JOHOR PREMIUM OUTLETS



Dulu, bila orang cerita pasal JPO, mulut kita pon jadi macam huruf ‘O’… bulat jer melopong tanda tak faham apa ada dengan JPO.

Bila orang cerita lagi, JPO ni shopping complex, mulut kita tetap jadi huruf ‘O’… kali ni advance sikit dengan kadar 4 harkat sebab ada bunyi "Oooooowwwhhhh!".

Takat shopping complex jer, kat KL nie bersepah shopping complex! Lagi hebat dari Johor rasanya. Ada yang duduknya bawah menara berkembar tertinggi di dunia. Ada yang rupa macam pyramid siap dengan sphinx dah macam ghope kat padang faasirun rasanya. Ada yang dalam dia ada tasik dengan kapal belayar pon ada. So what’s so special about JPO?

Well, uniknya JPO ni, di sinilah tempatnya lokasi pertemuan lebih 80 butik-butik terkenal dengan produk berkualiti tinggi yang dikategorikan sebagai “designer brand”.


Designer brand? WTF???

Sebut jer macam dah kagum, kan? Belum pakai lagi barang2 diorang neh. Cerita pasal designer brand ni, of cozlah semua barang2 dia branded cik kak oiii! Dan harganya? Fuiyooo… ngeri jugak bagi rakyat kebanyakkan seperti patik ni. Tapi orang dok kata barang kat JPO murah! Murah tang mana tu?

Murah jugaklah beberapa persen jika dibandingkan dengan butik seumpamanya yang terletak di gedung beli belah ternama. Diorang kata, harga kat sini murah dalam 25% ke 65% berbanding dengan harga biasa. Nak murah lagi? Hmmm... cuba kau pergi cari dekat uptown ke… pasar malam ke… petaling street ke, memang murah giler beb. Ambik yang ada tulisan designer brand tu besar-besar. Baru orang nampak beb. Lepas tu ko cakaplah ko beli kat JPO.


Tak dinafikan memang ada golongan yang suka bila orang belek barang dia, lepas tu puji melangit cakap cantiklah, mahallah, eksklusif lah. Kaya kau! Mampu pakai barang2 branded macam ni! Dah kena puji tu mulalah nak riak tu! Harommmm!!

Tapi ada jugak golongan, at least macam diri aku yang beli designer brand ni bukan sebab nak suruh orang kagum sangat dengan barang yang dibeli. Aku beli sebab kualiti. Nak pakai lama. Nak rasa selesa. Kalau aku beli mahal2 pon, bukannya orang caye. Mesti ingat P.S mari. Adalah lebih baik, lepas beli aku diam2 sudah. Beli untuk pakai dan kepuasan sendiri.


Dah kata designer brand yang berkualiti lagi ori, tapi kenapa barang kat sini ada kurang dia punya harga?

Ekceli barang2 kat sini memang ada gaya, mutu, keunggulan. Cuma dia agak outdated sedikit. Outdated disini maksudnya barang-barang ni bukanlah barang second-hand atau barang recond. Jauh sekali brang bundle. Baru tetap baru. Lazimnya, dalam masa tertentu, designer brand ni akan keluar dengan koleksi terbaharu. Contohnya, bila tiba musim panas, diaorang pun buat produk baru yang sesuai dengan tema “summer collection”. Jadi, summer collection yang tahun lepas punya atau tahun tahun sebelum tu yang tak abis jual neh nak campak kat mana? Rugi beb nak buang gitu jer. Barang baek tuuuu… dulu paling kuat pon mungkin pengedar akan buat warehouse sale. Tapi warehouse sale ni temporary jer. Buat seminggu pon, barang tetap tak habis jual.


Menyedari akan kegilaan dan kemampuan masyarakat dunia untuk menghabiskan wang dengan membeli belah, maka dari situ timbullah idea sebuah syarikat kapitalis yang berpengkalan di Amerika Syarikat yang bernama Simon Property Group selaku pemegang konsesi merangkap tuan punya kompleks membeli belah berjenama “Premium Outlet” untuk menubuhkan kompleks membeli belah yang boleh menempatkan barang2 designer brand yang sudah outdated neh.

Itulah objektif shopping mall bertaraf premium outlet neh. Nak jual barang branded yang sudah outdated. Maka jenama "Premium Outlet" pun didaftarkan dan menjadi hak eksklusif Simon Property Group. So, korang takleh lar suka2 nak guna nama Premium Outlet letak kat nama kedai ke, premis perniagaan ke. boleh kena saman tau!


Dalam dunia ni, di beberapa negara, rupanya dah banyak premium outlet yang diusahakan oleh Simon dan kuncu-kuncunya. Di Amerika Syarikat sahaja sudah ada 64 buah premium outlet neh, padahal negeri kat US Cuma ada 50 jer. Mananya ada beberapa negeri yang ada lebih dari satu premium outlet. Tapi ada jugak negeri langsung takde.  Bayangkan, di California sahaja dah ada 11 bijik kompleks premium outlets! Nasib baik I tak duduk California. Rambang mata weh!

Selain dari US, Simon turut membina dan menguruskan kompleks premium outlets, sembilan di Jepun, dua di Korea, dan satu di Puerto Rico, Mexico dan Malaysia. And the number keeps growing. Latest yang nak bukak lepas ni ialah di Toronto, Kanada.


Di Malaysia, kompleks premium outlets dibangunkan atas usahama antara Simon Group dengan Genting Group. It’s part of a 7,000 acres integrated township project in the southern state of Johor.

Laaa… Genting pon ada share rupanya. Tak shariah compliance la nie? Kuikuikui!

Cerita pasal usahasama antara Simon dan Genting ni, maka tertubuhlah sebuah syarikat baharu yang dinamakan sebagai Genting Simon Sdn Bhd (GSSB) dengan kepentingan sebanyak 50:50 antara Genting Plantations Bhd dengan Premium Outlets.

Tapi, kenapa Genting? Kenapa di Johor? Kenapa bukan syarikat konglomerat lain? Kenapa tidak di negeri lain?

Ini tanggapan saya, betul atau salah wallahu’aklam. Serkap jarang dan fikir logik sahaja. Kalau salah, ampunkan patik, tuanku!

Agaknya begini... Ideanya datang dari kerajaan negeri Johor untuk membangunkan satu kawasan di selatan tanah air bagi menjadikannya satu wilayah serba moden yang dinamakan sebagai Iskandar Malaysia. Ini macam nak lawan Putrajaya je neh? Takpe... persaingan yang sihat. Bagus!

Untuk merealisasikan impian itu, maka macam-macam projeklah diorang kena buat. Kulaijaya dan Nusajaya  sahaja, pengisiannya sudah melibatkan projek berbilion ringgit. Ini termasuklah pembinaan taman tema Legoland, Puteri Harbour serta pusat pentadbiran kerajaan negeri yang serba moden dan canggih. Begitu juga dengan kawasan penempatan dan perumahan yang moden, lengkap dengan kemudahan serba mewah, semuanya untuk orang kaya dan berduit. Orang tak berduit, sila merempat di bumi sendiri. Harus diingat, di Malaysia tiada polisi yang boleh menghalang warga asing untuk memiliki hartanah di Malaysia. Pokoknya wang! Ada duit, boleh dapat tanah di sini.

Atas permintaan, maka datanglah pelabur2 luar membuat penawaran untuk membangunkan kawasan tersebut. Buatlah apa benda pon, asalkan nampak hebat, canggih dan penuh duniawi.

Alamak! Dalam kawasan ni banyak ladang sawit lah pulak! Check tengok ladang sawit tu sape punya?

Owh... Genting Plantation yang punya! Ok, bagitahu Genting, kita nak bangunkan kawasan tu. Kita nak tukar ladang sawit kita jadi bandar. Tanam sawit tak bagus. Tak moden, tak canggih. Suram jer. Tak ceria langsung!

Kita buat shopping complex. Shopping complex kena ada. Kalau takde, tak berseri lah kawasan perbandaran tu. Tapi nak buat shopping complex macamane ek? Kalau buat shopping complex biasa, sape nak datang tempat jin bertendang keliling semua ladang sawit tu? Dah ler jauh dari penempatan orang.

Ok... kita buat something yang takde di Malaysia. Maybe ada somebody dalam ahli majlis mesyuarat tu pernah pergi premium outlets somewhere dekat oversea sana. So, apakata kalau kita bawak masuk premium outlets tu ke Malaysia. Menarik! Lain daripada lain. Jangan kata kat Malaysia, kat Asia Tenggara pun takde lagi. Buat kajian, buat research. Genting, you ada tanah. I nak you kawtim sama itu premium outlet punya management, kita bikin satu shopping complex sini kat Johor.

Agaknyer macam tu lah senarionyer yer!


Bagi Genting, JPO bukan sekadar kompleks beli belah. Ia turut dijadikan hab persinggahan untuk pengembara dari Malaysia yang menuju ke Resorts World Sentosa Singapura, atau pengembara dari Singapura yang menuju ke Resorts World Genting Pahang. Singgah dulu shopping. Orang kaya nak pergi kasino, duit banyak, kan? Dengan jaringan lebuhraya yang baik, ditambah lokasinya yang begitu hampir dengan lebuhraya PLUS, ini adalah satu strategi perniagaan yang amat baik dengan mengambil peluang dan risiko yang ada.


Tanggal 5 Ogos 2010, upacara pecah tanah telah selamat dilakukan oleh Menteri Besar Johor ketika itu, Dato’ Haji Abdul Ghani bin Othman.  Dengan keluasan sebanyak 175,000 kaki persegi, dan kos pembinaan kira-kira RM149 juta, akhirnya pada 11 Disember 2011, JPO yang menempatkan kira-kira 80 designer brand outlet telah dibuka secara rasmi. Bukan hanya butik berjenama terkenal, malah ia turut menempatkan bank dengan kemudahan untuk menukar matawang utama (nak tackle pelancong Singaporelah ni) serta lengkap dengan kemudahan medan selera dengan menu yang enak dan lazat dan taman permainan kanak-kanak untuk menempatkan kanak2 yang boring kena ikut mak bapak shopping lama sangat. Kompleks ini beroperasi setiap hari dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Nak parking pun senang. Bas rombongan pon boleh masuk takde hal lah!


Jadi tunggu apa lagi? Kini ada cara yang lebih mudah lagi menjimatkan untuk mendapatkan barang branded berkualiti tinggi. Pergilah melancong!