PROFILE

Siapakah Azuhuri Mustaqim a.k.a AQEEM?

AQEEM @ aqeemfoto merupakan satu lagi nama baru dalam fenomena aktiviti fotografi digital di negara ini. Namun begitu, beliau sebenarnya sudah mula berjinak-jinak dalam bidang fotografi sejak dari bangku sekolah lagi. Ketika itu, fotografi digital masih belum diwujudkan lagi. Lalu dengan kewangan yang sangat terhad, beliau hanya mampu memiliki sebuah kamera kompak 35mm yang menggunakan filem memandangkan kamera SLR sangat mahal dan hanya mampu dimiliki oleh golongan tertentu sahaja.

Sejak dari itu, beliau mula asyik merakam pelbagai kegiatan manusia.

Setelah fotografi digital diperkenalkan, beliau terus mengorak langkah dengan memiliki sebuah kamera kompak berjenama Samsung, yang membawa beliau kepada penerokaan yang lebih jauh dalam pengetahuan serta kemahiran fotografi. Bermula dari situ, beliau mula menyedari akan kreativiti serta bakat anugerah Tuhan dalam bidang fotografi setelah hasil karyanya berjaya mendapat perhatian serta pujian dari keluarga, saudara-mara serta rakan taulan. Di waktu ini, memandangkan kamera DSLR masih lagi mahal dengan pasaran yang terhad, beliau hanya mampu menyimpan sebuah cita-cita untuk memilikinya kelak.

Menjelang tahun 2008, impian akhirnya tercapai setelah beliau berjaya memiliki sebuah kamera DSLR berjenama Canon.

Lalu, beliau terus mengorak langkah untuk menimba lebih banyak ilmu pengetahuan dan pengalaman untuk menjadi yang lebih baik dengan menghadiri kelas dan kursus fotografi yang dianjurkan oleh jurugambar lain yang lebih profesional. Beliau juga tanpa jemu, mentelaah apa sahaja bahan bacaan yang berkaitan dengan fotografi. Selain itu, beliau turut komited untuk mengikuti jurugambar lain untuk merakamkan majlis-majlis perkahwinan, walau pun hanya sebagai sebagai jurugambar sokongan (tag along) demi untuk mencari pengalaman serta menimba ilmu pengetahuan.

Beliau yang sentiasa merendah diri serta tidak malu belajar dari jurugambar yang lebih muda, sehingga kini masih lagi meneruskan sesi pembelajarannya untuk mendapatkan lebih pengetahuan dan kemahiran yang boleh dimanfaatkan di kemudian hari. Bagi beliau, sesi pembelajaran dalam bidang fotografi tiada titik noktahnya.

Setelah lebih daripada 2 tahun 'bermain' dengan kamera DSLR, kini beliau lebih yakin dan serius untuk menjadikan fotografi sebagai suatu perniagaan, lalu muncul ke pasaran dengan pakej tawaran harga yang menarik serta agak berbeza dengan tawaran lain yang sedia ada di pasaran, untuk diseleraskan dengan kehendak pelanggan.

Beliau turut mengkhususkan bidang fotografi perkahwinan dan juga majlis rasmi anjuran badan korporat atau kerajaan sebagai sasaran utama pasaran fotografi beliau. Sehingga kini, walau pun tanpa strategi pemasaran yang agresif dan masih belum dikenali secara keseluruhannya, secara rasminya beliau telah diberi kepercayaan membuat penggambaran untuk beberapa majlis perkahwinan di sekitar Lembah Klang dan kampungnya di Terengganu, selain pernah menjadi jurugambar rasmi untuk satu majlis korporat di Kuala Lumpur, serta 2 tahun berturut-turut menjadi jurugambar rasmi untuk kejohanan sukan tahunan Sekolah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong (1).

Cuma apa yang diharapkan adalah kerjasama dari tuan-tuan dan puan-puan pembaca yang budiman untuk terus memberikan sokongan kepada beliau. Semoga beliau dapat merealisasikan impian beliau untuk menjadikan fotografi sebagai suatu perniagaan, seterusnya menyumbang kepada peningkatan ekonomi dan kualiti hidup kaum bumiputra, Insya-allah.