XPDC YONG BELAR

Misi G7: Episod 3

Menawan Puncak Yong Belar (YB).

Maximum Elevation: 2181 meter / 7156 feet.

Total distance: 18km (one way), 36km (return).

Ini adalah misi ketiga dalam mencabar diri sendiri untuk menakluk puncak G7. Nak kena bagitau jugak ke G7 tu apa? Tuan puan Google je lah ye? 

Nama Yong Belar diambil dari istilah orang asli yang bermaksud 'Laluan Sejuk' memandangkan suhu di persekitaran YB yang amatlah sejuk, apatah lagi kehadiran kami disambut dengan hujan tanpa henti, sekejap gerimis, sekejap lebat mengesahkan lagi bahawa nama itu memang kena pada tempatnya. Dia punya level sejuk tu memang tak boleh bawak bincang.

Berbanding dengan jirannya Yong Yap, yang bermaksud 'Laluan Sungai', memang banyak sungai dan anak sungai yang merentangi trek perjalanan dan pendaki harus mengharungi sungai-sungai tersebut untuk sampai ke puncaknya.

Itulah antara secebis pengetahuan yang saya perolehi dalam pendakian ini, berkenaan dengan nama gunung dengan pangkalan 'Yong' ini sebagaimana yang diceritakan oleh abang guide yang baik hati. Dulu duk ingat Yong tu macam kak yong macam bahasa orang Perak.

Perjalanan ke YB bermula pada hari Jumaat, hujung Februari 2022 setelah hampir dua tahun terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19. Mujur lah khemah, trail shoe dan beberapa keperluan yang dibeli seawal perancangan tarikh terdahulu tiada tarikh luput. Sekian lama terpendam dalam rak dan almari, tibalah masa untuk menggunakannya.


Terima kasih kepada my hiking buddy yang sudi menumpangkan powilnya supaya kami dapat sampai dengan selamat dan selesa ke destinasi tujuan. Lawa sangat powilnya pon. Sayang pulak nak bawak masuk off-road.

Destinasi kami pada hari Jumaat yang mulia ini adalah menuju ke Cameron Highlands yang merupakan transit untuk kami berehat dan tidur sebelum memulakan pendakian pada awal pagi esoknya. Sampai awal tak kalut.


Tiba di CH sekitar jam 2.00 petang. Terus jumpa gogo dan beberapa rakan sependakian yang lain di sebuah restoran yang menjual nasi lemak strawberi, tapi tak order pun nasi lemak strawberi, sebab masih kekenyangan setelah menikmati juadah makan tengah hari sebentar tadi di sebuah gerai makanan di Simpang Pulai sebelum naik ke CH. Lagi pun saya bercadang untuk mengurangkan pemakanan bagi mengelakkan pembuangan sisa kumbahan di dalam hutan. Tak syok ooo memerut dalam hutan. Tapi kalau nak memerut juga, kita layankan aje, takkan nak tahan pulak benda nak keluar. 

Lepas minum-minum, bergurau berlepak bergurau senda, kami terus sahaja ke sebuah apartment yang telah dibooking.com oleh gogo, supaya kami dapat menghabiskan sisa masa sebelum meneruskan pendakian pada awal pagi esok. Hujan turun tanpa henti di CH sedikit merisaukan kerana dibimbangi bakal merencatkan tempo perjalanan pada esok hari. Hujan atau tidak, the show must go on. Eiiiii sayangnya kasut baruku. First time pakai nak mendaki, terpaksa berbasahan pulak. 

Dalam perjalanan ke apartment itu, singgah di sebuah kedai serbaneka untuk membeli makanan dan minuman yang perlu dibawa sebagai bekal perjalanan memandangkan sarapan dan merarau perlu disediakan atas inisiatif sendiri. Mula-mula ingat nak beli / bawa bekal burger Mekdi (dah ada Mekdi rupanya kat Brinchang ni), tapi terpesona pula dengan FM versi black white ni. Dah masuk, tengok-tengok ada pula makanan yang sesuai. Apa jenis makanan pun tak kisah sebenarnya, asalkan mempunyai unsur karbohidrat yang mampu memberikan tenaga dan mengenyangkan perut, selain daripada tahan lama dan senang dibawa. Contohnya onigiri, empat ketul sekali beli. Simplicity at its best.


Lepas tu terus ke apartment. Tak ada aktiviti apa pun. Kononnya nak tidur lepas asar supaya cukup tenaga nak bangun pukul 1.00 pagi. Mana maunya tidur lepas asar. Dari asar bawak ke maghrib. Golek-golek atas katil tak lena juga. Turun bawah teman member beli makan malam, ada Speedmart rupanya. Bazir je beli air / bateri kat FM tadi. Harga jauh beza kot.

Lepas isyak, paksa juga mata untuk tidur. Alhamdulillah, dah dekat pukul 10.00 baru berjaya kot. Cukuplah dapat lena tiga jam. Nikmat juga tu daripada tak dapat tidur langsung. Better than never.

Pukul 1.00 cepat bangun. Tak selera nak mandi dengan kesejukkan melampau sementelah diluar hujan masih turun mencurah-curah. Cukuplah sekadar gosok gigi dan membasuh anggota badan tertentu dengan berwuduk. Dah siap semua full gear, let's jom!


Masjid Lojing menjadi saksi pertemuan semua pendaki sebelum menaiki powil yang akan membawa kami ke titik permulaan pendakian. Dari apartment ke Masjid Lojing kurang lebih 15 minit bawa selow sebab jalan basah dan licin.

Pembahagian ration dilaksanakan dengan adil dan saksama supaya semua orang mendapat beban yang lebih kurang sama, yakni sekitar 3 - 5 kilogram seorang. Barangan peribadi terpulang kepada keperluan masing-masing. Jisim bag seberat 7-8 kilogram itu sudah pasti. Malah kebanyakkannya ada yang lebih besar dan berat lagi. 

Kami sampai awal di perkarangan masjid sekitar jam 2.15 pagi, dengan harapan powil datang menjemput kami sekitar jam 2.30 pagi, atau selewatnya 3.00 pagi, kerana mengikut perancangan pendakian seharusnya bermula pada jam 3.00 pagi. Pada waktu tersebut, walau pun powil telah memunculkan dirinya, tapi disebabkan bilangannya yang terhad berbanding dengan bilangan pendaki yang ramai, sekurang-kurangnya ada dua kumpulan berbeza pada waktu itu dengan jumlah sekitar 50-60 orang keseluruhannya, tunggu punya tunggu, jam 4.45 pagi baru ada rezeki dapat naik powil menuju ke starting point. 

Maka duduk lah saya di belakang tu bersama beberapa teman yang lain dalam kesempitan, kehujanan dan kesejukkan macam beria sangatlah kau ni pagi-pagi buta sanggup buat keje gila ni, kalau solat subuh berjemaah kat surau, hujan sikit pun kau dah tarik selimut malas nak pergi. Saya insaf dalam kedinginan itu. Ampuni aku Ya Allah! Terus berazam lepas ni nak amalkan solat subuh berjemaah kat surau. 


Kehujanan dan kesejukkan satu hal. Duduk belakang dengan percikan lumpur ibarat seekor kerbau membawa lumpur, semuanya habis terpalit, terngiang-ngiang peribahasa yang saya pernah belajar masa di sekolah dahulu.   

Setengah jam jugaklah terhuyung hayang dalam powil tu, kami sampai di sebuah bangunan kosong, gayanya macam stor pekebun sayur Lojing Highlands. Masing-masing macam dah tak sabar nak mendaki dalam gerimis pagi ni.

Kami diperkenalkan dengan 5 orang guide yang akan memimpin kami dalam ekspedisi ini dalam sesi taklimat sebelum mendaki. Selesai taklimat ingat nak jalan dah, tapi terpaksa tunda lagi dalam satu jam bagi menantikan masuknya waktu solat fardhu subuh bagi kawasan Lojing. Solat dulu kat sini lebih memudahkan dengan adanya kawasan yang lapang dan berbumbung serta sumber air untuk berwuduk. Once dah gerak, sukar untuk mencari tempat solat dengan mengambil kira keadaan cuaca dan bentuk muka bumi serta bilangan kami yang berjumlah 29 orang, dengan tambahan 5 orang abang-abang guide. Tak tergamak rasanya abaikan solat hanya kerana mendaki gunung.

Jam 7.00 pagi, langkahan bermula dengan melalui kawasan kebun sayur sebelum masuk ke pintu rimba.


Pintu Rimba nama diberi, ibarat pintu gerbang masuk ke alam YB.


Objektif perjalanan pada hari ini adalah untuk tiba ke Kem Pelaur dengan keadaan yang selamat, lokasi dimana kami akan mendirikan khemah dan bermalam sebelum meneruskan pendakian ke puncak. I am activating my GPS watch, and see how it goes.

Memandangkan keadaan cuaca luar jangka, kami sebenarnya telah tersasar jauh dari jadual asal bila mana aktiviti pendakian sepatutnya bermula pada jam 4.15 pagi terpaksa ditunda ke jam 7.00 pagi. Rentetan itu, semua aktiviti dan perancangan seterusnya semuanya tertunda. Biar lambat asal selamat. Better late than never. Pasti ada hikmahnya. 

  
Fasa pertama pendakian pada hari ini melibatkan perjalanan sejauh 8 kilometer dengan tempoh perjalanan sekitar tiga jam pada suhu purata 19 / 20 darjah celsius. Trek becak sepanjang perjalanan menambahkan lagi cabaran mental dan fizikal kepada pendaki apatah lagi dengan beban yang digalas.


Awal perjalanan, beria aje nak elak selut dan becak. Lama-lama pasrah je lah, mari kita membajak. Dia punya becak, pacat pun tak mampu hidup. Walau pun begitu, saya fikir keadaan becak yang ditempuhi tidaklah seteruk trek Gunung Irau, bila mana tersilap langkah, terbenam lah kaki sampai ke peha.

Dua jam kemudian, kami tiba di kawasan lapang yang luasnya hanya sekangkang kera, dikenali pendaki sebagai puncak tipu. Berhenti sebentar untuk mengalas perut, menikmati onigiri pertama yang penyet macam ketupat basi. Ada beberapa puncak tipu, mungkin 4 atau 5, saya tak ingat bilangannya. Yang pasti lebih dari 3.


Satu jam kemudian, kami tiba di kem pertama yang dikenali dengan nama kem Tudung Periuk. Berehat sebentar sekadar untuk bergambar dan regroup kembali dengan pendaki lain. Perhentian yang lama boleh menyebabkan tubuh mengigil kesejukkan sementelah hujan semakin rancak menggugurkan titisan air ke bumi. Teruskan berjalan lebih afdhal, supaya badan dapat dihangatkan dengan pembebasan haba. Ikutkan jadual asal, sepatutnya sampai Tudung Periuk jam 7.00 pagi, ini dah pukul 10.00.


Dari Kem Tudung Tudung Periuk ke Kem Pelaur jarak perjalanan mengambil masa kira-kira satu jam sahaja. 


Di persimpangan ini, Pelaur dan puncak YB hala tujunya berbeza. Menuju ke Kem Pelaur tidaklah jauh, kurang lebih dalam 15 minit sahaja. Kena turun sikit dan membajak lagi dan lagi.


Setibanya di Pelaur, terbentang dataran yang agak luas berlatar belakangkan air terjun dan sungai yang amat sesuai digunakan sebagai sumber air sama ada untuk pemakanan, minuman dan mandi-manda.


Air terjun yang sepatutnya mengalir indah dan tenang bertukar menjadi ganas berikutan limpahan air dek kerana hujan yang turun tanpa henti. Disebabkan keganasan itu, tak berani lah kami nak mandi-manda bershowerkan air terjun. Cukuplah sekadar bermain-main di tepian sungai sambil menikmati keindahan panorama hutan hujan tropika. 


Khemah didirikan dengan pantas bagi mengelakkan kebasahan pada ruangan dalaman. Dalam becak selut agak cerewet juga untuk mencari tapak yang sesuai untuk mendirikan khemah. Mujur lah saya dan beberapa teman sependakian lain tiba awal. Dapatlah kami memilih tempat yang sesuai. 


Timbul persoalan bila waktu yang sesuai bagi kami menuju ke puncak? Mengikut jadual asal, kami sepatutnya ke puncak pada hari ini juga, yakni sebaik sahaja selesai memacak khemah, dan dijadualkan tiba di puncak sekitar jam 3.00 petang. 

Memandangkan sekarang sudah jam 12.00 tengah hari, perjalanan ke puncak dijangka mengambil masa sekitar 5 ke 6 jam, maknanya ada kemungkinan kami mungkin akan tiba di puncak pada jam 6.00 petang, atau mungkin lewat lagi dengan keadaan cuaca yang tidak menentu ini. Lagi mau patah balik ke camp site, ambil masa 4 5 6 jam lagi, bermakna kami harus berjalan lewat malam dengan risiko hujan dan kesejukkan altitud tinggi yang boleh mengakibatkan hipotermia. Bekalan makanan pula tidak mencukupi dan perlukan masa untuk memasak, dikhuatiri akan menyebabkan kebuluran pula.

Mengambil kira faktor-faktor tersebut, maka gogo dan guide membuat keputusan untuk menunda perjalanan ke puncak pada jam 3.00 pagi esok.

Bermakna, it's now time to relaks, menghabiskan sisa kehidupan hari ini di campsite, dengan berehat dan lepak dalam khemah, dan menyediakan santapan makan tengah hari dan makan malam secara gotong royong kerana chef bertugas tidak dapat hadir atas alasan positif Covid-19 pada saat akhir sebelum pemergian ke YB.


Dalam keboringan, sempat jugak lah membelek telefon bimbit yang kebengongan akibat dibasahi air walau pun dibalut dengan plastik sepanjang pendakian, analyze balik aktiviti hari ni dalam bentuk statistik dan grafik. Belek punya belek sampai tertidur, lepas tu terbangun menggigil kesejukkan. Sejuk-sejuk ni asik rasa nak terkencing jer. Nasib baik toilet (sungai) kat sebelah je.


Hari kedua, deringan jam dari telefon bimbit mengejut saya seawal jam 2.30 pagi, menandakan waktu untuk bersiap demi menuju puncak. Dengan kesejukkan melampau, saya gagal mendapatkan tidur yang lena apabila seringkali terjaga dan menggigil bila mana jaket dan sleeping bag masih tidak mampu memberikan kehangatan yang diperlukan bagi mendapatkan tidur yang selesa. Di luar, kedengaran hujan lebat turun membasahi bumi merencatkan motivasi saya untuk meneruskan pendakian. Saya fikir amat keberatan untuk melakukannya.

Saya berkomunikasi dengan teman sependakian di khemah sebelah, menyatakan hasrat saya untuk tidak mengambil risiko. Cukuplah sampai disini sahaja. Lain kali kita datang dan daki lagi.

Di luar khemah, kedengaran suara abang guide, gogo dan beberapa pendaki sedang bermesyuarat apakah harus diteruskan pendakian awal pagi ini, sedangkan saya masih diam di dalam khemah mengharapkan keputusan tersebut akan menyebelahi saya. 

Tidak lama kemudian, keputusan dicapai. Aktiviti pendakian pada awal pagi ini dibatalkan. Saya gembira, tapi dalam masa yang sama juga merasa kecewa kerana hasrat saya untuk menawan puncak G7 ketiga ini menemui kegagalan. Takpelah, takkan lari gunung dikejar, lain kali kita repeat lagi. Sementara menantikan mentari muncul kembali, saya kembali melelapkan mata.

Usai menunaikan solat fardhu Subuh dalam keuzuran apabila terpaksa solat duduk di dalam khemah kerana hujan masih belum berhenti, saya mula berkemas dengan mengasingkan barang-barang yang kotor, lembab dan basah dengan barangan yang masih kering untuk dibawa pulang. 

Jam 8.00 pagi, dalam keadaan gerimis, terdengar suara yang mengatakan pendakian akan diteruskan. Tapi pendaki diberi pilihan sama ada untuk terus mendaki atau tunggu di campsite, sebelum kita semua sama-sama turun ke bawah. 

Saya memilih untuk mendaki dengan mengambil kira faktor walau pun hujan, tapi hari sudah siang tidaklah terlalu mengundang risiko yang bahaya. Alang-alang sudah sampai, kita teruskan sampai ke puncak. 

Jam 9.40 pagi, setelah selesai melipat khemah yang basah dan memuatkan semua barangan ke dalam beg, saya bersama kurang lebih separuh dari line up asal memulakan pendakian ke puncak. Pendakian menjadi lebih mudah apabila beg ditinggalkan di camp site. Hanya perlu membawa beg kecil sahaja untuk membawa minuman, makanan dan barangan asas. Segak berbaju melayu berwarna jingga, trade mark saya menawan puncak, langkah diatur berhati-hati bagi mengelakkan tenggelamnya kasut ke dalam becak sebagaimana tenggelamnya kapal van der wijck.


Fasa kedua pendakian ini mula menampakkan keindahan hutan YB dengan lanskap mossy forest hampir sepanjang trek pendakian, berbanding dengan fasa pertama yang kebanyakkanya hanya ditumbuhi dengan hutan hujan tropika.


Hampir 3 jam pendakian, saya tiba di Kem Kasut, satu lagi kawasan mendatar yang sesuai dijadikan tapak perkhemahan, tapi menjadi tidak sesuai di musim hujan ini memandangkan hampir keseluruhan kawasan tersangatlah becak dan digenangi air. Punca air bersih juga tidak berapa jauh, namun tidak kelihatan dari sini. Pendaki harus turun kira-kira dalam 10 minit untuk sampai ke anak sungai bagi mendapatkan bekalan air. Dah turun, kena naik balik. Letih sikit lah kalau nak camping kat sini. Tapi kelebihannya adalah, kem ini paling hampir dengan puncak. 


Tiga jam perjalanan dari Kem Pelaur ke Kem Kasut adalah satu tempoh masa yang agak perlahan sebenarnya jika dibandingkan dengan kawanan yang lain sudah tiba dalam jangka masa 30 - 60 minit yang lalu. Saya selow sebab saya memaksa diri saya untuk menemani seorang pendaki yang keseorangan setelah ditinggalkan oleh orang lain. Tak sampai hati pula nak biarkan beliau berjalan seorang diri di dalam hutan yang pertama kali dijejaki. Sekali-sekala saya cuba juga meninggalkan beliau dan cuba untuk mengejar sekumpulan pendaki yang sudah jauh di depan, tapi dah nampak bayang dah diorang. Jadi saya pulak yang jalan sorang-sorang. Seram jugak. Nak tak nak, tunggulah kawan tu datang balik dan jalan seiringan. Salah taktik pulak saya. Patutnya awal-awal lagi saya tinggal dia. Dalam 20 minit sebelum sampai ke puncak, bertembunglah saya dengan kawanan pertama yang sudah pun memulakan perjalanan turun dari puncak. Saya tak sampai lagi, mereka dah turun. Hareyyy betol!


Jalan punya jalan punya jalan pace selow sepak daun lenggang mak limah punya jalan, dua jam berikutnya tiba lah saya ke destinasi tujuan. Puncak Yong Belar akhirnya saya tawan. Gembira di hati bukan kepalang. Kerana impian sudah menjadi kenyataan.


Jam 2.00 petang, setelah hampir 4 jam setengah mendaki, saya tiba di puncak dengan selamat dan jayanya. Cuma tinggal tiga orang sahaja. Itu pun mereka sudah bersiap-siap nak turun. 


Saya biarkan mereka turun dahulu. Tinggallah saya keseorangan merakam kenangan. Akan datang entah bila akan kembali bertandang. Mungkin ini yang pertama dan terakhir di YB barangkali.


Pemandangan dari puncak sebenarnya memang tak nampak apa-apa dek kerana kabus dan awan menyelubungi alam. Lagipun puncak YB tidak menyediakan pemandangan seluas 360 darjah kerana terhalang dengan tumbuh-tumbuhan. Hanya satu sudut sahaja yang terbuka, itu pun berkabus pula.


Berada di puncak YB, bermakna berada di dua negeri. Puncak YB adalah garis sempadan antara Perak dan Kelantan. Sekejap saya berada di Perak, beberapa saat selepas itu saya berada di Kelantan. Malah dalam masa yang sama, sebelah kaki saya berada boleh di Perak, manakala sebelah lagi berada di Kelantan. Mari kita lihat batu sempadan, yang ditandakan mengikut nombor plat kenderaan - D for Kelantan, A for Perak. Menarik bukan?



Perjalanan masih belum terhenti disini. Naik adalah satu pilihan, tapi turun satu kemestian.

Puas bergambar, keseorangan, seram pulak rasanya. Badan mula menggigil kesejukkan, bukan ketakutan ya. Saya memulakan perjalanan turun 15 minit selepas berada di puncak. Beberapa minit kemudian, jumpa balik dengan pendaki yang saya teman masa naik tadi. Jalan sorang lagi. Ingatkan beliau bersama dengan orang lain. Boleh lah saya mempercepatkan kelajuan. Dah kena ikut dia pulak. Jalan sepak daun lenggang mak limah sekali lagi. 

Dalam perjalanan, sekali lagi melalui Kem Kasut tatkala jam sudah menunjukkan sekitar 4.00 petang. Barulah kelihatan seorang guide sedang menunggu kami sebagai pendaki terakhir yang turun pada hari ini. Saya mohon untuk berhenti sebentar, turun ke anak sungai bagi menambah bekalan minuman dan berwuduk, seterusnya menunaikan solat zohor / asar. Sekeping plastik hitam yang ditemui di Kem Kasut, mungkin ditinggalkan pendaki lain sebelum ini menjadi hamparan sejadah dalam keadaan arah kiblat tidak dapat dipastikan secara tepat kerana aplikasi di telefon bimbit tidak dapat berfungsi dek kerana ketiadaan talian internet dan komunikasi. Tanya guide dimana arah kiblat, dia pun tak tahu. Eh, awak tak solat ke? Saya berkata di dalam hati. 

Last choice, terpaksalah menggunakan kompas di telefon bimbit. Tak dapat dipastikan ketepatannya benar atau tidak. Setidak-tidaknya ada usaha. Berpandukan arah 292, solat dilaksanakan dalam gerimis hujan. Semoga amalan diterima.

Lepas solat, perjalanan diteruskan, tanpa henti dengan matlamat untuk sampai ke Kem Pelaur sebelum matahari terbenam. 

Jam 7.00 malam, berjaya tiba di Kem Pelaur, yakni sebelum matahari terbenam. Suasana lengang bila mana pendaki lain sudah mula meninggalkan tapak perkhemahan. Hanya tinggal guide 3 orang sahaja sedang menunggu ketibaan kami untuk turun pulang bersama.

Saya mengambil masa seketika untuk menukar pakaian dan memperkemaskan barangan di dalam beg untuk dibawa turun. Beban bertambah kerana harus membawa ration yang berupa sampah, disamping beg yang berisi pakaian basah.

Perjalanan turun bersambung sebaik sahaja tibanya waktu maghrib. Saya berada dalam kumpulan terakhir bersama 3 orang guide dan seorang pendaki yang saya temani sewaktu naik dan turun dari puncak YB. Tapi ini kali saya tak tunggu dah. Saya bersama dengan seorang lagi guide terus sahaja mara meninggalkan pendaki tersebut bersama dua lagi guide jauh di belakang. Dia dah ada teman, tak kuasa dah saya nak jalan sepak daun. Saya mahu cepat sampai dan mengisi perut yang kekosongan.

Berjalan dalam kegelapan di dalam hutan bersama hujan, bertemankan suluhan head lamp di kepala betul-betul menguji kekuatan fizikal dan mental. Dengan beban yang berat, beberapa kali juga saya mengajak guide berhenti seketika untuk melegakan lenguh di bahu. Dah duduk, susah pula nak bangun sebab beg berat. Berpusing-pusing mencari kekuatan untuk bangun semula. Tenaga juga semakin berkurangan sementelah tiada sumber karbohidrat diperolehi sejak mula pendakian seawal pagi tadi. Bekalan yang dibawa hanyalah coklat dan kekacang. Mujurlah abang guide ada sedikit roti, dalam hutan, sejuk dan dingin, dah nak masuk level kebuluran rasanya, terasa roti tu enak dimakan begitu sahaja. 

Bayangkan dari pukul 9.30 pagi tadi, mendaki ke puncak, lepas tu jalan balik ke Kem Pelaur, lepas tu jalan lagi naik turun trek berbukit sampailah ke pintu rimba (starting point) kurang lebih jam 11.30 malam, keseluruhannya hari ini sahaja saya berjalan selama 14 jam hampir non-stop. Giler betol. Tapi ini lah nikmat pendakian sebenarnya. Cabaran utama adalah mencabar diri sendiri. Mencabar kemampuan fizikal dan mental. Kegigihan dan usaha yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Semuanya dengan izin Allah. 

Secara keseluruhannya, trek pendakian YB tidaklah terlalu pacak jika dibandingkan dengan gunung G7 yang pernah saya jejaki, dimana hampir 80% perjalanan dirasakan agak landai. 

Hari pertama nampak ketara sikitlah perjalanan naik turunnya.

Hari kedua, menuju puncak memang ketara lah elevation, tapi tidak terlalu memacak.

Begitulah ceritanya ekpedisi menawan puncak Yong Belar, yang merupakan gunung ke-3 tertinggi di Semenanjung, dan ke-8 di Malaysia secara keseluruhannya.

Kemana kita selepas ini? Tunggu episod seterusnya dalam misi penjelajahan G7.

Wassalam. 

No comments: