EPIC ADVENTURE OF HA GIANG LOOP

Ini adalah catatan perjalanan sekumpulan rakan sekerja, mengembara jauh nun ke utara negara Vietnam sana, menjelajah kawasan yang khabarnya jarang dilakukan pelawat dari Malaysia. Sesekali ride ke luar negara, melaksanakan hobi yang diminati sejak muda, bagi melampiaskan stress kerja, menikmati keindahan alam ciptaan yang maha Esa, selain merapatkan ukhuwah sesama kita. 
Inilah cara kami melancong.
Setelah mengecap kejayaan gemilang menjelajah Sumatera Barat pada tahun 2017 dan kemudiannya ke Sumatera Utara pada tahun 2018, pada tahun 2019, kami mengambil keputusan untuk menuju puncak pergunungan, mengembara ke sebuah negeri yang letaknya bersempadan dengan negara China. Negeri Ha Giang nama diberi, indah lanskapnya tidak terperi, ibarat mengembara di alam fantasi. 
Misi ini dinamakan sebagai “Ha Giang Loop”.

Sebelum bercerita panjang apa yang berlaku di Ha Giang, ada lebih baik kami cerita sikit apa yang berlaku di Malaysia sebelum hari kejadian. 
Persiapan rapi telah dilaksanakan kira-kira sebulan sebelum keberangkatan. Pembelian tiket kapal terbang pergi balik dari Kuala Lumpur ke Hanoi telah ditempah secara berkumpulan. Maklumat dan lakaran perjalanan diselidiki, jadual perjalanan, tempat persinggahan, penginapan, cuaca,  bekalan makanan, dan lain-lain keperluan. Kemudahan internet digunakan dalam pencarian maklumat terutama sekali untuk mencari saudagar sewaan motorsikal yang mampu menawarkan servis terbaik mengikut kemampuan dan kehendak kami. Beberapa siri perbincangan dilaksanakan sama ada secara realiti atau virtual bagi memastikan misi ini dapat berjalan lancar. 
Isu pemakanan juga harus diberikan perhatian yang serius memandangkan Vietnam adalah sebuah negara yang mempunyai penduduk Islam yang sangat sedikit. Kalau di bandar pun sukar untuk mendapatkan makanan halal, apatah lagi apabila berkunjung di kawasan pedalaman yang didiami oleh etnik tradisi Vietnam. Maka kerana itu, kami telah bersiap siaga dengan membawa bekalan yang terdiri daripada makanan kering dan tahan lama seperti roti, serunding, makanan dalam tin, mi segera dan yang paling penting sekali jika teringin nak makan nasi, kembara meals menjadi pilihan. Ianya cepat, mudah, efisien serta boleh disediakan di mana sahaja tanpa memerlukan sebarang peralatan tambahan. Hanya perlu tambah air sahaja, apa sahaja jenis air, panas atau sejuk, nasi berperisa bersama rendang daging atau ayam sedia untuk dinikmati. Sila review tatacara penggunaan kembara meals di sini;
Tanggal 19 Januari 2019, syarikat tambang murah Air Asia membawa kami terbang ke Hanoi seawal subuh hari. Kami tiba di Hanoi tiga jam kemudian.
Kami meninggalkan lapangan terbang menggunakan teksi, menuju ke My Dinh Bus Station bagi mendapatkan tiket perjalanan ke Ha Giang pada malam nanti. Kisah lanjut pengalaman kami di Kota Hanoi, sila rujuk episod sebelum ini; DAY PACK HANOI.

Sekarang nak cerita pasal pengembaraan di Ha Giang.

Lapam jam kami mengembara dalam lena menuju ke Ha Giang meredah kedinginan malam. Tidur yang lena menyebabkan perjalanan jauh tidak terasa. Sedar-sedar sahaja, menjelang waktu subuh, bas sudah berhenti di hadapan hostel, tempat transit kami sebelum meneruskan pengembaraan. Memandangkan masih awal pagi, matahari pun masih belum menampakkan sinarnya, kami diberi peluang untuk berehat, mandi dan solat sementara menanti hari cerah.
Selesai bersarapan ringkas dengan bekalan yang dibawa dari Malaysia, kami dibawa ke garaj motorsikal yang terletak bersebelahan dengan hostel. Disini, kami diberi peluang untuk memilih jentera tunggangan masing-masing. 

Di bandar Ha Giang ini, terdapat beberapa premis perniagaan yang menawarkan aktiviti pelancongan bermotosikal. Terpulang kepada kita untuk memilih yang mana. Kami memilih QT Motorbikes and Tours sebagai rakan peneraju kami setelah terpesona dengan kemudahan yang disediakan memenuhi kehendak kami, di tambah pula dengan komentar mulia daripada pelancong yang pernah berkunjung ke sini. Mereka boleh dihubungi melalui Facebook https://www.facebook.com/qtmotorbikes/
Rakan? Benar… pengurus di hotel ini sangat mesra hinggakan kami tak terlayan. Apatah lagi apabila beliau mabuk, terasa agak menyeramkan. 
Difahamkan bahawa syarikat ini mempunyai 250 buah motorsikal pelbagai model sebagai aset sewaan kepada pelancong. Harga berbeza mengikut model ditawarkan, bermula dari VND200,000 (RM35.00) bagi moped berkuasa 110cc, sehingga VND650,000 (RM115.00) bagi model dirt bike berkuasa 150cc. Tiada model superbike dengan kapasiti lebih besar ditawarkan memandangkan bentuk muka bumi serta keadaan jalan tidak membenarkan tunggangan secara agresif dilaksanakan dalam pengembaraan ini. Purata kelajuan yang bersesuaian adalah dalam lingkungan 50-60 km/j sahaja. Kelajuan bukanlah keperluan disini. Pengembaraan menikmati keindahan alam, itu adalah matlamat kami.
Penerangan maklumat perjalanan serta keselamatan disampaikan dengan jelas oleh pengurus syarikat sewaan yang fasih berbahasa Inggeris jika dibandingkan dengan kakitangan yang lain.


Antara perkara mustahak yang perlu diberi perhatian sebelum berlepas ke Vietnam adalah keperluan memiliki permit pemanduan antarabangsa (IDP) bagi membenarkan seseorang warga asing mengendalikan kenderaan bermotor di Vietnam. Walau pun secara logiknya, menunggang di kawasan pergunungan nun jauh di pedalaman tiada penguatkuasaan undang-undang yang ketat seperti mana di kota, namun demi keselesaan atau ‘for the peace of mind’ demi memudahkan banyak pihak termasuk diri sendiri sekiranya terjadi sesuatu yang tidak diingini, ada lebih baik IDP ini di mohon terlebih dahulu di Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dengan bayaran RM150.00 sahaja dan sah untuk tempoh setahun. Dah ada IDP barulah terasa lebih yakin untuk menunggang di negara orang. 

Seperkara lagi yang harus diberikan perhatian adalah keperluan untuk mendapatkan perlindungan insuran, sama ada untuk diri sendiri atau jentera yang ditunggangi. Walau pun tidak menjadi kewajipan, namun jika mengambil kira laluan pengembaraan yang ekstrem serta berisiko, insuran boleh membantu sekiranya terjadi sesuatu perkara yang tidak diingini. 

Insuran untuk melindungi diri sendiri, atau lebih sinonim dengan panggilan ‘travel insurance’ boleh dibeli di Malaysia menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat insuran dengan bayaran berpatutan. Manakala insuran untuk motorsikal dibayar kepada syarikat sewaan bagi sebagai jaminan bantuan di jalanan sekiranya berlakunya kerosakan pada jentera dengan bayaran sebanyak VND200,000 sahaja. 
Kami diberi peluang untuk mencuba jentera yang disediakan sebelum membuat keputusan memilih jentera tunggangan dan menjelaskan bayaran. Akhirnya seorang dari kami memilih model vintage Yamaha YB125SP sebagai teman pengembaraan beliau, dua orang memilih scrambler Honda XR150, manakala selebihnya yang tidak mementingkan gaya, cukup sekadar dapat ride sahaja, telah memilih Yamaha Sirius 110cc. Semua jentera dalam keadaan baik, malah ada beberapa model Yamaha Sirius yang masih belum mencecah 1,000km perbatuan. Masih baharu dan bergetah. 
Semua sudah bersedia. Lets ride!!!
Kami berlepas dari titik permulaan pada jam 8.45 pagi, dalam cuaca yang redup dan dingin musim sejuk hemisfera utara. Apatah lagi apabila bermotosikal, kesejukan itu makin ketara memandangkan kami tidak punya jaket yang cukup tebal. Sewaktu proses pencarian maklumat dijalankan ketika kami masih berada di Malaysia, anggapan kami sejuk biasa-biasa aje ala Genting Hinglands. Rupanya sejuk disini ibarat di Genting Highlands sesudah hujan di subuh hari. Di tambah lagi dengan motorsikal ini kami terdedah secara langsung dengan tiupan angin, memang sangat sejuk hinggakan kami terpaksa mengenakan beberapa helaian pakaian yang dipakai berlapis-lapis untuk mengekang kesejukan. Harapan kami agar tiada hujan sepanjang perjalanan. 
Justeru itu, kepada sesiapa yang ingin ke sana, siasat dahulu keadaan cuaca / musim apa di sana.
Kami singgah di sebuah stesen minyak tidak jauh dari harisan permulaan tadi bagi memenuhkan tangki motorsikal kami sehingga ke paras maksimum. Menunggang di negara asing, sukar bagi kami untuk mengagak lokasi stesen minyak yang berikutnya. Maka adalah lebih baik, setiap stesen yang disinggahi dipenuhkan dengan petrol secukupnya. 
Satu jam pertama pengembaraan ini membawa kami keluar dari bandar Ha Giang menuju ke kawasan desa yang landai dan permai sebelum memulakan pendakian merentasi kawasan pergunungan. Ha Giang (disebut sebagai Haa-Jiang) merupakan sebuah negeri yang terletak di utara negara Vietnam dan bersempadan dengan tanah besar China. Dengan kepadatan penduduk yang hanya sekitar 72,000 orang, ia bukanlah sebuah negeri yang besar dan terlalu sibuk. Kerana itu, khazanah alam semulajadinya masih terpelihara dengan menyajikan lanskap kawasan pergunungan dan kawasan lembah yang indah saujana mata memandang. Dataran tinggi yang mengasyikkan ini telah mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai Dong Van Karst Plateau Geopark pada tahun 2010, sekaligus menjadi tarikan kepada pelancong untuk berkunjung ke sini. 
Kami menyelusuri laluan berliku sebelum tiba di check point pertama kami - Quan Ba, sebuah daerah kecil yang berada pada ketingggian 1,600 meter dari paras laut, juga merupakan pintu masuk ke Dong Van Karst Plateau Geopark.  
Turut dikenali sebagai Heaven Gate oleh penduduk tempatan, disini terletaknya dua buah bukit batu kapur yang menyerupai payudara wanita yang menjadi ceritera lagenda masyarakat tempatan berkenaan dengan hikayat cinta puteri kayangan dengan seorang pemuda di bumi. Setelah mendapat tentangan dari keluarga sang puteri, beliau telah dipaksa pulang ke kayangan. Namun sebelum itu, sempat pula beliau meninggalkan payudara beliau sebagai susuan kepada anaknya yang masih bayi. Lama kelamaan, payudara tersebut berubah menjadi bukit. Begitulah menurut hikayat kisah lagenda di sini. 
Kami singgah sebentar di pekan Quan Ba kerana jentera Honda XR150 dahagakan petrol yang hampir kehabisan setelah menempuh perjalanan sejauh 60km merentasi kawasan desa yang penuh dengan selekoh dan turun naik bukit. Hairan juga kerana Yamaha Sirius 110cc kelihatan di meter masih berada dalam takuk yang penuh. Ternyata dengan gaya tunggangan di sini, Yamaha Sirius 110cc memberikan penjimatan petrol yang amat mengagumkan.
Kerana itu, penunggang Yamaha Sirius 110cc nekad untuk meneruskan perjalanan tanpa mengisi petrol kerana yakin mampu sampai ke stesen berikutnya yang terletak 60km di hadapan.
Pengembaraan menuju ke check point seterusnya, yang sepatutnya mengambil masa dua jam perjalanan, terpaksa dilanjutkan gara-gara kami banyak berhenti untuk merakamkan gambar berlatar belakangkan lanskap indah kawasan pergunungan, secara tidak langsung memberi kami peluang untuk berehat setelah duduk agak lama di atas jentera. 






Kami singgah di check point berikutnya bernama ‘Doc Tham Ma Viewpoint’ bagi merakamkan kenangan setelah hampir separuh jalan menakluk tanah jajahan Ha Giang. Kawasan ini meyajikan pemandangan indah liku-liku jalan raya  merentasi kawasan pergunungan saujana mata memandang. Ia ibarat ikon yang seakan-akan menggamit kehadiran pelancong untuk bertandang ke sini, semestinya dengan motorsikal. 

Kelibat kanak-kanak etnik tempatan berkeliaran disini menggamit kehadiran pelancong. Mereka membawa bunga segar dan juga bunga yang sudah digubah untuk dijual kepada pelancong. Bagi membangkitkan rasa seronok dalam diri mereka, kami memberi sedekah dalam bentuk gula-gula, coklat, makanan ringan dan juga sedikit wang.


Kami singgah di stesen minyak berhampiran untuk memenuhkan tangki yang semakin kurang isinya. Walau pun jauh di pedalaman dan hanya dihubungkan dengan jalan raya yang sempit dan penuh berliku, masih terdapat sebuah stesen minyak yang cantik dan moden. Rupanya masih cantik, seperti baru dibina. 





Kami meneruskan perjalanan menuju ke destinasi berikutnya yang terletak kira-kira 50km di hadapan. Tiang bendera Lung Cu, sebuah mercu tanda yang didirikan oleh kerajaan bagi menempatkan sebatang tiang bendera gergasi seperti yang kita lihat di Dataran Merdeka. Tegak berdiri setinggi 30 meter, di atas puncak Gunung Lung Cu pada ketinggian 1,400 meter, berkibar megah bendera gergasi ‘red flag with a gold star’ bagi menunjukkan tanda kedaulatan negara kepada jirannya, China yang terletak di sebelah sempadan sahaja. 
Kami tiba di dataran pintu masuk ke puncak Lung Cu pada waktu lewat petang, di mana kebanyakkan pelancong sudah mula meninggalkan tempat tersebut. Kami mengambil kesempatan berhenti disini untuk menikmati bekalan makanan yang dibawa dari Malaysia serta menunaikan solat. Air yang amat dingin memberikan cabaran kepada kami sewaktu berwuduk. Terasa seperti menyapu ais di badan. Sejuk yang amat.
Untuk sampai ke puncak Lung Cu, kami perlu mendaki beberapa puluh anak tangga lagi dalam kedinginan tanah tinggi ditambah pula dengan suasana musim sejuk di utara Vietnam. Walau pun agak memenatkan, namun usaha itu berbaloi dengan pemandangan yang menakjubkan tanda kebesaran Ilahi. 

Selesai menikmati pemandangan indah serta bergambar kenangan, kami meninggalkan Lung Cu pada saat matahari hampir terbenam. Bermakna, kami harus meneruskan perjalanan ke pekan Dong Van sejauh 25km dalam kepekatan malam. Tanpa bantuan cahaya dari lampu jalan, hanya berpandukan suluhan cahaya dari lampu motorsikal kami, kami bergerak dengan berhati-hati dalam satu kumpulan. 
Satu jam kemudian, kami akhirnya sampai ke pekan Dong Van, lalu terus sahaja menuju ke hostel penginapan kami untuk malam ini. Gerimis mengundang ketibaan kami, lalu memberikan kedinginan tanpa pendingin hawa sepanjang berada di sini. Kami check-in di sebuah bilik yang menempatkan lapan buah katil yang cukup selesa dengan bayaran yang sangat berpatutan.
Kami menikmati tidur yang lena musim salju, nun jauh di dalam utara Vietnam.
Hari Kedua:

Mulakan hari yang ceria dan bersemangat dengan bangun solat Subuh, dan kemudiannnya naik sehingga ke bahagian roof top untuk menikmati sarapan pagi. Sekali lagi menggunakan bekalan yang dibawa dari Malaysia. Penyediaan yang cukup mudah, pantas, mengenyangkan dan apa yang penting, halalan toyyiban. Suasana sejuk dingin kawasan pergunungan, pada ketika hujan mula berhenti memberikan rasa yang segar lagi mendamaikan.

Matlamat kami pada hari ini adalah untuk pulang ke garis permulaan yang kami tinggalkan semalam di Ha Giang City pada waktu yang ditetapkan supaya kami dapat pulang ke Hanoi pada malam itu juga. Sebelum meninggalkan Dong Van, kami membeli sedikit cenderahati untuk dibawa pulang sebagai ole-ole kepada orang yang ditinggalkan di tanah air. Dikhabarkan harganya lebih murah jika dibandingkan dengan kos yang lebih tinggi di bandar seperti Hanoi. 
Kami juga sempat bersiar-siar di sekitar kawasan hostel bagi menghirup suasana pagi yang dingin sambil merakamkan gambar dan bertegur sapa dengan penduduk tempatan.



Sebelum bergerak meninggalkan pekan ini, kami memeriksa dahulu keadaan jentera kami supaya berada di tahap terbaik. Setelah berpuas hati dengan kondisi jentera tunggangan masing-masing, kami meninggalkan Dong Van, menuju ke Ha Giang, melalui laluan legenda Ma Pi Leng menakjubkan.  

Laluan Ma Pi Leng adalah jalan merentasi pergunungan sepanjang 20km yang menghubungkan pekan Dong Van dan Meo Vac. Membina jalan raya di kawasan pergunungan bukanlah kerja mudah. Ia adalah hasil kerja keras 1,200 tenaga kerja rakyat tempatan, serta lebih 1,000 pekerja sukarela yang terdiri daripada remaja yang berasal dari 16 etnik tempatan dari lapan daerah di utara Vietnam, bermandikan darah dan keringat, membina jalan raya sejauh 185km, bermula dari Ha Giang menuju ke Dong Van, seterusnya tamat sehingga Meo Vac. Sepanjang enam tahun pembinaan, bermula dari tahun 1959 hingga 1965, mereka berhempas pulas menggali, mengalihkan batu, meratakan tanah serta melicinkan permukaan tar tanpa menggunakan jentera sofistikated. 14 orang remaja dilaporkan terkorban sewaktu proses pembinaan dan jasad mereka terus terkubur di kawasan UNESCO Geopark. 




Bagi memperingati peristiwa pembinaan laluan Ma Pi Leng yang bersejarah ini, pada tahun 2017, pihak pemerintah Ha Giang telah mendirikan sebuah tugu peringatan setinggi 16 meter sebagai simbolik pengorbanan, kerja keras dan kejayaan generasi muda pada masa itu, yang dinamakan sebagai Youth Monument.


Meneruskan pengembaraan ini, trek kami masih lagi penuh berliku, namun hari ini jalannya lebih banyak menurun, menandakan kami mulai turun dari kawasan pergunungan. Perkara yang paling mengujakan adalah hampir keseluruhan melalui laluan Ma Pi Leng penuh dengan lanskap indah seolah latar belakang filem pecah panggung Lord of the Ring. Sepertinya alam fantasi. Faktor alam ciptaan Tuhan inilah yang menjadikan kawasan ini diwartakan sebagai salah satu tapak UNESCO di dunia. 





Kami terus menerus turun dari tanah tinggi Dong Van, cuaca dari sejuk dah mula panas, memacu jentera kami, meratah selekoh-selekoh tajam dengan berhati-hati untuk terus ke hadapan. Check point kami yang seterusnya adalah sebuah pekan kecil bernama Meo Vac untuk berhenti sekurang-kurangnya mengisi minyak. 

Dari Meo Vac kami melanjutkan perjalanan ke Du Gia, kawasan desa yang penuh dengan khinzir dan anjing berkeliaran. Sekali lagi, stesen minyak menjadi transit kami untuk berehat dan mengisi minyak bagi yang perlu. Dengan melalui pekan-pekan kecil sebegini, bekalan petrol mudah didapati. 









Jam sudah menunjukkan tiga petang tatkala kami melewati sebuah perkampungan kecil puak Hmong. Maka perut pun berkeroncong minta diisi. Kami mencari lokasi yang agak baik, lapang serta mempunyai sumber air semulajadi untuk menyediakan santapan kami. Kami juga mengambil peluang ini untuk menunaikan kewajipan pada yang Esa, walau pun hanya di tepi jalan.

Setelah sejam merehatkan badan, kami meneruskan perjalanan pulang ke Ha Giang. 
Cabaran seterusnya menanti kami ketika hampir tiba di Ha Giang apabila terpaksa menempuh jalan rosak yang dipenuhi lumpur licin sejauh kira-kira 5km. Bagi kami yang menunggang dirt bike, ini adalah satu kelebihan. Berbanding dengan penunggang kapcai, tunggangan perlu dilaksanakan dengan penuh berhati-hati, malah boleh dikatakan amat perlahan tidak melebihi 20km/j apabila dirasakan tayar seperti tidak mencengkam jalan. Alhamdulillah, mujurlah tiada kejadian yang tidak diingini berlaku, namun pakaian kami penuh dengan percikan lumpur yang diharapkan tiadalah najis berat melekat padanya. 


Jam menunjukkan pukul enam petang sewaktu konvoi pengembaraan kami tiba di bandar Ha Giang, menandakan perjalanan ini sudah hampir tamat. Sebelum memulangkan motorsikal sewaan, kami singgah di Dataran Tugu Peringatan Ho Chi Minh, seterusnya menikmati secangkir kopi Vietnam di pinggir Sungai Song Lo di tengah-tengah kota Ha Giang bagi meraikan kejayaan kami menawan laluan Ha Giang Loop dalam tempoh dua hari satu malam. 


Sesungguhnya ini adalah pengalaman yang sangat berharga bagi kami. Kombinasi jentera dan manusia bersatu menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan melahirkan rasa keterujaan berbeza yang hanya boleh difahami oleh pencinta dua roda sahaja. Dua roda tersebut tidak semestinya mahal dan berkuasa tinggi. 


Secara keseluruhannya, kami telah telah melalui perjalanan sejauh lebih daripada 370km, ke gunung sama di daki, ke lurah sama dituruni, merentasi kota dan desa, menggunakan jentera kecil yang hanya mampu bergerak secara purata tidak melebihi 80km/j disebabkan keadaan jalan raya yang kurang memuaskan dari saiz dan kualitinya, memandangkan kedudukannya yang jauh di pedalaman.

Cabaran utama yang kami hadapi, selain dari suhu yang sangat dingin adalah dari segi pemakanan dan bahasa ketika mengembara di sebuah negara yang jauh dari tatacara hidup Muslim serta tidak tahu berbahasa Inggeris. Ia dapat di atasi dari segi perancangan yang rapi serta penggunaan teknologi yang memudahkan terjemahan dari sudut bahasa.  

Kami pulang ke Hanoi pada malam itu juga dengan menaiki bas ekspress setelah meninggalkan seribu kenangan yang tidak mungkin dapat dijual beli. Segala suka duka, pahit manis pengembaraan kami jadikan teladan dalam menempuhi liku-liku kehidupan sebenar yang serba mencabar.


Jadilah pengembara... bukan pelancong.

No comments: