KEMBARA BUMI SUMATERA BARAT

Idea untuk mengembara ke tanah Sumatera Barat dicetuskan oleh seorang rakan sekerja bernama Khairil. Beliau mempunyai gambaran yang jelas bagaimana untuk merealisasikan pengembaraan ini menjadi satu realiti. Maka kerana kredibiliti itu, beliau menjadi project manager untuk pengembaraan bermotor julung kali kami ke oversea ini.

Apabila saya ditawarkan untuk menyertai pasukan ini, saya diumpan dengan terma "Kelok 44". Apa kah itu? Tapi sebab Kril duduk floor lain, dan saya pula mahu melihat keputusan segera, maka saya Google.

Mula2 saya macam was-was. Diorang ni selalu ride kat Malaysia pon tak berapa nak join. Tapi melihat kesungguhan, apatah lagi bila tertubuhnya group di wassap, Yup... ini hal serius. Once a rider, always a rider!

Kril pon dah siap buat itinerary plan, lengkap dengan presentation *.pdf, kira memang jadi lah kan.

Lantas saya bersetuju.

Walau pun nama pengembaraan ini adalah Kelok 44, sebenarnya laluan tersebut hanyalah sebahagian kecil sahaja daripada keseluruhan perjalanan sejauh lebih daripada 400 kilometer. Nama tersebut dipilih kerana jalan tersebut yang mencabar penuh berliku, dengan pemandangan yang indah. Lagi pun nama tersebut paling catchy dan senang nak sebut.

Paling menarik, pengembaraan ini bakal menggunakan motorsikal sebagai pengangkutan utama. Ini sangat rare. Bukan motor tu yang rare. Kami ni yang rare, orang Malaysia datang Padang, sewa motor kapcai skooter, enjin automatik, menjelajah ke seluruh wilayah Sumatera Barat. Kata Julius si penjaga homestay, ini sangat rare.

Kenapa Sumatera Barat? Kenapa tidak ke provinsi lain? Ada 10 provinsi utama di Pulau Sumatera.

Sebab Kril pernah pergi Padang - Bukittinggi. So he has the idea apa nak buat, mana nak pergi etc... Saya ni follower sahaja dengan tugasan tak rasmi sebagai jurugambar dan penulis blog. Tak rasmi sebab buat secara sukarela. Takde elaun, apatah lagi gaji. Untuk tatapan pembaca semua, manalah tahu kot ada diluar sana sedang mencari idea percutian lain daripada yang lain. Sebuah catatan perjalanan, boleh dijadikan panduan.

Passport, tiket penerbangan, penginapan, itinerary, duit rupiah semua sudah siap sedia. Tanggal 14 Januari 2017, maka pengembaraan pun bermula.


Destinasi kami adalah ke Padang, Sumatera Barat. Dari Kuala Lumpur, AirAsia hanya menyediakan dua penerbangan sehari ke Padang. Flight pagi pukul 7.50, dan petang pukul 1.55.

Untuk memaksimumkan masa perjalanan, semestinya flight pagi menjadi pilihan. Sebelum subuh lagi saya dah bangun. Sebelum subuh jugak saya keluar rumah menuju ke Putrajaya Sentral. Lebih mudah, jimat dan efisien parking di situ, kemudian naik ERL menuju ke KLIA2, Kadar parkir berbumbung hanya RM6 sehari. Tinggal kereta tiga hari, oklah takat RM18 jer.

Satu perkara lagi saya suka naik ERL adalah masa perjalanannya yang tepat. Kalau kata pukul 5.51 pagi dia sampai, memang dia sampai tepat. Tak cepat, tak lewat. Ini memudahkan saya merancang masa perjalanan. Boleh bajet pukul berapa nak keluar rumah, pukul berapa nak sampai airport.

Sampai airport, masih banyak masa lagi. Check-in dah siap2 buat online. Bag pon sebiji jer... carry bawak masuk flight. Apa2 hal, cari port solat subuh dulu.

Masuk international departure hall, baru jumpa teman2 sepengembaraan. Geng2 satu kampeni semua nih. Kril, Faizal, Naj, Alee and Sazam. Awal diorang masuk. X sabar lettew!

Flight gerak on time. No delay. Destinasi tujuan, Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau, Padang, Sumatera Barat. Macam jauh. Tapi kejap je. Sejam 15 minit dah sampai.

Waktu di Sumatera Barat lewat satu jam dari Malaysia. Maka kena edjas jam satu jam ke belakang. Kalo tadi flight depart pukul 7.50, sampai Padang edjas satu jam, pukul 8.00 dah sampai... wah 10 minit jer? Untung satu jam...

Tadi dalam flight sudah diedarkan 'borang pengisytiharan kastam'. Bawak pen. Isi siap2 dalam flight. Tak kiralah ada barang nak declare ke, takde ke. Isi jer. Kalo tak, Kastam Indonesia tak lepas keluar airport.


Kalo tak isi dalam flight pun, boleh isi kat airport sebelum keluar. Cumanya buang masa sikit lah. Nak menulis pun tak selesa. Kaunter penulisan dia kecik jer. Daripada duduk jer dalam flight tu tak buat apa, isi siap2 dalam flight.


Pertama kali menjejak kaki di Sumatera. Hati girang... yeayyyy!!! Memang Minangkabau sungguh lah. Tengok atap airport pon tahu dah.


Keluar dari airport, Pak Supir siap sedia menanti kehadiran kami bersama MPV Avanzanya. Kril dah booking beliau siap2 sejak dari Malaysia lagi. Walau pun begitu, masih ramai supir lain menunggu di luar airport menawarkan perkhidmatan membawa kami ke Kota Padang. Kami hanya mengangkat tangan sahaja tanda tidak mahu.

Jarak airport ke Yani Homestay kurang lebih 40 minit. Jalannya sibuk, tapi tidak macet.

Yani Homestay ni hotel bajet yang sesuai untuk back packer. Walau pun murah tapi selesa. Ada bilik kecik, ada bilik besar ala dorm. Siap dengan kedai runcit dan kedai sim kad.


Diluar homestay, tersedia sudah sepeda (motorsikal) yang akan menjadi tunggangan kami. Model skuter, gear automatik Yamaha dan Honda.


Sebelum tayar golek, kami wajib daftar. Sambil2 tu, beli sim kad untuk mendapatkan talian internet bagi memudahkan pergerakkan dan hala tuju berdasarkan panduan dari WAZE atau GOOGLE MAPS. Senang kot tak yah pakai peta konvensional lagi dah. Apatah lagi kompas. Hmmm... akak kat depan tu dari Malaysia.


Sebagai jaminan kepada orang yang memberi sewa, salah satu passport kena tinggal. Time ni masing2 buat busy. Last2 Kril jugak kena tinggal passport.... hahaha... Sabor yer Kril. Pengorbananmu dihargai. Tak yah gabra sangat. Ada surat akuan diberi sebagai ganti tanda pengenalan diri. Lagi pon bukan masalah besar pon. Kalau takde buat hal, takdenyer pak polisi nak check passport kan?

Motor juga harus diperiksa. Walau pun terpaksa menggunakan sahaja apa yang disediakan, sebolehnya pastikan keadaannya meyakinkan untuk mengembara. Jauh beb nak jalan ni. Kalau dihitung pada plot yang dibuat pada Google Maps, total perjalanan dalam 410 kilometer. Untuk perjalanan sejauh itu, jentera dan manusia harus berada pada tahap terbaik.

Check punya check, overall motor kami kondisinya nampak ok. Cuma motor Yamaha X-Ride Kril tayar depan nampak sudah botak, manakala Honda Beat saya kelihatan tayar kurang angin. Hal ini dilaporkan kepada tuan sewa. Lantas dibawa ke bengkel berhampiran untuk ditukar tayar depan motor Kril dan ditambah angin motor saya.

Selesai semuanya. Apalagi... tazabarrr nak ride nih! Let's vroommmm...


Tak yah nak vroommm sangatlah. Naik skuter jer. Bunyik lembut dan penuh sopan santun gitew.

Ding dong ding dong, dekat pukul 11.30am jugaklah kami gerak.  Agak tersasar dari jadual asal yang kononnya nak gerak pukul 11.00am. Plus minus, still within the timing. Matahari dah terpacak. Panas membahang. Sesuai bangat untuk menunggang. Naik motor kan... baik panas daripada hujan.

Matlamat kami yang utama sekarang ni adalah mengisi kekosongan di perut yang masih belum berisi sejak awal pagi tadi. Destinasinya adalah ke sebuah rumah makan yang terletak di dalam laluan Padang - Bukittinggi.

Jarak perjalanan dalam 45km jer dengan masa sejam lebih boleh sampai. Bawak dalam kelajuan sederhana. Memang x leh laju. Dengan keadaan jalannya... lalu lintasnya, memang sesuai sangat mengembara dengan skuter nih. Pulas je, terus maju ke depan. Bayangkan kalau superbike. Kuasa besar, tapi tak leh bawak laju. Tensen!

Jalan dia bukan macam highway PLUS kat Malaysia ni. Macam jalan kampung je. Beberapa kali kami terserempak dengan lori rosak tengah jalan... memang panjang lah macet nyer.


Sebelum jauh meninggalkan kota, kami isi minyak dulu. Isi penuh2. Jangan buang masa berhenti banyak kali. Kat sini, nak dapat bekalan minyak tak susah sebenarnya. Takde stesen minyak, banyak kedai dan gerai tepi jalan jual minyak dalam botol. Ironinya, kat sini motor sangat banyak. Kat mana2 mesti ada motor. Dari kota sampai ke ceruk kampung. Motor dimana-mana. Lebih sesuai kot sebagai pengangkutan yang cepat, ekonomi dan praktikal untuk bergerak dalam jarak dekat dan sederhana.


Kalau nak cari petrol station, banyak juga. Tapi takde brand lain. Semuanya PERTAMINA. Harga ikut gred. Baik punya harga 8,150 rupiah/liter (RM2.70)... biasa punya harga 6,450 rupiah/liter (RM2.15). Tak jauh beza dengan harga petrol Malaysia.

Isi minyak pun disiplin. Semua beratur, padahal pump lain banyak je kosong.


Disini kami diuji. Belum apa2 lagi, masih belum keluar dari Kota Padang lagi, tayar belakang Yamaha X-Ride Kril pancit lah pulak. Haiyooo... tadi yang botak depan, dah tukar yang depan. Belakang tak tukar. Pancit ler dia.

Tanya budak2 kat petrol station tu, katanya ada bengkel motor kat depan tu je. Tak jauh. Kril ngan Sazam gerak dulu sementara yang lain habiskan isi minyak, lepas tu follow.

Memang tak jauh pun. Senang jugak lah cari bengkel motor. Sama macam petrol, ironinya banyak motor di sini, banyaklah orang perlukan servis pembaikian. Paling kurang pun tampal tayar. Itu macam servis basic kat sini.


Yamaha X-Ride kena tampal tiub. Upah 10,000 rupiah.


Dah tampal, minyak pun masing2 dah penuh, kami melanjutkan perjalanan hingga ke sebuah restoran masakan padang yang letaknya di kilometer 45, Jalan Padang - Bukittinggi. Masa ni dah pukul 1.00 tengah hari. Perut masing2 menggelegak giler. Maunya tidak, dari Subuh tadi tak makan apa. Asyik teguk air sejuk jer.


Pekena masakan padang time tengah kebulur ni memang heaven lah. Sampai bertambah-tambah. Sambel ijo pon dua kali tambah. Sedap sangat ler tuh! Tengah lapor. Hulur biskut kering pon sedap!


Makan kat restoran padang ni, by default dia akan letak air kosong ikut berapa orang ada. Kalau nak air selain tu, kena order. Lauknya pulak, dia akan hidang segala jenis mak nenek lauk yang ada kat kedai tu. The rules is, kau usik je lauk tu, consider sold. So boleh pilih2, mana yang nak, mana tak nak. Kalau tak nak boleh letak tepi siap2. Bukan apa, takut terusik, kang tak habis, kena bayar jugak.


Total price kami kat kedai ni dengan lauk pauk terpilih kena lah 180,000 rupiah. Ok lah tu, reasonable.

Settle bab makan, kami gi solat dulu. Kat sini tempat solat pun senang. Kalau kat restoran tu, mesti ada bilik khas untuk solat. Surau (di sebut musholla di sini) pun berlambak-lambak. Masjid pun bersepah. Jalan sikit jumpa masjid. Dah macam satu kariah jer pun, tapi banyak masjid.


Settle jamak zohor dan asar. Ayuh teruskan tunggangan.

Our next check point is Lembah Anai. Tak jauh dah. Dalam 25 kilometer sahaja dari rumah makan tadi. Rasa macam jauh sebab persekitaran baru, tak pernah lalu dan sampai sana.


Di Lembah Anai ini terletak sebuah air terjun yang tak berapa besar, turun mencurah-curah dari lereng bukit lalu membasahi bumi, membentuk takungan tempat orang ramai berkelah dan mandi manda. Memandangkan masa yang agak suntuk, kami tak masuk dalam pun. Sekadar jejak kaki dan ambil gambar tanda kami dah sampai Lembah Anai.


Disini kami diuji dengan ujian kedua. Enjin Honda Beat Naj tiba2 breakdown. Mati macam tu je. Pakai starter tak hidup. Tendang pun dia tak mau. Ah sudah. Apehal pulak ni? Plug kong ke? Macam minyak tak sampai je. Dah ler tools satu benda pon takde.


Kami tak nak pening kepala. Masing2 bukan gheti sangat dengan skuter nih. Tanya orang kat mana bengkel motor. Kata orang ada kat bawah sana. Maknanya kena patah balik. Tak jauh.


Mula2 ingat nak tunda. Tapi sebab jalan tu macam turun bukit, so Naj glide macam tu je. Sambil2 tu dia cuba jugak hidupkan. Tapi tak mau jugak.

Elok je nak sampai kedai motor, tak sempat buat apa2, tiba2 motor tu hidup. Hahaha... tetiba. Elok je dia hidup. Dah tu camne? Nak singgah tak? Hmmm... tak yah lah. Kita terus je lah. Haishhh macam2 hal. Bikin orang cuak je.

Lepas daripada tu memang motor tu elok terus. Tak rosak apa2 dah. Ntah saka apa follow motor ko nih!

Dari Lembah Anai kami menuju ke Padang Panjang. Menyusuri jalanan, merentasi desa2 kecil dan hutan yang menghijau, perjalanan yang mendamaikan.


Kami takde buat apa pon kat Padang Panjang. Sekadar singgah dan bergambar di pintu gerbang dan jambatan keretapi yang menjadi mercu tanda di sini.



Dari Padang Panjang, kami terus sahaja ke Puncak Lawang. Sebenarnya jalan ke Puncak Lawang ni agak tersasar dari laluan nak ke Bukittinggi. Tapi disebabkan kami ni pengembara, haruslah eksplorasi ke tempat2 menarik di bumi Sumatera ini.

View perjalanan pun menarik. Banyak kampung Minang. Rumah tradisional atap runcing memang banyak disini.


Untuk membestkan lagi perjalanan ini, kami lalu short cut masuk jalan kampung mana ntah. Jalan tanah merah dan batu sahaja. Tu dia sawah padi pulak. Yang hijau, yang kunin. Siap berhenti tengok orang tanam padi. Photo shoot itu pasti.






Memang kat Sumatera ni, dari Kota Padang ke Bukittinggi, terlalu banyak sawah padi. Diorang ni usahakan padi ni, nampak gaya macam guna kaedah tradisional jer. Dari proses menanam, sampai ke menuai. Tak nampak pulak jentera menanam atau jentera menuai. Now i understand kenapa kerbau sangat sinonim dengan masyarakat minang, sehingga digelar Minangkabau. Kerana kerbau sangat membantu dalam kerja membajak. Nampak tak jauh perjalanan, bertambah pengetahuan. hahaha!

Lepas habis sawah tu, boleh pulak jumpa kampung2 yang nampak bersih dan mendamaikan.



Disinilah terjadi satu peristiwa dimana kamera kompak yang saya bawa ni terjatuh ke atas jalan. Saya tak perasan. Alee yang di belakang saya ternampak kamera saya jatuh masa lalu bumper. Hentakan itu menyebabkan kamera terlucut dari tempat pergantungannya. Alee kejar saya bagi tau... kami patah balik. Ngam2 sampai ada budak kampung ni dah nampak dulu, nak rembat masuk poket. Kami nampak, kami tegur nak balik kamera tu. Dia bagi, tak banyak cakap. Kami say thank you, kami blah.

Fuhhhh... mujor kami cepat. Kalau budak tu dah blah awal, memang tak dapat trace dah. Gambar semua ni lesap. Alhamdulillah... panjang umur lagi kamera tu. Dengan adanya teknologi shockproof, elok je boleh pakai sampai sekarang.

Jalan punya jalan sambil meratah selekoh2 kecil yang sempit, akhirnya sampai juga kami Puncak Lawang.


Tapi awas! Sebelum masuk, kami kena tahan kena bayar tol dahulu. Bukan tol lah. Dia macam entrance fee gitu. Tapi pondok kayu tepi jalan tu simple sangat. Mungkin inisiatif orang kampung untuk mencari sedikit pendapatan. Harga pun tak mahal. Tak sampai 10,000 seorang pun.


Apa yang best kat Puncak Lawang?

The view. Dari Puncak Lawang ni, nun terbentang luas di bawah sana pemandangan Danau Maninjau saujana mata memandang. Jiwa tenang...


Apa lagi selain dari pemandangan?

Kat sini ada aktiviti paragliding. Diorang panggil paralayang. Kami tak cuba lah. Tak cukup masa. Lagi kena bayar. Lari bajet kang. Dah ler rupiah tak berapa nak banyak.


Lagi ada flying fox, playground tempat budak2 main, gerai-gerai cenderahati. Benda2 gitu je lah.



Dalam sejam gak la lepak situ, kami pon gerak. Turun bukit patah balik ikut jalan tadi terus ke Maninjau pulak. Tadi nampak tasik yang luas tu dari Puncak Lawang, kan? Sekarang kami nak turun pergi ke tasik tu.


Sempatlah isi minyak lagi kat stesen minyak mini macam ni. Unik... takde kat Malaysia. Mula2 dia pam dulu minyak tu sampai naik, lepas tu baru picit masukkan dalam tangki.


Apa yang best kat Danau Maninjau?

Sebenarnya takde apa pun. Hanya sebuah pekan kecil yang agak lengang. Entahlah... mungkin ada yang best... tak sempat nak explore.

Yang best sebenarnya laluan nak ke danau itu. Haaa... yang ni lah trademark dia. Laluan yang tanda kuning macam dalam map kat atas tu, nama dia Kelok 44.


Apa benda tu?

Ok... Kelok 44 adalah laluan turun naik ke / dari Maninjau. Kelok tu maksudnya selekoh. Maka jalan tu ada 44 selekoh yang memang jenis 'hairpin corner' dengan pemandangan indah sawah bukit berlatar belakangkan Danau Maninjau. Setiap selekoh ada signboard bagi menandakan kita dah berada di kelok yang ke berapa. Memang lalu sini nak layan selekoh dengan view jer. Lepas tu, sampai bawah naik balik.




Puas layan selekoh menurun, kami tiba di Maninjau ngam2 pukul 6.45pm.


Tak leh lepak lama2. Risau hari makin gelap. Perjalanan masih jauh. Ikut jadual asal memang tersasar dah. Tapi eksplorasi punya pasal, kami gagahkan juga.

Ke Bukittinggi destinasi seterusnya. Layan Kelok 44 sekali lagi, kali ni menaik pulak.



Ehh... dah tak jauh lah.. Lebih kurang 25km je pon. Sejam boleh sampai.

Tapi masalahnya, ini tempat orang. Kami pun tak tahu laluan tu macamana. Hutan ke, rumah orang ke. Jadi untuk mengelakkan risiko yang lebih tinggi, lebih baik gerak cepat.

Ride punya ride, dari siang bertukar malam, akhirnya sampai juga ke chekpoint di Bukittinggi. Sebuah hotel bajet yang bernama 'Hello Guest House'.


Dah nama pun hotel bajet. Kecik je tempatnya. Macam shop lot je. Bersih dan selesa. Menjadi pilihan Tripadvisor. Sesuai sangatlah untuk musafir ala2 back packers macam kitorang ni. Motor pun selamat boleh parking masuk dalam.

Kami sewa satu bilik dorm 5 katil - 4 katil single, satu queen. Ada bilik air sendiri. Cukuplah untuk kami enam sahabat berehat dan tidur. Sewa dia RM30 seorang.



Bukittinggi sejuk weh. Bukan lah sejuk menggigil gitu. Nyaman dan dingin jer, ala2 macam KL sesudah hujan di waktu subuh. Suasana kat sini pun tenang jer. Dekat dengan hotel kami ada dua masjid. Dekat sangat. Bila azan macam serentak pulak. Musykil jugak. Bukan ke satu kariah patut ada satu masjid? Ke yang lagi tu bukan masjid? Pesantren? Entahlah.


Dah check in, saya mandi dulu sementara diorang rehat2 sambil buat pembahagian duit rupiah macam main monopoli. Tak main dah nilai kecik2. Main puluh2 ribu, ratus2 ribu... heybarkkk!!!


Lepas tu kitorang turun ronda-ronda kota Bukittinggi. Ronda dekat2 hotel, jalan kaki je. Tengok orang jual t-shirt bertulisan minang di kaki lima.


Jalan punya jalan sampailah kat mercu tanda popular Bukittinggi ni. Jam Gadang namo eh. Gadang tu besar dalam bahasa minang. Jadi kalau direct translation, jadilah Jam Besar.


Kat sini happening jugaklah. Ramai orang lepak2. Naik kereta kuda. Ada bazar macam uptown, jual t-shirt dan cenderahati. Boleh lah kalau kaki shopping tu. Orang Malaysia pun ramai jugak. Memang dia aim orang Malaysia je kot tempat ni.


Satu lagi produk yang popular kat Bukittinggi adalah kain sulam. Kata orang murah giler kot. Ntah... saya tak tanya pon.

Habis ronda2, perut pun dah lapor, kami cari tempat makan pulak. Dah pukul 11.00 malam. Banyak rumah makan dah tutup. Jalan lagi sampai nampak satu restoran ni, macam ekskusif lah sikit. Ada budak2 buat live show akustika. Hmmm... belasah je lah. Tak larat nak jalan dah. Badan dah penat, mata dah ngantuk, perut dah lapor.


Balik hotel. Ngantuk giler kot. Dah ler pagi tadi bangun sebelum Subuh. Lepas tu seharian ride. Letak kepala je, terus tidur. Diorang buat apa ntah.

Hari kedua, sebelum terbit matahari lagi dah bangun. Masing2 bersemangat untuk meneruskan ride.


Hotel ni, walau pun back packers, tapi ada jugak lah breakfast. Simple2 jer. Nasik goreng ngan pisang. Cukuplah. Kami nak makan banyak mana pun. Breakfast kat kedai pun makan sejenis makanan je kan? Syukurlah daripada takde... hahahaha!

Lepas makan, kitorang terus siap nak keluar. Salam and say goodbye to uncle yang jaga hotel, selanjutnya kami menuju ke salah satu tempat pelancongan popular di Bukittinggi ni.


Nama tempat ni, Taman Wisata Panorama dan Lobang Jepang. Dia semacam pakej. Boleh tengok view kawasan lembah Ngarai Sianok ala2 Grand Canyon tapi ada pokok. Lepas tu boleh menjelajah ke terowong sulit peninggalan tentera Jepun yang terletak dalam kawasan yang sama. Itu je yang sempat dibuat. Nak lebih daripada tu tak sempat. Perjalanan masih jauh. Ada tempat yang harus dituju.






Lepas beberapa ketika, puas bergambor dan tayang muka, kami bersegera meninggalkan kota Bukittinggi. Destinasi kami seterusnya adalah ke Lembah Harau.


Perjalanan menyelusuri pekan-pekan kecil, kawasan pertanian dan sawah padi berlatar belakangkan kampung-kampung yang tenang, aman dan damai, pemandangan yang mempersonakan.

Dalam perjalanan, kami singgah di sebuah gerai menjual kerepek. Macam2 jenis kerepek lah, dari pisang salai goreng hinggalah ke yang jenis rare tak pernah jumpa kat Malaysia. Masing2 pakat borong sebagai ole-ole ke Malaysia. Pisang salai paling top kitorang borong. Dari penuh sekarung besar dia tu, sampai tinggal suku. Harga pisang salai goreng ni  60,000 rupiah sekilo. Kira2 RM30. Lain kerepek ada yang harga 40,000 rupiah sekilo. Kira murah lah sebab kami beli dalam kampung, bukan kawasan pelancongan. Di tempat lain mungkin lebih mahal. Nak food test pun senang. Cakap je nak rasa apa. Laju jer diorang serve untuk kami.


Perjalanan diteruskan lagi setelah kami puas makan dan borong kerepek. Adik yang jual tu bagi lagi extra pek secara percuma, tanda terima kasih barangkali sebab kami borong banyak.

Ride punya ride, dari bandar ke kampung, kampung masuk kawasan bandar balik, tak nampak lagi Lembah Harau kat mana nih? Jalan jer ikut Waze yang setia menjadi jurupandu kami. Ada port menarik untuk bergambar, kami berhenti.


Akhirnya, sampai lah kami ke Lembah Harau. Sebagaimana namanya, Lembah Harau adalah kawasan perkampungan yang didiami manusia yang menjalankan aktiviti tanaman sawah padi. Menariknya, kampung dan sawah ini berdindingkan bukit batu kapur, menjadikan pemandangannya cukup indah untuk santapan mata.


Dalam kawasan Lembah Harau ini juga, ada air terjun kecil yang turun lalu membentuk shower gitu. Di bawahnya ada pula kolam kecil. Sesuai untuk mandi manda atau lepak santai bersama teman juga keluarga.



Penat berfotografi, dalam cuaca yang panas terik ni, boleh pulak diorang belasah durian. Durian kampung, orang tempatan jual murah2. Lepas sebiji, sebiji dibukak. Berselera sungguh!


Selesai bab makan, sendawa pon dah bau durian, kami meninggalkan Lembah Harau menuju ke destinasi seterusnya, Pondok Flora.


Pondok Flora ni mula2 saya ingat pondok apakah? Rupanya, restoran... Letaknya on the way nak balik ke Padang.


Layan masakan minang lagi. Dikelilingi oleh sawah padi,

Aiyoooo... 2 hari berturut makan masakan minang. Tapi diorg tak gumuks sbb dia orang kerja bendang. Banting tulang... Kita??? Apa pon... Alhamdulillah... rezeki dibumi sumatera. Makan tak susah. Kedai muslim bersepah... tak macam Bali.


Kalau lihat di sekeliling, ada beberapa kedai lain yang sama konsep berhampiran kawasan ni Ibarat menggamit kedatangan pengunjung untuk datang dan makan. Target market dia, orang2 yang berulang alik antara Padang ke Bukittinggi. Majoriti pelancong lah, mostly dari Malaysia. Biasa supir akan bawak pelancong singgah sini. Maka harga makanan di sini lebih mahal compare to makan kat Kiambang Raya semalam. Dengan lauknya yang macam2, siap ikan bakar lagi. Tengah lapor. Makan panas2, tengah sawah pulak tu, selera dia memang lain macam.


Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut kita ride lagi. Destinasi seterusnya adalah untuk melawat ke Istana Pagar Ruyung.


Macam familiar kan nama Pagaruyung? Tanah Datar, Payakumbuh, Batusangkar. Nama2 suku dalam adat Minang, macam kat Negeri Sembilan. Kalau dikaji sulur galur keturunannya, memang asalnya dari sini.

Perjalanan sejauh 8km itu agak sibuk dengan kenderaan. Jalan utama barangkali. Be a rider, must be extra careful. Expect the unexpected. Awak tu mentimun... Lalulintas bertambah2 lagi sibuk sehampir tiba ke kawasan istana.


Istana ini adalah bekas kediaman pemerintah tertinggi kerajaan Pagarruyung sewaktu masa dahulu yang akhirnya jatuh sewaktu kedatangan penjajah Belanda. Dah lama sangat tu. Bila dah jatuh kerajaannya tu, maka tinggallah istana ini sebagai salah satu peninggalan sejarah.


Memang besar sungguh istana ni, lalu diberi nama Istano Basa (istana besar) Pagarruyung. Dengan senibina minang yang unik, bayangkan kuasa dan pengaruh yang dimiliki oleh raja yang mendiami istana ni. Zaman sebelum Belanda dulu, mana ada jentera berat, lebih2 lagi zaman dulu kawasan kampung jauh di pedalaman, memang power ah diorang boleh buat struktur sebesar ini.


Walau bagaimanapun, istana ini bukanlah monumen asal yang terbina sejak sekian lama. Ini versi klon... atau rebuild... atau replika... setelah monumen asal terbakar akibat dipanah petir pada tahun 2007. Maka diorang clearkan tempat tu, buat baru sebijik saling tak tumpah macam yang asal.


Kitorang tak masuk. Tapi kena bayar tiket gak walau pun nak berlegar-legar luar istana... Lepak2 kat luar sambil ambil gambar. Nak cepat. Perjalanan masih jauh. Nice jugak lah tempat ni.

Our next check point is Danau Singkarak.


Subhanallah... pemandangan yang mables... tasik macam laut... luas... berombak... biru...


Danau Singkarak adalah sebuah tasik yang sangat besar, ranking no.2 terbesar di Pulau Sumatera. terbentuk hasil daripada aktiviti gunung berapi pada zaman dahulu.

Menariknya disini adalah kedudukan jalan raya yang betul2 disisi tasik menjadikan perjalanan ini cukup indah. Kami berhenti sekejap di sebuah Musolla bagi menunaikan solat. Kedudukan toilet dan tempat wuduk musolla ni pulak kat bawah. Memang betul2 tepi tasik. Sekali ombak tasik datang, terpercik masuk dalam toilet. Bila berdiri, terjongol kepala masing2. Dinding dia rendah... hahaha.

Kril pegi beli ikan bilis Singkarak pulak. Wahhh... tasik ni ada ikan bilis ke? Macam laut... tasik air masin eh?


Kemudiannya kami singgah di sebuah warung untuk berehat sambil minum2. Wahhh ada Fanta Susu... lama giler tak minum air nih...


Sempoi gak lepak kat pondok buluh ni layan minum petang bersaksikan Danau Singkarak.


Perjalanan masih jauh. Hari sudah semakin petang. Tugas sebagai pengembara masih belum selesai.


Ada kemungkinan malam baru sampai Kota Padang.


Usai merentasi Kota Solok yang sibuk, sebelum mendaki melalui Jalan Solok-Padang, kami terperasan bilangan anggota konvoi tak cukup seorang. Kril hilang dari pandangan. Last tadi masa sama2 isi minyak kat Pertamina Solok.

Alapadam... mana pulak ko hilang ni Kril???

Dapat satu port yang agak lapang dan selamat, kami berhenti di suatu tempat, dimana ada sebuah kedai agak usang yang hanya menjual keperluan asas.

Kami tunggu Kril. Tunggu punya tunggu, dah setengah jam tak muncul2. Haih... takkan tertinggal jauh sangat ni? Kami call banyak kali tak  dapat. Tunggu dia call pon x call2. Haih... musykil nih. Lalu saya diajak Faizal berpatah balik sehingga ke stesen minyak tadi. Manalah tahu kot dia ada kat tepi2 jalan tu. Tapi memang sukar nak cari orang tepi jalan yang sibuk itu dengan persekitaran yang asing. Tambahan hari sudah malam. Tengok sekali imbas, memang tak cam. Jalan punya jalan, jalan pelan2, sampailah ke stesen minyak. Takde clue misteri kehilangan Kril.

Ngam2 je sampai stesen minyak. member yang tunggu kat kedai tadi call, katanya Kril dah sampai. Hahaha... ngam2 sampai ke maksimum garis pencarian. Ok.. kami patah balik dulu. Nanti cerita.

Kami terus pecut menuju ke base. Rupanya tayar belakang motor Kril pancit lagi. Semalam pancit, hari ni pancit, hari2 pancit. Maka beliau membawa motor itu ke kedai. Dalam radius kehilangan beliau itu, phone pulak takde line. Hadoiii... Mungkin masa kami lalu tu dia ada dalam salah satu kedai. Tapi tu lah... tak perasan.

Apapon semua selamat. Alhamdulillah. Ayuh teruskan ke Kota Padang.

Tak dapat diduga berapa jauh lagi perjalanan ini. Kalau dekat pun rasa jauh sebab tempat tak biasa... malam pulak tu. Jalan punya jalan, rasa lain macam pulak jalan ni. Apehal mencabar sangat ni?

Rupanya kami sedang merentasi kawasan pergunungan Taman Nasional Kerinci Seblat. Rasanya, sepanjang kembara ini, inilah laluan paling mencabar yang menuntut ketabahan emosi dan fizikal. Jalan gelap, sempit, banyak kenderaan berat pulak tu. Dengan selekoh tajam V-shape, hair pin semua ada... memang giler lah ini jalan. Dah ler kelabu jer, tak tahu kabus ke debu ke. Pengalaman sungguh lah lalu jalan ni, ala2 jalan naik Genting nun. Dia punya tajam selekoh tu, lori kalau nak belok, kenderaan lain dari depan kena berhenti. Lepas tu ada pulak pondok2 kecik tepi selekoh tu tempat orang jaga lalu lintas bila ada lori lalu. Bukan jaga saja... ada tips yang dihulurkan oleh pemandu lori.



Dalam gelap tu, tiba2 hujan gerimis pulak. Nasib baik dah dekat nak masuk kawasan kota. Tapi masih gelap lagilah. Dah mula nampak cahaya lampu jalan, baru lega.

Ngam2 masuk kota Padang, tu dia hujan nalla punya lebat. Kami singgah berteduh di sebuah kedai kasut tepi jalan. Sebelah tu ada gerai jual petrol. Sape nak minyak boleh isi dulu.

Lepas hujan berhenti, kami teruskan perjalanan menuju ke homestay. Dah tak jauh. Hanya beberapa kilometer sahaja lagi. Hari dah malam. Tersasar jauh dari plan asal nak sampai homestay jam 7.00 petang.

Sampai di homestay kami disambut mesra oleh Julius, tukang urus homestay yang ramah mesra dengan kami. Beliau nampak teruja dengan kepulangan kami.

Sampai homestay saya dah penat sebenarnya. Seharian ride dari awal pagi sampai ke malam. Rasa nak mandi, nak baring, nak tidur.

Tapi nampak diorang ni sihat bertenaga. Wahhh... apa rahsia anda? Excited nak gi makan pulak katanya.

Dah lewat. Dah dekat pukul 11.00 malam pun. Banyak kedai dah tutup. Kami tanya Julius, mana mau makan? Julius dengan gembiranya memberitahu tempat sekian2. On google maps, jumpa tempatnya. Ok, let's go.

Dekat je tempatnya. Sebuah restoren yang not bad, ala2 kedai tomyam kat tempat kami. Tapi tak jual nasi ke tomyam ke semua bagai tu. Murtabak mesir menu speselnya. Lupa dah nama dia. Harga pon berpatutan.

Balik ke homestay lalu ikut laluan jauh sikit. Saje pusing2 tengok Kota Padang di waktu malam. Takde apa pon. Kedai banyak dah tutup. Jalan pun lengang.

Dah lewat. Saya sangat penat. Saya mahu tidur.


Hari ketiga, hari terakhir. Takde aktiviti sangat sambil2 nak tunggu flight balik KL. Pusing2 kota Padang cari breakfast kejap. Kami pun takde idea nak makan kat mana sebenarnya. Just jalan jer, sampai lah terjumpa kedai ni...

Tak jumpa pulak nasi lemak ke, roti canai ke... jauh sekali nasi kerabu atau nasi dagang. Ini antara menu sarapan kami... Sate pariaman, ais cendol, gado2, nasi sup dan seumpamanya.

Lepas sarapan, ronda2 Padang konon nak tengok tempat menarik. Tapi kejap jer sebab ada orang nak balik homestay sakit perut nak memerut.

Lepas tu balik homestay. Rehat2, packing barang sambil nonton tv.

Lagi dua jam sebelum take-off, kami mula bergerak ke airport dengan Avanza yang sama macam kami datang hari tu.

Kami sampai awal. Tengah hari. Makan dulu siap2. Satu restoran makanan segera milikan tempatan barangkali. CFC namanya. Saje ah nak try boleh celen kepsi tak? Lagi pun takde pilihan lain.


Lepas makan, kami masuk departure hall. Airport Minangkabau ni takde lah besau nau. Berganda-ganda besar KLIA2 kot. So proses check-in dan imigrasi agak pantas, melainkan kalau ramai orang, kena beratur agak lama sikit sebab kaunter tak banyak.


Sampai KLIA2... kami pun bersurai membawa haluan masing2.

Secara keseluruhan, kami tukar matawang rupiah sebanyak RM500 untuk perbelanjaan seperti item di bawah. Airport tax tu tak payah. Airport Minangkabau dah impose airport tax masa beli tiket pesawat. Bajet dibawah tak termasuk tiket pesawat. Harga tiket boleh check website airasia.com. Kadar dia mungkin berubah mengikut tarikh perjalanan.


Hidup mengembara, meneroka lokasi yang begitu asing, menghimpun pelbagai cerita dan pengalaman. Kembara bermotosikal, mendekatkan diri dengan alam dan manusia, bermodalkan keazaman dan kecekalan.

Sama macam lah macam daki gunung, masuk marathon.

Objektif sama, tapi cara berbeza.

Sesekali pergi travel memang layan...
Travel is not reward for working,
it's education for living.

2 comments:

efa said...

wow syoknya..lembah harau dan istana tu...mengagumkan..nice shot

Unknown said...

sangat lah menarik !.... kagum saya... besnya dpt tengok view cantik macam tu