DARI KOLUMPO KE PULAI

Maka gegak gempitalah seluruh warga pendaki eksplorasi outdoor seluruh Malaya apabila dikhabarkan bahawa Gunung Pulai bakal runtuh demi mengembungkan poket-poket manusia yang terlibat dalam projek kuari.


Amatlah rugi andainya Gunung Pulai rebah menyembah bumi. Kami 38 rakan sekerja dari sebuah syarikat yang sama membantah sekeras-kerasnya usaha tangan-tangan pengkhianat alam sekitar yang tergamak memusnahkan ekosistem negara.


Ekspedisi pendakian ke puncak Gunung Pulai adalah ekspresi solidariti kami bagi demi melestarikan bumi Tuhan bagi menghalang Gunung Pulai menjadi sebahagian daripada sejarah duka, khasnya  buat penduduk daerah Baling dan buat seluruh pencinta alam sekitar amnya.


Perjalanan kami bermula dari Kuala Lumpur pada jam 10.30 malam, menaiki sebuah bas disewa khas, menuju ke pekan Baling, Kedah Darul Aman. Perjalanan yang free and easy kerana dijangkakan kami akan tiba awal. Jadi tiada apa yang perlu dirushingkan.


Agenda pertama kali sebaik sahaja tiba di sebuah perkampungan di Baling adalah dengan menjadikan sebuah warung masakan ala Thai sebagai persinggahan untuk menikmati sarapan dan singgah membuang air. Pada jam 4.30pagi, tidak banyak pilihan boleh dibuat. Mana nak cari kedai tomyam bukak jam 4.30pagi kat kawasan kampung yang tak berapa ramai penduduk nih? Mujurlah pihak penganjur sudah membuat tempahan awal bagi menyambut kehadiran kami. Jika tidak, saya fikir tiada orang sanggup buka kedai nak meniaga pada waktu yang sama macam orang nak bersahur nih, apatah lagi dalam kawasan kampung. Kalau di bandar kedai 24jam sudah biasa. Syukurlah dapat makan nasi goreng bagi mengalas perut sebelum meneruskan pendakian.


Selesai bab makan, toilet dan sebagainya, sementelah waktu Subuh pun dah dekat, maka afdhal bagi kami mencari redha Ilahi, serta menunaikan solat Subuh dua rakaat lillahi taala dan mencari kemudahan tandas yang lebih selesa, bersih dan sesuai jika dibandingkan dengan toilet di kedai makan tadi.

Naik bas, tak sampai lima minit, tiba lah kami di sebuah masjid yang tersergam indah. Masjid Tok Bandar nama diberi. Alhamdulillah, Allah bagi rezeki untuk berjemaah dengan penduduk tempatan.


Selesai solat, urusan di toilet dan sebagainya, kena naik bas lagi untuk menuju ke starting point. Mula2 duk bayangkan tempat tu macam taman hutan lipur ke, yang ada signboard tulis selamat datang. Rupanya tepi jalan je... depan sekolah... Sekolah Kebangsaan Pulai. Seminit je dari masjid tadi. Maka turunlah kami beramai-ramai dari bas lalu berkumpul di depan pintu pagar masuk sekolah. Waktu telah menunjukkan jam 7 pagi. Alam masih gelap, matahari masih belum muncul secara keseluruhannya.


Kami membina satu bulatan manusia yang besar bagi sesi memperkenalkan guide yang akan membantu dan memastikan keselamatan kami sepanjang naik dan turun pendakian. Tiga orang guide diperuntukkan untuk mengawasi kami seramai 38 orang. Sesi penerangan terakhir juga dilangsungkan pada awal pagi itu. Sebagai penutup, sedikit aktiviti regangan dilaksanakan sebagai pemanas badan.

Dari lokasi di hadapan sekolah itu, kami hanya berjalan kaki menuju ke kaki gunung yang letaknya lebih 800meter, melalui kawasan kampung yang penuh dengan pohon buah-buahan yang masak ranum sementelah ini musim buah-buahan tempatan. Jalan tar, kecil dan sempit hanya muat sebuah kereta melaluinya. Maka itu, bas terpaksa ditinggalkan di belakang. Kalau jalan tu cantik, harus dihantar hingga ke kaki gunung barangkali.


Dari kejauhan ini, kelihatan sudah Gunung Pulai tersergam indah bagai menggamit kehadiran kami.


Dari tar yang rata, hingga menemukan jalan mati, kemudiannya merentasi Sungai Ketil menggunakan jambatan gantung yang kelihatannya sudah usang, namun berdasarkan pemerhatian, masih mampu menampung beban sebuah motorsikal yang melaluinya.



Memasuki pula kawasan kebun getah, hingga ke perkuburan Islam yang kelihatannya sudah lama ditinggalkan, barulah sampai di kaki Gunung Pulai.



Mendongak ke atas kelihatan betapa curamnya permukaan Gunung Pulai. Sudut elevasi yang besar pada trigonometri gunung ini memberi isyarat bahawa lebih 90% trek pacak. Jarang bertemu dengan trek landai.


Sudahlah pacak, keras berbatu pulak tu. Batu tajam, jenis macam batu kapur. Batu ini mempunyai nilai komersil yang tinggi sehingga menjadi buruan pengusaha kuari untuk meratah ia keluar dari perut bumi.


Penggunaan hiking stick, atau dalam bahasa mudahnya ialah tongkat, tidak diperlukan disini memandangkan permukaannya yang berbatu dan tajam. Memadai dengan kudrat kaki dan tangan untuk memaut dan melonjak bagi berada dalam kedudukan yang lebih tinggi. Istilah 'lutut kat dada' atau dalam versi yang lebih ekstrem 'lutut dan dagu' akhirnya menjadi kenyataan di sini. Tali adalah kat 2,3 tempat. Tak banyak.


Betapa hardcorenya trek, tidak sampai 15 minit pendakian, dua orang muslimat mental sudah koyak  atas dasar kemampuan diri yang terhad untuk terus memaut dan melonjak, mungkin disebabkan berat badan dan faktor usia.

Selebihnya 36 orang terus berjuang bagi merealisasikan impian untuk menawan puncak Gunung Pulai. Ada yang laju, ada yang sederhana, ada yang perlahan. Ikut pace masing2, tiada paksaan. Hanya kata2 semangat dan motivasi terus dilontarkan bagi memberi inspirasi kepada mereka yang terasa pewai dalam diri.



Cuaca yang panas umpama bonus dalam pendakian ini. Bekalan air yang harus dibawa sekurang-kurangnya tiga liter seorang diteguk dengan rakus setiap kali dahaga mendatang. Atas faktor kepanasan ini lah, pendaki lain biasanya memulakan pendakian seawal pagi, sebelum subuh bagi mendapatkan cuaca yang lebih sejuk dan segar, dengan harapan untuk melihat sinar terbitnya matahari dari puncak gunung sebagai upah. Berbaloi, tapi kenalah mula awal pagi. Kami tak boleh lah. Datang dari jauh. Banyak limitation. Kalau nak tengok sunrise patut bermalam dahulu sebelum pendakian. Nak naik hari Ahad pun lagi letih sebab rushing nak balik KL. Esok dah Isnin, nak kerja. Join trip kampeni ni tak boleh jalan lama. Ikut piawaian, kena 2 hari 1 malam.


Tiga liter tu pun ada yang tak cukup masa on the way turun air dah habis. Disini terpancarnya semangat setiakawan, ukhuwah dipereratkan. Pada ada air, hulurkan bantuan ringankan beban kawan yang takde air. Bukan hanya air. Bekalan makanan dibawa, buah-buahan, coklat, biskut, jajan, dibawa untuk dikongsi. That's the beauty of hiking.






Semakin lama mendaki, semakin jauh graviti kami dari muka bumi. Setelah menghabiskan masa selama tiga jam berpenat lelah, berpanas berpeluh satu badan, akhirnya kami berjaya menawan puncak Gunung Pulai tanpa menghiraukan cahaya matahari membakar setiap sudut yang terdedah pada anggota badan kami. Lantak lah hitam kena sunburn. Janji puas hati. Penat is awesome.


Tengah hari macam ni memanglah panas. Tiada tempat untuk berlindung dari terkena sinaran matahari dengan ketiadaan pepohon nan rendang sewaktu berada di puncak tertinggi. Mujurlah pemandangan yang menakjubkan, merentasi kejauhan puluhan kilometer begitu mengasyikkan hingga terlupa matahari terasa begitu hampir di kepala.


Berada pada ketinggian 620meter dari paras laut, tidaklah terlalu tinggi jika dibandingkan dengan gunung2 lain yang ada di Malaysia. Walau pun begitu, cabaran mendaki dinding berbatu memberikan tahap kesukaran yang tidak semua berkemampuan untuk mengharunginya. Tahniah kepada semua pendaki yang telah berjaya menawan puncak Gunung Pulai.



Kami lepak tidak lama. Cukup sekadar bergambar dan berehat seketika. Perjalanan harus diteruskan. Mendaki adalah satu pilihan, tapi menurun adalah kemestian. Cuaca semakin panas membahang. Air minuman semakin kehabisan. What goes up must come down.


Masih lagi menggunakan trek yang sama, cabaran menurun tidak kurang juga hebatnya. Ketelitian mengatur langkah dan kemahiran kaki dan tangan menjadi aspek penting demi memastikan keselamatan dan mengurangkan impak kecederaan. Nak laju pun tak boleh. Semuanya harus dilakukan dengan penuh hati2. Kerana itu tidak banyak beza masa antara menaik dan menurun.



Akhirnya setelah tujuh jam bertarung naik dan turun, kami tiba di kaki gunung dengan selamatnya.

Dalam kepenatan dan kehausan, perkara pertama yang harus dilakukan adalah mencari air yang sejuk, yang manis2 untuk menghilangkan dahaga. Mujurlah tidak jauh dari kaki gunung itu, ada sebuah rumah yang juga beroperasi sebagai kedai runcit. Nikmatnya terasa apabila sebotol air Coke dingin membasahi kerongkong. Sebotol tidak mencukupi. Tambah lagi air sirap dan air jagung.