KEMBARA BUMI SUMATERA UTARA


Setelah mengecap kejayaan cemerlang, gemilang, terbilang dalam projek KEMBARA BUMI SUMATERA BARAT 2017, sesungguhnya hati ini tidak pernah puas untuk mengembara lagi dan lagi. Hasil daripada penyelidikan tuan pengarah projek (masih dikekalkan kerana lebih memahami selok belok pengembaraan di bumi Sumatera), tahun 2018 menyaksikan sebuah lagi episod pengembaraan yang mables lagi adventurous. Kali ini kami berazam untuk menakluk bumi Sumatera Utara.


Ini cara pelancongan yang jarang dibuat orang. Kembara ratusan kilometer menggunakan motorsikal berkuasa kecil, menyelusuri kawasan metropolis yang padat dan sesak hinggalah ke hulu pedalaman dekat puncak gunung berapi.

Setelah membuat perancangan rapi, tiket flight pun dari bulan Januari lagi dah beli, 10 March 2018, berangkatlah kami bertujuh menaiki penerbangan AirAsia seawal jam 6.40 pagi menuju ke ibukota wilayah Sumatera Utara; Kota Medan.


KLIA2 ke Kualanamu International Airport tidaklah terlalu jauh untuk sebuah pesawat. Kurang sejam boleh sampai. Walau pun dekat, waktu disini perlu diedjas sejam lebih awal dari Malaysia. Maka haruslah memutar jarum jam sejam ke belakang.

Lapangan terbang Kualanamu... besar airportnya. Barangkali sesuai dengan standard kota Medan sebagai ibukota ketiga terbesar di Indonesia merangkap kota paling metropolitan di Pulau Sumatera. Memang sesak!

Mula2 kita beli SIM card. Apa yang diperlukan adalah data internet. Ini sangat penting. Selain digunakan untuk tujuan komunikasi melalui whatsapp dengan orang di Malaysia, data sangat penting untuk mengaktifkan WAZE, google MAP serta meng-gugel apa sahaja info dari Internet yang boleh dijadikan panduan dalam pengembaraan kami.


Lepas beli sim card (tak semua rider beli) serta memperasapkan diri bagi kepada yang berasap, dengan pantas kami naik kereta sewa yang sudah ditempah dari awal. Sebab kami bertujuh, terpaksalah ambik dua kereta. Patut bawak super-mpv boleh hangkut sekali harung.


Selain berkereta, alternatif yang boleh digunakan untuk ke pusat bandar adalah dengan menggunakan keretapi. Kami tak naik keretapi sebab nak cepat dan nak terus direct ke hostel. Keretapi pon cepat agaknya tapi kami tak tahu jadual. Jadi PM decide, naik kereta.


Kami dibawa ke checkpoint pertama merangkap lokasi bakal bermulanya pengembaraan kami. Sebuah hostel back packer. Nampak macam hotel cap ayam, memadai sudah untuk tidur dan mandi dengan selesa walau pun kena kongsi bilik air dengan penghuni lain. Yang paling best, kat sini banyak buku yang bermanfaat. Macam library... Rupanya tokey bilik sewa tu buat part-time mengajar English kat warga tempatan. No wonder banyak buku.

Kalau anda berminat untuk menginap di hotel ni, sila cari "DAZHONG HOTEL" kat booking.com. Taukenya pon ramah tamah. Beliau sangat excited menerima kunjungan kami dari Malaysia nak travel pergi Danau Toba pulak tu naik motorsikal. Wah... terasa seperti membawa misi untuk negara pula.


Turun je dari kereta, memasing excited tengok deretan motor sedia menantikan ridernya. Cepat2 pakat chop motor mana nak pakai.

Ada tujuh buah kesemuanya. Nampak baru dan bertenaga. Walau pun begitu, motor ini bukanlah hotel ini punya. Dia pun sewa dengan orang lain. Dah kami request, dan dia pon tak nak mengecewakan kami agaknya, maka dia usahalah cari motor seadanya. Adalah komisen dia tu...

Dua model disediakan pada kami. Skuter-matik Honda Vario 125cc dan Honda Beat 110cc. Sekali imbas nampak macam sama. Maklumlah... adik beradik.

Selesai berurusan dengan Pak Kamal (Indonesian-Chinese; tauke hotel), maka bergoleklah tayar menuju ke destinasi tujuan hari ini; Danau Toba.


Kalau ikut pada itinerary, patutnya jam 9.30 pagi dah kena gerak kerana dijangkakan banyak check point nak kena berhenti, sekurang-kurangnya untuk mengisi minyak. Tapi skuter matik ni minyak jimat lah. Sekali isi full tank, jauh jugak dia pergi.

Perjalanan sehala sejauh 185km bakal menguji keupayaan jentera dan manusia (again!). Memandangkan tiada antara kami berpengalaman menggunakan laluan ini, maka rujukan utama semestinya menggunakan teknologi WAZE! Motorsikal En. Faizal sudah bersedia dengan phone holder yang dibawa dari Malaysia. Maka harapan kami kepada beliau selaku jurumudi. Kami berenam di belakang hanya follow sahaja.

Ding dong punya ding dong, dekat 11 pagi jugaklah baru boleh gerak. Tersasar jauh dari jadual asal. Tapi kami tak risau. Sebab hari ni tak banyak tempat menarik yang boleh dijadikan persinggahan. Misi kami hari ini, harus tiba di Danau Toba sebelum malam.

Cabaran pertama pada hari ini adalah meredah kesesakan trafik (macet) untuk keluar dari kota Medan. Sesak yang bercampur dengan permukaan jalan yang kurang memuaskan, tambah lagi dengan debu dan habuk berterbangan, hingga ada beberapa ketika dia punya sesak motor pon tak boleh celah.

Hasilnya, baru je gerak tak sampai dua kilometer, kami bagaikan terpisah. Saya dan En.Kril tak nampak dah orang lain pergi mana. Tadi kata nak isi minyak, tapi bila lalu stesen minyak tak nampak pulak diorang.

Maka kami mengambil keputusan untuk berhenti juga di stesen PERTAMINA bagi mengisi minyak dan top up angin tayar. Sambil2 tu cuba jugak berhubung dengan mereka. Sebagai navigator, kami yakin henpon En. Faizal sentiasa dipaparkan. Beliau pasti perasan bila orang call.

Mula2 tak jawab. Sedang bertarung dengan macet barangkali. Lepas tu dapat mesej, share location. Kita pon follow. Jumpa pon! Barulah nak atur strategi macam mana tak mau kasi hilang lagi. En. Faizal di depan, dan saya offer jadi sweeper sebab kaler baju saya paling striking. Jadi orang depan boleh jeling2 dalam side mirror di mana kedudukan saya. Sekiranya masih kelihatan, maknanya we still in group.

Nampak tak faedah ada data plan di negara orang. Kalau dulu, sesat... apa jadi kat belakang tak tahu dah.

Then the journey continues... mula2 berenti isi minyak; isi penuh2... perjalanan masih jauh. Perut dah lapau... dari subuh takde mende nak dicekau.




Mentari makin meninggi. Macet masih meriah di sana-sini.

Macet ini adalah salah satu bahagian yang agak mencabar sebenarnya. Suasana yang begitu asing, kali pertama kami disini, dia punya sesak lain macam. Agak sukar untuk mengekalkan kedudukan dalam satu pasukan sewaktu kenderaan lain sepertinya mahu memisahkan kita. Walau apa pun keadaannya, set kito jangey pecoh. Kesesakkan ditempuhi dengan berhati-hati tanpa melepaskan pandangan terhadap ahli kumpulan yang lain. Maka membawa superbike dalam kota sebegini besar dan sesak, ditambah dengan keadaan trek yang tidak cantik adalah tidak berbaloi.

Kapchai sememangnya pilihan yang tepat.



Check point kami seterusnya adalah Kota Tebing Tinggi.

Dari starting point, sampai ke sini jaraknya dalam lingkungan 80km, campur macet, sesat ,isi minyak... hampir 2 jam menunggang, baru lah dapat berhenti makan.

Sebuah rumah makan dipinggir jalan, sajian nasi padang.

Kepada yang tak biasa dengan nasi padang, sebenarnya nasi padang ni sama je macam nasi campur yang kita makan di Malaysia. Bezanya adalah dari segi cara sajian. Food presentation.

Kaedahnya adalah dia akan keluarkan segala jenis lauk yang ada kat kedai tu, letak dalam piring kecik. So kalau ada 20 jenis lauk ditawarkan di kedai itu, 20 piring lah terhidang atas meja. But the rules is not about the quantity, it is about what you consumed. Lauk kasi keluar semua, tidak apa. Selagi tidak disentuh, tak perlu bayar.

Dengan lauk yang penuh semeja, berselera sungguh kami makan. Dah lapor... dah masuk level brunch.



Alang2 sebelah kedai ni ada musolla, kite jamak zohor + asar terus.

Solat finish... then we move on.



Next check point kami adalah Permatangsiantar. Berenti isi minyak serta melegakan otot yang sasa. Berenti kejap je. Harus bersegera ke Danau Toba sebelum kegelapan melanda.


Sedar atau tidak, dari Permatangsiantar, kami sebenarnya sedang menyelusuri laluan mendaki merentasi banjaran gunung berapi sehinggalah tiba ke Danau Toba yang berada di tengah-tengah gugusan gunung berapi.

Sejam setengah perjalanan, baru nampak Danau Toba luas terbentang.
Memang sangat luas. Dengan panjang menjangkau 100km, dan lebar 30km, ia merupakan tasik semulajadi terbesar di Asia Tenggara.

Danau Toba terbentuk akibat kesan beberapa siri letusan gunung berapi yang terjadi kira2 75,000 tahun dahulu. Iya anda tidak silap baca. Tujuh puluh lima ribu tahun dahulu. Lama? Sangat lama... Zaman tu, ntah ada ntah tidak manusia atas muka bumi nih.


Not bad jugaklah Danau Toba nih. Tasik luas terbentang membiru saujana mata memandang. Dikelilingi pula dengan gunung ganang dengan permukaan ala2 rumput padang golf.

Perjalanan turun dari kawasan pergunungan menuju ke tasik agak mencabar kewibawaan rider. Selekoh2 tajam dan terselindung memerlukan kosentrasi yang tidak berbelah bahagi. Tersilap langkah buruk padahnya.


Perjalanan yang panjang bermula dari pagi tadi akhirnya terhenti di Pelabuhan Ajibata buat sementara. Dari sini kami perlu menyeberang ke Pulau Samosir. Nak pergi pulau, kena guna jalan air. Motor tak leh. Kena naik feri...


Kebetulan, kami ngam2 sampai di kala bot dah sampai masa nak bertolak. Lantas kami parking motor, ikut sahaja arahan yang diberikan, then naik feri tingkat atas. Motor diorang angkut.


Harga berpatutan.. 30,000 rupiah (RM10) untuk sebuah motor termasuk penunggang.

Di jeti ini kelihatan satu pemandangan yang menakjubkan. Mungkin takde di Malaysia, atau di tempat lain di dunia.

Terdapat situasi dimana, anak2 tempatan, umur lingkungan 10-12 tahun, pakai swimming trunk jer, riang ria bergelak ketawa menjadikan bot dan tasik itu permainan mereka. Mereka akan naik ke atas bot dan terjun, dengan harapan penumpang feri memberi sedikit wang. Suatu persembahan berani mati dari anak2 suku kaum Batak. Apabila dibaling, mereka akan terjun untuk mendapatkan wang itu. Ternyata keberanian itu hadir kerana kedaifan. Kagum dalam pilu...

Apabila feri mula bergerak meninggalkan pelabuhan, aksi mereka bertambah ektrem dengan melakukan aksi berpaut pada feri. Saya kurang mengerti keseronokkan apakah yang mereka cari. Alah bisa tegal biasa. Tasik itulah lapangan permainan mereka, sedang anak2 kita hanya melepak di rumah, leka dengan aneka gajet yang kita sediakan.


Sedang di atas feri pula, kelihatan beberapa penduduk setempat menjaja makanan ringan bagi memenuhi selera penumpang yang sedang menantikan feri memulakan perjalanan.

Feri ini mempunyai dua jenis ruangan tempat duduk. Ruang terbuka dan ruang berbumbung. Majoriti penumpang kelihatan lebih menggemari ruang terbuka, termasuklah kami. Walau pun kerusi keras tidak berkusyen, namun amat berbaloi dengan sajian pemandangan tasik yang luas dikelilingi oleh rabung gunung berapi sambil menikmati tiupan angin sepoi-sepoi bahasa.




 Di tingkat bawah, motor tersusun rapi.


Perjalanan mengambil masa kira-kira 45 minit sebelum tiba ke Pelabuhan Sumber Sari, Pulau Samosir. Disini, jentera dan manusia diturunkan ke daratan.

Di pulau yang terletak di tengah danau ini, kami menyambung perjalanan menuju ke destinasi terakhir untuk hari ini; Hotel Tuk-Tuk.


On the way hotel, kami disajikan pula dengan pemandangan sawah padi luas terbentang berlatar belakangkan jajaran gunung. Rasa teruja memaksa kami beberapa kali berhenti untuk berfoto di tepian jalanan.




Jauh di pedalaman, kampung ini tenang sahaja Tidak terlalu sibuk, dan tidak banyak kenderaan.

Walaupun jauh, teknologi internet masih tidak mengecewakan. Talian telekomunikasi masih ampuh memudahkan pencarian kami ke hotel menggunakan aplikasi "Waze".


Berhenti sebentar di puncak sebuah bukit yang menyajikan pemandangan danau yang luas terbentang saujana mata memandang. Tabarakallah!

Di puncak bukit ini juga disediakan informasi maklumat geografi dan geofizik, asal usul Pulau Samosir dan Danau Toba selepas impak letusan gunung berapi yang maha dahsyat antara 69,000 hingga 77,000 tahun yang dulu.




Menjelang senja, kami tiba di chalet penginapan kami. Tuk Tuk Timbul nama diberi. Jalan turun ke pintu chalet agak curam. Bukit sama didaki, lembah sama dituruni. Honda Vario dan Beat bertindak cemerlang. Pulas sahaja, terus kedepan. Tiada masalah mendaki jalan berbukit walau pun perlahan.


Bilik penginapan yang sudah ditempah awal melalui online juga tidak mengecewakan. Walaupun bilik jenis twin sharing ini agak kecil, sesuai untuk dua orang, ianya ringkas dan bersih. Kemas diluar, juga di dalam. Ada restoran namun kenampakkan seperti tidak halal. Maka kami lebih rela makan di luar mencari yang halal.



Bukan sekadar makan, malah suka mengambil kesempatan ini untuk bersiar-siar melihat tempat orang. 

Cari makan di sini, agak sulit sebenarnya. Kebanyakkkan rumah makan menghidangkan menu yang bercampur halal dan haramnya. Babi ibarat makanan ruji disini. Tidak hairanlah sementelah majoriti penduduk Pulau Samosir berketurunan Batak bukan beragama Islam. 

Maka kena rajin mencari dan bertanya. Akhirnya membawa kami ke sebuah perkampungan dengan beberapa rumah makan halal.


Persinggahan pertama kami agak menghampakan kerana kedai penuh dan takde tempat duduk. Nak tunggu waiting list, masa dah lewat. 

Lalu kami patah balik menuju ke sebuah lagi rumah makan yang kami lalui sewaktu dalam proses pencarian tadi. 

Menu biasa-biasa sahaja. Ada nasi goreng dan mi goreng segera Indomie. Tak banyak pilihan. Ada juga Mi Pop yang popular itu. Kami memesan nasi goreng dan mi goreng. Makan ramai-ramai.

Lepas makan, kami nak berehat. Lalu terus ingin pulang ke chalet sahaja. Dalam perjalanan pulang, kami meronda masuk kampung orang melihat pemandangan di waktu malam Pulau Samosir Danau Toba. Suasana yang sangat tenang. Tidak ramai orang keluar berkeliaran di waktu malam seperti di bandaraya. Singgah kedai, beli air, beli jajan, buat modal nak layan berborak kat chalet pulak.


Borak punya borak, sampai mata tak boleh bukak, maka tidur adalah aktiviti terbaik. Lagi pun esok mahu jalan jauh lagi. Tidur kena cukup. Bila ride bukan sahaja jentera perlu berada dalam kondisi terbaik. Apa yang penting, fizikal dan mental penunggang harus cerdas lagi gagah perkasa.


Mengikut perancangan, pada hari kedua ini, kami bakal merentasi perjalanan sejauh 220km, melalui beberapa check point seperti mendaki ke tanah tinggi Paropo, menikmati keindahan air terjun Sipiso Piso, bersiar-siar di kota Berastagi sebelum sampai ke titik permulaan kami di Kota Medan. 


Andainya di Malaysia, dengan kemudahan lebuh raya, 220km itu tidaklah terlalu jauh. Namun di wilayah Sumatera Utara, kami perlu merentasi kawasan pergunungan, jalan kampung, jalan tak siap, kota yang sesak, on road off road semua ada, maka jarak 220km itu terasa tersangatlah jauhya. Kerana itu, kami harus meninggalkan Danau Toba seawal yang boleh. 

Awal tak awal juga. Ding dong ding dong, pukul 7.30 baru bersedia untuk bergerak. Dah agak panas sebenanrya. 7.30 disini macam 8.30 di Malaysia.


Kami tidak sarapan, sebab tak tahu kedai mana ada menyediakan sarapan. Mahu sarapan di resort memang tak lah kan. Ingredient apa dia letak kita tak tahu, ada pulak beberapa ekor anjing jinak berkeliaran dalam kafe. Maka kami ambil keputusan untuk mengambil sarapan lewat merangkumi makan tengah hari terus. Kita ride, dulu. Di mana ada rumah makan yang sesuai, kita berhenti. 

Mengembara keluar dari Pulau Samosir merupakan antara moment paling menarik sepanjang kami disini. Kami melalui jalan kampung yang agak sempit, merentasi perkampungan suku kaum Batak, dengan rekabentuk rumah yang rare... 



Diselangi dengan kawasan sawah padi berlatar belakangkan gunung berapi, Subhanallah...







Jalan punya jalan, rupanya sibuk juga Pulau Samosir ni. Sampai ke suatu check point, sepertinya satu jambatan kecil yang menghubungkan antara Pulau Samosir dengan Tanah Besar Sumatera. Dari situ kami mengucapkan selamat tinggal Danau Toba dengan cara mengisi minyak motor sehingga penuh. 


Kami terus mendaki menaiki kawasan pergunungan, meratah dengan berhati-hati selekoh kecil yang agak bersepah dengan batuan kecil. Kami menyaksikan banyak monumen yang dibangunkan oleh orang Batak yang merupakan struktur maqam pada kaum mereka yang telah meninggal dunia. Ini juga rare. Kuburnya agak berselerak, kerana kuantiti setiap perkuburan tidak ramai ahliya. Tidak diketahui apa kriteria kawasan yang diambil kira untuk menyemadikan jenazah di situ. Bagi kami yang jahil ni, kami beranggapan ikut suka dia je nak tanam kat mana pun.


Manakala dari sudut pandang yang lain pula, jauh di hujung sana, Pemandangan Danau Toba yang indah dari sudut yang lebih tinggi. 


Daki gunung naik motor, akhirnya sampailah kami ke check point yang indah permai ini. Menara Pandang Tele nama diberi. Andai teringin menyaksikan pemandangan indah tasik dan kawasan gunung berapi, singgahlah disini, sesuai sekali.


Kawasan ni pun elok terjaga. Ada tandas dan kemudahan rehat juga. Memang tempat tumpuan pelancong barangkali, namun kebanyakkannya domestik.


Dan Kami jadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan di celah-celahnya jalan-jalan laluan, supaya mereka mendapat petunjuk  (Al-Anbiyaa' 21:31) .






Sebelum berangkat meninggalkan Menara Tele, kami terserempak dengan beberapa rider tempatan yang menggunakan motorsikal jenis sportsbike yang kelihatannya ada comot dengan kesan tanah dan lumpur. Kami bertegur sapa serta berkongsi maklumat perjalanan. Rupanya mereka dari Pekanbaru. Paling kurang pun 15 jam perjalanan darat nak sampai ke Menara Tele nih. Jauh tu... kental punya rider!

Pintu gerbang ini adalah pemandangan biasa apabila meninggalkan sesuatu sesuatu daerah, atau kabupaten dalam bahasa tempatan.


Kami meneruskan pengembaraan menuju ke check point seterusnya yang letaknya tidaklah terlalu jauh, hanya kira-kira 20km daripada Menara Tele. Namun saya kira ini adalah antara bahagian paling mencabar dalam pengembaraan ini. Satu kerana kami memulakan perjalanan turun bukit. Keduanya, ada bahagian jalan raya yang tak boleh nak speed lebih daripada 30km/j. Jalan off-road, cross country, rentas desa. Mencabar. Best!


Jalan-jalan kecil ini adalah jalan pesisir tasik yang menghubungkan antara kawasan perkampungan di daerah ini. Ia juga merupakan antara jaringan jalan raya utama di dalam peta Republik Indonesia. Bagi standard jalan luar bandar, masih jauh ketinggalan.

Musafir lalu menumpang rehat di sebuah Musolla, berlindung daripada panas teriknya matahari. Semoga orang yang membinanya mendapat barokah. 


Kami rehat tak lama. Perjalanan masih jauh. Kami perlu mengejar masa untuk sampai ke kota Medan sebelum malam. 


Berlaku satu peristiwa dimana, sewaktu menuruni bukit mengambil selekoh sempit dan berbahaya dek kerana banyaknya batuan kecil bertaburan di jalanan, sedang melewati sebuah kawsasan air terjun, tiba-tiba salah seorang rakan kami gagal mengawal jentera ketika cuba brek kecemasan menyebabkan tayar gagal mencengkam jalan sebab banyak batu dan pasir lalu tergelicir. Habislah seluar koyak, lutut berdarah.


Rider down buat pertama kalinya dalam trip ini. Abang kuad!!! Harap dapat lesen lagi untuk ride seterusnya.


Mujurlah jentera tidak mengalami masalah serius sehingga tidak boleh bergerak. Cuma sebelah cermin pandang sisi pecah dan tanggal, manakala sedikit calar pada cover set.  


The show must go on. Perjalanan harus diteruskan. We need to get back to our origin. 


Sudah lebih daripada 5 jam menunggang, masih belum habis pemandangan tasik. Maknanya dari pagi tadi, kami hanya berlegar sekitar tasik sahaja. Bayangkan diameter tasik 100km end to end. Dari Pulau Samosir kiranya kami sudah merentasi perjalanan sejauh 50km ke utara mengikuti jalan pesisir tasik. Bukan jalan utama.. patutlah cabaran lain macam. Duk terpikir juga, kalau ada transport besar seperti lori atau bas trans Sumatera, takkan lalu jalan2 kampung yang kecil, sempit dan ada tu off road takde tar langsung. 

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Kalau tidak berkorban bersusah payah ikut jalan pedalaman, mana mungkin dapat pemandangan indah serta pengalaman tunggangan yang baharu. Jalan utama untuk cepat sampai sahaja. 


Setelah agak lama menunggang, akhirnya sampai juga kami ke pit stop seterusnya - Air Terjun Sipiso Piso.

Walau pun terasa jauh ceruk di pedalaman, namun ramai orang. Saat liburan hujung minggu barangkali. 

Mula2 kita santap dulu. Dari pagi, sejak berlepas dari Pulau Samosir tadi masih belum ada makanan yang masuk ke perut. 


Setel makan, baru boleh jalan2, tengok apa yang menariknya air terjun Sipisopiso.

Ok.. air terjun dia memang rare... lain daripada yang lain. Berpunca dari sungai yang mengalir di bawah tanah, sedang diatasnya tanah pertanian yang subur, lalu keluar ke ngarai dari ketinggian 120 meter membentuk vertikal yang sempurna. 


Manakala dari sudut pandang yang lain pula, masih kelihatan Danau Toba.

Nak menunjukkan betapa luasnya Danau Toba ni. Dah berjam-jam ride pon masih belum terlepas dari pandangan.

Baiklah... selesai melancong di Sipisopiso, perjalanan diteruskan lagi. Destinasi seterusnya adalah Kota Berastagi. 

Walau pun jaraknya hanya sekitar 40km sahaja, sejam lebih jugak boleh sampai sana. Hanya berhenti sekali untuk mengisi minyak.


Jam 5.00 petang, Kota Berastagi sesak dengan manusia dan kenderaan. 


Setibanya di Berastagi, kami terus menuju ke Bukit Gundaling.

Bukit Gundaling merupakan sebuah kawasan rekreasi yang terletak di atas sebuah bukit di tengah Kota Berastagi. 


Kami singgah sebentar sekadar menikmati minuman dari sebuah rumah makan.

Nun disana kelihatan pemandangan Gunung Berapi Sinabung yang baru sahaja meletus kurang lebih 20 hari sebelum kedatangan kami kesini. Kelihatan asap berkepul-kepul masih keluar dari lohong kawah utama.

Singgah di sebuah masjid di kaki Bukit Gundaling demi menunaikan kewajiban zohor dan asar. 

Lewat petang, perjalanan diteruskan menuju ke garisan penamat, ibu kota Medan. Jalan punya jalan, sampailah ke malam. Bateri kamera pun dah habis. Takleh nak ambik gambar dah. 

Dua jam perjalanan di waktu malam, kami tiba di kota Medan dengan selamat. Alhamdulillah. Kami kembali check-in di hostel Dazhong tempat kami memulakan pengembaraan.

Esoknya, kami hanya bersiar-siar di sekitar hostel sambil menunggu penerbangan pulang ke tanah air. Pagi sarapan menu tempatan di gerai berdekatan hostel, makan nasi apa ntah macam nasi ambeng je rupanya. 




Perut dah kenyang, kami bersiar-siar di Kota Medan menuju ke rumah makan Ucok Durian. Jalan kaki sajer... Motor dah consider 'return'. Perjalanan tidak lah jauh. Kurang lebih 10 minit sahaja. Lagi pun tadi makan nasi mau kasi hadam. Nanti nak makan lagi, nak masuk pulak durian. 




Kedai dia sempoi. Memang rare takde kat Malaysia. Sebuah restoran yang proper macam restoran tomyam, hanya menyajikan durian mentah sebagai menu utama, stok dia berlambak-lambak. Mana nak dapat sepanjang tahun. 

Disebabkan uniqueness dan rarity-nyer, restoran ini mendapat publisiti meluas serta pernah dikunjungi oleh orang sehebat Jokowi. Patutlah dia berani cakap "jangan bilang pernah ke medan kalau belum mampir ke ucok durian."


Ini lah destinasi terakhir kami sebelum berlepas pulang ke tanah air pada sebelah petang. 

Benarlah kata pepatah, jauh perjalanan, luas pengalaman, bertambah pengetahuan. Suka duka sepanjang perjalanan, menguji ketahanan jentera dan penunggang, menghadiahkan sebuah pengalaman yang tidak dapat dijual beli. Kejayaan dikongsi bersama.


Jadilah pengembara, bukan pelancong. 

The end

No comments: