BACK TO NATURE


Satu program menjelajah hutan belantara berusia 130 juta tahun, dianjurkan oleh rakan sekerja secara rasmi melalui kelab sukan dan rekreasi di tempat kerja kami. Bila sebut secara rasmi, bermakna segalanya diuruskan secara sistematik lengkap dengan dokumen bagai. Dengan pengiktirafan itu juga memungkinkan kami mendapat bantuan kewangan bagi menampung sebahagian kos yang akan dibelanjakan sepanjang ekspedisi kali ini. Dengan bayaran yang saya kirakan sebagai minima, kami mendapat pakej lengkap siap dengan pengangkutan sewa khas, penginapan untuk dua hari satu malam, makan sehingga lima kali, tambang bot untuk bergerak di sekitar Taman Negara, permit masuk hutan, permit kamera serta lawatan ke perkampungan orang asli.

Alhamdulillah... satu pengalaman baru buat kami semua yang hari-hari menghadap hutan batu metropolitan Kuala Lumpur. Sekali-sekala merasai kehijauan alam, menyedut udara segar sambil bermain-main air sungai nun jauh dari hiruk pikuk kota raya.

Ikuti catatan perjalanan kami yang dibawakan khas oleh wartawan  tidak bertauliah sambil dipersembahkan dalam bentuk gambar supaya lebih ceria tanpa gundah gulana.

Hari Pertama:

0800: Peserta ekspedisi mula berkumpul di perkarangan bangunan tempat kami cari makan, sambil mendengar khutbah ringkas dari chief-de-mission.

0815: Setelah lengkap senarai kehadiran dengan 24 orang peserta yang terdiri daripada 8 orang wanita dan selebihnya lelaki, kami memuatkan barang-barang yang akan dibawa ke dalam perut bas dengan keadaan perut kami sendiri yang masih kosong kerana belum bersarapan dan tidak sempat untuk ke stesen minyak berhampian demi mencari sekeping roti.

0855: Dengan persetujuan ramai termasuklah pemandu bas yang dah jadi macam kawan kami, kami mengambil keputusan singgah sebentar di hentian R&R Genting Sempah untuk mengalas perut yang kekosongan. Tak sangka pula boleh terserempak dengan rakan sekerja lain yang datang dari Nilai sana, katanya on the way ke Terengganu, untuk berpesta menyambut hari keluarga. Hebat sungguh mereka ini. Cuti hanya tiga hari, termasuk dengan perjalanan, mereka galak bercerita untuk ke pulau lah, tasik lah, pasar lah.

Dah kenyang kita jalan lagi.

Sebaik keluar dari LPT menerusi susur Temerloh, perjalanan agak bosan dengan pemandangan kanan dan kiri jalan yang penuh dengan kehijauan hutan belukar, ladang sawit dan ladang getah saujana mata memandang. Hijau tak berapa nak hijau jugaklah, campur dengan jerebu yang langsung tidak berfaedah itu, pemandangan agak kelabu asap. Brengset punya Indon!

1150: Perjalanan yang lancar dengan keseronokkan pemandu meratah selekoh-selekoh pendek tiba-tiba dibantutkan dengan berita seorang peserta telah kecundang apabila terpaksa membuang muntah akibat pening tak tahan dengan keadaan jalan yang korner baring. Maka terpaksalah kami membuat pendaratan kecemasan bagi memberi peluang peserta itu muntah semuntah-muntahnya tanpa mempengaruhi orang lain untuk muntah sama. Mari kita raikan pendaratan kecemasan ini dengan melompat gimnastik tinggi ke udara.

Selesai acara muntah-muntah, kami meneruskan lagi perjalanan ini yang entah tak tahu pukul berapa boleh sampai.

1225: Setelah menempuh laluan penuh berliku walau pun sekadar duduk sahaja dalam bas, akhirnya kami sampai ke destinasi tujuan kami, Kuala Tahan.

Kami menginap di sebuah hotel bajet yang tidaklah mewah, namun cukup selesa untuk kami berehat, makan, tidur, mandi, instinjak serta melakukan aktiviti yang menjadi keperluan asas yang lain. Talian komunikasi Celcom masih boleh diterima disini, namun perkhidmatan DiGi khabarnya amat mengecewakan sekali.

banglo mewah tempat melabuhkan badan kami yang sasa.
keadaan bilik empat katil dengan bantal diberi sebiji sekatil siap dengan selimut. tuala juga disediakan tapi kena minta. kalau cari dalam bilik memang tak jumpa.
Menjadi ketakjuban kami menginap di sini kerana tidak bergaduh dengan seekor nyamuk pun. Jangan kata nyamuk, bayang nyamuk pun tiada.

Beberapa langkah di hadapan motel tersebut adalah kafe merangkap pejabat pentadbiran untuk motel tersebut. So, kalau nak tuala, kena bangun dan berjalan ke kafe ini dan bagitahu akak yang kerja kat situ, "saya nak tuala!". Perkhidmatan telefon dalam bilik tidak disediakan yer?

Dari segi pemakanan, kami mendapat bekalan makanan yang lazat lagi berkhasiat dari kafe ini dengan menu masakan ala kampung disediakan secara buffet. Memang puas hatilah masakan dia. Kalau tidak, takkan kami makan bertambah-tambah. Saya tidak pasti jika anda datang secara individu adakah dihidangkan secara begini. Dari segi logiknya, mungkin terpaksa order secara ala carte.

Selesai upacara makan-makan, bolehlah baring-baring bawah pokok sambil di belai oleh tiupan angin sepoi-sepoi bahasa.

1430: Makan sudah, solat sudah, lepak sudah, baring-baring pun sudah, maka tibalah masanya ke acara yang ditunggu-tunggu. Meneroka ke alam belantara hutan hujan tropika tertua di dunia. Kali ini betul-betul tua. 130,000,000 tahun. Berapa banyak kosong tu? 130 juta tahun. Dah sebaya dengan zaman dinosaur pulak rasanya. Kenyataannya, kami memang dipertontonkan dengan sejenis pohon yang dah wujud sejak zaman dinosaur lagi. Bukan pokok tu yang hidup dari zaman dinosaur, tapi spesis pokok tu dipercayai telah wujud dari zaman dinosaur lagi.

Rugilah kalau kita yang berada di Malaysia ini tidak menikmati sendiri keindahan flora dan fauna di hutan yang telah berusia jutaan tahun ini. Sedangkan mat saleh dari luar negara, orang putih, orang hitam, orang coklat, orang kelabu ntah dari ceruk mana datang pun boleh datang. 

Pihak motel telah bermurah hati menyediakan perkhidmatan pengangkutan dari tempat kediaman ke jeti Kuala Tahan. Boleh naik ramai-ramai kat belakang rasa macam tentera nak pergi medan perang. Sesuai sangatlah nak masuk hutan kan. Walau pun jarak antara motel ke jeti tak sampai suku marhalah pun, tak lebih dua kilometer pun, kalau nak berjalan rasa macam takde upaya jugak, kena pulak tengah panas, perut pulak tengah buncit makanan kat dalam pun tak hadam lagi. Dah ada kemudahan, kita guna ajer.

Jeti Kuala Tahan sibuk dengan bot kehulu kehilir membawa penumpang, mencari rezeki, membawa pelancong dan juga penduduk tempatan.

Bukan sekadar jeti, malah menjadi pintu masuk utama ke Taman Negara. Secara geografinya, Taman Negara bermula sebaik sahaja menyeberangi sungai itu.


Awas gerak langkahmu sewaktu menuju ke jeti kerana terdapat banyak anak batu sungai yang boleh menghilangkan keseimbangan badan andainya tersilap langkah.

 Aktiviti menunggu bot secara berjemaah.

Tadaaa... bot dah sampai... tak yah tunggu lama sebab bot memang banyak.

Suka tengok bot ni sebab nampak hebat, ganas, gagah, perkasa dan macho. Mereka menggunakan bot ini untuk mengangkut penumpang ke seberang kerana di sana lah pintu masuk ke taman negara yang sebenar-benarnya.

Hati riang dapat naik bot.

Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Buaya memang takde, tapi ada arus yang kuat di beberapa kawasan sepanjang Sungai Tahan ini. Kerana itu kami menamakan aktiviti ini sebagai "rapid shooting boat ride". Oh yeahhh! Melawan arus sungai menaiki bot berbadan tirus sangat seronok sebenarnya kerana anda akan basah dengan percikan air dari arus tersebut. Lagi pun pemandu bot itu sengaja membawa dengan laju supaya lebih thrill. Kami punyalah menjerit, meracau, ketawa dah macam histeria.

Teringat kenangan melayan "white water rafting" suatu ketika dahulu.

Sungai yang mengalir merentasi belantara memberikan satu pemandangan yang menakjubkan. Subhanallah!

Kalau sebelum ini kita biasa melihat motorsikal merempit di jalan raya, di sini kita dapat saksikan motorbot merempit di atas sungai.

Pada petang itu, kami bukan saja-saja naik bot, meredah sungai main air. Demi  menambahkan pengetahuan, kami melawat ke perkampungan orang asli suku kaum Bateq, sepertimana yang telah diceritakan di dalam blog sebelum ini.

1700: Usai menziarah teman-teman di perkampungan orang asli, bot yang dinaiki membawa kami ke satu lokasi yang kami pun tidak tahu apa namanya. Tujuannya hanya untuk membiarkan kami mandi-manda merasai sendiri kedinginan dan keaslian air Sungai Tahan.

Satu perkara menarik naik bot di Sungai Tahan ni, kita rasa semua orang yang kita jumpa / selisih masa atas bot tu macam kita kenal. Asal jumpa jer rasa nak angkat tangan, lambai atau pun senyum. Contohnya macam yang nielah. Ntah group mana, naik pelampung getah pulak tu buat sampan. Masa kat atas air je lah kawan. Bila dah sampai darat, dah tak kenal dah.

Hari pun dah petang, kami balik lah dulu ke motel untuk makan, berehat dan bersiap-siap untuk aktiviti seterusnya pada malam nanti.

Pabila malam menjelang tiba.


2000: Aktiviti "night jungle tracking" adalah satu aktiviti santai berjalan-jalan di dalam hutan pada waktu malam. Saya katakan santai kerana jangkaan awal saya untuk meredah semak samun meredah trek asli hutan dalam kegelapan dan kepekatan malam ternyata meleset. Bukan bermakna dalam hutan itu terang benderang penuh dengan lampu spot light macam jalan kat taman tasik titiwangsa. Lampu suluh masih menjadi satu keperluan di sini. Santai kerana laluannya tidak lagi sukar. Hakikatnya, tak perlu pijak tanah pun. Sudah disediakan platform khas umpama jambatan yang menjadi trek laluan sepanjang perjalanan tersebut. Jalan pulak beramai-ramai dalam satu kumpulan, dengan diketuai oleh seorang pemandu.

Objektif aktiviti sebegini dijalankan, selain daripada senaman untuk mengeluarkan peluh (panas taw jalan dalam hutan di waktu malam), kita boleh menyuluh (saya menggunakan perkataan menyuluh kerana kena guna lampu suluh untuk melihat disebabkan persekitaran yang amat gelap) serangga yang aktif di waktu malam sebagaimana yang telah diceritakan di dalam blog sebelum ini.

Kami diberi peluang untuk singgah di bumbun, yang merupakan sebuah pelantar dengan ketinggian kira-kira tiga tingkat. Bumbun digunakan sebagai lokasi yang selamat untuk mengintai haiwan-haiwan liar yang berada di dalam hutan, dan haiwan itu juga merasa selamat kerana tidak terancam diperhatikan oleh manusia.

Kerana waktu persinggahan kami adalah malam, maka sukar bagi kami melihat dengan jelas rusa-rusa yang sedang enak menjilat garam yang ditabur petugas Taman Negara untuk menarik kehadiran haiwan tersebut. Suluh punya suluh nampak biji matanya sahaja yang bersinar. Susah sangat nak tengok rusa, lepas ni aku pergi zoo negara ajelah!


Selain rusa, sepatutnya tapir pun perlu ada di lokasi yang sama. Tapi kami tidaklah mengharap sangat sebab kalau dia datang pun, bukannya boleh nampak jelas.


Walau bagaimanapun, kalau dah rezeki nak buat macamana kan? Jodoh dengan tapir tetap ada. Di penghujung perjalanan, kami terserempak dengan dua ekor tapir jinak yang sedang lepak di perkarangan Mutiara Taman Negara Resort. Mengikut kata pemandu kami, tapir tersebut sememangnya dibela oleh pihak resort, maka sebab itulah diorang biar lepas bebas macam itu sahaja.

Bercerita tentang Mutiara Taman Negara Resort, ia merupakan satu-satunya kawasan penginapan bertaraf banyak bintang yang beroperasi di dalam kawasan Taman Negara Pahang. Tidak terdapat resort lain selain dari Mutiara. 

Yang lain seperti motel yang kami diami terletak di seberang sungai, di Kuala Tahan sana, walau pun hampir tetapi berada di luar sempadan Taman Negara. Maka kerana itu, ianya tidak tertakluk di bawah peraturan adab sopan ketika berada di Taman Negara.

Maka kerana itu harganya juga agak mengerikan untuk pelancong tempatan berkelas sederhana. Apa yang saya nampak, mat saleh sahaja yang ramai di sana. Memang patut pun cas diorang mahal-mahal. 
inside the mutiara. bezakan dengan bilik penginapan kami seperti gambar di atas.
2300: Segala aktiviti untuk malam pertama kami di Taman Negara tamat sepenuhnya apabila kami sampai ke motel. Sampai-sampai jer ada supper pulak. Makan-makan, minum-minum, borak-borak, dalam pukul 12 baru masuk bilik. 

Hari Kedua

Kami mula bangkit setelah masuknya waktu subuh bagi kawasan Kuala Tahan serta kawasan yang sewaktu dengannya lalu bersiap-siap untuk aktiviti seterusnya, iaitu sarapan.

0815: Selesai menjamah hidangan sarapan yang menyelerakan, kami sekali lagi diangkut menggunakan trak pick-up menuju ke jeti Kuala Tahan untuk menyeberang sungai.

Hari kedua dipenuhi dengan aktiviti masuk hutan bagi mengeluarkan peluh jantan, tak kiralah sama ada dia tu lelaki ke perempuan, yang keluar hanyalah peluh jantan. Pernah dengar peluh betina? Sangat pelik!

Sepanjang perjalanan kami di dalam hutan, kami diberi penerangan tentang keistimewaan beberapa jenis flora dan fauna. Beberapa jenis cukuplah. Kalau nak bagitahu semua, 130 juta tahun pun tak habis rasanya.

Ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni. Mula-mula kami merentasi Kanopi Taman Negara sebelum mendaki Bukit Terisek.


Tak larat dah teman nak ngulang cerita yang sama. Klik sahaja link yang diberi. Kome baca ajelah!
tempat wajib untuk bergambar.

Di sekitar kawasan jeti juga terbina beberapa buah restoran terapung seperti ini bagi para pengunjung menjamu selera serta melepaskan dahaga.


Akhir kalam, segala-galanya ada di Malaysia. Pergilah melancong!

IKLAN: Kami menyediakan perkhidmatan fotografi, dengan pengkhususan kepada majlis perkahwinan, keraian, hari jadi, aqiqah dan majlis-majlis rasmi, sesuai dengan kemampuan dan keperluan anda. Harga boleh bincang maaaa.... Sila hubungi kami di sini.

No comments: