PENANG CITY EXPLORER

Program bersukaria ria bersama EOCM berakhir sebaik sahaja cukup masa untuk check-out. Selesai bersalam-salaman serta mengucapkan selamat tinggal, kami pun bertebaran lah di atas muka bumi membawa haluan masing-masing. Sebelum pulang Pulau Pinang kami nak pusing, jadi pelancong ronda-ronda, jalan-jalan tempat asing, dah lama tak jejak kaki datang sini, kali ni datang dengan anak dan bini.

Kami menuju ke Bukit Bendera, tempat pelancongan tersohor di Pulau Mutiara, berpandukan GPS kami ikut sahaja, kalau takde memang sesat entah ke mana. Jalan punya jalan akhirnya sampai lah jua. Orang ramai boleh tahan juga, maklumlah cuti sekolah dan hari minggu pula.



Tetiba terfikir di kepala otak saya, kenapa dipanggil Bukit Bendera tetapi dalam bahasa Inggerisnya dipanggil Penang Hill? Kenapa tidak disebut Bukit Pulau Pinang, atau kalau nak ikut alih bahasa Inggerisnya, bukankah Flag Hill lebih bermakna? Maklumat di hujung jari. Yangingsong matekaji (jom kita kaji!)


Lalu dengan keringat yang ada, saya mengagahkan diri untuk menggoogle asal usul Bukit Bendera kenapa tidak dipanggil Flag Hill. Zaman sekarang tak macam zaman saya buat kajian geografi tempatan masa sekolah menengah dulu. Nak tahu asal usul, kena keluar cari orang tua atau orang lama kat sesuatu kawasan tu. Lepas tu interview macam wartawan.  Jumpa 10 orang, 10 versi cerita berlainan masuk dalam nota. Lepas tu pilih cerita yang paling logik lagi berkesan di hati untuk dibentangkan. Zaman sekarang tak payah nak keluar berjalan berpeluh ketiak naik teksi naik bas. Kita google je lah!

Ceritanya bermula pada tahun 1788 apabila Francis Light menjejakkan kaki ke sebuah bukit yang tidak bernama ketika bersiar-siar dengan kudanya (atau mungkin sudah ada nama Melayunya tapi tidak diketahui ramai). Menyedari suasana di atas bukit itu yang sejuk nyaman dengan panorama yang indah saujana mata memandang, mengingatkan beliau kepada kampung halaman nun jauh di England sana, beliau telah mengarahkan pencacai British membina rumah-rumah berbentuk kolonial untuk dijadikan penempatan tauke-tauke Inggeris yang masih boleh disaksikan sehingga kini serta menamakan bukit ini dengan nama Flag Staff Hill (dah Francis Light yang jumpa, sah-sahlah nama mat saleh kan?). Nama ini dipilih berdasarkan kepada bendera yang berkibar daripada tiang bendera rumah Gabenor Pulau Pinang pada masa itu yang dinamakan sebagai Bel Retiro.

Hinggalah tiba ke satu masa, namanya ditukar kepada satu nama rasmi yang lebih kemelayuan. Maka dari situ dengan rasminya ia bernama "Bukit Bendera Pulau Pinang". Memandangkan namanya agak panjang dengan empat patah perkataan yang menyusahkan masyarakat setempat disitu untuk menyebutnya terutama mamak nasik kandar yang agak berbelit lidahnya itu, lalu secara umumnya ia dipanggil Bukit Bendera dalam bahasa Melayu atau Penang Hill dalam bahasa Inggeris. Walau pun begitu, jika anda memanggil Bukit Bendera sebagai Flag Hill atau Bukit Pulau Pinang, ianya masih relevan dan tidak mungkin ditertawakan oleh masyarakat Pulau Pinang.

Apa yang menarik di Bukit Bendera?

Pertama sekali, tentulah lagenda kereta kabelnya yang telah sekian lama menjadi ikon utama Pulau Pinang, selain dari feri. Ada orang panggil kereta api. Mana-mana pun boleh kerana rupa bentuknya memang seperti gerabak kereta api dan bergerak di atas landasan, tetapi pergerakkannya menggunakan tali kabel yang ditarik dari stesen janakuasa yang berfungsi sebagai enjin untuk menggerakkan gerabak ini. Maknanya pada badan gerabak itu sendiri tiada enjin. Enjinnya terletak di bahagian atas dan bawah bukit. Satu lagi teknologi zaman penjajah yang tak mungkin tercapai dek akal fikiran orang Melayu satu ketika dahulu.


Projek pembinaan kereta api dan landasan Bukit Bendera bermula seawal tahun 1906, iaitu kira-kira tiga tahun selepas adik beradik Wrights berjaya menerbangkan pesawat pertama di dunia walau pun hanya 12 saat sahaja di udara. Projek ini siap sepenuhnya pada tahun 1923 dan perkhidmatan kereta kabel ini dibuka kepada umum pada 21 Oktober 1923. Bertitik tolak dari situlah, kereta kabel ini telah menjadi satu pengangkutan utama untuk ke puncak. Selain kereta kabel, pengangkutan lain yang boleh membawa anda terus menuju ke puncak adalah kenderaan pacuan empat roda dan untuk worst case scenario, boleh juga berjalan kaki meredah hutan belantara. Alah, tak tinggi pun. 823 meter sahaja. Ramai jer orang mendaki, mostly untuk beriadah.

Kereta kabel Bukit Bendera kini sudah moden! Bukan lagi warna merah putih dengan gerabak ala bas mini BMW dilengkapi udara semulajadi dari luar macam zaman 80-an dulu. Kereta kabel kini dah macam monorail. Siap dengan aircond dan sistem navigasi berkomputer. Senget tetap senget. Itu kena maintain.
 

Proses pemodenan yang telah dilaksanakan pada tahun 2011 ini menggunakan koc yang diimport khas dari Switzerland lalu menyebabkan kos tambang terpaksa dinaikkan 100% berbanding sebelumnya. Perjalanan juga sangat pantas dengan jarak masa hanya kira-kira lima minit sahaja berbanding kereta kabel zaman dahulu kala yang ambil masa sehingga 30 minit. Perjalanan terus menerus ke puncak dengan tiada lagi hentian di stesen tengah. Yang lamanya masa tunggu giliran nak masuk kereta kabel. Maklumlah, kami pergi hari minggu, cuti sekolah pulak. Boleh tahan jugak keramaian umat.




Walau pun harganya telah dinaikkan 100%, sebagai pelancong berkeluarga kecil yang datang sekali-sekala saya rasakan ianya tidaklah terlalu mahal mencekik darah. Lainlah kalau anda pelancong luar negara yang tiada MyKad. Haruslah membayar RM30.00 satu kepala. Sebagai warganegara Malaysia anda harus membayar RM8.00 sahaja untuk perjalanan pergi dan balik. Kalau ambik pakej keluarga lagi murah. Kanak-kanak, warga emas dan pelajar kira separuh. OKU- FOC. Namun semuanya harus dikemukakan dokumen pengenalan yang sah sewaktu urusan pembelian tiket. MyKad dan MyKid wajib! Takde kalu, RM30.00 lah!



Kereta kabel lama masih ada namun ditinggal dan dipamerkan sebagai tanda kenang-kenangan atas khidmat bakti yang dicurahkan selama ini.


Selain itu, perkara menarik yang boleh dinikmati di Bukit Bendera adalah pemandangannya. Dari puncak, kita boleh melihat sebahagian besar Bandaraya Pulau Pinang yang mengunjur dari Selat Utara yang memisahkan bahagian pulau dengan tanah besar semenanjung hinggalah ke bahagian Butterworth di Seberang Perai sana.


Jangan risau sekiranya pemandangan kurang jelas. Gunakan sahaja teropong sakti. Hanya masukkan duit syiling 50 sen dan anda dapat menikmati pemandangan sejernih air di kali. Jangan risau jika tiada syiling. Ada orang yang memegang duit syiling 50 sen yang banyak di situ.


Menyedari bahawa Bukit Bendera boleh menjadi aset pelancongan yang penting di Pulau Pinang, pihak kerajaan telah memajukan kawasan Bukit Bendera dengan pelbagai prasarana untuk menarik jumlah bilangan pelancong.






Rumah ibadat dibina bagi membolehkan umat manusia yang berkunjung ke Bukit Bendera beribadat kepada Tuhan mereka. Uniknya, masjid dan kuil ini hanya terletak bersebelahan sahaja.

Tak pernah-pernah pergi kuil kan, ini kali pertama.




Masjidnya pun kecil sahaja. Kalau di tanah semenanjung, selayaknya di panggil surau sahaja.


Turun dari bukit, kami pi pekena nasik kandaq dulu. Alang-alang dah sampai, mestilah nak cari yang femes kan. Nasi Kandar Line Clear jadi pilihan.

Alamak! Kamera habis bateri pulop. Shoot lagi... pakai tablet pulak.


Time kami sampai lewat petang itu nampaknya line betul2 clear. Nasib baik kami cepat sikit. Kalau tak boring lah nak kena beratur panjang. Time kami tengah makan tu orang dah start beratur sampai ke luar.


Tak payah cerita banyaklah pasal nasik kandar ni. Balik2 benda yang sama jugak. Nasi putih, kari, ayam goreng, lauk penuh macam2. Tak tahulah apa yang people crazy sangat dengan Line Clear ni.


Presentation macam ni kalau masuk master chef memang balik awal lah. Tapi itulah cara yang sebenarnya. Dia memang kena bersepah macam tu, barulah nasik kandar namanya.


Takjub jugak camane tauke nasik kandar ni survive dalam bisnes dengan sekian banyak peniaga yang menjual nasik kandar dengan pelbagai jenama, dari sebesar-besar restoran sampailah ke warung bawah pokok, kat mana-mana bersepah dengan nasik kandar. Tinggi sangat kot demand nasik kandar kat Penang ni, pacaklah kedai kat mana-mana pasti laku. Hatta sebelah Line Clear yang legend tu pun masih ada restoran lain berani bukak sebelah dia selamber jer.

Saya bukanlah penggemar jeruk tegar. Takat makan sikit-sikit tu bolehlah. Itu pun kena basuh dulu untuk proses melunturkan asid. Ceritanya, sebelum pulang, kami membeli beberapa paket jeruk jenama Pak Ali untuk dibawa sebagai ole-ole. Nak kasi orang itu, orang ini. Sendiri punya pun sepeket jer buat stok kat rumah. Sebelum ni memang tak pernah makan brand Pak Ali. Bila makan... wallah... tak macam jeruk biasa. Rasa asid dia tak kuat sangat, lebih lembut, bila makan takde pulak rasa nak terbatuk ke, berdehem. Jeruk Pak Ali terbaik. Saya misti pileh!


IKLAN: Kami menyediakan perkhidmatan fotografi, dengan pengkhususan kepada majlis perkahwinan, keraian, hari jadi, aqiqah dan majlis-majlis rasmi, sesuai dengan kemampuan dan keperluan anda. Harga boleh bincang maaaa.... Sila hubungi kami di sini

THE EXORIAN


Maka tersebutlah sebuah kisah pengembaraan sekumpulan rakan kelab MPV pertama keluaran Malaysia, Exora Owner Club Malaysia nama diberi. Menjelajah dari wilayah tengah menuju utara, meredah kepekatan malam demi menyertai perhimpunan besar tahunan, Year End Gathering dipanggil orang, kalau sebut Y-E-G pun boleh lagi senang.

Ini adalah perhimpunan akhir tahun keempat sejak kelab ditubuhkan. Tahun pertama dan kedua saya tak pergi. Maklumlah masa tu tak pakai exo lagi. Tahun ketiga baru jer pakai exo, nak pergi rasa segan lagi. Tarikh dapat exo dengan YEG pun rapatlah sangat. Nak register pun tak sempat.

Tahun keempat barulah dapat pergi. Sebagai newbie memang lah tak kenal sangat diorang. Umur baru setahun jagung lah katakan. Pucuk muda lagi. Dalam forum pun tak aktif mana. Takat menyampuk sekali-sekala. Kalau biasa jumpa pun, teman-teman dari jajahan yang sama. Join TT yang biasa-biasa sahaja, geng Puchong melepak bersama.

Semangat EOCM punya pasal, bila jumpa rasa lain macam saja. Senang sangat nak bermesra dengan diorang neh. Dah join kelab kenalah bergaul dengan orang. Kelab itu kan untuk bersosial. Kalau tak suka bersosial, duduk sorang-sorang tak yah lah join kelab.


Uniknya di Malaysia ni, negara kita kecik sahaja. Ikut statistik Kementerian Pengangkutan Malaysia, sehingga hujung tahun 2011 kenderaan berdaftar ada 21,401,269. 21 juta you!!! Boleh dikatakan setiap model kereta mesti ada kelab mereka. Tak kiralah kereta tempatan ke, Jepun ke, Conti ke, kereta antik ke, kereta mini ke, masing2 ada kelab. Kalau campur kelab motorsikal bertambah tambah lagi lah bilangannya. Itu maknanya masyarakat kita memang suka bersosial. Kalau tidak takkan lah ranking penggunaan Facebook di Malaysia ni duduk nombor 18 daripada 212 negara. Just for record, negara Vatican City yang duduk di tangga 212 cuma ada 20 orang pengguna Facebook sahaja! Tapi diorang penduduk tak ramai macam kita. Wikipedia kata, setakat tahun 2009, Vatican City cuma ada 826 orang rakyat sahaja. Ini info tarak tipu punya. Kalau tak caya sila check di http://www.socialbakers.com/.


Berbalik kepada cerita YEG-IV EOCM 2012, kali ini diadakan jauh nun di utara sana, di Pulau Pinang pulau mutiara. Memandangkan program bermula pada hari Sabtu pagi, maka kami yang tinggal berjauhan ini haruslah merancang masa perjalanan dengan saksama supaya dapat tiba tepat pada waktunya. Sesudah semuanya sebulat suara, dalam forum diwar-warkan berita, warga kelab seluruh negara, mengikut jajahan berkonvoi bersama.

Ikut statistik, dalam wilayah Lembah Klang ini lah paling ramai peserta. Masing-masing bergerak mengikut kumpulan berbeza. Ikut jajahan masing-masing. Saya mengikut konvoi malam ke utara bersama-sama dengan jajahan saya sendiri iaitu Krabat yang terdiri daripada geng yang bermastautin di daerah Klang, Shah Alam, Puchong, Subang serta kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya. Rancangan pada malam itu adalah untuk bergabung dan berkonvoi bersama dengan ahli kelab dari jajahan VIP yang merangkumi kawasan Putrajaya, Sepang, Seri Kembangan, Bukit Mahkita, Bandar Seri Putra, Serdang dan Puncak Jalil (hoh... besar jugak kawasan liputan VIP rupanya).

Janji dimetrai antara Krabat dan VIP untuk bergabung bersama di RNR Mofaz Lebuhraya Elite pada jam 11.00 malam. Saya sampai beberapa minit sebelum waktunya dan yang kelihatan hanyalah sebiji pesawat milik ZTP sahaja. Lorrr... aku ingat aku yang lambat rupanya diorang lagi lambat? Tunggu punya tunggu sebiji demi sebiji pesawat sampai. Last sekali geng VIP sampai dah dekat pukul 12.30 tengah malam gitu.


12.30 malam kami cargas meninggalkan RNR Mofaz, meredah kepekatan malam. Perasaan penat, mengantuk, letih dan bosan menunggu hilang dek kerana keterujaan untuk berkonvoi, walau pun pada hakikatnya saya tidak ada masa untuk mendapatkan rehat yang sempurna hatta nak lelap seminit dua siang tadi pun tak sempat. Maka benarlah kata orang-orang bijaksana bijaksini, konvoi beramai-ramai itu lebih afdhal dari konvoi seorang diri.

Saya tidak sempat nak kira ada berapa banyak pesawat yang tiba dari Putrajaya tadi. Apabila kami bergabung, saya tak sempat nak kira jugak. Jadi saya tidak pasti jumlah kami ada berapa semuanya. Lepas tu bergabung lagi dengan pesawat-pesawat yang menunggu di beberapa lokasi sepanjang lebuh raya, saya terus jadi lost count.

Sepanjang perjalanan tersebut, kami singgah di beberapa perhentian untuk bergabung dengan pesawat dari jajahan lain yang sedia menunggu kami dengan penuh kesopanan dan kesusilaan. Antara tempat-tempat yang dilewati adalah RNR Behrang - bergabung dengan geng Rawang, RNR Tapah - bergabung dengan geng Pantai Timur dan yang akhir sekali RNR Gunung Semanggol - berehat, solat dan tidur sat. Tapi apakan daya, nak tidur tiada selera pula rasanya. Kat Gunung Semanggol ni dah tak terkira banyaknya pesawat yang berjaya digabungkan. Dua jam jugaklah lepak sini sebelum meneruskan perjalanan ke check point terakhir yang merupakan tempat gabungan terakhir semua pesawat dari seluruh negara iaitu Autocity Juru.

Mengikut laporan akhbar yang kami terima, sebanyak 240 buah pesawat telah berhimpun di Autocity Juru, yang mana apabila dicampur dengan jumlah ahli keluarganya sekali, pastilah berganda-ganda lagi ramainya manusia.


Exo ni kan family car. Maka majoriti pemiliknya tentunya berkeluarga serta beranak pinak. Sebilangan kecil sahaja yang masih masih bujang trang tang tang. Musykil jugak apsal orang bujang pon mau angkat pesawat ini? Mungkinkah family dia memang ramai kat rumah? Mungkinkah dia merancang untuk kahwin dan beranak pinak maka beli exo awal2 adalah lebih mulia daripada beli kereta sedan lepas tu nak kena jual balik sebab nak angkat MPV? Atau mungkinkah mereka menjalankan kegiatan teksi sapu angkut orang ramai2 naik exo mereka? Hanya mereka yang tahu sebabnya. Wang mereka, ikut suka dioranglah nak beli kete ape!

Beberapa jam di Autocity Juru, urusan pendaftaran berjalan lancar dengan setiap peserta diberikan goodie bag yang ada beberapa benda berfaedah di dalamnya. Selain itu, sambil menunggu masa untuk flag-off, kami dihidangkan dengan pemandangan pesawat exo yang dimodified kaw-kaw punya ibarat auto show pulak dah. Dengan cuaca terik panas menggila, adusss tak tahan! Bila diorang nak gerak ni.






Tunggu punya tunggu, sampailah ke pukul 12.00 tengah hari barulah konvoi bergerak ke destinasi, lokasi percutian yang bakal mengumpulkan seluruh warga kelab EOCM bersama ahli keluarga mereka, bertempat di Tanjung Bungah, tuuuu dia RAINBOW PARADISE BEACH RESORT.

Sebelum berkonvoi kena dengar taklimat dahulu dari penganjur. Peraturan dan keselamatan haruslah diutamakan, kalau nak seronok kemalangan haruslah dielakkan.


Untuk berkonvoi dengan ratusan pesawat dalam sebuah bandaraya yang sesak bukanlah suatu perkara yang mudah. Kami tidak dapat bergerak serentak dalam satu kumpulan yang besar disebabkan oleh beberapa halangan seperti percampuran dengan kenderaan lain, lampu isyarat, kesesakkan dan kesesakkan.Saya ulang dua kali sebab walau pun hari tu hari Sabtu, kesesakkan di bandaraya Pulau Pinang amat luar biasa sekali.

Walau pun kami dibantu oleh marshal yang mengaku sebagai anggota polis, namun entah kenapa pada hari itu mereka hadir bukan sebagai anggota polis, tapi sebagai ahli kelab motorsikal SYM.

Mereka tidak mengenakan pakaian seragam polis trafik yang lengkap berpistol dan kenderaan polis yang bersiren. Kalau nampak pistol dan siren, orang mungkin lebih hormat dan memberi laluan pada konvoi. Tapi sebab takde kan, kenderaan lain buat donno jer. Sudahnya, konvoi terpisah kepada beberapa kumpulan kecil. Habis berterabur. Yang tak biasa dengan Penang, sesat entah kemana. Maka di sini komunikasi amatlah penting. Mujur jugak kebanyakkan peserta ada walkie talkie dan nombor telefon untuk dihubungi. Saya pun hampir tersesat, salah masuk jalan lain. Nasib baik nampak balik group depan dari jauh. Cepat-cepat kejar sebelum masuk jambatan. Agak thrill disitu.

Beberapa ketika berkonvoi dalam kesesakkan, dengan mata yang merah dan berat semacam, daripada bangkit tidur jam 6.30 pagi semalam, sampai sekarang tak tidur dah lebih 30 jam, dalam kepala dah terbayang bantal dan tilam, akhirnya kami selamat sampai hotel percutian. Dalam keadaan tak cergas ni pun rupanya saya berapa dalam kumpulan paling depan, kat belakang ramai lagi yang ketinggalan.

Lepas parking pesawat dengan sopan, kami bergegas ke hotel penginapan, mengantuknya mata dah tak boleh tahan, nak masuk bilik nak lelap beberapa jam.

Dah sampai lobi tak boleh check in lagi, tengok jam laaa... baru pukul 1.00 tengah hari, waktu check-in kena tunggu sejam setengah lagi, tak dapat nak tidur kena tunda lagi. Perut pulak dah mula berbunyi, abang dan adik pun dah mintak nasi, badan dah penat mana nak pergi, makan kat hotel je lah, nak keluar terasa kudrat sikit sekali.

Usai santap hidangan tengah hari, orang dah beratur nak ambik kunci, alamak ramainyer orang dekat lobi, kaunter dua sahaja untuk bagi kunci.

Kerana semangat Exorian menebal tinggi, kesabaran haruslah dipraktikkan disini. Orang lain pun penat jugak, jangan kata tidur, mandi pun tak.

Dah dapat kunci cargas ke bilik tingkat 20 you... tinggi memang tinggi... abang suke... pemandangannya menarik sekali. Pepehal kita nak tidur dulu, petang nanti kita bangun.


Patutnya pukul 6.00 tu ada pertandingan auto saloon car. Sedap sangat tidur, saya tak jenguk langsung. Walau pun tak ambik bahagian maklumlah kereta stended macam baru keluar kilang, tapi nak jugak tengok2 orang make up kete sambil beramas mesra dengan pemilik pesawat. Bunyi jam sedar2 dah 6.30 petang... alahai dapat tidur sejam setengah jer... terpaksa jugak bangun walau pun mata masih pedih bangat. Nanti terlepas pulak dinner time, apa pun tak dapat.

Jom bersiap untuk dinner.



Makan malam hidangan buffet, ke tingkat bawah sama dituruni, lepas makan ada persembahan, ada ucapan dan nyanyi-nyanyi. Saya sempatlah juga menyumbangkan suara, siap pakai live band nak lebih feel lah kononnya, tanpa latihan mahu pun rehearsal, untuk hiburan seisi keluarga, suara memang lah tak sedap mana, kalau sedap dah lama jadi artis antarabangsa.

Dalam tak sedap tu pon boleh jugak dapat hadiah, mungkin itu dinamakan tuah, hamper je pun selain voucher cabutan bertuah.


Dah dapat hadiah saya tinggalkan majlis, nak sambung tidur lagi. ZZZZZZZZZZZZZ

Terima kasih daun keladi, tahun depan In Shaa Allah kita jumpa lagi.

IKLAN: Kami menyediakan perkhidmatan fotografi, dengan pengkhususan kepada majlis perkahwinan, keraian, hari jadi, aqiqah dan majlis-majlis rasmi, sesuai dengan kemampuan dan keperluan anda. Harga boleh bincang maaaa.... Sila hubungi kami di sini

LEXIS PD


Ramai juga yang terkeliru apabila berbicara tentang hotel LEXIS di PORT DICKSON. Saya juga terkeliru kerana menyangkakan hanya ada satu sahaja entiti bernama Lexis di Port Dickson. Sebelum hari kejadian, saya telah tersalah melayari laman web mereka menyebabkan saya tersilap memasuki kaunter yang tidak sepatutnya sewaktu mendaftar masuk pada hari kejadian.

Satu perkara yang harus diingat apabila berkunjung ke Lexis Port Dickson adalah, LEXIS PORT DICKSON dan GRAND LEXIS PORT DICKSON adalah dua entiti yang berbeza. Walau pun kedua-duanya berada di bawah satu pengurusan yang sama, namun hotelnya berbeza, laman web berbeza, rekabentuk serta kemudahan bilik berbeza, bilangan bintang berbeza dan semestinya harga mereka juga berbeza. Malah kekeliruan ini telah diperhebatkan lagi dengan lokasi hotel ini hanya sebelah menyebelah sahaja. So sweettt!

Biasanya, kalau yang 'grand' itu mesti lebih hebat, kan? Maka dalam hal ini, Grand Lexis mendapat kelebihan sebagai hotel lima bintang berbanding Lexis yang kekurangan satu bintang.
Gambar bersaiz gergasi penghias ruang dinding di kawasan lobi, memaparkan aktiviti yang boleh dilakukan sewaktu bercuti di sini, pastinya semua aktiviti tidaklah free, bayar sahaja nescaya semuanya dapat dinikmati.
Pemandangan dari balkoni aras tinggi. Dari balkoni boleh lihat pemandangan ke darat, dari bilik boleh lihat pemandangan ke laut.
Setiap bilik ada balkoni kecil untuk bersantai sambil menyaksikan pemandangan Selat Melaka.
Nun di bawah sana kelihatan bilik berkelas "Water Chalet" menggamit kehadiran pengunjung yang sanggup membayar lebih untuk menikmati percutian atas air. Agak2 nak mandi laut tu, bukak jer tingkap terus terjun. Kalau dapat bilik yang hujung2 tu nampak macam jauh tapi tidak perlu risau. Kalau anda malas berjalan sambil membawa bertan-tan bagasi, anda boleh naik kenderaan khas yang disediakan pihak hotel.
Inilah kenderaan khas itu. Buggy car nama diberi, boleh dinaiki suami isteri, ada anak angkutlah sekali, percuma sahaja untuk orang yang datang ke sini.

Walau bagaimanapun, sama ada ianya Grand atau tidak grand, mereka menyediakan pilihan bilik yang hampir serupa. Masing-masing mempunyai bilik di dalam bangunan serta di atas air. Yang berbeza mungkin dari segi keluasan dan kemudahan yang disedia. Harga juga berbeza. Water chalet yang elegan itu pastinya lebih mahal dari bilik di dalam bangunan. Kelebihan bilik di dalam bangunan pula adalah pemandangan laut Selat Melaka yang saujana mata memandang. Lagi tinggi anda duduk, lagi jauhlah pemandangan hinggakan boleh nampak jelas kapal-kapal kargo sedang belayar meredah merentas benua menuju ke destinasi yang entah ke mana.

Saya berkunjung ke Lexis PD atas jemputan sebuah syarikat IT bertaraf antarabangsa yang menganjurkan seminar yang berkaitan dengan hal-ehwal kerja. Bermakna, ini bukanlah percutian yang boleh seronok sesuka hati. Masih lagi bergelumang dengan kerja. Cuma, yang bagusnya dalam seminar ini adalah saya dibenarkan untuk membawa ahli keluarga untuk turut sama menginap di hotel ini. Yang berseminar tentulah saya seorang sahaja. Anak dan isteri boleh lepak sambil menikmati percutian mewah bertaraf empat bintang di PD.

Jadi tidak banyak perkara yang dapat saya lakukan sepanjang penginapan di sini memandangkan saya terikat dengan jadual kerja yang padat. Saya tinggalkan anak bini untuk buat aktiviti bebas. Nak berjalan ke, nak lepak kat lobi ke, nak mandi swimming pool ke ikut suka diorang.

Cuma di hari terakhir, beberapa jam sebelum check-out barulah masa agak lapang sikit. Itu pun tak pergi mana, sekadar buat latihan renang ala-ala kuak lentang sahaja.

Kami diberi bilik yang berada di dalam bangunan, dipanggil orang "Premium Tower Sea View" dengan rate yang paling murah berbanding dengan bilik2 lain yang ada disini untuk menampung sejumlah rakan sekerja yang turut sama menyertai seminar ini. Murah-murah dia pun, campur tax, campur service charge, weekend pulak tu senang2 jer cecah lebih RM400 jugak. Kalau sampai 15 keluarga nak lepak free2 jer, kampeni nak kena bayar berapa tu? Overall, not bad. Masih kelihatan mewah dan bergaya.

Uniknya bilik di hotel ini adalah kita akan masuk melalui bilik air. Pertama kali dalam sekian banyak hotel yang pernah saya jejaki, bukak pintu jer terus masuk dalam bilik air. But of course lah ada partition yang memisahkan antara pintu masuk dengan bilik mandi dan jamban. Kalau takde nayer jer, tengah syok2 meneran tiba2 pintu terbuka ada orang lalu-lalang.
Bilik air dia pun bukan calang2 beb. Bukan setakat ada shower dengan jamban jer, malah siap dengan bath tub tiga segi ala2 jazuki you!
Masuk dalam sikit barulah nampak ruang tidur yang wow jugaklah. Ada dua katil, satu king dan satu queen dengan kemudahan asas lain yang perlu ada dalam sebuah hotel seperti peti televisyen, peti ais mini, peti besi dan sebagainya. Tidak dilupakan kemudahan terkini yang perlu ada untuk menarik kehadiran pengunjung ke sesebuah hotel di alaf baharu ini iaitu wifi. Dah macam satu kemestian pulak wifi di hotel. Kalau takde rasa macam tak bersemangat jer.
Seorang model muslimah sedang mempromosikan ruang bilik tidur hotel ini.
Kalau diselak lagi pintu dari kamar tidur ini, itu adalah laluan untuk akses ke balkoni dengan pemandangan water chalet yang indah tersusun rapi.
Kalau ada sumur di ladang, boleh saya menumpang mandi, kalau hujan pula mendatang, kat dalam bilik pun boleh lah mandi.
Makan malam kami disajikan dengan hidangan bufet yang tidak lah terlalu menambat hati. Walau pun makanannya sangat banyak dengan pelbagai jenis menu yang tidak pernah dinikmati sebelum ini, entah mengapa terasa kurang berselera pula. Mungkin kerana kepenatan dengan seminar tanpa henti. Jadi saya makan ala kadar sahaja. Tak perlu rasa rugi, semuanya ditanggung kampeni.

Menarik juga apabila pihak hotel menyediakan gelas dan pinggan khas untuk digunakan oleh kanak-kanak. Selain daripada ceria dengan konsep warna-warni, ianya dapat mengelak daripada berlakunya kepokaian kerana terpaksa menggantikan pinggan pecah dan sebagainya.
Sesudah makan. sesungguhnya gadis dan bunga tidak dapat dipisahkan.

Begitu juga kanak-kanak dan air, hatta air pancut sekali pun, nak jugak pose kat sini.

Esoknya, sebelum check-out, barulah ada sedikit masa untuk beriadah bersama keluarga sambil mandi manda di kolam renang yang tak berapa ramai orang, kerana kami turun beraksi agak lewat dalam pukul 10am gitu, hari pun dah panas, hanya orang yang berasal dari negara beriklim sejuk macam kami ni jer yang suka berendam tengah2 panas.

Saksikan pose menarik di kolam renang dengan gaya ala-ala model majalah Mangga diselangi dengan aksi berani mati di dalam air menggunakan kamera under water.
Berlatar belakangkan Glory Beach Resort yang hanya bersebelahan sahaja dengan Lexis. Kalau anda tidak tahu dimana Lexis, maka carilah Glory.














Untuk bercuti di Lexis Port Dickson, sila dapatkan maklumat lanjut melalui laman web mereka di http://www.lexispd.com dan hubungilah mereka sendiri untuk membuat tempahan. Saya hanyalah penulis blog yang hanya bercerita tanpa apa-apa upah apatah lagi komisen.

IKLAN: Kami menyediakan perkhidmatan fotografi, dengan pengkhususan kepada majlis perkahwinan, keraian, hari jadi, aqiqah dan majlis-majlis rasmi, sesuai dengan kemampuan dan keperluan anda. Harga boleh bincang maaaa.... Sila hubungi kami di sini.