalam botol terlebih dahulu atau menggunakan spray yang dibawa kerana dikhuatiri air yang berkocak akan menaikkan keladak dari dasar takungan. Mata air yang terdapat disini sangat kecil.
Hujan yang turun pada waktu malam menambahkan lagi kesengsaraan kami, dengan persekitaran yang basah dan suhu yang sangat sejuk. Makan malam singgang daging terasa begitu enak setelah seharian mengerah kudrat untuk sampai ke tahap ini.
Usai santapan, tiada apa yang mampu dilakukan selain dari diam sahaja dalam khemah masing-masing, melayan kepenatan. Kelembapan khemah dan kesejukkan suasana kadangkala mengganggu tidur kami yang lena.
Kem Kubang - Kem Botak (10km)
9.00am: Mula meninggalkan tapak perkhemahan dalam kelembapan akibat hujan malam tadi. Terasa sedikit penambahan pada beban yang digalas akibat khemah yang masih lembab. Tiada kesempatan untuk mengeringkan pakaian. Maka, kami tinggalkan sahaja beberapa barangan dan pakaian tidak diperlukan pada dahan pokok di sekitar kem Kubang.
Setelah mendengar sedikit taklimat ringkas dari kru bertugas, pendakian diteruskan dengan penuh cabaran akibat trek yang licin, basah, berselut disulami dengan kepacakkan yang semakin mencanak pada beberapa tempat. Penyediaan tangga besi dan tali di beberapa kawasan yang benar-benar pacak sedikit sebanyak membantu pendakian walau pun terpaksa memikul beban seberat berbelas-belas kilogram.
Kami singgah sebentar di kem Belumut bagi melepaskan lelah dan dahaga. Terdapat rimbunan tumbuhan yang dikatakan bernilai tinggi mendiami kem ini.
Melepasi kem Belumut, cabaran bertukar kepada melayani trek yang basah dan becak memang tak boleh nak elak dah. Mula-mula gigih juga mengelak dengan berjalan di tepian dan meniti dahan kayu yang tumbang. Lama kelamaan pasrah sahaja. Walau berat kaki melangkah, perjalanan harus diteruskan.
Sedar atau tidak (memang tak sedar pun, tengok peta baru perasan), trek pendakian ke puncak Gunung Tahan sebenarnya merentasi sempadan dua negeri secara silih berganti. Permulaannya di negeri Pahang, dan pengakhirannya juga masih di Pahang, namun bermula dari Kem Belumut, trek bersilih ganti merentasi sempadan Pahang dan Kelantan hinggalah ke puncak yang terletak di Pahang.
Setelah penat bermain lumpur, jam 2.00 petang, kami tiba di kem Bonsai dengan pakaian yang terpalit lumpur suci. Walau pun comot, namun sesuai sekali untuk membersihkan najis mughallazah. Kem ini tidaklah begitu luas dan tidak sesuai untuk berkhemah dalam skala yang besar. Cukup sekadar untuk berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan seterusnya.
Keadaan kembali tenang setelah melepasi kem Bonsai setelah tiada lagi trek pacak yang meruntun jiwa. Pada peringkat ini, walau pun trek agak landai, becak dan selut masih lagi berpisah tiada. Suka atau tidak, tetap kena celup kasut dalam lopak jugak.
Hujan mula turun ketika kami sampai di kawasan ala Savannah pada rentis pendakian antara Bonsai dan Botak. Kenapa Savannah? Kerana tiada pokok yang besar dan tinggi di permukaan, Hanya pohon renek, maka tiada halangan untuk membuka hijab pemandangan saujana mata memandang. Di saat ini, terpampanglah keindahan alam ciptaan Tuhan. MashaAllah.
Hujan mula turun di waktu petang memaksa kami mengenakan baju hujan untuk menghalang kebasahan dan kesejukan. Trek pendakian dipenuhi air ibarat landskap air terjun mini sesekali memberi peluang kepada kami untuk membilas kasut dan seluar yang dipenuhi lumpur.
Tidak jauh dari Kem Botak, penampakkan sebuah struktur moden ciptaan manusia. Tidak pasti bagaimana ia boleh sampai disini, sama ada menggunakan tenaga manusia atau helikopter. Yang pasti mesin ini menggunakan tenaga solar untuk menjana kuasa. Berdasarkan kajian, alat ini dinamakan sebagai Remote Terminal Unit (RTU), berfungsi sebagai pusat pengumpulan data hidrologi untuk tujuan pemantauan taburan hujan dan kemarau. Alat ini Jabatan Pengaliran dan Saliran Malaysia yang punya. Hak kerajaan. Penceroboh akan didakwa. Tengok boleh, usik jangan.
Kem Botak adalah tapak perkhemahan bagi kebanyakkan pendaki dalam misi menawan puncak Tahan. Ianya lebih sesuai dengan permukaan rata yang agak luas, boleh menempatkan beberapa pendaki dalam kumpulan yang besar pada satu-satu masa, dan apa yang paling penting adalah kedapatan sumber air bersih yang boleh digunakan sebagai minuman dan masakan. Walau pun jumlahnya agak terhad, namun hujan yang turun di petang hari secara tidak langsung telah menambah kapasiti air yang boleh kami gunakan.
Setelah berehat sebentar, jam 5.30 petang, kami mula mendaki ke puncak yang jauhnya hanya mengambil masa sekitar 45 minit sahaja mengikut kelajuan santai. Tiada lagi beban yang perlu digalas apabila semuanya ditinggalkan di tapak perkhemahan.
Jauh perjalanan, luas pengalaman, bertambah pengetahuan. Segala pelah lelah pengorbanan mental dan fizikal akhirnya berbalas dengan menawan puncak Gunung Tahan dengan jayanya. MashaAllah... Tabarakallah!
Cuaca dingin selepas hujan menyaksikan hamparan awan karpet saujana mata memandang, sedikit membataskan penglihatan untuk meneroka apa yang ada di bawah sana. Walau pun begitu, dalam kesamaran masih lagi kelihatan bukit bukau dan gunung ganang berlapis-lapis memenuhi segenap ruang menandakan kami berada jauh dari peradaban manusia. Tiada kata boleh menggambarkan kepuasan berada di puncak Tahan setelah beberapa hari menempuh perjalanan penuh cabaran. Syukur kepada yang Esa kerana memberi kami kekuatan dan keselamatan untuk berada di suatu tempat yang tidak semua orang mampu melakukannya.
Usai meraikan kejayaan ini, kami mula turun dikala mentari mula melabuhkan tirainya. Kegelapan malam dilimpahi dengan sinaran head lamp pembawakkan masing-masing untuk menyuluh ke jalan yang benar. Kami harus berhati-hati dengan persekitaran yang gelap ini memandangkan trek penurunan yang agak curam dan berbatu tajam. Dalam kegelapan, kami selamat turun ke kem Botak.
Gerimis mengundang lagi di malam hari menyebabkan suasana malam di kem ini menjadi sejuk sekali. Tidak banyak aktiviti yang mampu dilakukan selain dari makan malam, kemudiannya bergelak ketawa sebentar. Hujan turun lagi. Dalam khemah kami menyepi. Merehatkan badan setelah seharian memenatkan diri. Esok kami ingin jalan jauh lagi.
Kem Botak - Kem Kor (16km)
Usai mengerjakan solat Subuh, nun kelihatan disana kerdipan cahaya si pendaki dari kumpulan lain sedang gigih mendaki ke puncak melalui trek yang sama seperti kami pada petang semalam. Mereka naik awal pagi, untuk menyaksikan terbitnya mentari pagi. Sedang kami, walau pun tiada halangan untuk mendaki, lebih senang bermalas-malasan sambil menanti terbitnya mentari dari khemah sendiri.
Orang malas selalu rugi. Kerana itu, sukar untuk menikmati mentari pagi dari kem ini apabila pandangan terlindung oleh beberapa banjaran. Kalau inginkan pandangan jelas, kena naik ke puncak. Disebabkan tiada perancangan, kalau daki sekarang, bila mana sampai ke puncak, matahari dah tegak. Baik tak payah.
Kami bersarapan dan mengemaskan tapak perkhemahan. Khemah dilipat, sampah sarap dibungkus untuk dibawa pulang. Bersama menjaga kelestarian alam. Jangan ditinggalkan apa-apa kesan. Hanya kenangan untuk dibawa pulang.
Perjalanan turun dijangka lebih mencabar dengan mengambil kira perjalanan yang jauhnya sehingga 16km menuju ke kem Kor. Dengan keadaan trek yang barai, jangan ingat turun lagi senang dari naik ye?
Kami terus turun dan turun dan turun lagi menggunakan trek yang sama seperti pendakian, kerana objektif kami adalah ke Merapoh. Lainlah kalau tuan - puan nak turun di Kuala Tahan. Kena jalan 55km ikut laluan berlainan. Walau pun sukar, perjalanan perlu diteruskan demi misi untuk tiba di kem Kor seberapa segera yang boleh. Perjalanan yang jauh ini berkemungkinan membawa sampai ke malam.
Kami melewati beberapa kem yang dilalui pada hari sebelumnya. Tidak banyak yang boleh diceritakan kerana kisahnya hampir sama sahaja. Becak dan curam sekali lagi menjadi permainan. Bezanya kami dalam posisi menurun. Hanya sesekali berhenti seketika untuk melepaskan penat dan dahaga, serta mengambil barangan yang ditinggalkan pada pohonan untuk dibawa pulang. Pada ketika ini, kami sudah terpisah kepada beberapa kumpulan kecil bergantung kepada kudrat masing-masing. Namun jangan sesekali berjalan keseorangan. Pastikan berteman.
Sedang matahari melabuhkan tirainya, kami masih belum tiba ke destinasi sepatutnya. Bekalan air hampir kehabisan, di sinilah pentingnya semangat setia kawan yang sudi menghulurkan bantuan, menghulurkan tangan, meringankan beban, berkongsi minuman.
Siang bertukar malam, akhirnya kami tiba di kem Kor setelah mengharungi perjalanan yang jauh sekitar 10 jam. Kem Kor adalah antara kem utama pilihan pendaki. Di sini terdapatnya tapak perkhemahan yang luas dengan sungai yang agak besar mengalir memberikan sumber air yang bersih untuk kami nikmati tanpa had, lebih dari mencukupi untuk kami mandi manda sepuasnya.
Selain dari makan malam, di sini juga kami cuba menghabiskan sisa bekalan makanan yang dibawa memandangkan esok kami pulang ke titik permulaan. Maka tidak perlulah membawa beban berlebihan. Apa yang boleh dihabiskan, kami cuba selesaikan. Apa lagi... kenduri maggie lah malam ni.
Gerimis mengundang lagi dimalam hari. Walau pun berada pada ketinggian 750 meter sahaja dari paras laut, kedinginan masih terasa. Ditambah dengan kepenatan setelah seharian perjalanan, kami tidur awal sementara menunggu hari esok. Terasa tak sabarnya nak pulang.
Kem Kor - Kuala Juram (13.5km)
Cuaca yang baik di pagi hari ibarat motivasi kepada kami untuk meneruskan perjalanan pada hari ini. Trek landai menanti menggembirakan hati untuk segera sampai ke pengakhiran ekspedisi. Menuju ke Kuala Juram, tempat kami memulakan ekspedisi ini, sekali lagi kami dipaksa menyeberangi beberapa batang anak sungai yang mengalir lesu memudahkan perjalanan kami.
Walau pun hujan turun dalam beberapa hari, jumlahnya tidaklah banyak sehingga mampu menukarkan sungai tersebut menjadi ganas. Perjalanan juga dirasakan lebih pantas.
Jalan punya jalan, terbaring terlentang nak langkau balak yang tumbang, akhirnya setelah 5 jam, sampailah kami di Kuala Juram. Alhamdulillah, kami semua selamat, kecuali seorang mengalami sedikit kecederaan terseliuh kakinya tergelincir ketika melalui trek yang licin dan curam.
Tamatlah sudah azab sengsara.
Sementara menunggu kedatangan powil datang menjemput, kami mengisi masa terluang membersihkan badan yang sudah beberapa hari tidak mandi, merendamkan diri dalam sungai berhampiran, menikmati kesegaran air sejuk kurniaan Tuhan.
Powil datang membawa kami ke Pejabat Perhilitan. Gelak dan tawa mengiringi perjalanan. Semua kegembiraan atas kejayaan, selamat pergi dan pulang, puncak Tahan telah kami tawan.
Di Perhilitan sekali lagi kami menghadapi saat-saat kritikal apabila sekali lagi terpaksa bersoal jawab dengan pegawai bertugas, bersama mereka pen dan kertas, mengira kembali barangan dan bekas, yang dibawa pulang mestilah sama dengan apa yang dibawa ke atas. Kalau tak cukup dikenakan tindakan tegas. Sijil tak dapat, mungkin kena caj. Sedikit menggelabah apabila ada kiraan tak synchronize, tapi setlah di edjas-edjas, Alhamdulillah, tiada masalah. Kami semua terlepas.
Sejurus kemudian, berlangsunglah upacara penyerahan sijil, seorang demi seorang nama kami dipanggil. Maka dengan ini secara rasminya, kami ditauliahkan sebagai pendaki yang berjaya menawan puncak Tahan.
Syukur pada Allah yang memberi kami kekuatan untuk menempuh segala cabaran. Tidak lupa juga kepada rakan-rakan sependakian yang sentiasa memberikan sokongan, bagi merealisasikan sebuah impian, puncak tertinggi semenanjung Malaysia berjaya kami tawan.
Sebelum pulang, kami menyucikan diri di tandas awam Perhilitan, membuang segala najis yang lama tersimpan, membersihkan badan seterusnya menukar pakaian.
Sampai disini sahaja pertemuan kami, berakhirnya ekspedisi, kami memandu membawa haluan sendiri. InshaAllah, panjang umur ketemu lagi.
Mendaki bertambah ilmu. Maka terapkanlah nilai-nilai murni yang diperoleh sepanjang ekspedisi dalam kehidupan seharian, seperti;
- Aplikasikan kepayahan ini untuk menempuh cabaran yang mendatang.
- Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
- Sentiasa berfikiran positif dan bertahan dalam situasi mencabar.
- Jangan sesekali cepat mengalah dan mengatakan kita tidak mampu melakukannya.
- Teknik survival untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Semoga menjadi panduan dan manfaat untuk pendakian anda seterusnya.
No comments:
Post a Comment