JOURNEY TO THE EAST OF VIETNAM

Ini kisah pengembaraan sekumpulan enam rakan sekerja, menjelajahi perbandaran dan perkampungan, laluan pantai dan pedalaman, dari lebuh raya hingga ke lorong-lorong kecil, meneroka keindahan alam ciptaan Tuhan, keunikkan sebuah negara komunis di Asia Tenggara.


Setelah mengecap kejayaan cemerlang gemilang terbilang dalam beberapa siri pengembaraan backpackers menggunakan motorsikal, kali terakhir dilakukan dengan menjelajah ke utara Vietnam pada tahun 2019, seakan ada sesuatu, tahun 2020 kami terbang lagi ke negara Vietnam. Ini kali, wilayah timur menjadi pilihan.

Kejayaan yang mendapat undangan daripada pihak Bernama Radio sehingga dijemput menjadi tetamu jemputan dalam satu program bual bicara.


Misi kami adalah untuk melaksanakan satu pengembaraan menggunakan jentera motorsikal berkuasa tidak lebih dari 150cc, bermula dari wilayah Nha Trang, kemudiannya mendaki ke kawasan tanah tinggi Dalat, esoknya turun ke daerah Mui Ne melalui laluan pesisir pantai dan kembali semula ke wilayah Nha Trang dalam masa tiga hari dengan jarak perjalanan keseluruhan dianggarkan sekitar 660 kilometer, termasuk laluan pergi dan balik ke tempat pelancongan yang unik dan menarik di wilayah timur Vietnam.


Sebulan sebelum keberangkatan, segala perancangan disusun rapi oleh Mr. Krel selaku ketua kumpulan merangkap pengurus projek ekpedisi kali ini (dan ekspedisi lain sebelum ini). Beliau bertanggungjawab untuk merencanakan plot perjalanan dari satu destinasi ke satu destinasi bagi menjadikan pengembaraan ini sesuatu yang berbeza dari apa yang biasa dilakukan oleh kebanyakkan pelancong yang bertandang ke Vietnam.

Selain itu, antara persediaan lain yang harus dilaksanakan termasuklah membuat tempahan penerbangan, tempahan bajet hostel, pembaharuan passport, tukaran matawang Dong, penyediaan bekalan makanan halal, pembelian insurans perjalanan, serta permohonan / pembaharuan permit pemanduan antarabangsa. Ini penting kerana ada kebarangkalian kami terpaksa menempuhi sekatan jalan raya yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa di sana, terutama sekali dalam daerah Mui Ne. Sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini, ada lebih baik kami mempersiapkan diri dengan membawa permit pemanduan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut, sila dapatkan maklumat dari pihak JPJ Malaysia. 



Hari itu hari Sabtu, kami terbang bersama pesawat AirAsia selama dua jam sepuluh minit sebelum mendarat di lapangan terbang Cam Ranh. Sebaik sahaja selesai urusan imigrasi dan bagasi, kami segera mengaktifkan talian internet pada telefon bimbit kami dengan membeli kad sim dari kedai telekomunikasi yang terdapat disini.



Sesungguhnya internet sangat pening dalam pengembaraan ini. Bukan sekadar untuk berkomunikasi, malah apa yang lebih penting adalah ia merupakan saluran untuk mendapatkan data bagi mengaktifkan aplikasi navigasi sebagai menjadi penunjuk arah untuk tiba ke sesuatu destinasi. Tanpanya, risiko untuk sesat amat tinggi sekali. Nak harapkan papan tanda di jalanan, bahasa yang terpampang tidak dapat difahami.


Tapi tak perlu lah semua orang harus bernavigasi. Seorang sahaja sudah memadai. Beliau akan berada di hadapan selaku jurumudi, manakala yang lain hanya perlu ikut dari belakang sahaja. Follow the leader. Harus fokus jangan sampai terpisah dari kumpulan dan hilang dari pandangan.

Sebelum keluar dari pintu lapangan terbang, sebagaimana penumpang lain, bagasi kami perlu menjalani proses pengimbasan bagi memastikan tiada unsur penyeludupan dan bahan terlarang terlepas masuk ke negara Vietnam. Semestinya kami tiada sebarang kepentingan untuk menyeludup apa-apa jenis barang kerana kami bukan penyeludup.

Walau bagaimanapun, jurumudi kami gagal dalam ujian tersebut apabila dikesan membawa dron. Ini suatu perkara yang berada di luar kotak pemikiran kami. Sesungguhnya kami tidak tahu bahawasanya dron adalah barangan terlarang. Beliau ditahan dan dibawa masuk ke sebuah bilik khas untuk siasatan lanjut. Hanya beliau keseorangan. Kami tidak dibenarkan masuk, berada di luar menunggu detik-detik cemas apakah yang sedang berlaku di dalam.

Berdasarkan pengalaman berada di Vietnam pada tahun sebelumnya, ini bukan kali pertama kami membawa dron. Sepatutnya tiada masalah. Mungkin peraturan baharu? Atau mungkin juga satu bentuk penganiayaan untuk memeras wang kami? Atau mungkin memang benar tak boleh tapi pegawai di lapangan terbang Hanoi tahun lepas terlepas pandang?

Pelbagai persoalan bermain di minda. Harap pegawai yang sedang menyoal siasat di dalam fasih berbahasa Inggeris.
Hampir setengah jam menunggu, akhirnya beliau keluar bersama dronnya. Cerita sebenarnya adalah dron bukanlah benda haram untuk dibawa ke Vietnam. Namun peraturannya perlu ada permit khas yang dimohon 14 hari sebelum ketibaan, sebagaimana carian dari Google yang menyatakan:

A unique flight license is required for every drone flight conducted  in VietnamApplications must be submitted at least 14 days before the planned date of the flight to the Operations Bureau of the General Command Post of the Ministry of Defense.

Ehh... manalah kami nak tahu kan? Dan undang-undang ini telah berkuatkuasa sejak tahun 2008 lagi. Maknanya ketika di Hanoi tahun lepas, pegawai lapangan terlepas pandang. Pegawai di Cam Ranh ini lebih fokus dalam kerjaya. So kantoi...

Kesudahannya adalah terpaksalah membayar denda dengan jumlah VND1,000,000. Yesss... sejuta Dong. Bersamaan dengan RM 170++. Apa nak buat, bayar je lah... Nasib baik dron tak kena rampas. Huhuhu....

Selesai masalah drone, masalah nak cari pengangkutan ke pusat bandar Nha Trang. Lepas pengaktifan sim kad, sebelum dron terkantoi, perkara yang mula-mula dilakukan adalah membuat tempahan Grab. Tengok harga VND550,000. Kami redha je lah mungkin harga dia macam tu. Kalau teksi mungkin lagi mahal kot... macam kat Malaysia, Grab vs Teksi.

Pada waktu kami menunggu sahabat yang sedang disoal siasat di dalam, kami dihampiri oleh ejen pencari pelanggan (atau lebih mesra dengan panggilan 'ulat teksi' barangkali) menawarkan teksi MPV pada harga serendah VND300,000 sahaja. Sudah tentu hal ini amat mengejutkan kami. Keajaiban apakah yang memungkinkan teksi lebih murah dari Grab. Berkali-kali kami meminta kepastian harga. Mungkin ada caj tersembunyi? Tiada, cuma tambahan bayaran tol sebanyak VND20,000 sahaja. Masih jauh lebih murah dari Grab.

Ibarat cinta beralih arah, kami tertarik pula dengan teksi walau pun Grab sudah ditempah. Kami mahu batalkan Grab, tapi tukang order tak dapat dihubungi kerana sedang disoal siasat dalam bilik khas. Bila mana tukang order keluar, terlambatlah sudah untuk membatalkan tempahan. Pemandunya sudah sampai. Berlegar-legar mencari kami, terutama tukang order kerana gambar wajahnya juga dihantar semasa membuat tempahan. Satu hal pulak nak kena menyorok balik tiang, lepas tu macam penjenayah kami cepat lari masuk dalam teksi sebelum dicam oleh pemandu Grab. Rasa naya pulak buat gitu kat orang.

Sejurus apabila teksi bergerak, mesej dihantar memohon kemaafan dengan alasan kami ada masalah kastam dan tidak dibenarkan keluar dalam masa terdekat. Daripada membuang masa, menunggu lebih lama, lebih kamu pulang sahaja atau mencari pelanggan yang lain. Bohong sunat, takpe kot. Sape suruh caj mahal sangat. Kami kan pengguna bijak.

Selesai peristiwa di lapangan terbang.

Kedudukan lapangan terbang ini agak jauh dari bandar Nha Trang, ibarat KLIA ke Kuala Lumpur.
Perjalanan menuju ke bandar Nha Trang mengambil masa sekitar 45 minit dengan kelajuan sederhana. Jalan raya cantik umpama lebuh raya.

Teksi berhenti betul-betul di hadapan premis perniagaan 'True Friend Easy Rider', lokasi dimana motorsikal sewaan kami siap tersedia. Kami disambut mesra oleh Mr. Benny selaku tauke tempat sewa motor yang juga menyediakan perkhidmatan hostel ala backpacker di premis yang sama.

Terdapat pelbagai pilihan motorsikal ditawarkan pada harga yang berbeza. Berdasarkan tawaran yang ada, tiga daripada kami memilih model skuter Honda PCX150 dengan harga VND300,000 sehari, dua orang memilih skuter Honda Air Blade dengan harga VND200,000 sehari dan seorang memilih model scrambler Honda XR150 dengan harga VND400,000 sehari.

Kadar tukaran Vietnamese Dong pada minggu tersebut adalah di sekitar VND100,000 = RM17.50.

Bukan hanya motorsikal, malah pakej sewaan termasuk juga dengan topi kaledar. Walau pun nampak kusam dek kerana kekerapan penggunaan penyewa-penyewa sebelumnya, kami tiada pilihan selain daripada menerima sahaja apa yang ada, melainkan kalau anda gigih membawa sendiri topi kaledar dari Malaysia.

Seorang rakan kami membawa sendiri helmet full face beliau dari Malaysia, dibawa menaiki pesawat tanpa perlu daftar masuk bagasi, kerana saiz dan berat helmet lazimnya berada dalam spesifikasi yang dibenarkan.

Bayaran tunai dijelaskan kepada si pemberi sewa. Tersenyum lebar di mukanya kerana mendapat laba berganda. Enam buah motorsikal sekaligus berjaya mendapat pelanggannya.

Motorsikal diperiksa bagi memastikan kondisinya berada pada tahap yang meyakinkan untuk dibawa sejauh lebih 600km. Passport salah seorang dari kami harus ditinggalkan kepada si pemberi sewa, sebagai jaminan takut kami lesap entah kemana, membawa sejumlah jentera bernilai berjuta-juta Dong.

Sememangnya di Vietnam kami jutawan.

Penerangan ringkas tatacara penggunaan motorsikal juga diterangkan oleh Mr. Benny yang fasih berbahasa Inggeris.


Selesai segala urusan di tempat sewaan, enjin dihidupkan, throttle sudah ditangan, ayuh kita mulakan tunggangan.


Perkara pertama yang harus dilakukan sebelum pergi lebih jauh adalah mengisi tangki petrol sepenuhnya. Kami dibantu oleh seorang rakan Mr.Benny telah bermurah hati membawa kami ke stesen minyak berhampiran, seterusnya menunjuk arah untuk keluar dari bandar Nha Trang.

Berlegar-legar di sekitar bandar Nha Trang, pada hemat kami walau pun sibuk, tapi tidaklah terlalu sesak seperti di Hanoi atau Ho Chi Minh. Trafik masih lancar dengan bilangan motorsikal lebih ketara banyaknya berbanding kereta dan kenderaan beroda empat yang lain. Kami yang masih dalam proses cuba untuk menyesuaikan diri dengan sistem pemanduan sebelah kiri terpaksa memberanikan diri ketika menghampiri bulatan atau persimpangan tanpa lampu isyarat. Lalu lintas simpang siur,  ibarat masing-masing tidak mahu berhenti. Kemahiran menggunakan brek dan hon amat penting sekiranya mahu selamat.

Petrol di Vietnam berada pada harga sekitar RM3.50 seliter. Jauh lebih mahal dari Malaysia. Sekali isi dalam berpuluh ribu Dong. Sekarang kami faham kenapa bilangan motorsikal jauh mengatasi bilangan kereta. Lebih praktikal dan ekonomi barangkali.

Matlamat kami hari ini adalah bergerak sejauh 140km, masuk ke kawasan pedalaman, menuju ke tanah tinggi Da Lat, ibu negeri wilayah Lam Dong yang agak popular di kalangan warga Malaysia semenjak AirAsia menawarkan penerbangan terus dari Kuala Lumpur, membuka ruang warga Malaysia datang berkunjung, atau sepatutnya orang Da Lat yang harus datang ke Malaysia bagi merancakkan lagi industri pelancongan negara kita. Kalau asyik orang kita sahaja yang pergi ke sana, tidak adil lah andainya ekonomi mereka sahaja yang berkembang. Semoga ada situasi menang-menang dalam hubungan dua hala ini.

Perjalanan dianggarkan bakal mengambil masa sekitar empat ke lima jam pada kelajuan sederhana.

Lamanya 140km hingga mengambil masa 4,5 jam? Kalau dengan superbike, satu jam boleh sampai.

Benar... pada mulanya kami juga keliru kenapa tempoh perjalanan terlalu lama jika dibandingkan dengan jaraknya. Namun setelah melaluinya sendiri, barulah kami faham situasi yang dihadapi.

Mula-mula kami harus menerima hakikat bahawasanya kami bukan menunggang superbike. Kami hanya menunggang model skuter dengan kapasiti maksimum 150cc sahaja. Jadi tidak mungkin jarum meter kami akan mencecah ke angka 140. Nak dapat 100 pun susah.

Keduanya, kami baru sedar bahawasanya Da Lat ini adalah sebuah bandar yang berada pada altitud tinggi. Berdasarkan bentuk muka bumi, ia berada pada ketinggian 1,500 meter dari paras laut. Maka untuk sampai ke sini, kami harus mendaki bukit bukau menggunakan jalan raya bengkang bengkok dengan selekoh tajam di kebanyakkan kawasan. Saya rasa naik superbike pun tak boleh maintain 140km/j sepanjang perjalanan. Mana mungkin boleh sampai dalam masa satu jam. Kalau superbike yang senang-senang boleh cecah 140km/j tak boleh nak maintain atas trek Nha Trang - Da Lat ini, apatah lagi kami si skuter kecil.

Walau apapun kepantasannya, harus diingat bahawa dalam pengembaraan ini, kelajuan bukanlah matlamat kami. Malah dalam mana-mana siri pengembaraan sekali pun, kelajuan tidak harus dijadikan matlamat. Slow and steady, nikmati panorama sepanjang perjalanan, hargai alam ciptaan Tuhan. Kalau kepantasan jadi ukuran, sila mengembara di litar Sepang.


Menunggang motorsikal dalam altitud tinggi memberikan cabaran kesejukan yang menyucuk hingga ke tulang. Sesungguhnya kami tidak bersedia dengan kesejukan ini. Ramalan kaji cuaca yang kami periksa menyatakan cuaca cerah tanpa hujan. Memang benar cerah tanpa hujan. Tapi kami lupa kecerahan juga boleh membawa kepada kesejukan apabila berada di kawasan tanah tinggi, ditambah dengan posisi tunggangan yang terdedah dengan angin yang menderu, tanpa pakaian yang sesuai. Saya anggarkan suhu berada sekitar 15 darjah celcius. Walau pun belum mencapai takat beku, meunggang dalam kesejukkan amat tidak selesa.

Sesekali kami berhenti di beberapa kawasan bagi meredakan kesejukkan. Kami juga berhenti di sebuah restoran yang besar, tersergam indah ibarat RnR untuk solat serta menikmati secawan kopi panas tatkala kesejukkan makin mencengkan jiwa.

Walau pun tiada tempat solat khusus disediakan, kerana kami berada di sebuah negara yang memang susah nak jumpa orang Islam, itu bukan alasan untuk tidak solat. Di celah-celah kedai, kami menunaikan kewajiban kepada-Nya, dengan harapan dan doa semoga dipermudahkan perjalanan kami, diberikan keselamatan pergi dan balik serta tabah menghadapi kesejukkan.

Perjalanan diteruskan dikala sang mentari mulai condong di ufuk barat, menandakan tidak lama lagi malam bakal kunjung tiba. Menunggang jentera beroda dua dalam kegelapan di tempat asing dalam suhu dingin  bukanlah suatu perkara yang menyeronokkan. Kami harus bersegera menuju ke destinasi akhir untuk hari ini.

Kami berjaya tiba di Da Lat sejurus selepas masuknya waktu maghrib. Kami mengambil keputusan untuk singgah menikmati makan malam terlebih dahulu sebelum daftar masuk ke hostel penginapan. Kami bersyukur kerana terdapat restoran yang menyajikan menu ala Malaysia yang dimiliki oleh pengusaha Muslim untuk dinikmati oleh penduduk tempatan, walau pun secara dasarnya, Islam agama minoriti di sini, dan kebarangkalian untuk bertemu dengan masyarakat Muslim amatlah rendah.

Berdasarkan kajian dan pencarian, menemukan kami dengan Restoran Kampung Pandan yang terletak di kawasan bandar Da Lat. Sukar untuk mencari sekiranya tiada aplikasi navigasi kerana lokasinya yang berada di sebuah lorong kecil sedikit terlindung daripada laluan utama.


Ketibaan kami disambut dengan penuh mesra dan meriah oleh tauke kedai. Barangkali beliau teruja dengan kehadiran enam jejaka dari tanah airnya dengan hanya bermotosikal, dari Nha Trang yang jauh. Biasanya kalau ada orang Malaysia yang datang, mereka datang dengan rombongan sama ada van atau bas mini. Ini datang dengan motor, sesuatu yang sangat jarang dapat dilihat.


Tiba-tiba hubungan kami dengan tauke kedai menjadi akrab. Maka berceritalah kami pengalaman masing-masing, bagaimana kami boleh sampai ke Da Lat, begitu juga dengan kami yang cuba untuk mengorek rahsia beliau bagaimana boleh membina kehidupan di suatu tempat bernama Da Lat. Bertukar cerita dan pendapat, pengalaman dan kisah kehidupan seperti ini memberi aspirasi kepada kami erti kegigihan dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Setelah perut kenyang terisi, kami singgah sebentar di sebuah stesen minyak berhampiran untuk memenuhkan tangki yang hanya sekali diisi sebelum meninggalkan Nha Trang siang tadi. Penggunaan bahan api motorsikal skuter amat menjimatkan. Setelah mengharungi perjalanan sejauh 150km, petrol masih berbaki di dalam tangki.

Kami terus sahaja ke lokasi hostel yang sudah ditempah lebih awal melalui aplikasi dalam talian. Tak sabar rasanya untuk membersihkan diri dan merehatkan badan, serta berbaring atas tilam empuk sambil menyaksikan siaran televisyen berbahasa Vietnam.

Kita hanya mampu merancang. Gadis separuh umur yang bertugas di kaunter hostel memaklumkan tempahan kami tidak diterima. Sistem bermasalahkah? Kami menunjukkan resit tempahan kepada beliau. Benar, memang ada tempahan, tapi mungkin ada kesilapan diluar jangka menyebabkan tempahan tidak diterima dengan sempurna. Kebetulan semua bilik dan katil habis ditempah pada malam itu. Ah sudah... nak tidur mana?


Gadis kaunter itu juga nampak seperti serba salah. Lalu beliau menawarkan bilik akan disediakan menjelang jam 11.00 malam, setelah terdapat sebilangan penghuni meninggalkan hostel tersebut. Pelik juga ada orang check-out jam 11.00 malam. Mungkin sistem di hostel ini mengikut bilangan jam barangkali. Check-in lewat, boleh check-out lewat.

Jam sudah menunjukkan pukul 8.00 malam. Tidak sanggup rasanya menunggu tiga jam demi mendapatkan enam buah katil. Badan sudah penat, jiwa nak berehat. Sebagai alternatif, kami mohon bantuan beliau untuk mendapatkan kediaman lain mengikut kemampuan bajet kami.

Setelah menghubungi seseorang, beliau mencadangkan sebuah hostel lain tidak jauh dari lokasi sekarang. Dengan pantas kami menuju ke hostel tersebut. Setelah sampai, kami membuat pemeriksaan terlebih dahulu bagi memastikan keperluan yang disediakan di hostel tersebut mematuhi kehendak kami sebagai orang Islam, begitu juga keselamatan motorsikal yang perlu ditinggalkan. Kami berpuas hati dengan keadaan hostel tersebut, lalu bersetuju untuk menginap di Tiny Tigers Hostel. Sebilik boleh muat tiga orang. Terpaksalah ambil dua bilik untuk muat enam orang. Motorsikal dibawa masuk ke kawasan lobi bagi menjamin keselamatan dari gangguan pihak tidak bertanggungjawab.

Hasrat untuk berbaring atas tilam yang empuk sambil menonton televisyen terpaksa dilupakan kerana tiada televisyen disediakan di dalam bilik. TV hanya tersedia di kawasan lobi sahaja, dengan alat kawalan jauh dikawal oleh anak tauke hostel yang begitu khusyuk menonton rancangan kartun. Demi mengisi sisa masa yang ada sebelum melelapkan mata, kami keluar bersiar-siar seketika di sekitar kawasan hostel, menghirup udara malam serta melihat gelagat warga tempatan.

Tidak banyak yang dapat disaksikan kerana kebanyakkan premis perniagaan sudah ditutup. Bosan dengan persekitaran yang ada, kami pulang sahaja ke hostel. Sekian sahaja kisah untuk hari ini. Esok pagi kami ride lagi.


Hari Kedua:

Deringan jam dari telefon bimbit mengejutkan kami dari lena. Usai mempersiapkan diri, kami turun ke lobi untuk bersarapan bermenukan bekalan roti yang di bawa dari Malaysia. Tidak berani untuk order makanan di sini. Status halal tersangatlah diragui.

Motorsikal kami sudah dikeluarkan dari lobi. Di bahu jalan tersusun rapi. Mungkin dikeluarkan oleh pekerja hostel barangkali.


Jam 8.00 pagi, tayar golek meninggalkan hostel. Kami perlu bergerak awal memandangkan dalam perjalanan hari ini kami merancang untuk singgah di beberapa lokasi yang difikirkan menarik, sekurang-kurangkan cukup sekadar bergambar sahaja, sebagai cenderahati menandakan kami dah sampai sini.

Pertamanya, kami singgah sebentar di Crazy House of Da Lat, sebuah struktur binaan manusia yang berkonsepkan rumah di alam fantasi. Disebabkan kekangan masa, kami tidak masuk ke dalam. Hanya berlegar-legar di pintu masuknya sahaja.

Kemudiannya kami menuju ke lokasi tarikan pelancong seterusnya, sebuah dataran yang dibina di tepi sebuah tasik dimana terdapatnya sebuah bangunan dengan senibina unik, dinamakan sebagai Cinestar Da Lat. Mulanya kami tak tahu itu bangunan apa, namun setelah diselidiki, bangunan tersebut adalah kompleks pawagam (ciniplex) rupanya.

Kami tiada masa untuk menonton wayang. Apatah lagi masih terlalu pagi, pawagam masih belum beroperasi. Sekadar bergambar sahaja.

Puas bergambar, kami ride lagi, menuju ke destinasi pelancongan seterusnya, Clay Tunnel nama diberi, apa ada disana kami tak tahu lagi.

Laluan berliku merentasi hutan pokok pine di waktu pagi sememangnya mendamaikan. Terdapat banyak resort percutian dibangunkan di sebalik pokok pine bagi menggamit kehadiran pelancong menikmati percutian mendamaikan di kawasan tanah tinggi.

12km berikutnya, kami tiba di Clay Tunnel. Seperti namanya, kami berfikiran bahawa tempat ini adalah kawasan terowong. Sangkaan kami meleset. Rupanya ia adalah sebuah taman terbuka yang menempatkan pelbagai jenis replika buatan manusia yang diperbuat daripada tanah liat. Bayaran sebanyak VND60,000 dikenakan sebagai tiket untuk masuk ke taman.

Maka berjalanlah kami di dalam taman tersebut dan bergambar sepuasnya sambil melihat gelagat manusia yang boleh tahan juga ramainya. Kebetulan hari itu hari Ahad, hujung minggu, masa untuk beriadah bersama keluarga.

Kami menghabiskan masa kira-kira satu jam disitu sebelum menuju ke destinasi seterusnya. Cuaca yang pada awal paginya dingin bertukar panas dek kerana teriknya mentari yang memancar, memaksa kami mengurangkan bilangan pakaian di badan.

Perjalanan menuruni bukit bukau dalam panas terik memberikan lebih cengkaman kepada tayar sewaktu meratah selekoh-selekoh tajam, membawa kami ke kawasan tanah rendah, di sebuah hutan lipur yang menempatkan sebuah air terjun yang khabarnya seindah rupa.

13km berikutnya, kami tiba di kawasan air terjun Prenn, dengan harapan dapat menikmati keindahan flora dan fauna yang terdapat disitu. Walau bagaimanapun, hasrat tersebut terpaksa dibatalkan setelah melihat keadaan pintu masuk ke hutan lipur tersebut penuh sesak dengan kehadiran pelancong dengan kesesakan lalu lintas yang agak luar biasa. Demi masa yang amat mencemburui kita, kami membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan kerana mengikut aturcara, terdapat satu lagi kawasan air terjun yang bakal kami singgahi.

Langit yang cerah tanpa awan meningkatkan kepanasan dalam tunggangan menuju ke air terjun Pongour, apatah lagi kami melalui kawasan terbuka lebuh raya sebelum masuk ke kawasan pedalaman yang dirasakan amat jauh dari penempatan manusia. Setelah hampir 50 minit perjalanan, kami tiba di pintu masuk air terjun Pongour. Bayaran dikenakan untuk membawa masuk kenderaan.

Setelah meletakkan motorsikal kami dikawasan yang disediakan, kami perlu berjalan kaki serta menuruni bukit menggunakan tangga yang tersedia dalam jangka masa kira-kira 15 minit sebelum tiba di lokasi air terjun.

Maka terpampanglah di hadapan kami, landskap air terjun Pongour yang indah dan unik, bertingkat-tingkat ibarat air yang mengalir menuruni anak tangga. Kelihatan agak ramai penduduk tempatan, berkelah bersama teman dan keluarga.

Kami mengambil sedikit masa untuk menunaikan solat dan menjamah hidangan makan tengah hari menggunakan bekalan nasi segera yang dibawa dari tanah air. Timbunan bongkah batu besar menjadi alas tempat duduk kami, manakala rimbunan pepohon yang rendang memayungi kami daripada sinar matahari terik memancar, sambil menikmati pemandangan yang indah, terasa asyik sekali.

Tepat jam 1.00 tengah hari, kami meninggalkan tapak perkelahan kami. Perut kenyang, cuaca panas tak sanggup rasanya hendak mendaki menuju ke kawasan parkir. Rupanya van shuttle ada disediakan di sini. Dengan sedikit bayaran dikenakan, bergembiralah kami menaiki van shuttle tanpa perlu menapak lagi.

Dari gunung turun ke lembah, melalui lereng-lereng bukit nun jauh di pedalaman, kami harus melengkapkan perjalanan sejauh 130km untuk sampai di pantai peranginan Mui Ne. Kami menghadapi cabaran jalan yang kurang sempurna dengan kewujudan lubang serta jalan tidak rata, ditambah dengan cuaca panas terik yang menghasilkan debu dan asap hasil dari kebakaran hutan di beberapa tempat.

Hari masih cerah sewaktu kami tiba di Mui Ne. Kami terus sahaja ke Victory Guesthouse, tempat penginapan kami yang sudah ditempah lebih awal. Proses daftar masuk berjalan lancar tanpa masalah. Sebuah bilik dengan tiga katil besar sudah memadai untuk menempatkan kami berenam.

Setelah memunggah barang-barang dan berehat seketika, kami keluar bersiar-siar ke lokasi menarik yang terdapat di Mui Ne.

Kira-kira 10km dari lokasi hostel, hamparan padang pasir menanti kehadiran kami. Tidak sangka di Mui Ne ada padang pasir yang luas, apatah lagi lokasinya berhampiran dengan laut, menjadikan lokasi ini sebagai salah satu tempat yang wajib dikunjungi di Mui Ne. Pasirnya yang halus dan berwarna perang kemerahan menjadikan tempat ini dikenali dengan nama Red Sand Dunes.

Maka bermainlah kami dengan pasir tersebut umpana kanak-kanak kecil yang kegirangan mendapat pasir. Leka bermain sehingga senja melabuhkan tirainya, kami pulang membawa kepenatan.


Sebelum pulang ke hostel, kami mengambil keputusan untuk singgah bersantap, menjamah hidangan makan malam setelah lebih enam jam perut kosong tidak berisi. Dalam kesukaran untuk mencari komuniti Islam di sini, masih terdapat sebuah restoran berkonsepkan makanan India yang tertera tulisan halal. Walau pun halal, tapi menyajikan minuman keras. Memandangkan keadaan darurat ini sahaja yang ada, kami terpaksa menerima seadanya, asalkan diyakini makanan dan minuman yang kami telan tidak mengandungi bahan terlarang.


Selesai menjamu selera, kami pulang ke hostel untuk membersihkan diri serta menghabiskan sisa-sisa malam dengan beristirehat di perkarangan hotel, minum kopi, makan jajan sambil memerhati gelagat manusia.

Satu perkara yang menarik perhatian kami mengenai Mui Ne ini adalah kebanjiran pelancong asing terutama dari Eropah dalam jumlah yang ramai, seakan-akan melebihi jumlah penduduk tempatan. Di mana-mana sahaja, amat mudah menemui bangsa Eropah, lelaki dan perempuan, kecil dan besar, tua dan muda, bujang dan berkeluarga, mereka seolah-olah amat menggemari percutian di wilayah timur Vietnam ini.

Paling kami perasan bangsa Russia. Ketika berada di lapangan terbang Cam Ranh lagi kami dapati banyak pesawat dari Rusia terbang ke Nha Trang. Apatah lagi apabila berada di Mui Ne, melihatkan kebanyakkan hotel, restoran dan bar memartabatkan bahasa Rusia setaraf dengan bahasa tempatan pada papan tanda, menu makanan dan maklumat berkaitan. Kami tak pasti perkara apakah menjadi pilihan hati mereka. Nak kata pantainya cantik, pantai Port Dickson lebih menarik rasanya. Entah kenapa. Mungkin ada tarikan tersembunyi yang belum sempat kami terokai.

Hari Ketiga:

Kami bersarapan di sekitar hostel sahaja, menikmati juadah bekalan roti yang dibawa dari Malaysia beserta buah-buahan segar yang dibeli malam tadi. Cukuplah sekadar untuk mengalas perut. Makan banyak nanti risau nak memerut. Perjalanan hari ini cukup jauh. Matlamat kami adalah pulang ke Nha Trang, lokasi dimana kami bermula.

Jam 7.30 pagi, waktu tempatan, kami bergerak meninggalkan hostel, meninggalkan pantai peranginan Mui Ne.

10 minit kemudian, kami singgah sebentar di perkampungan nelayan Mui Ne bagi menyaksikan lambakan hasil laut yang dibawa nelayan ke tepi pantai untuk urusan jual beli.

Pelbagai spesis hidupan laut dipamerkan, daripada yang biasa kita tengok hinggalah ke spesis yang jarang-jarang dapat dilihat, telah dikumpulkan menunggu kehadiran pembeli. Semestinya kami tidak berkemampuan untuk membelinya, bukan tidak berkemampuan dari segi kewangan, namun tidak mampu untuk membawa hasil tangkapan laut tersebut pulang ke Malaysia. Sama ada ia boleh dikategorikan sebagai bahan terlarang, atau mungkin rosak sebelum tiba ke dalam peti ais rumah kami.

Keluar dari Mui Ne, kami merentasi lebuh raya yang lengang menuju ke satu lagi destinasi tarikan pelancongan popular penduduk tempatan. Dikenali dengan nama White Sand Dunes, sekali lagi kami dipertemukan dengan kawasan padang pasir ibarat Gurun Sahara yang terbentang luas saujana mata memandang.

Berbeza dengan Red Sand Dunes yang kami singgahi semalam, padang pasir ini lebih luas serta mengandungi pasir berwarna putih. Dengan bayaran yang dirasakan agak mahal, kita boleh mengembara di atas padang pasir ini menggunakan jentera ATV atau menggunakan jentera pacuan empat roda.

Berdasarkan faktor harga, kami hanya mampu menyewa kenderaan pacuan empat roda sahaja untuk bersiar-siar di atas padang pasir ini. Sebuah kenderaan sudah memadai untuk memuatkan kami seramai enam orang, beserta seorang pemandu.

Pemandu kami bukanlah seorang yang bersopan. Konsep pemanduan ekstrem diamalkan sewaktu meredah padang pasir membuatkan kami terpekik terlolong keterujaan, atau mungkin juga ketakutan. Naik dan turun bukit-bukit pasir dalam kelajuan tinggi ibarat menaiki roller coaster, terasa gayat dan seriau satu badan. Walau pun begitu keadaannya, kami yakin dengan profesionalisme beliau yang cukup terlatih menangani situasi mendatang. Dah kerja dia, hari-hari bawa jentera itu, seharusnya beliau tahu apa yang dilakukannya. Cara pemanduan jahat yang dilakukannya adalah semata-mata untuk menambah keseronokan sahaja.

Lega rasanya apabila kenderaan berhenti di tengah-tengah padang pasir, untuk memberi peluang kepada kami menghayati keindahan landskap dalam cuaca yang panas terik ini. Kami mengambil peluang ini untuk bermain gelongsor pasir. Turun memang seronok. Ada yang terpelanting akibat gagal mengawal keseimbangan badan. Tapi nak naik balik, dah lar panas, mencungap jugaklah.


Kami menghabiskan masa kira-kira dua jam disitu sebelum meneruskan perjalanan menuju ke destinasi seterusnya.

Masih lagi melalui lebuh raya yang lengang, tiba-tiba salah sebuah Honda PCX150 yang dinaiki oleh jurumudi kami mengalami sedikit masalah yang membimbangkan.

Motorsikalnya semput, serta gagal memberikan kuasa yang lancar untuk terus maju ke hadapan. Disebabkan itu, kami tidak dapat memecut di lebuh raya itu, serta khuatir sekiranya mendatangkan masalah yang lebih besar. Lantas kami mengambil keputusan untuk berhenti seketika bagi membuat pemeriksaan.

Kami mengesyaki motorsikal tersebut kekurangan cecair penyejuk. Kerana itu, sistem menghalang enjin diperah dengan lebih tinggi bagi mengelakkan kepanasan melampau. Berada di kawasan pedalaman, jauh dari penempatan manusia gagal menemukan mana-mana bengkel motorsikal terdekat bagi melaksanakan penyelesaian segera.

Dalam kesemputan, kami terpaksa bergerak lagi. Mujurlah tidak lama kemudian, kami masuk ke kawasan pekan dimana bengkel motorsikal mudah didapati.

Hasil pemeriksaan mendapati bahawa cecair penyejuk enjin sudah kering tiada berbaki. Lantas sebotol cecair penyejuk baharu diisi bagi mengembalikan prestasi. Lega rasa dihati dengan harapan tiada masalah lagi.

Walau bagaimanapun, tidak lama kemudian, masalah berulang kembali. Terpaksalah cari bengkel motorsikal lagi. Pemeriksaan lanjut mendapati memang ada masalah dengan sistem penyejukan enjin. Tidak pasti apa yang dibetulkan oleh mekanik, akhirnya motorsikal beliau kembali berprestasi. Nak tanya lebih pada mekanik pun kami sangsi, masalah bahasa menyukarkan kami berkongsi maklumat. Mujurlah ada aplikasi alih bahasa pada telefon bimbit kami, dapatlah kami berinteraksi, namun lebih kepada komunikasi satu hala sahajalah. Nak diberikan telefon bimbit kami untuk ditaip oleh mekanik, berat hati pula melihat tangannya yang comot. Asalkan motor OK, kami senang hati.


Fasa lebuhraya berakhir apabila kami masuk ke sebuah persimpangan menuju ke laluan pesisir laut. Kami terserempak dengan kawasan industri pembuatan garam laut, yang dikenali dengan nama Ca Na Salt. Cuaca yang panas dan angin kencang sememangnya sesuai untuk proses penyejatan bagi menghasilkan garam.

Menyelusuri jalan pesisir pantai membawa kami mendaki bukit-bukit kontang yang penuh dengan selekoh tajam. Kami harus berhati-hati mengawal jentera dalam kelajuan yang sesuai kerana sukar untuk menjangkakan kenderaan yang datang dari depan dek kerana halangan tebing bukit di bahu jalan.

Terdapat beberapa lokasi menarik untuk aktiviti penggambaraan, dengan kombinasi lokasi tanah tinggi dan laut yang terbentang luas. Kami berhenti seketika di View Point Đường ven biển Ninh Thuận bagi menikmati keindahan alam.

Mengikut perancangan, kami seharusnya berlabuh di pantai Mũi Dinh untuk berehat sambil menikmati pemandangan indah laut dan pantai dengan lebih dekat. Memasuki perkampungan nelayan Thon Son Hai melalui lorong sempit selebar sebuah kereta sahaja dengan penempatan yang dibina rapat, kami berfikiran penduduk disini tidak punya kereta. Bagaimana agaknya kehidupan mereka yang jauh di pedalaman namun tidak punya kereta.

Kami membawa jentera kami sehingga ke penghujung jalan, namun masih belum bertemu dengan pantai sepatutnya. Adakah kami tersesat? Berdasarkan peta, kami sememangnya berada di landasan yang benar. Tapi dimana pantainya?

Rupanya kami harus melalui laluan berpasir tersebut untuk tiba ke pantai berkenaan. Tidak mampu rasanya jentera kami untuk berbuat demikian. Kami memerlukan jentera off-road untuk tiba ke sana. Melihat kepada motorsikal penduduk tempatan yang sesekali berlalu disini, sudah diubah suai bagi mengadaptasi dengan bentuk muka bumi disini. Kami tiada pilihan lain selain berpatah balik serta melupakan niat suci murni tersebut. 

Keluar dari kampung dan meneruskan perjalanan laluan pesisir pantai, dalam laluan yang lebih lurus berbanding sebelumnya. Menyaksikan kincir angin gergasi banyak didirikan di sepanjang jalan bagi menjana elektrik menggunakan kuasa angin memberikan pemandangan seolah-olah berada di Eropah. Kami meneruskan perjalanan melalui pekan kecil Mỹ Đông tanpa persinggahan demi masa yang mencemburui kita kerana perjalanan masih jauh. 

Sewaktu melalui kawasan perkampungan di laluan DT702, dari jauh kelihatan puluhan payung terjun terawang-awangan di udara, mewujudkan satu pemandangan luar biasa yang tidak biasa kami lihat. 

Semakin kami hampiri, membawa kami ke sebuah lorong kecil menghala ke pantai, sungguh tak disangka, di kawasan terpencil ini, terdapat ramai manusia, kebanyakkannya berbangsa Eropah sedang bersuka ria melakukan aktiviti 'kite surfing'. Kawasan teluk yang luas, dengan air yang cetek dan angin kencang menjadikan tempat ini lokasi strategik untuk bermain kite surfing. Ada yang sudah mahir, dan ada juga yang nampaknya seperti baru mahu belajar. Terhibur dengan situasi yang pertama kali dilihat, kami menghabiskan masa kira-kira setengah jam memerhatikan gelagat mereka. Patutlah dalam perjalanan tadi kelihatan manusia membawa papan luncur air pada motorsikal mereka. Rupanya ini kerja dia.

Setengah jam berikutnya, dalam perjalanan menuruni bukit menuju ke perkampungan nelayan Bai Chuoi, kami singgah sebentar di lereng bukit yang dibina khas untuk lokasi penggambaran berlatar belakangkan landskap lautan dari tanah tinggi.  

Petang itu, kami masuk ke sebuah perkampungan nelayan untuk mencari tempat solat bagi menunaikan solat jamak zohor dan asar. Malangnya tidak bertemu dengan tempat yang sesuai. Jangan kata nak solat, nak berwuduk pun tidak bertempat. 

Perjalanan diteruskan. Dari laluan pantai, kami masuk ke lebuhraya. Lalulintas semakin sibuk dengan kenderaan. Terasa kegerunan apabila sesekali berselisih dengan kenderaan berat yang bergerak pada kelajuan tinggi. Matahari semakin melabuhkan tirainya. Tempat solat masih belum berjumpa.

Dalam keadaan kritikal tersebut, kami melalui sebuah kawasan yang kelihatannya seperti hentian rehat bas ekspress yang dilengkapi dengan restoran dan tandas. Surau memang takdelah kan. Ambil wuduk di tandas, bentang sejadah, lalu solat sahaja di kawasan parkir tersebut. Penumpang bas ekspress dan penduduk tempatan yang lalu lalang kelihatan pelik, apalah yang dibuat orang ni tunggang tonggek kat parkir.

Lega dapat solat dalam waktunya, kami meneruskan perjalanan ketika malam mula menjelma. Matlamat kami untuk tiba di Nha Trang dengan seberapa segera supaya dapat memulangkan jentera sewaan pada malam itu juga.

Perjalanan masih lagi berbaki kira-kira 80km untuk dihabiskan, dengan keadaan lalu lintas yang agak sibuk dan hari yang sudah malam, kami memerlukan masa kira-kira dua jam untuk selamat sampai ke Nha Trang.

Sedar akan kelewatan ini, hal ini dimaklumkan kepada pemilik sewaan dengan mengambil kira masalah yang dialami oleh salah sebuah jentera pada waktu siang tadi. Memandangkan pemilik sewaan perlu menutup premis perniagaannya, maka beliau memberi kelonggaran dengan membenarkan motorsikal kami dipulangkan pada esok pagi. Berita ini memberi sedikit kelegaan kepada kami. Tidak perlulah kami terburu-buru untuk sampai ke Nha Trang.

Menjelang jam 8.00 malam, kami tiba di Nha Trang dalam keadaan kebuluran setelah hampir sehari suntuk tidak menjamah makanan berasaskan protein dan karbohidrat. Lantas kami singgah di sebuah restoran makanan halal yang bermenukan masakan India. India lagi. Apa nak buat. Kami tiada pilihan. Hanya orang India punya inisiatif untuk mempromosikan makanan mereka disini.

Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut senang hati, kami terus sahaja ke menuju ke hotel penginapan kami buat kali terakhirnya di bumi Vietnam. Sewaktu dalam perjalanan ke hotel tersebut, kami sedikit tersesat apabila terdapat kesilapan memasuki lorong yang tidak sepatutnya. Sewaktu membuat pusingan, berlakulah satu kemalangan kecil apabila sahabat kami yang menunggang Honda XR150 gagal mengawal keseimbangan jentera lalu berlakulah peristiwa 'jatuh bodoh'. Maka berderailah sekeping cermin pandang belakang bertaburan di atas jalan.


Tidak lama kemudian, kami tiba di hostel penginapan. Sebuah bilik kecil, dilengkapi enam katil sudah memadai dengan keperluan kami. Dengan kehadiran kami disini, maka tamatlah sudah satu pengembaraan sejauh 660km merentasi wilayah timur negara Vietnam dalam masa tiga hari menggunakan motorsikal berkapisiti kecil. Kami tidak pasti sama ada pengembaraan seumpama ini pernah dilakukan oleh mana-mana warga Malaysia. Pencarian di Google tidak menemukan sebarang dokumentasi akan adanya rakyat Malaysia yang pernah melakukan pengembaraan sedemikian rupa. Maka tidak salah andainya terpalit sedikit rasa bangga sekiranya benar kami orang Malaysia pertama melakukannya.

Kami pulang ke Malaysia pada keesokan hari menaiki penerbangan pada waktu tengah hari, meninggalkan seribu satu kenangan yang tidak dapat dijual beli Segala suka duka, pahit manis perngembaraan ini akan kami jadikan teladan dalam menempuhi liku kehidupan yang penuh dengan cabaran dan dugaan.

Kerana iti, jangan jadi pelancong. Jadilah pengembara...  It is not about the bike, it's a journey.

No comments: