Setelah berjaya menakluk puncak Gunung Tahan pada Oktober / November 2019, saya mendapat idea mengapa tidak diteruskan sahaja pendakian ke puncak gunung G7 yang lain sebagai cabaran kepada diri sendiri untuk menguji kemampuan dan kebolehan diri sendiri dalam melaksanakan aktiviti riadah mendaki gunung-gunung di semenanjung Malaysia sebagai hobi yang menyihatkan mental dan fizikal.
Sebelum mendaki lebih tinggi, mari kita berkenalan serba sedikit dengan gunung Yong Yap.
Teguh menjulang pada ketinggian 7,113 kaki atau 2,168 meter dari paras laut, Gunung Yong Yap berada dalam ranking ke-11 dalam senarai gunung-gunung tertinggi di Malaysia (termasuk Sabah dan Sarawak). Sebagai salah sebuah tunjang yang membentuk banjaran Titiwangsa, puncak yang terletak di Perak ini boleh didaki sama ada dari bahagian negeri Kelantan atau dari negeri Perak sendiri, melalui Sungai Siput. Ia dikategorikan sebagai salah sebuah gunung G7 kerana mempunyai ketinggian melebihi 7,000 kaki. Walau pun kedengaran agak mencabar, namun pendakian gunung ini boleh diselesaikan dalam masa 2 hari 1 malam, bermakna ianya boleh didaki pada hari hujung minggu tanpa perlu mengambil cuti, bergantung kepada kemampuan masing2.
Gunung YY menjadi pilihan kedua sementelah diajak oleh rakan sekerja yang juga merupakan gogo dalam ekspedisi ini. Setelah mengambil kira beberapa faktor, saya bersetuju untuk turut serta.
Mengambil kira kemampuan dan keperluan kendiri dalam merealisasikan ekspedisi ini, pihak penganjur telah menetapkan mssa 2 hari 1 malam untuk disempurnakan. Memandangkan pendakian bakal bermula seawal pagi hari Sabtu, saya bersama seorang sahabat mula bergerak meninggalkan bandaraya pada petang hari Jumaat untuk menginap di Brinchang hanya untuk satu malam, dengan harapan kami mempunyai rehat dan tidur yang cukup sebelum mendaki pada esok hari. Ada juga teman2 sependakian yang bergerak pada malam hari, dan tiba di Lojing pada waktu seawal pagi. Bergantung kepada kemampuan dan keperluan masing2.
Seawal pagi Sabtu, selepas menunaikan solat Subuh, kami menuju ke kawasan hentian Rehat dan Rawat Lojing yang dijadikan sebagai lokasi pertemuan bagi semua pendaki berkumpul.
Cuaca agak sejuk dan berkabus menandakan kawasan Lojing itu sendiri sudah berada pada satu ketinggian melebihi paras laut.
Sementara menunggu ketibaan powil yang akan membawa kami ke lokasi permulaan pendakian, kami sempat bertegur sapa dengan para pendaki lain, berkenalan secara ringkas, sambil menikmati sarapan yang boleh dibeli dari gerai di kawasan RnR yang sudah memulakan operasi. Kami mengambil bekalan makanan (ration) yang telah siap dibungkus oleh kru bertugas untuk dibawa secara gotong-royong ke tapak perkhemahani. Kami juga dibekalkan dengan lunch pack masing-masing untuk dimakan dalam perjalanan nanti. Semuanya dimuatkan ke dalam beg untuk memudahkan pembawaan dan pergerakan.
Sekitar jam 7.45 pagi, ketibaan dua buah powil untuk membawa kami 28 orang perserta, termasuk gogo dan kru ke titik permulaan yang terletak agak jauh ke dalam hutan. Kereta ditinggalkan di kawasan parkir RnR dengan sedikit bayaran berpatutan.
Terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari RnR, kami melalui jalan-jalan off-road, merentasi hutan dan kebun-kebun sayuran untuk tiba ke titik permulaan pendakian.
Menghampiri jam 8.30 pagi, kami tiba di drop point. Barang-barang diturunkan dan kami bersiap sedia untuk memulakan pendakian dari suatu tempat yang dinamakan sebagai 'Pintu Rimba'. Bayaran tunai sebanyak dua ringgit dikenakan sebagai tol untuk merentasi titian Pintu Rimba sebagai permulaan pendakian. Ada seorang pakcik yang tunggu disitu untuk mengutip tol.
Bacaan doa dititipkan sebelum bermula langkah pertama, memohon keselamatan dari yang maha Esa, semoga dipermudahkan segalanya. Kita hanya mampu berusaha, selebihnya tawakkal kepada yang Esa.
8.40 pagi, memulakan langkahan pertama melalui Pintu Rimba.
Fasa pertama pendakian dirasakan agak landai. Kami mengatur langkah dengan berhati-hati di atas trek berselut yang licin akibat hujan yang turun sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Pada ketika ini, kami telah pun berpecah kepada kumpulan-kumpulan kecil, bergantung kepada kudrat dan pace masing.
9.40 pagi, Sedang asyik berjalan menikmati keindahan flora dan fauna di waktu pagi dengan keadaan cuaca yang baik, satu jam berikutnya, kami terserempak dengan sebatang sungai yang lebar dengan air yang mengalir sederhana deras untuk diharungi. Mujurlah sungai itu cetek sahaja. Kami dapat merentasi sungai tersebut dengan bantuan seutas tali yang direntang merentasi sungai sebagai bantuan untuk berpaut.
Berehat sebentar selama 20 minit, sebelum memulakan kembali perjalanan melalui hutan renek dengan pepohon yang rendah mendedahkan diri kepada pancaran mentari.
10.00am; On schedule. Tiba di Simpang TNYY, kawasan transit di mana kebanyakkan pendaki akan berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan sama ada ke puncak YY atau Tok Nenek. Juga dikenali dengan nama Simpang Y kerana terdapat cabang sungai berbentuk seakan-akan huruf Y. Dengan kewujudan sungai yang mampu membekalkan sumber air bersih dan kawasan landai yang agak luas, simpang Y menjadi salah satu lokasi perkhemahan bagi sesiapa yang merancang untuk bekhemah di sini.
Tidak lama kemudian, kami menempuh fasa kedua pendakian dengan mengharungi hutan buluh yang tumbuh meliar di sepanjang trek. Pokok ini tumbuh sesuka hati mereka, bersimpang siur merintangi trek, sampai kami ni pun terpaksa melakukan segala aksi, ada ketika terpaksa melangkah, ada ketika terpaksa membongkok dan ada ketikanya terpaksa merangkak untuk melepasi batang-batang buluh yang tumbuh tak ikut standard. Tough jugak lah... dengan berat beg kat belakang lagi... rasa macam komando menyusup kawasan musuh.
Dalam keadaan yang masih melandai, kami tiba di kem Sungai Rengil. Tiada apa yang menarik di sini. Hanya sedikit kawasan lapang yang boleh memuatkan khemah dalam bilangan yang kecil sahaja. Perjalanan diteruskan. Kami tak banyak bercakap. Sebab tu takde mende sangat nak diceritakan. Trek pun macam biasa je. Kiri kanan depan belakang semua pokok. Simple. Cuma main ngan buluh ni kadang2 senang tersangkut kat beg lah, kat baju lah.
Setengah jam kemudian, kami mengharungi fasa ketiga pendakian. Fasa menyeberang anak-anak sungai yang mula-mula rajin gak nak kira ada berapa batang sungai, tapi sebab rasa banyak sangat lama-lama lost count. Sungainya barangkali sungai yang sama sahaja, tapi sebab pattern trek tu macam zig-zag, kejap ke sini, kejap ke sana, tu yang rasa macam banyak.
Sungai tak dalam, paras betis je kalau paling dalam pon. Kalau pandai meniti atas batu, boleh lah selamatkan kasut dari kebasahan. Agak2 tak kisah kasut basah, redah je. Kasut basah satu, jari jemari kau kat dalam kasut tu kecut macam buah prune.
12.40pm: Tiba di Kem Agas, salah sebuah tapak perkhemahan utama yang ada di trek ke puncak Yong Yap. Kawasan yang landai, luas dan terdapat sumber air bersih dari sungai yang mengalir, memang cun kalau nak berkhemah disini sekiranya tapak perkhemahan lain yang lebih hampir ke puncak dipenuhi oleh pendaki lain. Kami berhenti agak lama sedikit bagi mengalas perut dengan hidangan tengah hari yang dibekalkan sejak awal pagi tadi. Pada ketika ini, kami sudah berada pada ketinggian 1200meter dari paras laut.
Melepasi Kem Agas, lebih banyak aktiviti menyeberang anak sungai terpaksa dilakukan berbanding sebelumnya. Jalan sikit, cross sungai, sikit-sikit cross sungai. Not an issue. Challenge accepted.
Jalan dan terus jalan, hampir dua jam kemudiannya, kami tiba di Kem Sungai Jeruk kira-kira jam 2.30 petang. Inilah lokasi perkhemahan kami, our based camp for summit attack.
Dalam keadaan yang masih bertenaga, kami mula mendirikan khemah yang masing-masing dibawa sendiri. Kesemua peserta masih belum sampai sepenuhnya. Saya fikir saya berada dalam kelompok kecil yang kedua tiba di tapak perkhemahan. Maka kami bebas memilih mana-mana ruang yang masih kosong untuk mendirikan khemah. Saya dan sahabat saya memilih untuk mendirikan khemah berhampiran dengan khemah kru dan gogo bagi mendekatkan diri dengan sumber makanan.
Baru sahaja hendak mendirikan khemah, tiba-tiba hujan mula turun. Mujurlah tidak lebat. Namun apabila memikirkan kemungkinan kejap lagi akan lebat, maka bersegeralah kami mendirikan khemah dalam rintik hujan tersebut bagi menyelamatkan beg dari kebasahan. Lembab jugaklah, tapi mujur lah kawasan dalam khemah masih kering.
Kem Sungai Jeruk, pada ketinggian 1,350meter adalah salah satu lokasi perkhemahan pilihan pendaki untuk bermalam sebelum meneruskan pendakian ke puncak. Padanya terdapat lokasi perkhemahan yang lapang, walau pun tidak seluas Kem Agas tapi masih mampu untuk menempatkan sekitar 40 orang pendaki dalam satu-satu masa. Padanya terdapat sumber air sungai yang bersih memudahkan kami bukan sekadar untuk makan dan minum, malah kalau nak mandi berendam selama mana pun lebih dari mencukupi. Tahan dengan tak tahan je lah sebab air dia sangat sejuk.
Saya dan sahabat bersama kru yang sampai awal santai2 sahaja di tapak khemah sambil menunggu ketibaan peserta lain. Seorang demi seorang mula memunculkan diri. Lama kelamaan, tapak perkhemahan mula meriah dengan kehadiran peserta.
Tiada aktiviti khusus dilakukan sepanjang berada di tapak perkhemahan selain dari makan2, minum2, sembang2 sambil melawan serangan bertali arus dari Cik Agas.
Ya benar. Yong Yap dan agas berpisah tiada. Cik agas ni spesis macam nyamuk jugak. Suka gigit orang. Dia punya gatal, sedap jugaklah menggaru.
Jangan risau. Masalah ini boleh diatasi dengan menggunakan ubat nyamuk, atau insect repellent. Walau pun gagal untuk mengekang serangan mereka 100%, tapi sekurang-kurangnya ada kurang sikit lah. Boleh lah daripada takde.
Dalam pukul 9.00 malam rasa nak tidur dah. Takde mende sangat nak dibuat. Hiburan takde. Line telefon pun takde. Apa pon tak boleh. Maka aktiviti terbaik yang harus dilakukan ialah tidur. Lagi pun esok nak bangun awal, sebelum subuh nak bertolak dah, nak summit attack.
Deringan bunyi jam dari telefon bertalu-talu mengejutkan dari lena. Sudah jam 5 pagi. Setengah jam lagi kami dijadualkan akan memulakan langkah menuju ke puncak.
Ding-dong ding-dong, 5.45 pagi baru gerak. Tiada sebarang matlamat lain diletakkan nak tengok sunrise ke, nak cepat sampai ke. No... it just to conquer the summit no matter what time.
Fasa keempat pendakian dalam kepekatan malam, hanya diterangi cahaya head lamp menyuluh jalan.
Setengah jam kemudian, kami tiba Kem Balak Pecah. Kami berhenti seketika untuk menunaikan solat Subuh sambil menunggu ketibaan peserta lain yang tertinggal di belakang.
Jam 7.20 pagi, tiba di Kem Simpang Bubu, atau juga simpang Yong Yap, mana2 pun boleh sebab kalau anda datang dari Bubu anda akan nampak sign-board ke YY, kalau anda dari YY anda akan nampak sign-board nak ke Bubu. Sepertimana namanya, disini terletaknya persimpangan untuk meneruskan pendakian ke Puncak Gunung Bubu, atau bagi pendaki yang menjalankan ekspedisi Trans Titiwangsa V2, ini adalah laluan yang menghubungkan dua puncak gunung Bubu dan Yong Yap.
Fasa kelima, saya rangkumkan sebagai fasa terakhir, adalah fasa yang paling sukar dan mencabar.
Dari sini bermulanya mossy forest, atau hutan berlumut kata orang kita. Mossy forest dari pandangan mata nampak cantik. Macam permaidani terbentang dari lantai sampai ke pokok . Boleh rilek2, duduk2 baring seperti di alam fantasi.
Tapi benda yang cantik dan indah bukannya boleh dapat dengan mudah. Kesukaran untuk mendaki trek laluan mossy forest benar-benar mencabar mental dan fizikal. Ada part trek licin berselut, ada bahagian pacak mencanak. Dimana bumi dipijak, pada akar tangan berpaut. Kasut dan seluar bergelumang dengan selut. Jenuh lar nak sental bila balik ke rumah nanti.
Panjat punya panjat, jam 8.20 pagi, puncak Yong Yap berjaya ditawan.
Dataran di puncak YY ni tak besar mana pun. Bolehlah takat satu kumpulan, 30 orang nak melepak serentak. Kalau lebih crowded pulak. Nak bergambar pun susah. Saya ni pun syukurlah sampai awal. Geng sendiri pun tak ramai lagi.
Ambik gambar lagi dan lagi, bukti dah sampai puncak YY.
View dari puncak agak terlindung dengan pepohon renek, menafikan pemandangan 360 degree. Hanya ada satu part sahaja yang terbuka, tak tau lar nak kata belah timur ka, utara ka, tengok pada matahari macam belah timur. So dapatlah tengok lapisan pergunungan banjaran Titiwangsa.
Mendaki adalah satu pilihan, namun menurun adalah satu kewajipan.
Maknanya anda mempunyai pilihan sama ada nak naik atau tidak, bergantung kepada minat dan keperluan masing2. Tapi bila dah naik mesti kena turun kan? So suka atau tidak, hidup atau mati, wajib kena turun, melainkan kalau anda hilang tidak dapat dikesan, sebagaimana kisah misteri seorang pendaki bernama En. Mohammad Hassan yang masih gagal ditemui sejak kali terakhir dilihat pada 15 Februari 2009.
Kebetulan pula, kami hadir ke YY pada tarikh yang sama, 11 tahun selepas kehilangan beliau. Alfaatihah.
Satu jam beraksi di puncak, saya dan sebahagian peserta lainnya meninggalkan puncak YY. Kami menggunakan laluan yang sama sepertimana pendakian, menjadikan double kepayahan terpaksa dihadapi ketika melalui trek mossy forest. So ketika melalui trek mossy forrest, pace turun lebih kurang sama je dengan menaik. Cannot speed.
Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dalam suasana dan cuaca yang baik. Sekali-sekala berselisih dengan pendaki yang dalam perjalanan menaik.
Menjelang jam 12.30 tengah hari, kami selamat tiba di base camp. Nampaknya makanan telah disediakan oleh kru bertugas yang memang tak naik, diorang duduk je kat base camp menjalankan tugas-tugas yang selayaknya sebagai seorang kru. Diorang pun dah berapa kali naik puncak. Tak heran dah.
Kami menghabiskan waktu-waktu berikutnya untuk makan, membersihkan diri, mengemas tapak perkhemahan dan solat sebelum meneruskan perjalanan turun pada waktu 2.30 petang.
Trek masih sama seperti mendaki, cuma kali ni pace dipercepatkan demi mengejar waktu yang dijangkakan akan malam sebelum sempat sampai ke Pintu Rimba.
Tak banyak berhenti pun. Kalau berhenti kejap2 je on track just nak minum air. Kalau berhenti lama sikit pun dekat Kem Simpang Y. Head lamp standby siap2. Kejap lagi nak malam.
Kami terus berjalan dalam kelompok kecil, hanya kami bertiga, rakan2 lain sama ada sudah terkedepan atau terkebelakang. Kami di tengah2.
Agak mental sebenarnya perjalanan turun ni, rasa macam dah jauh kami berjalan, tapi masih tak sampai2. Kaki dah mula rasa sakit.
Mental pun mental. Jalan je, tak banyak cakap. Lama kelamaan, bayangan pintu rimba pun muncul. Pukul 7.45 malam, akhirnya selamat juga kami sampai.
Powil yang kami naiki semalam sewaktu kedatangan telah sedia menunggu. Walau pun kami sampai dulu, kami tetap setia menunggu kesemua peserta sampai baru boleh bergerak ke RnR Lojing.
Tunggu punya tunggu, hinggalah semua orang sampai, kami pun meredah kepekatan malam menuju ke RnR Lojing.
Setibanya di Lojing, kami membersihkan diri, menunaikan solat dan menikmati makan malam sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan sependakian yang akan meneruskan perjalanan mengikut haluan masing2.
No comments:
Post a Comment