THE ENCHANTED SILIPAT

Ini adalah kisah percutian kami sekeluarga bersama rakan sekerja dan teman sependakian ke Gunung Silipat serta pekan Betong di selatan Thailand.


Wow! Hebatnya kamu. Mendaki hingga ke luar negara.

Tidaklah. Jangan fikir apa yang ada diluar negara hebat belaka. Di Malaysia juga banyak gunung yang hebat. Malah jangan dilupakan puncak tertinggi Asia Tenggara masih terletak di Malaysia.

Kami ke Thailand sahaja. Lebih tepat, bahagian selatan, ke sebuah daerah yang bersempadanan dengan Malaysia. Maka dari segi iklim, suhu, persekitaran, malah rakyatnya juga salin tak tumpah seperti berada di tanah air sendiri. Yang berbeza cuma bahasa. Walau pun mereka berbangsa Thai, mereka masih mampu bertutur dalam bahasa Melayu dialek Kelantan, atau setidak-tidaknya memahami apa yang dituturkan oleh bangsa Melayu. Saya fikir faktor kejiranan dengan Malaysia menyebabkan komunikasi bukan satu masalah besar disini. Atau mungkin bahasa Melayu yang pernah dinobatkan sebagai lingua franca suatu ketika dahulu masih terkesan hingga ke hari ini, apatah lagi wilayah Selatan Thailand seperti Yala, Narathiwat, Songkhla, Betong dan Pattani pernah menjadi sebahagian daripada Tanah Melayu sebelum British mengubah sejarah persempadanan melalui Perjanjian Bangkok 1909.


Jika keadaan aman tiada konflik di wilayah selatan, usah gentar untuk melangkaui sempadan. Peluang untuk mendaki sebuah 'gunung' di luar negara tanpa perlu banyak kudrat, bawa beg ringan sahaja tak penat, khemah dan makanan sudah tersiap, tempoh pendakian juga singkat, sila lah berkunjung ke Gunung Silipat.


Program yang dianjurkan oleh Gunung Hub selaku ejen pelancongan berkonsepkan outdoor yang bertauliah serta mendapat akreditasi daripada pihak Tourism Malaysia, sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan profesional kepada pelanggannya, selaras dengan misinya untuk memajukan industri pelancongan outdoor bagi mempromosikan gaya hidup sihat dan cergas khususnya untuk rakyat Malaysia.


Pendaftaran dilaksanakan lebih awal bagi menempah slot yang terhad, disusuli dengan bayaran. Passport diperlukan untuk menyeberangi sempadan. Tidak dilupa tukaran wang Bath bergantung kepada keperluan. Tak perlu banyak pun memandangkan sebahagian besar perbelanjaan sudah termasuk dalam pakej yang ditawarkan. Andai terasa ingin berbelanja besar sewaktu bersiar di pekan Betong, maka lebih banyak bath diperlukan. Andai sekadar mahu fokus kepada hiking, beli minuman, makan pizza, makan pulut mangga, beli sim kad Thailand, tukar RM100 pun cukup. 

Semua sudah siap sedia? Ayuh kita mulakan perjalanan.

Hari itu hari Jumaat, jam 11.30 malam, sebuah bas persiaran disewa khas berlepas dari ibu pejabat Gunung Hub dalam daerah Kajang, memulakan perjalanan ditemani dengan tiga orang kru bertugas yang bertindak sebagai pemandu pelancong. Singgah sebentar di Terminal Bersepadu Selatan bagi menjemput beberapa orang peserta yang menanti di sana sebelum meneruskan perjalanan ke utara tanah air melalui lebuh raya PLUS. Rehat dan rawat seketika di Hentian Rehat RTC Gopeng. 

Awal pagi Sabtu, kami tiba di Masjid Jamek Pekan Gerik. Sebuah masjid yang besar dan selesa, lengkap dengan bilik mandi dan tandas yang bersih, sesuai untuk bersiram dan menyucikan diri sebelum menunaikan kewajiban kepada Ilahi. Alhamdulillah, sempat berjemaah dengan penduduk tempatan.

Kami transit agak lama disitu, maka banyak masa untuk mempersiapkan diri, sementara menunggu warung yang berada berhampiran masjid memulakan operasi, bagi kami menikmati sarapan pagi, menggunakan wang dari poket sendiri. Sarapan hari ini tidak termasuk dalam pakej pelancongan kami. Bersarapan di warung dalam Pekan Gerik iini tidaklah membebankan, harga berpatutan, perut pun kenyang, hati riang.

Usai bersarapan, perjalanan diteruskan ke sempadan, melalui Pengkalan Hulu, Perak. Bas di berhentikan dan kami semua turun. Passport kami diperiksa. Bagasi diimbas bagi mengesan andai wujud unsur penyeludupan. Tiada masalah.

Selang beberapa puluh meter kemudian, kami tiba di sempadan negara Thailand. Sekali lagi kami terpaksa melalui proses yang sama. Turun bas dan pemeriksaan passport. Tiada masalah juga di sempadan Thailand. Maka dengan ini diisytiharkan secara rasminya, kami kini bergelar pelancong yang sedang melancong di luar negara. #poyo


Berada di Thailand, walau pun jaraknya hanya beberapa meter sahaja dari sempadan, putaran jam harus diundurkan satu jam untuk diseragamkan dengan GMT tempatan. 

Di sempadan ini, kehadiran kami disambut oleh dua orang kru warga Thailand yang juga merupakan proksi kepada Gunung Hub. Tiada masalah komunikasi memandangkan mereka fasih berbahasa Melayu dan beragama Islam, malah kehadiran mereka memudahkan perjalanan kami disebabkan kemahiran mereka yang lebih arif dengan situasi semasa serta interaksi dengan penduduk tempatan. Bermula dari sempadan ini, peranan sebagai ketua rombongan menjadi tanggungjawab mereka. 

Kami diberi layanan selayaknya sebagai pelancong. Asal ada tempat menarik untuk bergambar kenangan, pemandu bas tiada masalah untuk berhenti atas nasihat ketua rombongan. 



Destinasi kami pada waktu tengah hari ini adalah menuju ke sebuah perkampungan yang terletak di Iyerweng, dalam daerah Betong, dalam wilayah Yala. Kita lupakan sisi gelap Betong yang sememangnya popular bagi sesetengah rakyat Malaysia yang sanggup menyeberangi sempadan untuk mendapatkan hiburan malam. Pada hari pertama ini, kami hanya singgah seketika di bandar Betong untuk mendapatkan sim kad telco tempatan bagi mendapatkan kemudahan akses internet, serta membeli sedikit minuman dan makanan ringan dari kedai serbaneka berhampiran. Untuk penggunaan tanpa was-was, pastikan produk tersebut mempunyai label halal dari Majlis Keislaman Thailand yang sememangnya diiktiraf oleh JAKIM. Walau pun maklumat produk dan kandungannya dicetak dalam bahasa Thai, namun kebanyakkan produk yang dijual mempunyai label tersebut. Usah bimbang dan jadilah pengguna yang bijak. 

Selesai meleburkan duit di toko berkenaan, rombongan meneruskan perjalanan. Sebagai pelancong, seharusnya kami dibawa ke tempat-tempat menarik yang ada di persekitaran. Kali ini, kami dibawa berjalan santai-santai ke kolam air panas - Betong Hot Spring. 


Cuaca panas tengah hari rembang, kegilaan apakah nak mandi air panas pula. Memadai dengan celup-celup kaki sahaja.



Masuknya waktu tengah hari memang masa mencari santapan. Kami dibawa ke sebuah kedai makan, letaknya dalam kawasan perkampungan, bagi menikmati kelazatan menu tempatan, dipanggil orang mee tempayan.

Hidangan 'rare' pada kami orang pendatang. 


Hidangan yang lazat dan berkhasiat ini didatangkan dengan pelbagai jenis mee sebagai pilihan, atau lebih enak serba sedikit dicampurkan. Dihidangkan bersama kerepek dan sedikit ulaman, bersama kuah sup berintikan bebola daging, ayam dan ikan berserta sayuran. Kerana sup itu diletakkan dalam tempayan, kerana itu kami panggil mi tempayan. Mungkin ada nama lain yang lebih tepat di kalangan warga tempatan. 

Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati. Santapan tengah hari termasuk dalam pakej lawatan. Maka kami tidak perlu membuat pembayaran. Mari kita beramai-ramai bergambar depan kedai.


Dasar pelancong. Sikit-sikit nak bergambar.

Perjalanan seterusnya menuju ke sebuah perkampungan di Iyerweng, lokasinya di kaki Gunung Silipat. Demi keselesaan pelanggan, pihak pengurusan telah menyediakan beberapa unit homestay untuk kami transit seketika serta menyelesaikan segala keperluan untuk ke tandas, mandi, solat dan sebagainya.  

Boleh tahan panjang juga mukadimah sebelum benar-benar nak mendaki ke puncak Silipat. 

Awal petang itu, kami berkumpul di perkarangan Masjid Iyerweng bagi menantikan ketibaan powil yang akan membawa kami mendaki sehingga ke pertengahan kawasan gunung. Barangan yang perlu dibawa diasingkan mengikut keperluan. Yang tidak digunakan ditinggalkan di dalam bas untuk kegunaan esok hari. 


Powil datang dan pergi, membawa kami ahli rombongan dan kru seluruhnya. Saya bahagikan aktiviti pendakian ini kepada tiga fasa.

Fasa pertama, mendaki menggunakan powil melalui laluan off-road. Semua gembira, tidak perlu bersusah payah, berpenat lelah. Cuma perlu menjaga keseimbangan badan apabila terpaksa berdiri dalam keadaan terhuyung hayang. 


Lebih kurang 30 minit perjalanan, kami diturunkan di tengah ladang getah yang masih aktif setelah tiada lagi laluan yang boleh diredah oleh powil. Hanya denai kecil yang boleh dilalui oleh motorsikal atau pun berjalan kaki.


Fasa kedua, kami mula trekking menggunakan tenaga empat kerat, melalui kawasan ladang getah dengan sedikit kecuraman, tapi masih boleh dikategorikan sebagai landai, InshaAllah tak pewai. Sambil menggalas beg yang mengandungi barang keperluan, kami melalui trek yang bersih dan cantik dalam keadaan yang tidak lah terlalu memenatkan. Keep calm and walking... 





Lebih kurang 30- 45 minit perjalanan, kami tiba di tapak perkhemahan. Khemah disitu sudah siap dipasang ibarat bilik hotel yang menggamit kehadiran pelancong. 




Turut disediakan kemudahan lain seperti tandas dan bekalan air mentah yang bersih. 


Dan yang paling menyeronokkan terdapat sebuah kedai runcit yang menjual minuman sejuk dan panas serta makanan ringan yang dimiliki oleh tuan tanah. Kedai runcit itu popular dengan jolokan 7-E dikalangan pendaki. Terasa nikmatnya apabila dapat menghadiahkan diri sendiri dengan sebotol air Coca-Cola yang dingin setelah berjaya mendaki hingga ke tahap ini.


Memandangkan tanah ini bertuan, aktiviti perkhemahan perlu mendapatkan keizinan daripada tuan khemah dengan bayaran berpatutan. Saya tidak pasti berapa kosnya untuk satu malam kerana kos sewaan khemah sudah termasuk dalam pakej keseluruhan. Hanya khemah dengan hamparan tikar plastik yang lembut disediakan. Maka, untuk mendapatkan tidur yang lebih selesa, digalakkan untuk membawa barangan lain seperti bantal, sleeping bag atau selimut. Tak rocklah suruh porter bawak. Galas sendiri, barulah terasa kepaduan seorang hiker sejati.


Empat unit tandas awam model cangkung disediakan secara percuma untuk melepaskan hajat sekiranya berhajat. Sekiranya merasa tidak selesa dengan tandas tersebut, atau stress menunggu giliran sekiranya ramai orang sedang perut menendang-nendang minta dikeluarkan isinya, terdapat sebuah lagi tandas awam jenis zink milikan tuan tanah disediakan dengan bayaran 10bath untuk sekali kemasukkan. So tandas ada dua jenis. Percuma dan berbayar. Pilihan di tangan anda.


Usai mendapatkan khemah masing-masing, selepas masuknya waktu asar, kami bersiap untuk menawan puncak Silipat.

Ini adalah fasa ketiga pendakian. Fasa terakhir ini lebih mencabar kerana kami terpaksa mendaki sebuah bukit yang curam. Disinilah pendakian sebenar berlaku. Curam dan berbatu. 



Walau pun mencabar, jaraknya tidaklah jauh. Hanya mengambil masa sekitar 10 - 15 minit sahaja untuk sampai ke puncak. Sekiranya tertinggal apa-apa barang di tapak perkhemahan, tiada masalah untuk turun dan naik berulang kali. Penat sikitlah, but good for your health.




Objektif kami naik ke puncak pada waktu petang adalah untuk menyaksikan sendiri keindahan panorama di kala matahari terbenam. Waktu turun boleh jadi sudah gelap. Maka bawalah head lamp untuk menerangi jalan. 


Beberapa ketika kemudian, pada ketinggian 607 meter, puncak Silipat berjaya kami tawan. Puji dan syukur kepada Ilahi, anugerahnya tiada terhingga kerana dipermudahkan urusan kami untuk menikmati keindahan alam yang menakjubkan ini.

Walau pun dirasakan pendakian mudah serta tidak begitu tinggi, Silipat masih layak digelar sebagai gunung dan bukannya bukit. Kerana apa?

Mengikut takrifan Kamus Dewan, gunung didefinisikan sebagai bukit yang besar dan tinggi melebihi 1500 kaki atau 457.2 meter dari aras laut. Dengan ketinggian 607 meter, tidak syak lagi bahawa Silipat adalah sebuah gunung.


Permainan cahaya di puncak Silipat dikala matahari terbenam sememangnya menakjubkan. Pemandangan jelas seluas alam tanpa halangan mencakupi sejauh utara negeri Perak. Nun di kejauhan sana jelas kelihatan puncak Kerunai dan Kenderong yang berada dalam wilayah Malaysia. 





Puas menikmati landskap indah matahari terbenam, dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa membawa kedinginan, kami turun ke tapak perkhemahan dalam kesamaran sebelum alam benar-benar berada dalam kegelapan yang berkemungkinan menyukarkan kami untuk turun kerana terhad pemandangan. Kami tinggalkan puncak Silipat untuk seketika untuk menikmati malam yang indah di tapak perkhemahan.


Di tapak perkhemahan, kami membersihkan diri sekadar untuk mengerjakan solat tanpa mandi memandangkan sumber air yang terhad serta suhu malam yang dingin merencatkan selera untuk membasahkan keseluruhan badan.

Sementara di satu ruang yang lain, tikar-tikar plastik mula dibentang. Nasi bungkus yang ditempah dengan orang kampung di kaki gunung telah tiba di tapak perkhemahan dibawa oleh runner tempatan. Tidak lama lagi bermulalah upacara santapan secara berjemaah. 



Sementara itu, di suatu sudut yang lain, beberapa orang kru sedang gigih menyiapkan menu BBQ sebagai menu tambahan. Uniknya BBQ disini, selain dari hidangan biasa seperti ayam dan sosej, juga dihidangkan beberapa jenis menu tempatan yang tiada di Malaysia, hanya terdapat disini. 

Dinner like a king. Tak cukup nasi, boleh makan BBQ. Dah kenyang makan nasi, tapi rasa nak makan lagi, boleh makan BBQ. Sememangnya pemakanan agak mewah disini. Sekiranya anda punya matlamat mendaki Silipat untuk menurunkan berat badan, saya rasa baik dilupakan sahaja niat murni tersebut melainkan anda mempunyai motivasi yang sangat kuat untuk menahan godaan makanan yang lazat lagi menyelerakan.



Dalam kekenyangan, kami tidak berganjak dari tempat makan kerana majlis akan diteruskan dengan sesi suaikenal. Seorang demi seorang wajib memperkenalkan diri serta menceritakan serba sedikit mengenai latar belakang masing-masing. Sekiranya masih sendirian, saya fikir ini boleh jadi juga satu forum untuk mencari jodoh. Jodohku di Silipat - boleh jadi tajuk drama pukul 7 barangkali. 


Jenuh jugaklah nak menunggu peserta terakhir memperkenalkan diri setelah terpaksa menunggu giliran hingga 39 orang. Malam semakin larut, mata semakin mengantuk. Daripada tersengguk-sengguk, lebih baik ke dalam khemah aku masuk. Tidur yang lena penting untuk mengembalikan kecergasan kerana esok kami perlu bangun awal bagi menyaksikan keindahan panorama puncak Silipat di waktu pagi. 

Waktu pagi di Silipat, sebelum tiba waktu syuruk, kami mendaki ke puncak lagi. Tujuan kami semestinya untuk menyaksikan sendiri terbitnya mentari di sebalik hamparan awan karpet yang cukup sinonim dengan Silipat. Saya fikir Gunung Silipat adalah lokasi paling mudah untuk menyaksikan awan karpet dengan mengambil trek pendakian yang agak landai dan santai. 


Hasrat untuk menyaksikan selautan awan karpet tidak kesampaian kerana musim kering tanpa hujan sejak beberapa hari mengakibatkan proses pemeluwapan awan tidak mencapai tahap yang diperlukan untuk membentuk selautan awan. Walau pun begitu, awan karpet tetap ada, cuma agak terhad serta tidak mampu menyelimuti keseluruhan banjaran yang ada. Jika diberi pilihan, saya lebih rela tiada hujan. Tak dapat selautan awan karpet pun tak apalah. Awan karpet dari tingkap kapalterbang pun boleh nampak. Tapi kalau hujan leceh pulak ada bawak anak kecik nih. Takat saya sorang je takpe.... 



Sarapan disediakan oleh kru Gunung Hub. Lokasinya amat istimewa. Betul-betul di puncak gunung. Walau pun sarapan kami ringkas, hanya berhidangkan roti bakar dan air minuman 3 dalam 1 sahaja, namun usaha untuk membawa menu pemakanan termasuk kelengkapan memasak untuk dinikmati seramai 40 orang adalah satu usaha yang terpuji. Tentunya lebih mudah  sekiranya sarapan dinikmati di tapak perkhemahan sahaja. Namun demi memberi pengalaman kepada pelanggan untuk menghirup kopi panas sambil menikmati pemandangan yang indah, segala beban yang digalas untuk sampai ke puncak mampu tiba lebih awal dari kami sebagai peserta. 



Makan, minum dan bergambar sepuasnya. Itu sahaja yang mampu dilakukan oleh kami di pagi nyaman ini. 




Sehinggalah mentari semakin galak memancarkan sinarnya, tatkala bahang mula terasa, kami beransur turun ke tapak perkhemahan bagi menyiapkan diri untuk pulang.


Kami mengulangi trek yang sama seperti pendakian untuk pulang ke pangkal jalan. Masa yang diambil ketika turun tidak jauh bezanya ketika mendaki kerana kami berjalan santai sahaja sambil melayani anak kami yang kelihatan mula mengantuk. Kalau mampu berlari, mungkin boleh laju lagi. Tiada apa yang perlu dikejarkan. Cepat atau lambat, powil tetap setia menunggu untuk membawa semua peserta pulang. 



Powil membawa kami turun ke titik permulaan sama seperti semalam. Tidak banyak masa diberikan kerana kami harus bergegas menuju ke destinasi seterusnya.

Destinasi seterusnya pada hari ini adalah lawatan sambil bersantai ke sebuah hutan lipur yang di dalamnya terdapat sebuah air terjun yang agak besar dan ganas. Dalam bahasa Thai ia diberi nama Namtok Chaloen Phra Kiat Ror 9. Saya tidak dapat menerangkan secara jelas nama air terjun ini dalam bahasa Melayu, namun bagi warga Malaysia, ia dikenali dengan nama Air Terjun Raja 9.


Perjalanan ke air terjun harus merentasi hutan lipur dengan berjalan kaki selama lebih kurang 10 minit melalui trek buatan manusia yang landai dan selamat. 


Maka bermandi-mandalah kami sepuasnya menikmati kesegaran air mutlak yang bersih lagi suci anugerah Tuhan kepada manusia. 


Selesai mandi, kami dijamu dengan pizza istimewa buatan orang kampung yang lazat. Walau pun pizza tersebut bukan percuma, namun harganya berpatutan. Ianya perlu ditempah lebih awal dan diambil ketika dalam perjalanan ke air terjun. Dijual pada harga 100bath sebiji, diharap ia mampu menjana ekonomi penduduk tempatan. 


Selesai aktiviti air terjun, kami pulang ke homestay untuk membersihkan diri, menukar pakaian, solat dan sebagainya. Kebetulan pula homestay itu terletak bersebelahan dengan masjid, maka kemudahan masjid boleh digunakan sekiranya kemudahan homestay yang terhad tidak mampu menampung jemaah yang ada. Dah guna harta benda masjid, amalkan sikap ringan tangan menyumbang ke tabung masjid. Walau pun tak wajib buat macam tu, tapi sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada pihak masjid, apa salahnya menyumbang. 

Pek makanan tengah hari juga tersedia bagi kami menjamu selera menu ala penduduk tempatan.


Sebelum meninggalkan bumi Thailand, kami diberi peluang bersiar-siar di pekan Betong bagi menghabiskan sisa bath yang ada. Sempatlah membeli beberapa barangan, makanan dan minuman yang dirasakan rare serta tidak terdapat di Malaysia.


Kami menghabiskan masa kira-kira 2 jam di pekan Betong, sehinggalah hujan turun pada waktu kami hendak menaiki bas bagi meneruskan perjalanan pulang ke Malaysia. 


Di dalam bas, kami dijamu dengan pulut mangga yang lazat berkrim sumpah sedap. 


Dalam perjalanan ini, kami berhenti seketika di sebuah kebun bunga matahari hanya sekadar untuk bergambar kenangan.



Perjalanan kami terhenti di pintu sempadan bagi urusan imigresen serta mengucapkan selamat tinggal kepada gogo tempatan yang turun disini. 

Begitulah kisah percutian kami selama 2 hari 1 malam di selatan Thailand. Walau pun forte bagi percutian ini adalah pendakian Gunung Silipat, namun pihak penganjur telah memberi beberapa nilai tambah bagi menjadikan percutian ini bukan sekadar untuk berseronok malah beronok-ronok. 

Secara peribadi, cabaran yang perlu kami sekeluarga hadapi adalah apabila membuat keputusan untuk membawa anak-anak kami yang berumur 9 tahun dan 1 tahun untuk turut sama dalam pendakian ini. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. Anak-anak pun tidak meragam.

Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam  percutian ini.