CUB CHAI FOR A CUP OF TEA

Ini adalah kisah pengembaraan sekumpulan rakan sekerja yang sama-sama bergabung tenaga, meredah hutan belantara, mengukur jalan ratusan kilometer merentasi tiga negeri, menyusur ranjau penuh berliku, gunung sama didaki, lembah sama dituruni. Dengan semangat juang  yang tinggi, bukan sahaja menguji ketahanan fizikal dan mental diri, malah turut menguji kemampuan jentera yang ditunggangi, semuanya dengan motorsikal kecil tak lebih daripada 135cc, atau lebih popular dengan gelaran Kapcai.

Boleh juga dianggap sebagai satu riadah pada hujung minggu, sekadar untuk merehatkan minda yang semakin berjerebu, demi melarikan diri seketika dari rutin hidup biasa dan hiruk-pikuk kota, sekali sekala buat benda luar biasa, kalau tak bosan jer hidup hari-hari sama sahaja.

Lokasi dituju bukanlah calang-calang, tak mainlah Sungai Congkak atau pun Ulu Yam, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

Cameron Highlands destinasi kami, tinggalkan semua anak dan bini, kononnya nak rasa bujang kembali, bukan selalu dapat begini.

Biasanya, laluan Tapah atau Simpang Pulai menjadi laluan popular untuk ke Cameron Highlands, namun sebagai cabaran, kami memilih laluan yang belum pernah kami terokai, laluan baharu yang belum wujud lagi dalam Google Maps. 

Itulah laluan Karak – Bentong – Raub – Sungai Koyan – Pos Betau – Ringlet -Tanah Rata.

Kami merancang sudahlah lama, tapi entah kenapa sering saja tergendala, maklumlah masing-masing komitmen banyaklah pula, sama ada dengan keluarga mahu pun kerjaya.

Setelah perancangan tersusun rapi, tidak dilupa izin dari bini, kami mula menghitung hari, menanti masa macam tak sabar sangat dah nak pergi. Terlalu rapi perancangan kami, semua kelengkapan kalau boleh nak diangkut sekali, bukan setakat spanar dan pemutar skru sahaja, malah semuanya lengkap kalau nak baraikan sebiji motor pun takde masalah barangkali. 

Ekspedisi  ini ada lapan orang semuanya, semua kawan-kawan satu tempat kerja, kecuali seorang anak buah En. Najmudin kita. Dengan jentera pacuan yang masih standard seadanya, tiada modifikasi ekstrem telah dilakukan, maklumlah motor cari makan. Hari-hari guna pergi dan balik kerja. Lagi pun kami bukannya belia remaja lagi, ada sorang tu anak dah masuk university. 

Tema kami kali ini - "Cub Chai for a Cup of Tea", siap dengan t-shirt khas kami tempah sendiri, warna hijau sama macam warna ladang teh tempat kami nak pergi.

Ikuti kisah perjalanan kami, barangkali tidak ramai yang sanggup pergi, kalau superbike ramai lah yang berani, dengan kereta apatah lagi. Nak bawa motor besar pon tak mampu lagi, ada aku kesah… dengan kapcai pun jadi.

HARI PERTAMA

8.00 pagi: seorang demi seorang mula berkumpul di stesen BHP lebuh raya Karak, tidak jauh dari Plaza Tol Gombak menanti ketibaan seorang demi seorang rakan sekerja dengan semangat berkobar-kobar untuk berkonvoi naik kapcai.  Masing-masing dengan mood ceria, dah tak sabar nak lepas gian. Kelihatan suasana sibuk sekali, ramainya bikers bermotosikal kuasa tinggi, memenuhi setiap ruang dan inci, untuk weekend ride seperti kami. Walau pun jentera kami comel-comel belaka, tidaklah kami merendah diri, malah kami amat berbangga kerana mampu melakukan perkara yang orang fikir hanya boleh dilakukan oleh motorsikal berkuasa tinggi sahaja. Namun terasa jauh disudut hati, ada jugaklah sikit rasa dengki, haiii… bilalah boleh miliki motorsikal besar berkuasa tinggi :-)

dari kiri; Fuzir – anak buah najmudin (Yamaha LC135), Najmudin (Honda Wave125), Bazid (Suzuki RG-Sports110), Syahrir (Suzuki Axelo125), Hadrul (Yamahan LC135), Zamin (Modenas Xcite 130), Alee (Modenas GT128), Aqeem (Modenas GT128).
0830: Setelah cukup lapan orang semuanya, dengan jentera masing-masing pun telah diisi petrol sepenuh-penuhnya , tayar motor kami mula mengukur lebuh raya Karak dengan purata kelajuan antara 100 ke 120 kilometer sejam. Maka berlakulah aksi kejar mengejar, melayan selekoh panjang dan laluan lurus ibarat pelumba MotoGP. Selang beberapa ketika, kami mula berpecah kepada dua kumpulan dimana kumpulan pertama berada beberapa ratus meter di hadapan, manakala kumpulan kedua ketinggalan di belakang.  

Berlaku miscommunication yang pertama apabila En. Alee yang tengah lead group belakang ni tiba-tiba jer belok masuk ke R&R Genting Sempah yang nak ke Genting Highlands tu.  Dah tu rider lain yang empat orang ni pun ikutlah sekali, manalah tahu kot motor dia ada problem ke, nak isi minyak ke, nak gi toilet ke, takkanlah nak tinggal dia sorang-sorang . Rupanya dia keliru, sebab tak nampak group depan, dia ingat group depan sudah masuk dalam. Takde sape pun cakap nak masuk R&R, maknanya takde lah tu En. Alee oiiii…. Sambil tersengih, terus keluar balik ke highway… cheh! Rugi aku punya fastest lap time. Layan pecut lagi… full throttle… vroommmmm!

0915: Lebih kurang 45 minit mengukur jalan, kami tiba di Plaza Tol Bentong dimana kumpulan yang di hadapan tadi sudah menunggu di tepi lebuh raya.
aksi lagak ngeri yang tidak harus dicontohi sejurus selepas keluar dari Plaza Tol Bentong.
Nampak semua ok, motor kuat-kuat belaka takde masalah lagi, kecuali XCITE130 En. Zamin ada sedikit masalah dengan idle timingnya yang terlalu tinggi. Edjas sikit jer dengan skru driver, selesai masalah.  Tak perlu risau, chief mechanic ada. Sambung ride lagi…  vroommmmm!

chief mechanic sedang membetulkan penalaan motor X-CITE130 kepunyaan En. Zamin supaya dapat wheelie walau pun dalam gear empat
0925: Dari Lebuh Raya Karak, segera masuk ke bandar Bentong, 

0940: Kami singgah di suatu medan selera, Benteng namanya, mencari sesuap sarapan bagi mengalas perut yang sudah kelaparan. Tepi tu ada sungai yang mengalir tapi takdelah indah pemandangan pun. Sungai dalam bandar tahulah camane, dah macam teh tarik kaler dia.  Sungai tu pun macam nampak tak nampak sahaja kerana di tebingnya penuh dengan tumbuh-tumbuhan yang subur menghijau.

upacara bersarapan beramai-ramai di Bentong, Pahang.
Untuk sarapan, kedai nie jual nasi sahaja. Ada nasi lemak, nasi kerabu dan nasi dagang. Pilihlah mana suka. Ok jugak makan nasi, kasi heavy sikit breakfast pagi ni. Nak jalan jauh lagi, biar perut penuh berisi. Sambil makan, sibuklah cerita kehebatan masing-masing beraksi di lebuh raya tadi. Tidak terkecuali, cerita En. Alee cepat sangat masuk pit stop pun ada sekali.

1000: Kenyang sudah perut berisi, kami pun sambunglah ride lagi. Kali ini check point  kami adalah pekan Raub. Tidak dilupa pesan pesan En. Bazid sejak dari BHP Karak tadi, kalau jumpa mesin ATM sila berhenti. Pusing-pusing Bentong tak jumpa jugak bank yang dia nak pergi, takpe kita proceed jer ke Raub, kat sana kita cari lagi. Sebelum keluar dari Bentong, masing-masing penuhkan tangki minyak motor dulu. Isi minyak lagi… vrooommm!!!

Laluan Bentong – Raub jalan clear, maka kami pun ambik kesempatan untuk membuat pecutan agresif di satu dua tempat.Bila dah memecut tu adalah yang terlaju dan ada yang terpelahan. Di tambah pula dengan laluan dua hala, nak potong kenderaan lain di jalan raya tentu sahaja mengambil masa. Maka lama-kelamaan kedudukan kami agak terpisah kepada beberapa kumpulan, dengan sekurang-kurangnya dua biji motor dalam setiap kumpulan. Tak boleh lah biar sorang-sorang, kalau ape-ape jadi ada back-up sorang kan senang.
bosan menunggu kumpulan belakang yang tak sampai-sampai, kami terus kontrol hensem ketika sesi penggambaran
1030: Lagi tiga kilometer nak sampai pekan Raub tu, kami berhentilah sekejap di tepi jalan, dengan cadangan nak bergambar beramai-ramai kat papan tanda jalan, bukti kami dah lalu kat sini. Tunggu punya tunggu, tapi En. Syahril dan En.Zamin tak sampai-sampai. Haishhh ape kejauh sangat tertinggal diorang ni? Risau juga kalau-kalau motor En. Zamin ada masalah, maklumlah masa kat Karak tadi dah usik dia punya timing. Lagi pun motor dia pun bukan baharu lagi. Telefon pun tak berjawab… sah mesti atas motor lagi. Dah tu apakejadahnyer tak sampai lagi? 

Lebih kurang 20 minit tunggu, akhirnya beliau muncul. Apa hal?
… kitorang tolong orang, tayar kereta dia pancit tadi.
… ohhh patutlah lambat bebenor… sape?
… awek… ada kat tepi jalan tadi.
... laaaa… tayar dia pancit ke? Kitorang pun memang ada nampak sorang awek ni pakai baju merah,viva hitam dia tersadai kat tepi jalan tadi. Tak perasanlah pulak tayar dia pancit. Ingatkan dia tunggu orang ke, kawan dia ke. (malam tu awek tu sms En.Zamin ucap terima kasih dan ajak minum… wah… sempat bertukar-tukar nombor telefon korang yer? Tahu kat bini sah lain kali tak boleh ride lagi…hahahaha)

1100: Sampai pekan Raub kami berhenti tak lama. Sekadar untuk isi minyak lagi dan lagi. Tak tahu dah ini stesen minyak ke berapa kami berhenti. Maklumlah motor tangki kecik. Sebagai langkah berjaga-jaga, agak-agak nak isi, isi jer sebab tak tahu next stesen minyak jauh mana. Walau  pun ada yang bawak minyak spare isi dalam botol, tapi yang itu kita reserve dulu untuk keperluan yang betul-betul mendesak, especially waktu mendaki nanti. Tengah-tengah banjaran titiwangsa tu, stesen minyak  mana nak cari?
Stesen Caltex di Raub. Honda Cub kelabu kat depan tu menangis-nangis nak ikut tapi kami kata tak boleh!
1110: Menuju ke check point seterusnya; Sungai Koyan. Bagi kebanyakkan daripada kami, laluan ke Raub –  Sungai Koyan adalah laluan yang sangat asing yang tidak pernah dilalui. Menyusuri jalan-jalan kampung dan sesekali menempuh laluan di tengah ladang kelapa sawit, jalan ini tidaklah terlalu sibuk dengan kenderaan walau pun ia merupakan jalan alternatif ke Kota Bharu dan Kelantan. 

Perjalanan lancar kami sesekali digegarkan dengan deruman konvoi penunggang motorsikal berkuasa tinggi yang turut sama memecut ke Cameron Highlands juga barangkali. Tidak terkecuali, ada juga konvoi skuter berkuasa tinggi turut sama memotong kami. Kami biarkan sahaja konvoi-konvoi ini memotong, nak bersaing, kitorang kategori lain, diorang lain.

1145: tiba di check point terakhir kami di Petronas Sungai Koyan. Ini adalah stesen minyak terakhir sebelum proses pendakian bermula. Maka terpaksalah kami mengisi minyak sepenuh-penuhnya memandangkan stesen minyak seterusnya berada di Ringlet, nun jauh di puncak bukit sana.

pose istimewa ala-ala band boys K-Pop di petronas Sungai Koyan sebelum meneruskan perjalanan mendaki puncak Cameron.
Dari sini kami bakal kehilangan seorang penunggang berkaliber apabila En. Syahrir kita bakal meninggalkan konvoi dan berpatah balik ke Kuala Lumpur memandangkan beliau ada hal nak rushing bawa bini pergi ke Johor pula katanya. Walau pun sedikit ralat kerana konvoi kami bakal kehilangan seorang peserta yang berdedikasi, namun jauh di sudut hati kami kagum dengan kesanggupan beliau untuk mengikut kami hingga sejauh ini. Patah balik ke KL sorang-sorang pula tu.
gambar terakhir lapan sekawan sebelum bertukar menjadi tujuh.
1215: setelah mengucapkan selamat tinggal kepada En. Syahrir, kami yang tinggal bertujuh ni pun meneruskan cabaran untuk merebut jersi polka dot raja bukit. Dengan penuh berdisiplin dan berhati-hati, kami bergerak dalam satu kelompok besar tidak jauh antara satu sama lain. 

Kami singgah sebentar di persimpangan Pos Betau untuk merancang strategi merakam gambar aksi kami meratah selekoh tajam lagi menggiurkan. En. Aqeem selaku jurugambar akan pergi dahulu mencari lokasi yang sesuai, lalu berhenti dan bersiap sedia untuk menembak, manakala rakan-rakan yang lain, akan bergerak seorang demi seorang dalam sela masa tiga minit yang kemudiannya akan tunggu di tepi jalan tidak jauh daripada lokasi pergambaran. 

merancang strategi penggambaran di persimpangan masuk ke Pos Betau.
Dan hasilnya dapatlah beberapa snap shot yang dirakam secara tergesa-gesa pasal diorang ni kan, rasa macam tak sampai tiga minit, tiba-tiba dah muncul. Cepat bebenor. Fotografer tak sempat nak ready tau! Nak berhenti ambik lagi dah tak kuasa dah. Masing-masing tak sabar nak layan korner yang sedia menanti.

kombinasi gambar yang mempamerkan teknik-teknik tunggangan yang betul ketika mengambil selekoh (yang tak berapa nak tajam)
berhenti seketika setelah selesai sesi penggambaran dengan berlatar belakang banjaran titiwangsa
Perjalanan merentasi banjaran titiwangsa dari Sungai Koyan ke Cameron Highlands ternyata satu pengalaman yang menakjubkan. Jalannya lebar, dengan selekoh-selekoh yang lebih panjang dan juga banyak laluan lurus serta pendakian tidak terlalu curam jika dibandingkan dengan laluan Tapah atau Simpang Pulai. Kenderaan juga tidak banyak memandangkan laluan ini bukanlah laluan popular untuk ke Cameron Highlands. Maka dapatlah kami menunggang dengan lebih tenang dan santai. 

 
ranjau sepanjang jalan. antara gambaran yang diambil sambil menunggang motorsikal.
Di tengah-tengah perjalanan kami hanya berhenti sekali sahaja, itu pun sekadar untuk menambah minyak jentera tunggangan En. Bazid kita yang sudah hampir kering tiada isi. Maklumlah motorsikal dua lejangnya laju sekali, minyak yang mengalir pun laju lah juga, maka disinilah pentingnya tong minyak yang dibawa bersama.

berhenti seketika di sempadan daerah cameron highlands kerana motorsikal en. bazid sangat dahagakan minyak

1350: Tiba di stesen Shell Ringlet dan isi minyak lagi setelah tangki hampir kering seronok sangat layan selekoh tadi. Tapi bila sampai Ringlet, cuaca tiba-tiba berubah begitu cepat sekali. Langit pun mendung bagaikan hujan akan turun bila-bila masa sahaja lagi.
Shell Ringlet, sesudah memenuhkan tangki minyak dan membetulkan kembali urat saraf
Kami tidak menunggu lama disini memandangkan perjalanan kami sudah tidak jauh lagi. Perut juga sudah berkeroncong minta diisi. Lalu kami teruskan perjalanan ke Tanah Rata.

Dari Ringlet ke Tanah Rata kami lebih berhati-hati kerana trek basah dan kenderaan agak banyak. Sesekali berselisih juga dengan bas dan lori. Sejurus melintas di hadapan pintu masuk ladang teh Bharat, kami tersentap melihat satu kemalangan, membabitkan sebuah motorsikal yang masih belum dialihkan dan terbaring di tengah jalan raya. Lebih ngeri melihat tompokan darah serta jasad yang sudah dibungkus di dalam plastik hitam terbaring kaku di dalam Land Rover polis. Kami syak mangsa orang tempatan, berketurunan orang asli apabila terlihat sekumpulan orang asli berkeadaan kelam-kabut seolah-olah tidak keruan. Insaf sekejap melihat kejadian tersebut, nak konar lebih-lebih lagi pun macam takut. Maka kami tingkatkan tahap berhati-hati teruskan perjalanan ke Tanah Rata.

1420: Tiba di Kompleks Gerai Makan MDCH (Majlis Daerah Cameron Highlands) yang terletak di tengah-tengah pekan Tanah Rata untuk bersantap hidangan tengah hari sambil menunggu tuan punya apartment penginapan kami datang menyerahkan kunci. Walau pun masing-masing makan nasi dengan lauk yang biasa-biasa sahaja tapi harganya amatlah luar biasa. Campur air, masing-masing terpaksa mengeluarkan belanja sekitar RM10.00 seorang, walau pun cuba bercakap loghat Pahang tapi masih tak jalan. Kami membuat kesimpulan, kos logistik boleh dijadikan alasan. Nak bawak ikan, sotong atau udang bukannya senang. Atas bukit ni mana ada laut atau sungai yang ada ikan? Lori mesti kenakan cas tambahan.  Lagi pun tempat pelancongan.
parking motor dulu cantik-cantik sebelum bersantap
1500: Dah dapat kunci dan ditunjukkan arah oleh tuan punya kediaman, akhirnya kami sampai ke istana hinggap kami. Puncak Arabela nama diberi. Nama bukan main komersil lagi, ingatkan apartment untuk pelancongan, rupanya kawasan kediaman yang diduduki penduduk tempatan. Disewakan ala homestay yang lengkap dengan semua kemudahan dari barang dapur semua ada kalau nak masak cari bahan mentah sahaja. Bilik juga memuaskan siap ada tilam tambahan lagi. Cuma bilik air sahaja ada satu, tapi dipisahkan sebelah menyebelah dengan tandas tempat membuang. Nak mandi air panas kena tunggu giliran sorang-sorang.
Puncak Arabela... semuanya ada...
Tengah syok-syok melepakkan badan yang sasa, hujan pun turun. Memang dah agak petang tu hujan, tapi tak sangka pula hujan berpanjangan. Ada yang dah siap mandi dan solat, maka tilam dibentang di ruang hadapan untuk berehat-rehat sambil menikmati kedinginan alam semula jadi. Tak perlu kipas atau alat penghawa dingin. 

Ada yang tertidur ada yang tengok tv. Perancangan petang ni untuk ke Sungai Palas macam tak jadi. Nak keluar sejuk sekali. Hujan pula macam tak nak berhenti. Lalu berhasrat nak tengok movie melalui konsul NBOX MEDIA PLAYER yang dibawa bersama. Tapi entah dimana silapnya, remote pula habis bateri. Aduhhh sangap tak tahu nak buat apa lagi. Nak duduk terbongkang dalam rumah amatlah rugi setelah sampai jauh sebegini.
Wajah sayu tak dapat keluar sebab hujan, berlatar belakangkan apartment Puncak Arabela, blok lain
1700: Tak tertahan dengan dibelenggu kebosanan, kami sepakat nak keluar redah hujan. Ke pekan Brinchang destinasi kami, bukan sekadar mencari bateri, cari makanan hujan-hujan begini perut selalu sahaja minta diisi.

Setelah mengenakan jaket hujan masing-masing, kami mula meredah kedinginan petang sambil badan menggigil gigil menahan kesejukkan. Pengalaman bermotosikal dalam hujan di Cameron mungkin tidak akan dilupakan. Sudahlah berada di kawasan tanah tinggi yang dah sememangnya sejuk, hujan pulak tu, naik motor lagilah dengan angin sepoi-sepoi bahasa, tangan pun kebas sebab tak pakai glove, kalau pakai gerenti basah.
Wajah ceria dapat main hujan
Di Brinchang, kami menuju ke sebuah restoran mamak mencari makanan untuk memanaskan badan. Tahu pon sejukyer korang. Kalo kat KL nun, asyik komplen panas. Nak sejuk sangat kan? Nah, sekarang rasakan. 

Kami memesan roti canai dan minuman yang panas-panas belaka. En. Aqeem yang dah tak tahan dengan kesejukkan terpaksa berdiang di sisi kuali roti canai yang lebar itu bagi menghangatkan sekurang-kurangnya tapak tangan.
Nikmatnya menghirup air panas dalam kedinginan melampau.
Selesai makan, kami kembali menyejukkan diri meredah hujan menuju ke Kea Farm pula. Sekadar bersiar-siar serta mencari ole-ole untuk dibawa pulang keesokkan harinya. Sementelah hari pula semakin gelap, orang juga tidaklah ramai. Kalau datang pagi esok, sure sesak tempat ni. Kesejukkan sudah tak tertahan lagi. Tapi beli tetap beli. Cari bahan nak rasuah bini, lain kali boleh pergi lagi.

Dari Kea Farm, kami berpatah balik ke Brinchang, sebab nak singgah di pasar malam, cari makanan nak santap malam, tak kuasa dah nak keluar lagi, sejuk dan hujan jadi alasan. Nak balik apartment, rilek-rilek, baring-baring, tengok movie, makan-makan, rebus jagung… perghhhhh!!
seorang pemerhati dari perhilitan sedang memastikan serangga yang dijual di pasar malam Brinchang adalah bukan dari spesis yang dilindungi
Satu peristiwa berlaku di pasar malam Brinhang, setelah selesai membeli belah, kami pun pulanglah ke tempat parking motor. Elok jer semua dah get ready nak gerak, tiba-tiba motor En. Bazid kita tumbang lalu menghempap tubuh badannya yang comel itu. Rupanya beliau lupa buka kunci tambahan pada disk brake motor dia. Bila bergerak, motornya tersentap ke depan lalu hilang kawalan. En. Alee yang parking di sebelahnya pun nyaris menjadi mangsa. Dengan pantas, rakan sekerja datang membantu.
susun atur motorsikal mengikut tertib ketika sampai dipasar malam.
2000: Malam di Cameron, lepak di apartment sahaja. Menjamu selera dengan macam-macam jenis makanan yang dibeli tadi, siap dengan rebus sendiri jagung mutiara beli kat Kea Farm tadi sambil-sambil tengok movie, layan borak sampai tak boleh nak bukak mata lalu tertidur… zzzzzzz.

gaya profesional master chef terserlah ketika menyiapkan hidangan makan malam
leka menikmati jagung rebus tanpa bahan pengawet

HARI KEDUA:
0630: Sudah ada yang bangun lalu mengejutkan rakan-rakan untuk menunaikan kewajipan. Lepas tu nak sambung tidur pun macam tak selera dah, ada sahaja bahan nak diborakkan lagi. Duduk serumah ramai-ramai macam ini, terasa macam bujang kembali. Teringat zaman-zaman menyewa rumah masa kat university dulu.

sesi warm-up enjin giat dilakukan sebelum memulakan perjalanan. terima kasih kepada rakan sekerja yang bersusah-payah mengelap motor rakan sekerja yang lain
Setelah bersarapan ala kadar dengan hidangan mee Maggie, kami dengan cergasnya bersiap-siap untuk bergerak ke Sungai Palas, bagi mencapai objektif konvoi ini… Cub Chai for a Cup of Tea. Vroommmm!!!

pagi yang nyaman tenang aman damai di puncak Cameron
0850: Cuaca mulai cerah setelah hujan hanya berhenti bermula pada waktu subuh tadi, lalu kami bergerak meninggalkan apartment menuju ke Sungai Palas. Dalam perjalanan berlaku satu lagi tragedi oktober.

Memandangkan dengan jumlah kenderaan yang sangat banyak, dengan kesesakkan di beberapa kawasan seperti di Brinchang dan Kea Farm, kumpulan kami agak terpisah antara satu sama lain. Ketua rombongan pagi tu, En. Najmudin berada jauh di hadapan bersama empat buah motorsikal lain, manakala tiga lagi agak ketinggalan di belakang. Apabila kumpulan belakang ni sampai di persimpangan untuk naik ke Sungai Palas, tidak kelihatan kumpulan di depan. Mula-mula kitorang ingat diorang dah naik dulu, sampai hati tak tunggu orang belakang, sebab orang belakang ni pun macam confuse betul ke diorang naik ikut jalan sini atau mungkin ada jalan lain yang lagi best untuk ke ladang teh. Cuba talifon berkali-kali tidak diangkat, atas motor mana nak perasan. Takpe, tunggu jer lagi sampai diorang return call.

Akhirnya dapat return call. Bukan dari Sungai Palas, tapi dari Kampung Raja dengan jalan nak ke Simpang Pulai nun. Bapak jauh… apekejadahnyer sampai kesana? Takde dalam plan pon?

Rupa-rupanya diorang yang sesat, terlajak, tak ingat jalan nak masuk Sungai Palas. Hai… sabar ajelah. Tunggu diorang dekat simpang. Lama jugak… dalam 20 minit jugaklah, akhirnya nampak kelibat. Walaupun sesat tapi diorang seronok, korner kat sana semuanya berbisa mantap-mantap katanya. 

Bila dah cukup korum, kami mula mendaki laluan sempit berbengkang-bengkok merentasi ladang-ladang teh saujana mana memandang menuju ke Sungai Palas Tea Centre untuk menikmati teh mai secawan sambil bersarapan, yang sememangnya menjadi objektif utama ekspedisi ini. Sempat singgah bergambar kenang-kenangan di tengah-tengah ladang teh yang subur menghijau lagi saujana mata memandang menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan.
sebelum menghirup secawan teh, kami menghirup udara dari ladang teh dahulu
wajah-wajah pekerja ladang teh yang mogok kerana tidak dibayar elaun dan pencen
1030: Bersarapan ala Inggeris sambil menghirup teh berkualiti tinggi merupakan pengalaman baru lagi unik buat kami. Lupakan nasi lemak atau roti canai atau mee goreng, disini yang kedapatan hanyalah pelbagai teh yang harus dijamu bersama roti, pastry dan bakeri. Walau pun hanya memesan secawan teh o, jangan terperanjat dengan harganya yang berkali-kali-kali ganda mahalnya jika dibandingkan dengan harga teh di daratan sana. Nama tehnya sahaja dah bermacam-macam. Senang cerita, bukan sekadar teh biasa, tapi teh berkualiti serta bergred tinggi. Bagi kitorang yang main belasah jer nih, rasa dia macam takde beza pun... tapi bagi penggemar teh, tahu lah nak beza. Lagi satu, anda bukan sahaja membayar harga untuk secawan teh, tapi pengalaman serta keindahan panorama dia tu yang priceless... membuatkan anda seolah-olah speechless.

suasana di dalam restoran. kelihatan En. Najmudin dan anak buahnya sedang berkawad untuk memesan teh
patutlah teh dia mahal... cover sahaja dah emas
set breakfast ini berharga lebih dari RM10.00
teknik memegang secawan teh dengan betul. apa yang penting, pernafasan haruslah dijaga supaya tiada bulu hidung yang terjatuh ke dalam cawan teh
Usai bersarapan, kami melawat kilang pemprosesan teh yang terletak bersebelahan dengan kawasan restoran. Disini kami melihat sendiri bagaimana daun-daun teh yang segar dari ladang dilunyai oleh mesin-mesin yang besar gedabak yang telah digunakan seawal pembukaan ladang teh ini, dari zaman orang putih dahulu hinggalah sekarang. Daun-daun teh ini kemudiannya diproses, dikering dan dibungkus ke dalam guni-guni yang besar untuk dibawa ke Kuala Lumpur bagi pembungkusan dan pengedaran ke seluruh negara. Selesai menjelajah ke segenap ceruk kilang, kami menuju ke motorsikal masing-masing untuk pulang ke apartment.

jejaka-jejaka ayu yang sempat berposing sebelum membuat lawatan sambil belajar ke dalam kilang teh. gambar ini dirakam menggunakan tangan seorang minah saleh.
1300: Masa untuk pulang. Sebelum turun, kami singgah sekali lagi di stesen Shell Ringlet untuk memenuhkan tangki minyak masing-masing. Berbeza dengan laluan pendakian, kali ini kami menggunakan jalan ke Tapah untuk turun dari puncak Cameron. 

kelihatan dua orang pelumba cubprix sedang memasuki selekoh ke 44
Keseronokkan meratah selekoh-selekoh tajam sepanjang penurunan agak terbantut dengan keadaan trek yang kurang memuaskan. Kami terpaksa memberikan fokus maksimum kerana terdapatnya jalan-jalan yang dihalangi oleh runtuhan tanah di beberapa tempat kesan daripada hujan sepanjang malam tadi. Terdapat juga kawasan-kawasan yang berpasir dan juga masih digenangi air. Begitu juga dengan kenderaan-kenderaan berat lain yang turut sama menuruni bukit menjadikan kedudukan kami agak terpisah antara satu sama lain.
jentera sedang membersihkan jalan yang dipenuhi dengan sisa tanah runtuh
Setelah turun, kami berhenti sebentar di sisi jalan ke Tapah, berhampiran dengan susur keluar ke lebuh raya bagi menunggu rakan-rakan agak ketinggalan di belakang.

Mengikut perancangan awal, laluan pulang sepatutnya menggunakan jalan lama Tapah – Bidor – Sungkai – Slim River – Tanjung Malim – Rawang supaya dapat melewati kawasan kampung dan bandar untuk menghilangkan rasa bosan. Walau bagaimanapun, demi masa yang sudah tersasar dari perancangan, dibimbangi malam pula baru sampai ke rumah nanti. Lantas kami mengambil keputusan untuk masuk ke lebuh raya bagi mempercepatkan perjalanan.

1415: Kami singgah di bandar Tapah untuk berehat, makan tengah hari serta mengerjakan solat. Selepas makan, masing-masing kelihatan agak keberatan untuk meneruskan perjalanan dengan cuaca yang panas, perut pula kenyang dah makan nasi dengan lauk yang macam-macam, mata pun rasa berat sahaja. Nikmatnya kalau dapat tidur seketika. Namun dengan semangat yang membara, terbayang pula anak bini dah kena tinggal lama, kami kuatkan semangat untuk terus menunggang menuju ke hadapan. 

Kami hanya sempat melalui jalan lama Tapah – Bidor – Sungkai sahaja sebelum keluar ke lebuh raya melalui Sungkai. Dah masuk lebuh raya, apalagi, pecutan semaksimum mungkin lah. Hanya berhenti seketika di R&R Ulu Bernam untuk berehat dan mengisi minyak.

Check point terakhir kami adalah R&R Jejantas Sungai Buloh. Sekadar berehat sambil menceritakan pengalaman sepanjang perjalanan sambil menikmati minuman A&W Root Beer Float untuk menghilangkan dahaga. Wah... nyaman sekali!

Dari sini kami akan berpisah yang mana En Aqeem & En Zamin akan susur keluar ke lebuh raya NKVE, manakala yang lain akan terus melalui Plaza Tol Jalan Duta. Setelah bersalam-salaman dan mengucapkan selamat tinggal, kami lantas bergerak pulang ke rumah masing-masing. Secara umumnya, kami selamat sampai ke rumah masing-masing dalam waktu maghrib.

Ternyata ekspedisi ini memberikan pengalaman baru buat kami, walau pun bukan pertama kali, tapi sebab sudah lama tidak beraksi.Sudah tentu kami tak boleh nak tinggal dunia permotoran ini  memandangkan inilah kenderaan kami hari-hari untuk keluar mencari rezeki. Walau kejang otot di bontot, kami puas kerana ekspedisi ini berjaya mencapai objektifnya. 

Akhir kalam, ucapan ribuan terima kasih di atas penglibatan rakan sekerja yang bersama-sama menjayakan ekspedisi kali ini. Kita harus berbangga kerana berjaya membuktikan bahawa jentera beroda dua yang kami miliki ini bukan sahaja boleh digunakan hari-hari untuk pergi dan balik kerja, malah kalau mahu, mampu membawa kami menjelajah ke seluruh pelusuk dunia. Cumanya kami ni kerja makan gaji, nak cuti lama-lama boss tak bagi. Cukuplah ekspedisi cuti dua hari sabtu dan ahad dahulu.

Walau pun hanya dengan kapcai, kami berbangga kerana ekspedisi ini berjaya mencapai objektifnya untuk menikmati secawan di teh di Cameron Highlands. Maka kerana itu lah kami namakan ekspedisi ini sebagai, "Cub Chai for a Cup of Tea".

Saksikanlah video pengembaraan kami yang sempat dirakam walau pun terasa bahaya sebab terpaksa pegang handle sebelah tangan.




IKLAN: Kami menyediakan perkhidmatan fotografi, dengan pengkhususan kepada majlis perkahwinan, keraian, hari jadi, aqiqah dan majlis-majlis rasmi, sesuai dengan kemampuan dan keperluan anda. Harga boleh bincang maaaa.... Sila hubungi kami di sini.