KORBAN RAYA

Secara jujurnya, aidiladha di kampung saya tidaklah semeriah yang disangka oleh sesetengah penduduk di negeri-negeri atas angin sana. Saya juga merasa hairan mengapa mereka selalu membayangkan aidiladha di Terengganu lebih meriah berbanding sambutan aidilfitri. Mungkin mereka merujuk kepada negeri jiran saya iaitu Kelantan, tapi saya tidak berani memberi jaminan betapa meriahnya sambutan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu memandangkan saya belum pernah menyambut  aidiladha di sana.


Ironinya, sambutan aidilfitri di tanah kelahiran saya sentiasa lebih meriah berbanding aidiladha. Walau pun takbir hari raya aidiladha yang berkumandang dari corong masjid berhampiran rumah saya di kampung bersiaran lebih lama berbanding aidilfitri yang hanya bersahutan dari malam raya hinggalah ke waktu sebelum solat sunat pada keesokkan harinya, namun elemen-elemen kemeriahan aidilfitri itu masih tidak terdapat dalam aidiladha secara keseluruhannya.


Antara faktor-faktor utama yang menyebabkan aidiladha tidak semeriah aidilfitri, tidak seperti yang disangkakan orang itu adalah:

Balik kampung: keghairahan untuk pulang ke kampung agak berkurang berbanding aidilfitri. Malah ada sesetengah perantau merasakan bahawa balik kampung sewaktu aidiladha ibarat satu perbuatan “sunat” sahaja berbanding hukum balik kampung sewaktu aidilfitri yang “wajib”. Maka tak balik pun tak apa. Dalam keadaan "tak balik pun tak apa" itu, saya beberapa kali terperangkap dalam kesesakkan lebuh raya yang teruk di laluan KL - Karak.

Ziarah: saya sudah lupa bila kali terakhir saya melihat amalan ziarah-menziarahi berlaku pada sambutan aidiladha. Berbanding aidilfitri, sememangnya tak menang tangan menghadiri majlis rumah terbuka. Kadang-kadang sehingga terlajak ke bulan Zulkaedah, masih ada yang menganjurkan rumah terbuka aidilfitri.

Maaf: sukar untuk melihat amalan maaf-bermaafan berlaku di aidiladha, berbanding aidilfitri yang semestinya menjadi satu acara wajib. Ibarat tak lengkap beraya kalau tak minta maaf, sehingga terkeluar ungkapan, maaf zahir dan batin. Aidiladha takde kan?

Duit raya: saya sendiri sudah sangat lama tidak memberi dan menerima duit raya sewaktu aidiladha, seingat saya dulu ketika zaman kanak-kanak pernah juga terima duit raya aidiladha dari pakcik dan makcik yang tidak pulang beraya ketika aidilfitri. Sekarang pakcik dan makcik pun sudah veteran. Nenek sudah tiada lagi. Maka tidaklah mereka pulang ke kampung lagi. Berbanding aidilfitri, kalau tidak diberi duit raya, dipandang serong oleh kanak-kanaklah jawabnya.

Kuih raya: mana ada manusia yang sanggup bersengkang mata membuat kuih raya untuk aidiladha, apatah lagi menjalankan perniagaan kuih raya. Berbanding aidilfitri bersepah-sepah orang jual kuih raya. Tak perlu pergi jauh, dalam ofis mesti ada punya.

Lagu raya: tiada kedengaran stesen radio tempatan, terutama sekali Terengganu.FM memutarkan lagu raya. Yang membezakan aidiladha dengan hari-hari biasa adalah ucapan hari raya dari pemanggil setia serta takbir hari raya bermula dari 10 Zulhijjah hinggalah ke hari-hari tasyriq.

Mercun: memang terdapat letupan mercun berkumandang memecah suasana malam aidiladha, namun iramamya tidaklah semerdu aidilfitri yang tak ubah macam medan perang. Berita saintis muda yang mendapatkan rawatan di hospital akibat kecederaan jari juga tiada di paparan akhbar. Kadang-kadang saya musykil di mana mereka mendapat bekalan mercun ketika aidiladha ini. Stok tak habis aidilfitri dahulu barangkali.

Baju raya: walau pun indah lengkap bersamping di pagi aidiladha, rata-rata itu adalah baju yang sudah dirasmi sewaktu aidilfitri dahulu. Selepas dibasuh, baju tersebut duduk diam dalam almari sementara menunggu datangnya aidiladha. Sesudah aidiladha, barulah dipakai dengan kadar yang lebih kerap, sekurang-kurangnya ketika menghadiri majlis keagamaan anjuran komuniti. Tak pernah pula mendengar ada orang menempah atau membeli baju baru semata-mata untuk menyambut aidiladha. Mungkin ada, tapi bilangannya tidaklah sebesar mana. Yang berbaju melayu serta berkain pelekat sahaja pun ramai juga. Tak perlu pakaian formal.

Membeli-belah: tiada jualan runtuh untuk menghasut masyarakat menghabiskan wang ringgit membeli-belah sempena aidiladha. Cuba kalau aidilfitri. Tak cukup dengan shopping complex yang sedia ada, siap bukak bazar sementara lagi.

Ops sikap: menjelang aidilfitri, anggota polis trafik biasanya merupakan antara golongan yang malang kerana cuti hari raya mereka pasti dibekukan demi menghalang pesalah lalu lintas dari bermaharajalela. Rentetan daripada itu, media cetak dan elektronik saban hari menyiarkan statistik mangsa kemalangan jalan raya yang saban tahun ada sahaja peningkatannya. Menjelang aidiladha tidak kelihatan pula polis trafik terpacak di bawah jejantas di lebuh raya. Maka tiada sesiapa yang cutinya terpaksa dibekukan. Media cetak dan elektronik sepi tanpa apa-apa statistik kemalangan jalan raya.


Walau pun begitu, istilah “lebih meriah” yang selalu difikirkan orang di Lembah Klang itu saya kira masih relevan. Mungkin kerana cuti umum untuk perayaan aidiladha di sebilangan negeri seperti Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu adalah sama seperti cuti umum aidilfitri iaitu dua hari. Maka sewajarnya aidiladha di sambut semeriah aidilfitri.

Saya kira tempoh cuti yang lebih panjang ini adalah bersesuaian untuk memberi lebih masa kepada umat Islam menjalankan ibadah korban. Biasanya masjid-masjid besar dengan kedudukan kewangan yang kukuh mengorbankan binatang ternakan dalam satu jumlah yang besar. Dengan jumlah sukarelawan korban yang terhad, jika dibuat dalam masa dua hari sudah tentu tidak penat bukan?


Kemeriahan aidiladha itu diteruskan dengan juadah di hari raya ini tetap istimewa setanding dengan aidilfitri. Masih ada ketupat rendang, nasi dagang dan nasi himpit, laksa atau lontong.


Masih ada letupan mercun dan percikan bunga api, walau pun nadanya tidaklah semeriah aldilfitri.


Masih ramai yang sudi balik kampung untuk berjumpa sanak saudara.


Maka seharusnya tidak menjadi kepelikkan seandainya aidiladha disambung lebih meriah berbanding aidilfitri.


Berbeza dengan suasana di Lembah Klang atau negeri-negeri bersekutu yang lain, cuti aidiladha hanyalah sehari. Kalau tidak kerana solat sunat aidiladha dan ibadah korban, mungkin hari raya aidiladha seperti cuti umum biasa sahaja.

 

 
 

Malah dari segi agama, kebesaran aidiladha itu sepatutnya setanding dengan aidilfitri.

Malah dari segi ibadah, kelihatan aidiladha lebih mantap berbanding aidilfitri.

Fadilat aidilfitri itu sebenarnya terkandung di dalam bulan Ramadhan dan bukan pada hari raya itu. Takbir raya dan zakat fitrah juga hanya boleh dilaksanakan sebelum solat sunat aidilfitri sahaja. Amalan-amalan lain hanyalah lebih kepada amalan sunat serta adat budaya orang melayu sahaja.

Di dalam aidiladha terkandung pelbagai ibadah yang diberi ganjaran besar oleh Allah SWT bagi mereka yang mengamalkannya dengan niat yangtulus ikhlas.

Terkandung padanya ibadah haji yang wajib dilaksanakan bagi menyempurnakan rukun Islam yang kelima. Di dalam ibadah haji itu pula terkandung pelbagai lagi sub-ibadah yang perlu disempurnakan untuk mendapat haji mabrur.

Terkandung padanya ibadah korban yang boleh disempurnakan pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Terkandung padanya takbir hari raya juga boleh dilaungkan lebih lama seperti tarikh-tarikh yang disebutkan tadi.

Terkandung padanya ibadah korban bagi mencari keredhaan Allah SWT serta memperingati peristiwa yang berlaku ke atas Nabi Allah Ibrahim dan anaknya Nabi Allah Ismail.
 
Semoga negeri-negeri lain turut menyambut aidiladha lebih meriah berbanding aidilfitri.

No comments: