G7 EPISODE 6: GUNUNG ULU SEPAT

Gunung Ulu Sepat (dikenali mesra sebagai GUS) terletak di Banjaran Titiwangsa dan bersempadan antara Perak dan Kelantan. Dengan ketinggian lebih kurang 2,161 meter (7,090 kaki) dari paras laut, ia merupakan gunung ke-7 tertinggi di Semenanjung Malaysia, dan salah satu daripada “G7” yang menjadi wishlist wajib para pendaki tegar tanah air.

Ini adalah gunung ke-enam kami dalam misi menawan G7.

It was me and my hiking buddy yang kemaruk untuk menamatkan misi gila ini. Misi G7 ni bukan calang-calang. Bukan macam misi jadi pelancong duduk hotel berbintang-bintang atau misi cari tempat makan viral. Ini misi yang melibatkan peluh, keringat, dan kadang-kadang darah (akibat terluka dan serangan pacat). Setiap langkah mendaki adalah lambang keteguhan jiwa, setiap titisan peluh adalah bukti tekad yang tidak goyah.

Langkah demi langkah, kami berazam untuk menawan puncak GUS dengan matlamat demi menyempurnakan misi G7 bukan sekadar melatih fizikal, tetapi juga mental dan spiritual untuk menjadi lebih baik dari semalam. 

G7 bukan sekadar gunung, ia simbol perjuangan. Dan kami, para pendaki, adalah pejuang yang tidak akan tunduk pada cabaran.

Bila tengok orang lain dah grad G7, kami pun rasa tercabar. Dalam hati, “Kalau dia boleh, kita pun boleh.” Tapi dalam hati juga ada suara kecil, “Kau yakin ni? Kau ingat lutut kau umur 20 lagi?” Slowly but surely we conquer, walau pun setahun hanya sekali, sebelum umur mencecah 5 series, insha-Allah completed!

Kami sudah menawan 5 gunung sebelum ni (tidak termasuk gunung-gunung lain yang bukan kategori G7). Bermula dari Gunung Tahan yang super hardcore serta memberi inspirasi untuk menawan ke puncak G7 seterusnya, hinggalah ke Korbu - Gayong (KORGA) yang jahat nak mampus. Dan sekarang, GUS jadi gunung ke-enam.  Kalau takde aral menghalang, Insha-Allah tahun depan boleh grad di Puncak Chamah. Tapi sebelum sampai ke tahap tu, GUS perlu ditawan dulu. Dan GUS bukan calang-calang gunung.

Istimewanya GUS bukan sebab indahnya pemandangan di puncak (memang tak nampak), tapi sebab pengembaraan ke sana melibatkan kombinasi boat ride, 4x4 ride dan hiking dalam hutan asli yang masih tebal. Lebih istimewa sebab pendakian kali ini tidak perlu bawa dan pacak khemah. Kami menginap selesa dalam 'banglo' orang asli.

🚗 Prolog: Pengembaraan Bermula

Petang Jumaat, jam sudah menunjukkan 4.00 petang, kami yang hanya berdua mula bergerak dari Lembah Klang dengan keterujaan membara. Misi kali ini bukan sekadar hiking suka-suka, tapi untuk menawan puncak keenam dalam siri misi G7 kami.

Highway PLUS petang tu macam pesta cahaya, berkebetulan pula dengan permulaan cuti hujung minggu yang panjang sempena cuti sekolah dan perayaan Deepavali. Trafik sesak di beberapa lokasi, kami redah juga, dengan hiking buddy disisi, kami berbual pelbagai perkara untuk meredakan ketegangan meredah kesesakkan.

“Kalau tak jammed, 5 jam dah sampai Gerik bro!”

Tepat jam 12.00 tengah malam, selepas hampir 7 jam perjalanan, akhirnya papan tanda “Selamat Datang ke Gerik” pun muncul. Kami hanya singgah sekadar untuk berhenti solat di sebuah R&R dan makan malam yang agak lewat dari kebiasaan di sebuah kampung di Lenggong, en route to Gerik.

Kami late check-in di Hotel Sri Bintang, bukan untuk bercuti, tapi semata-mata untuk tidur. Nak mandi pun tak semangat sebab sudah lewat malam dan mata masing-masing dah berat semacam, apatah lagi melihat kepada katil dan bantal yang empuk, letak kepala tak sampai seminit, terus lena hingga ke subuh hari.

Sedar-sedar aje alarm di telefon sudah memekak, suruh bangun cepat-cepat. Mandi, solat dan check-out. 

Walaupun singkat, penginapan itu sangat penting untuk recharge badan supaya lebih bertenaga untuk menempuh satu perjalanan yang panjang serta memerlukan kekuatan fizikal dan mental. Ada orang drive malam, dah sampai terus nak jalan. Bila badan tak cukup rehat, mula-mula memang rasa “ok je ni, steady lagi”, tapi bila dah separuh jalan dalam hutan, mental dan fizikal mula tidak beri kerjasama. Masa tu kau akan mula rasa menyesal dan rasa alangkah bahagianya dapat duduk rumah baring-baring sambil tengok tv.

Itulah sebabnya walaupun penginapan kami cuma beberapa jam, ia tetap penting. Bukan untuk keselesaan, tapi untuk survival esok hari. Jadi pastikan tidur dan rehat yang mencukupi. Perjalanan masih jauh.

🌊Tasik Banding – Dari Permukaan Air ke Denai Hijau

Pagi itu tenang. Cuaca sangat baik. Kami tiba di Jeti Awam Tasik Banding selepas hampir 40 minit memandu dari pekan Gerik, meredah sebahagian daripada Lebuh Raya Timur - Barat, membelah kabus awal pagi. Berdasarkan tentatif, kami berjaya sampai on time.

Suasana pagi di jeti memang meriah. Ramai pelancong warga tempatan, penuh dengan kereta, motor dan bas, masing-masing dengan aktiviti tersendiri. Ada yang nak pergi memancing, ada yang nak pergi Royal Belum, ada yang nak bercuti santai atas houseboat. Ada juga group lain nak pergi hiking sama dengan kami. 

Kami pusing dua tiga kali cari parking. Akhirnya jumpa satu spot tepi jalan yang nampak “boleh lah”, walaupun agak menyeramkan kalau JPJ lalu. Tapi kami yakin sahaja sebab ramai je yang parking di situ. Lagi pun tak mungkin JPJ datang tengah-tengah banjaran Titiwangsa ni.

Satu demi satu geng lain mula muncul. Mula-mula memang tak kenal. Kami agak-agak sahaja bila ternampak galas beg pack besar macam orang nak masuk hutan. Sekadar bertegur sapa tanya nak pergi mana, lantas bersalaman, sembang sikit, gelak sikit, lepas tu terus buat kawan.

Tunggu punya tunggu, gogo dan guide belum juga sampai. Rupanya ada sedikit plot twist: gogo kami tak dapat datang sebab terlibat uruskan tragedi Gunung Liang. Bukan alasan main-main sebab dia memang anggota bomba, hero sebenar, bukan sekadar hiking demi konten. Jadi dia hantar back-up, dari team dia jugak untuk lead pengembaraan kali ini.

Sementara tunggu semua dah ready, kami lepak kat kafe. Bukannya nak makan sangat pun. Tapi mencari bekalan untuk dibawa dalam perjalanan sebagai santapan tengah hari. Pelancong ramai tapi satu kedai je buka. Kedai jual nasi lemak. Laris jualan pakcik tu. Awal pagi dah mula kerja, murah rezekinya. Memandangkan tiada pilihan, kami beli sahaja nasi lemak itu sebungkus seorang. Cukuplah sekadar untuk mengalas perut disamping bekalan makanan kering sedia ada seperti kurma, coklat, kekacang dan sebagainya. Hiking ni macam bersenam juga. Tak boleh makan kenyang sangat, nanti melemahkan anggota badan.

Ikut jadual, sepatutnya pukul 8.00 pagi dah gerak. Tapi sebab gogo dan guide belum muncul, kami ronda-ronda sekitar jeti. Masa tu baru perasan, rupa-rupanya bawah tu ada satu houseboat yang diubah suai jadi warung roti canai. Kalau tahu awal tadi, confirm kami dah bersarapan gaya ala restoran terapung. Tapi sekarang dah lambat… takut gogo tiba-tiba muncul sambil jerit, “Semua naik bot sekarang!”

Tepat 8.30 pagi, barulah mereka sampai. Bila tanya kenapa lambat, rupanya kena “sidai” kat balai polis masa nak hantar permit. Gara-gara tragedi Gunung Liang, panjang lebar pula nasihat pak polisi, katanya.

Setibanya mereka di jeti, ration pun mula diagihkan. Kami ambil pakej 'tanpa ration'. Walaupun kena tambah bayaran, tapi berbaloi, apatah lagi harga yang ditawarkan dalam julat kemampuan kami. Dalam kepala, kami dah buat kira-kira: “Tambah duit sikit tak apa, asalkan tak tambah beban 3-4 kilo dalam beg.” Nak hiking santai-santai, sebolehnya cuba meringankan beban selagi boleh. Beban yang ada ni pun dah 12-13 kilogram. 

Kalau cuaca mengizinkan, dari jeti ni dah boleh nampak puncak Gunung Ulu Sepat. Tersergam jauh di sana, diselimuti kabus nipis macam tengah berselindung malu-malu di balik awan. Bagi yang pertama kali datang, memang sukar nak percaya kat situ la nanti kami akan berdiri, berpeluh, dan mungkin menyesal sekejap sebab terlalu yakin masa daftar trip. Tapi bila tengok puncak tu dari jauh, ada satu perasaan yang susah nak digambarkan. Antara kagum dan gentar menanti apakah cabaran yang menanti di sana. Bentuk segitiga tepat itu sahaja sudah membayangkan tahap kepacakkan yang bakal dihadapi. Walau pacak macamana sekali pun, semangat untuk melengkapkan misi G7 tetap membara. 

🚤 Bot, Tasik dan Kebangkitan Semangat G7

Tepat jam 9.30 pagi, kami mula bergerak dari Jeti Awam Tasik Banding menuju ke Jeti Pos Kemar. Perjalanan menaiki bot ini bukan sekadar pengangkutan, tapi permulaan kepada satu pengembaraan yang penuh warna dan cerita.

Dengan 24 orang line-up dan 4 orang gogo/malim, kami memerlukan 2 buah bot untuk memuatkan semua insan berjiwa kental yang siap sedia menawan GUS bersama dengan kargo sebesar 40 ke 70 liter seorang. Bot panjang, berbumbung, dan berkuasa tinggi, bukan bot biasa-biasa. Satu bot 12 orang... oklah tu. Bot pun bukannya besar sangat. Lainlah kalau house boat, boleh sumbat semua sekali gus...


🛶 Perjalanan Air: Dari Kabus ke Kampung

Bot kami meluncur laju membelah tasik yang tenang. Angin sejuk menyapa muka berserta alunan bunyi enjin bot memecah suasana hening pagi di Tasik Banding. Sesekali kelihatan sekawan burung-burung berterbangan seolah-olah mengucapkan “selamat datang” kepada kami.


Selepas hampir 1 jam meredah tasik, kami tiba di Jeti Pos Kemar, pintu masuk ke sebuah dunia yang berbeza. Di sini, tiada bunyi hon, tiada kedai mamak dan jauh dari kesibukkan kota. 


Jeti Pos Kemar letaknya di hujung selatan Tasik Banding. Ia menjadi laluan utama bagi komuniti Orang Asli, pendaki mahupun orang luar yang menghubungkan dunia moden dengan pedalaman Banjaran Bintang. Satu-satunya pintu masuk yang menghubungkan tamadun dengan kehidupan tradisi di perkampungan Orang Asli dan hutan rimba perak.

Di sinilah bertemunya aliran Sungai Tiang dengan hamparan Tasik Banding, titik pertemuan air dari gunung dengan tasik buatan manusia yang luas ini mencipta satu simpang semula jadi yang menjadi nadi pengangkutan air, logistik dan perjalanan ke kawasan hutan antara paling misterius serta paling di Semenanjung Malaysia.

Jalan alternatif melalui darat sebenarnya wujud, tetapi sangat jauh, sempit dan mengambil masa yang lama untuk ditempuh. Laluan itu lebih sesuai untuk kenderaan pacuan empat roda dan hanya digunakan oleh penduduk tempatan yang benar-benar biasa dengan selok-belok kawasan ini. Sebab itu, jalan air melalui Tasik Banding menjadi nadi utama pengangkutan kerana ianya lebih cepat, lebih selamat dan pastinya lebih indah dengan pemandangan tasik yang tenang dikelilingi hutan menghijau.


🤝 Kembara 4x4 ke Kampung Kemar

Dari Jeti Pos Kemar kami menaiki kenderaan pacuan empat roda menuju ke sebuah 'dunia' yang semakin terpencil dari ketamadunan manusia. Perjalanan agak mencabar pada mulanya apabila terpaksa mengharung laluan tanah merah yang becak, semestinya tidak rata, membuatkan jantung semakin berdebar apabila memikirkan risiko tercampak dari kenderaan. 

Mujurlah tidak lama, sebaik sahaja memasuki kawasan kampung, jalan tar/konkrit sudah dibina oleh pihak kerajaan, menandakan bahawa meskipun lokasi ini jauh, ia bukan pula terbiar sepenuhnya.

Menyelusuri perkampungan orang asli di lereng banjaran ini, kami menyaksikan kehidupan yang jauh dari kemodenan kota dalam keadaan yang tersusun, bersih, aman dan sejahtera. Kelihatan sekolah, klinik serta beberapa kemudahan asas yang dibangunkan membuktikan bahawa walau pun jauh di pedalaman, kehdupan mereka tidak dipinggirkan oleh kerajaan. Tidak dipastikan terdapat bekalan elektrik atau air bersih terawat disediakan. Namun apa yang menarik adalah perkhidmatan telefon bimbit dan data mudah alih juga wujud, bermakna smartphone sudah digunakan oleh generasi muda di situ. Rumah-rumah di kampung ini juga sudah menunjukkan satu peralihan dari segi rekabentuk, bukan lagi rumah kayu beratap daun rumbia dan berdinding buluh yang sering kami bayangkan, tetapi sebahagian besar kini dibina daripada batu atau konkrit, dengan reka bentuk yang lebih moden. Malah ada pula piring satelit (“astro”) terpasang di atas bumbung rumah yang berpintu kaca dan tingkap aluminium, menandakan bahawa mereka bukan hanya mengekalkan nilai budaya sendiri, malah turut mengikuti arus kemajuan dunia luar.

Tiba di Kampung Kemar

Setelah kira-kira 30 minit menempuh perjalanan menggunakan pacuan empat roda, kami akhirnya tiba di Kampung Kemar. Perjalanan singkat tapi penuh cabaran. Kami berpanas, berhimpit, terhuyung-hayang melantun kiri kanan, kadang terpercik lumpur hingga kena muka. Yang duduk dalam kabin senyum sahaja sambil sembang dengan driver.

Sebaik sahaja 4x4 berhenti, kami diserbu oleh sekumpulan kanak-kanak Orang Asli. Sudah menjadi resam disini, mereka tahu bila orang luar datang, ada rezeki untuk mereka. Kerana itu memang ada antara kami yang dah standby bawa stok gula-gula, wafer, biskut dan pelbagai makanan ringan untuk diagihkan. Walau pun dapat sedikit seorang, tapi cukup untuk membuatkan mata mereka bersinar dengan keseronokkan dan kebahagian.

Melihat senyuman mereka itu menjadikan kami lebih bersyukur dan menghargai. Satu peringatan bahawa kebahagiaan tak perlu grand. Ia simple.

Dalam kemeriahan melayan karenah kanak-kanak orang asli, ada antara kami terus ke tandas awam yang disediakan sendiri oleh komuniti Orang Asli di sini. Walaupun sederhana, ia sangat berguna untuk pendaki sebelum memulakan perjalanan sebenar dalam hutan. Tabung disediakan. Bayaran seikhlas hati.

Setelah semua settle, ketua malim lantas mengumpulkan semua team untuk short briefing. Tentatif perjalanan hari ini dibentangkan, checkpoint mana yang akan kita tempuhi, anggaran masa, pace bergerak, points keselamatan, komunikasi, dan apa yang “boleh / tak boleh buat” sepanjang di dalam hutan nanti.

Di sini, dunia moden sudah semakin tertinggal di belakang.

Dan dari sini, bermulanya langkah pertama memasuki hutan rimba sebenar yang tak pernah tunduk kepada sesiapa.

Permulaan Menyusuri Denai Hutan

Usai sesi taklimat, kami semua mula bersiap sedia dengan beg galas masing-masing. Ada yang ambil masa terakhir untuk adjust tali bahu, ada yang tambah air dalam botol, ada yang check semula flysheet, ada yang pastikan poncho ready. Hujan hutan tropika di sini sukar diramal. Cuaca boleh berubah sekelip mata.

Tepat jam 12.00 tengah hari, langkah pertama kami bermula dari kampung, menuruni sedikit laluan, kemudian memasuki denai kecil di celahan semak. Bunyi suara hilai tawa anak-anak yang girang semakin menjauh, diganti dengan bunyi serangga, unggas dan aliran sungai kecil yang menemani perjalanan kami. Pertama kali start hiking di waktu tengah hari rembang. Tapi sebab dalam hutan, dengan pepohon yang memayungi perjalanan, bahangnya kurang dirasai. Apatah lagi perjalanan baru bermula, tenaga masih banyak lagi. Perjalanan menuju ke Kem Kulim sebagai checkpoint untuk berehat sambil menikmati makan tengah hari dianggarkan mengambil masa sekitar 2 ke 3 jam.

Trek pada permulaan agak santai dengan sedikit mendaki kemudian turun kembali. Tetapi hutan ini bukan hutan biasa. Ia adalah belantara Belum. Masih tebal, masih liar, masih utuh. Masih aktif dengan hidupan liar seperti gajah. Tiada rezeki untuk bertembung, hanya najisnya sahaja bertompok-tompok di beberapa tempat. 

Beberapa anak sungai direntasi tidak membasahkan kasut lantaran titi dan jambatan binaan orang asli sudah tersedia untuk memudahkan pergerakkan. Dibina bukan hanya untuk laluan kami sebagai pendaki, malah turut menjadi laluan orang asli untuk keluar masuk mencari rezeki.

Selepas hampir satu jam meredah trek yang dirasakan agak landai, melalui akar bersimpul dan tanah lembap yang masih terasa baki hujan malam semalam, kami tiba di satu kawasan yang sedikit lebih lapang. Semua orang berhenti. Suasana yang tadinya sedikit sepi tiba-tiba riuh. 

Di celahan batang pokok itu, kami bertemu bunga pakma. Namun ianya masih belum mekar sepenuhnya. Masih dalam fasa awal, seolah-olah sedang bersiap perlahan-lahan untuk membuka dunia tersembunyinya. Reputasi bunga ini sebagai bunga terbesar di dunia membuatkan kami begitu teruja serta cuba merakamkan momen itu ke dalam telefon bimbit masing-masing. Walaupun belum terbuka, aura rare-nya tetap terasa. Maklumlah jarang jumpa, malah ada antara kami baru pertama kali jumpa si Raflessia ini.

Malim kata kemungkinan besar sewaktu kami pulang nanti, ia akan kembang sepenuhnya. Itu membuatkan kami lebih teruja, seolah-olah hutan ini sedang merancang sebuah kejutan untuk kami di hari terakhir nanti. Sememangnya menjadi tradisi para pendaki, kalau jumpa pakma mekar, ibarat bonus yang bukan semua orang dapat. Jadi untuk memendekkan cerita, dipaparkan pakma setelah ia mekar sepenuhnya sewaktu kami lalu dalam perjalanan turun.

Sejam setengah berikutnya, kami tiba di Kem Kulim. Sebuah kawasan lapang di tepi sungai yang jernih, mengalir tenang tetapi berarus jelas. Sungai di sini agak besar, cukup untuk mandi, rendam kaki, malah sesuai juga dijadikan tapak perkhemahan jika perlu overnight di sini. Bunyi air sungai menghilangkan rasa penat yang mula mengumpul sejak pagi tadi.

Inilah masa untuk berehat dan menikmati bekalan tengah hari yang kami bawa. Ada yang makan nasi bungkus dari pagi, ada yang makan roti, ada yang makan energy bar sahaja. Walaupun simple, semuanya terasa sedap bila dimakan dalam suasana begini... dalam hutan, dengan sungai sebenar berserta oksigen fresh direct dari proses fotosintesis hutan hujan tropika.

Tapi di sini juga kelibat pacat mula dikesan. Kena juga sedas dua. Biasalah… hutan ini tidak beri laluan percuma. Tak perasan bila dia masuk, tau-tau rasa gatal semacam. Selak baju, baik punya dia landing kat perut. Titiskan minyak angin cap kapak, menggelupur dia melepaskan diri.

Rehat kami tidaklah lama. Cukuplah sekadar setengah jam sahaja. Target nak sampai ke camp site dengan segera. Paling tidak sebelum mentari melabuhkan sinarnya.

Perjalanan diteruskan dari Kem Kulim menuju ke check point terakhir pada hari ini. Dari sini, trek sudah mula menunjukkan belang sebenarnya… semakin mencanak dan semakin memanjat namun masih belum mencapai tahap lutut bertemu dagu. Tenaga daripada lunch break tadi pun dah hampir habis terbakar. 

Kami melalui satu simpang penting yang dipanggil “Simpang Gerah”. Simpang Gerah ini sebenarnya titik persilangan laluan ke puncak Gunung Gerah, yang merupakan gunung terendah di antara 10 puncak dengan ketinggian melebihi 2,100 meter di Semenanjung Malaysia. Dari sini pendaki boleh buat split direction sama ada teruskan ke Ulu Sepat atau ke Gerah.

Selepas hampir lebih kurang 5 jam trekking dari starting point di Kampung Kemar, akhirnya kurang lebih tepat jam 5.15 petang kami tiba di Kem Kampung Lenweng, dengan perjalanan hari ini direkodkan sejauh hampir 11 kilometer (10.80km). Di sinilah kami akan bermalam dan melepaskan lelah sebelum meneruskan pendakian ke puncak pada esok hari. 

Selepas lebih kurang 5 jam trekking dari starting point di Kampung Kemar, akhirnya kami sampai di Kem Kampung Lenweng sekitar 5.15 petang. Total mileage hari ni lebih kurang hampir 11km (10.80km) jugalah kalau nak claim dekat Strava nanti, dengan ketinggian dianggarkan sekitar 1000 meter dari aras laut. Di sini kami boleh landing, longgarkan strap bag, reset mental dan recharge tenaga sebelum sambung misi serangan ke puncak esok. Malam ni fokus satu je: mandi, makan, rehat, baring dan tidur.

Dalam banyak-banyak campsite yang pernah kami diami sebelum ini, Kem Kampung Lenweng ni boleh dikategorikan sebagai campsite paling “proper” dan paling urban luxury versi hutan setakat ini. Boleh diibaratkan sebagai five star untuk standard hutan Banjaran Titiwangsa, umpama Ritz Carlton edisi buluh.

Kami tak perlu bersusah payah membawa dan pacak khemah. “Banglo” tradisional orang Asli sudah siap tersedia. Menggunakan struktur kukuh buluh dan beratap rumbia yang masih elok dan solid, Kem Lenweng menjanjikan keselesaan tahap tertinggi dalam hutan. Tilam dan bantal tidak disediakan. Maka kami harus membawa peralatan tidur masing-masing. Sleeping bag mesti. Tapi kalau kau sejenis extra comfort diva, angkutlah tilam dan bantal sekali. Tapi ingat… itu semua kena pikul dari bawah okay? 

Setiap unit boleh memuatkan dalam anggaran 20 – 30 orang dalam satu masa. Dengan beberapa unit rumah yang ada, cukup untuk menampung sejumlah pendaki yang bertandang ke sini. Semuanya dijaga dan diselia oleh keluarga orang Asli yang tinggal di sini. 

'Kompleks' penempatan ini menyediakan beberapa unit rumah untuk bermalam, tandas lengkap dengan bilik mandi, tempat mencuci dan pondok penyediaan makanan di sebuah dataran yang agak luas kira-kira lebih kurang setengah saiz padang bola sepak. 




Bila tidur ramai-ramai dalam satu banglo ni, barulah ada ruang nak borak, nak gelak, nak throwback apa yang berlaku sepanjang hari. Siang tadi masa jalan semua senyap, bukan sebab sombong tapi sebab nak simpan oxygen dan tenaga. Sebab track tadi makin lama makin mencanak. Nampak semua orang diam je tadi tapi hati masing-masing tengah bertarung sebenarnya.

Memandangkan kami tiba lebih awal dari kelompok besar yang lain, jadi kami terus ambil peluang untuk mandi dahulu sebelum crowd penuh. Tandas dan bilik air memang tersedia. Tak banyak, hanya 4 unit sahaja. Kalau ramai memang kena ikut turn. Ada yang ada atap, ada yang 'open air' konsep eksklusif. Tapi jangan risau… ada dinding. Kalau tak ada dinding… dapat tengok tiger show pula nanti.

Air pula disalirkan terus dari gunung/sungai. Pressure dia kuat juga, puas mandi, puas bilas. Tapi sebab kita sekarang berada pada ketinggian sekitar 1,000 meter dari aras laut, air dia sejuk bukan main. Mandi petang pun dah gigil, rasanya pagi esok tak sanggup dah nak mandi lagi. Kalau rajin boleh turun ke bawah sedikit dalam 100 meter, ada sungai boleh mandi puas-puas tak perlu risau nak tunggu giliran atau sebagainya. 

Elektrik? Zero. Memang tak ada langsung. Jadi jangan lupa bawa headlamp atau apa-apa gajet yang bercahaya.

Tempat memasak pula disediakan dekat pondok khas di luar. Hanya pondok kosong sahaja. Jadi semua barangan untuk memasak dari dapur, periuk, kuali, periuk belanga semua hinggalah ke barang basah dan barang mentah termasuk rempah dan rencah masakan haruslah di bawa dan diaturkan oleh pihak yang menguruskan trip. Di sinilah ration yang telah diagihkan seawal pendakian tadi akan dimanfaatkan. Kalau rasa tak nak campur dengan masyarakat atau alergik dengan makanan tertentu, boleh lah membawa bekalan sendiri. Kalau larat nak pikul tong gas sekalipun boleh. Takde siapa yang larang. Asalkan sebelum pulang, pondok dibersihkan seperti mana sampai dan sampah dibawa turun bersama. Tak boleh tinggal. Disini tiada majlis perbandaran yang boleh menguruskan sisa pepejal anda.

Dan satu lagi perkara yang buat campsite ni macam ada perkara yang hendak dibualkan adalah kehadiran seekor anjing yang sangat jinak... baik sangat. Untuk memudahkan perbualan dan panggilan, kami suka suki letak nama dia Jenny. Dia tak kacau orang. Dia just lepak santai tepi pondok makan, tunggu rezeki sikit-sikit dari pendaki yang baik hati. Dia macam caretaker senyap campsite ni, atau mungkin juga dibela oleh Tok Batin kawasan, itu tak dapat kami pastikan. Selain daripada perangainya yang behave, dia berkemampuan untuk naik ke puncak dengan pantas sekali. Esok kita cerita.

Malam semakin larut. Bunyi rimba mula mengambil alih pentas. Cengkerik, bisikan daun, bunyi air sungai dari kejauhan, semuanya bergabung menjadi irama rimba yang menenangkan. Kami berbaring dalam gelap, cuba untuk memejamkan mata dalam sejuk malam, bercahayakan headlamp yang dipadamkan satu demi satu. Tidak sukar untuk lena. Fizikal dan mental yang penat mempercepatkan proses nyenyak.

Sesekali terjaga di tengah malam, gelapnya bukan macam gelap rumah waktu blackout. Ini gelap jenis “black hole”… pekat, melikat. Ada waktu rasa nak ke tandas, tapi bila fikir nak keluar dari banglo buluh ni, melangkah ke tanah yang sunyi sepi dan berjalan sorang-sorang dalam kegelapan total… terus niat tu ditahan balik. Selagi boleh tahan, kita tahan. Kalau dah tak tahan sangat, baru kejut member sebelah. 

Esok cabaran besar menunggu. Battle ke puncak Ulu Sepat. Jadi malam ini, kami serah diri pada nikmat hutan, gelap malam dan sejuk puncak banjaran yang menyaluti banglo buluh ini, sebelum esok bermula, klimaks sebenar ekspedisi ini.


DAY 2: SUMMIT ATTACK: MENUJU PUNCAK GUNUNG ULU SEPAT

Kami bangun seawal subuh pada satu pagi yang tenang lagi mendinginkan. Sejuknya bukan sejuk biasa. Sejuknya menyusup terus hingga ke urat saraf, hinggakan nak mandi pun tak ada selera. Cukup sekadar wuduk dan menggosok gigi, itupun seperti satu ujian kecil sebelum ujian yang lebih besar sedang menanti.

Selesai solat subuh, kami mula bersiap. Tidak seperti hari sebelumnya, kali ini kami tidak perlu lagi memikul beban di atas belakang. Hanya beg kecil dibawa, sekadar menampung air, jajan dan makanan pemberi tenaga. Ada antara kami yang tetap mahu membawa stove kecil; katanya ingin memasak maggi dan membancuh kopi atas puncak nanti. Keinginan manusia untuk merayakan kemenangan mengikut citarasa masing-masing.

Air dibawa sekitar 3 liter, agak banyak juga kerana di laluan ini kami bakal melalui hanya satu water point. Itu pun jauh menyimpang dari trek asal, menuntut kita turun sepuluh minit dan memanjat kembali dua puluh minit, mengikut kata malim.

Jam 7.00 pagi sarapan sudah siap tersedia oleh chef malim. Kami makan sekadar mengalas perut. Pagi di hutan begini bukanlah seperti pagi yang dicipta untuk manusia di kota. Makan banyak, nanti rasa nak memerut, mana nak cari toilet sempurna dalam rimba sebegini. Bekalan nasi berlauk ayam juga siap berbungkus dalam plastik. Ringkas dan padat dengan karbohidrat, memadai untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Jam 7.30 pagi, kami semua berkumpul membentuk satu bulatan kecil di ruang lapang Kem Lenweng. Dalam kesejukan pagi yang masih menggigit, kami melakukan stretching perlahan; meregang paha, membuka sendi, memanaskan bahu dan pinggang, seperti memberitahu tubuh bahawa hari ini bukan hari biasa. Hari ini hari kami akan melakar sejarah, menjejak kaki ke puncak yang indah. Di depan kami, malim berdiri sambil memerhati, ditemani Tok Batin sambil berbual mesra, memastikan semua bersedia, bukan sekadar fizikal tetapi juga mental. 

Briefing ringkas tapi padat. Laluan akan bermula dengan pendakian ringan, kemudian semakin menegak selepas water point terakhir. Perjalanan ke puncak sekitar lima jam. Jangan terlalu laju, jangan terlalu lambat. Pastikan jarak pandang, jangan tinggal jauh di belakang. Dan yang paling penting, jangan tinggal kawan. Pastikan berteman. Jangan berjalan sorang-sorang.

Jam tangan masing-masing menunjukkan 7.45 pagi.
Langkah pertama diatur. Satu per satu menyusur ke dalam lorong sempit di bawah teduhan hutan. Cahaya pagi mula menipis di bawah kanopi daun. Suara unggas perlahan-lahan berganti dengan bunyi tapak kaki menghentam tanah lembap.

Pendakian pun bermula.
Perlahan. Teratur. Tapi penuh rasa.

30 minit pertama... laluan masih sopan. Tanah lembap, daun bertaburan, akar dan batang pokok bersilang seperti lorong kecil yang sudah lama dilupakan manusia. Elevation naik perlahan tapi konsisten. 

Suasana hutan masih tenang. Bunyi unggas masih kedengaran jelas. Tapi dalam hati, semua orang tahu… ini cuma mukadimah. intro soft opening sebelum hutan buka babak sebenar.

Hutan ni pada awalnya sangat gentleman. Dia bagi kau rasa hero dulu sekejap. Biar kau rasa stamina kau power sikit, mental kau solid sikit. Tapi semua itu hanya umpan awal sebelum intensity mula bertukar gear.

Dan di saat itulah kami mula sedar, perjalanan hari ini bukan sekadar mendaki gunung.

Belum pun satu jam perjalanan, kami melewati satu batang pokok raksasa, seolah-olah menjadi tiang dunia yang menghubungkan langit dan bumi. Besar batangnya tak muat frame kamera walaupun dah set 0.5. Tingginya melangit. Usianya mungkin ratusan tahun, sudah wujud jauh sebelum kami dilahirkan ke dunia. Ramai berhenti bergambar. Trek tersangkut seketika. Kami memilih untuk berlalu dahulu, memberi ruang kepada yang lain. Pokok itu tidak akan kemana-mana. Biarlah moment itu kami simpan ketika pulang petang nanti.

Selepas sejam lebih, barulah kanopi hutan membuka sedikit ruang, dan cahaya matahari melimpah betul-betul ke muka kami. Cahaya pertama setelah sekian lama berjalan dalam redup teduhan. View point terbuka memperlihatkan struktur banjaran Titiwangsa berdiri megah sebagai tulang belakang semenanjung Malaysia.

Tidak jauh dari situ, terpampang jelas papan tanda 'last water point'. Bermakna ini adalah titik terkahir kami untuk mendapatkan bekalan air bersih sebelum meneruskan perjalanan ke puncak. Walau pun begitu, punca air itu tidaklah terletak berhampiran dengan papan tanda. Perlu sedikit usaha untuk berjalan keluar dari trek, menuruni lurah sejauh 10 minit perjalanan, dan naik semula 20 minit. Jadi jumlah perjalanan bakal mengambil masa kira-kira 30 minit. Kami pandang, kami fikir, kami ukur air yang masih berbaki dan memilih untuk tidak turun. Perjalanan harus diteruskan.

Dan bermula dari situ, pendakian sebenar bermula tanpa diskaun.

Trek mula mempamerkan taringnya. Pendakian semakin pacak, tanpa rehat. Nafas mula pendek seolah-olah paru-paru semakin mengecil. Setiap langkah terasa longlai, langkah diatur semakin pendek dan perlahan, ibarat perjalanan seekor kura-kura. 

Sejam kemudian kami memasuki gerbang Mossy Forest.

Jika hutan sebelum ini terasa lebih realistik dan semula jadi, Mossy Forest ini terasa seperti dunia yang tidak dibina untuk manusia. Lumut melitupi akar, ranting, batu, dan batang pokok seperti jaket hijau purba yang telah berabad-abad dipakai. Udara lembab dan dingin. Cahaya meredup. Suasana bertukar dramatik. Seolah kita berjalan dalam alam liminal, dunia di antara dunia, di mana masa, kisah, dan sejarah yang tidak tercatat sedang bergerak diam-diam mengelilingi kita.

Tidak jauh dari situ, terdapat satu viewpoint di mana Gunung Chamah kelihatan dari kejauhan. Puncaknya muram. Anggun tapi garang. Chamah seperti sedang memerhati, seolah menguji siapakah di antara kami nanti akan datang mencabar puncaknya pula.

Langkah kami diteruskan.
Mossy Forest semakin menebal, semakin sukar, semakin magikal.

Di sini lumpur menjadi musuh. Licin, dalam dan membenamkan. Di sinilah segala skil manusia kembali primal berpaut pada akar, bergayut pada dahan, melompat pada batu kecil yang seolah sengaja menunggu untuk diuji.

Beberapa anak tangga aluminium muncul di lokasi ekstrem. Dibawa dan didirikan oleh insan berhati mulia bagi memudahkan laluan pendaki di kawasan yang benar-benar mustahil untuk dipanjat tanpa bantuan.

Kami melalui Simpang Chamah, simpang yang memisahkan dua destinasi besar dalam dunia pendakian Perak. Di sinilah pendaki harus membuat keputusan: mahu terus ke Chamah atau ke Ulu Sepat. Di sinilah hutan terasa seperti menyampaikan ajaran bahawa perjalanan hidup selalu tentang pilihan.

Mossy Forest semakin cantik, semakin padat seperti penutup babak terakhir sebuah novel epik, bersulamkan hujan rintik membasahi bumi, ibarat renjisan yang memberikan kesegaran di saat tenaga sudah tinggal beberapa bar sahaja.

Dan akhirnya jam 12.35 tengah hari, hari Ahad 19 Oktober 2025 Masehi, bersamaan 27 Rabiul-akhir 1447 Hijrah, kami berjaya sampai ke puncak Gunung Ulu Sepat.

Perlahan-lahan, segala penat dan lelah gugur dari jasad. Lenyap bersama awan dan kabus yang menyelimuti puncak. Yang tinggal hanya rasa syukur dan kagum, setelah berjaya menjejakkan kami ke puncak terendah dari kalangan G7 ini. 

Berada pada ketinggian 2,161 meter (7,090 kaki) dari aras laut, ada batu sempadan di puncak ini yang memisahkan negeri Perak dan Kelantan. Kami berdiri di atasnya. Satu kaki di Perak, satu kaki di Kelantan secara harafiah, berada dalam dua negeri dalam satu masa. Sesuatu yang jarang-jarang berlaku.

Kami berehat sekitar 30 minit, mengisi ruang waktu dengan memakan bekal nasi, membantu rakan-rakan pendakian merakam gambar sambil menghirup udara kemenangan dalam kesejukkan dan rintik hujan. Sejujurnya tiada pemandangan menarik boleh disaksikan dari puncak Ulu Sepat kerana kami terperangkap dalam rimbunan pepohon renek yang mengelilingi dataran penuh lumpur di puncak gunung. 

Dalam keghairahan merakam momen bersejarah ini, sambil meraikan kejayaan sebilangan pendaki yang berjaya graduasi, kelihatan kelibat Jenny the dog sedang berehat di suatu sudut hutan. Entah bila dia mendaki. Entah bila dia memotong kami. Tiba-tiba dia sudah berada di puncak seperti penjaga gunung yang mengiringi sesiapa yang berjaya naik.

Tidak lama kemudian, kira-kira jam 1.15 tengah hari, kami mulakan langkah penurunan. Resam pendaki, naik adalah satu pilihan, manakala turun adalah satu kemestian. Kalau tak turun, maka tidak sampailah ke rumah. 

Menggunakan laluan yang sama, tapi pengalaman berbeza. Jika naik mengambil masa hampir 5 jam, turun pula hanya memakan masa sekitar 3 jam setengah sahaja. Bukan kerana kami berlari, tapi kerana badan lebih tenang. Nafas lebih teratur. Dan tiada lagi perasaan "tak sampai-sampai”. Perjalanan lancar tanpa waktu berhenti rehat yang lama, malah hampir tiada. Nak minum air pun, sedut je dari water bladder, menjimatkan masa.

Jam 4.30 petang kami tiba semula di Kem Lenweng. Terjah ke sungai untuk bersuci dari lumpur dan kotoran yang terpalit pada kasut dan seluar.

Kami segera mandi sebelum lebih ramai yang sampai. Nanti lambat, kena beratur tunggu giliran. Solat dan merebahkan badan. Lega rasanya. Tiada lagi azab sengsara. Summit Attack selesai.

Dan di sinilah kami sedar, pendakian bukan sekadar untuk sampai ke puncak. Pendakian adalah perjalanan membersihkan ego, memecahkan sempadan takut, merendahkan diri di hadapan kebesaran ciptaan Tuhan.

Gunung hanya batu, akar, tanah dan hutan.
Tapi dalam diam , dia mendidik manusia untuk menjadi lebih manusia.



DAY 3: MENGUNDUR DARI RIMBA: LANGKAH PULANG KE KEMAR.

Perjalanan pulang dari Kem Sungai Lenweng bermula sekitar jam 8.30 pagi, dimulakan dengan group photo sebelum mengatur langkah untuk kembali ke pangkal jalan. Berbeza dengan pendakian hari sebelumnya yang memakan masa panjang, perjalanan turun kali ini terasa lebih singkat, bukan kerana melalui trek berlainan, tetapi kerana laluannya menurun hampir sepanjang jalan. Namun, laju tidak bermaksud mudah. Hujan malam tadi membuatkan tanah lembap, akar-akar licin dan batu-batu pula seolah-olah menjadi jerangkap samar yang menunggu mangsa andai tersilap langkah, umpama nangka busuk jatuh ke bumi.

Setiap kali tumit mencecah tanah lembik, tongkat menjadi penyelamat. Menahan, menyokong, menstabilkan... pendek kata, tongkatlah hero hari ini. 

Tapi dalam masa sama, ada juga yang terlebih power, siap turun berlari. Kami pula memilih untuk santai-santai saja, tak ada apa pun yang mahu dikejar. Tapi sebenarnya risau tersembam jatuh. Maklumlah tak biasa. Sesekali berhenti, ambil nafas, dan menyaksikan sendiri flora dan fauna hutan Ulu Sepat yang memang tak pernah mengecewakan.

Dalam santai-santai tu, boleh pulak terlanggar sarang tebuan. Mencicit lari menyelamatkan diri. Saya paling teruk kena beberapa das sengatan. Mujur ada rakan sependakian kerja di farmasi kerajaan. Ubat dihulur, terus di telan. Walau pedih di beberapa bahagian badan, perjalanan wajib diteruskan. Sekadar cedera kecil, tiada apa yang perlu dibimbangkan.

Berbanding lebih 6 jam masa naik, kali ini perjalanan turun hanya ambil sekitar 3 jam 30 minit. Kami sendiri terkejut dengan catatan masa ini, seolah-olah tidak percaya dengan jurang masa yang agak jauh ketika naik berbanding turun.  

Tiba sahaja di Kampung Kemar sekitar jam 12 tengah hari, masing-masing menarik nafas lega, bukan sebab penat, tapi sebab lega. Ada yang terus sujud syukur. Memang layak pun, sebab turun gunung bukan semata-mata turun, ia juga melepaskan segala beban mental yang dibawa sejak mula naik. Paling penting, selamat pergi dan selamat kembali.

Sambil menunggu semua ahli kumpulan tiba, kami didatangi beberapa orang asli yang membawa petai segar untuk dijual. Harga? Memang jauh lebih murah daripada di bandar. Maklumlah, ini direct from supplier. Kualiti pun terbaik... isinya besar-besar, bau pun dah mengancam. Ramai yang terus beli untuk dibuat stok balik.

Dalam masa yang sama, perut pun dah mula berkeroncong. Bekalan apa yang tinggal, kami bedal saja. Ada yang keluarkan stove kecil, masak Maggi berkongsi ramai-ramai. Bau kari mee segera dalam hutan memang menusuk kalbu. Makan Maggie berulamkan petai segar yang baru dibeli, memang syahdu.

Di satu sudut pula, terdapat orang asli menjual kelapa muda. Tanpa fikir panjang, terus beli, terus belah, terus minum. Airnya manis, sejuk, segar... menghilangkan segala keletihan. 

Setelah semua tiba, powil yang menunggu mula menghidupkan enjinya. Sepatutnya tiga powil datang ambil kami, tapi yang sampai cuma dua. Satu rosak katanya. Kami pun kenalah berhimpit-himpit. Sebagai seorang insan yang dah biasa hidup susah, gunung yang tinggi boleh ku daki, setakat berhimpit ni apalah sangat. 

Cuaca yang pada mulanya baik tiba-tiba berubah menjadi mendung ketika perjalanan ke jeti hanya berbaki beberapa minit. Tengah syok menikmati pemandangan terbuka di kabin belakang, hujan turun dengan lebatnya ketika kami dah dekat sangat dah nak sampai jeti. Walaupun dekat, powil tak laju sebab jalan off-road. ti. Dari tadi duduk elok kering, sekali hujan turun… basah lencun habis. Duduk belakang lagi lah... angin kena, hujan pun kena. Tak sempat nak berteduh, tak sempat nak elak. Jalan off-road penuh becak, habis semua campur jadi satu paket lengkap: hujan + angin + lumpur + kesejukan. Terpaling mencabar kalah naik gunung.

Kau bayangkan naik powil, jalan bergegar, hujan mencurah-curah, angin tepis muka macam ais, memang menggigil-gigil menahan sejuk. Tapi itulah yang nanti bila dikenang, akan jadi cerita paling kelakar dalam trip.

Perjalanan tiga hari ini akhirnya menutup satu lagi bab dalam misi G7. Gunung ke-6 berjaya ditawan, meninggalkan hanya satu lagi puncak sebelum graduasi penuh sebagai pendaki G7. Dari denai licin Lenweng, ke kabus tebal di puncak Ulu Sepat, hinggalah pulang basah kuyup menaiki powil, setiap detik menjadi peringatan bahawa pendakian bukan sekadar soal fizikal, tetapi tentang ketahanan hati dan kesungguhan melangkah. Walaupun letih, kami pulang dengan rasa syukur yang tak dapat dijelaskan dengan kata-kata. Dan kini, dengan enam puncak sudah ditanda, langkah menuju gunung terakhir terasa lebih dekat daripada sebelumnya. Satu lagi puncak, satu lagi perjalanan, sebelum misi G7 ditamatkan dengan penuh makna.

Alhamdulillah... Masha-Allah... Tabarakallah.... 

No comments: