OH MY EXORA!

This is a story about my Exora.

Ini adalah kereta kedua yang saya beli dengan keringat dan titik peluh sendiri, setelah lebih sembilan tahun menempuh pelbagai kisah suka duka bersama Proton Saga Iswara Aeroback 1.3 manual yang dibeli pada bulan Ogos 2002. Sangat banyak jasanya Iswara itu pada kami sekeluarga. Merata dah jalan ngan iswara tu wooo... kalau dihitung di Semenanjung Malaysia ini, hanya negeri Perlis sahaja yang masih belum dikunjungi. Sebab apa tak pergi Perlis? Belum ada keperluan... tak sampai seru lagi.

Walau pun ramai yang duk kutuk kereta Proton, kata tak baguslah, takde kualitilah, sesungguhnya Iswara tersebut tidak pernah mendatangkan masalah yang besar bagi saya dan keluarga, kecuali masalah wear and tear yang pasti berlaku kepada mana-mana kereta hatta Bugatti Veyron sekali pun jika ianya tidak diselenggara dengan sempurna. Oh ya! Pernah juga mengalami masalah power window yang sangat popular itu, tetapi hanya sekali sahaja lah. Lepas tukar komponen baharu, sampai sekarang elok jer tingkap tu. Kos membaiki power window tu pon dalam RM50 sahaja campur upah pasang. Motor beli kedai alat ganti kenderaan, manakala pasangnya di tempat lain.

Sejujurnya, selagi kenderaan tersebut tidak mendatangkan masalah besar yang boleh mengganggu emosi seperti rosak di pertengahan perjalanan lalu tersadai atau terpaksa menolak atau menggunakan trak tunda hingga berkilometer jauhnya, selagi ianya dapat melindungi saya dan keluarga dari panas dan hujan dan selagi ianya dapat membawa saya dan keluarga untuk bergerak dari point A ke point B dengan selamat dan sejahtera, maka guna sahajalah kereta itu.

Hasilnya, sembilan tahun beliau dapat bertahan, menabur bakti berkhidmat untuk tuannya ke mana sahaja mengikut arahan tanpa banyak ragam. Walau pun pinjaman sewa beli telah dilangsaikan dalam jangka masa tujuh tahun sahaja, tetapi saya tidaklah terburu-buru untuk terus mencari pengganti. Dua tahun hidup tanpa dibebani dengan hutang kenderaan ternyata amat menyeronokkan kerana kuasa membeli serta simpanan telah meningkat dengan mendadak. Mungkin kurang bergaya, asalkan tidak papa.


Bagi masyarakat golongan pertengahan seperti saya, menukar kereta seharusnya melihat kepada keperluan. Memang nampak bergaya dan tampan apabila berkereta baharu. Namun hakikatnya memiliki kereta adalah suatu lialibiti. Terlalu banyak wang yang harus dileburkan untuk membela sebuah kereta. Bermula dari wang pendahuluan, bayaran bulanan, kos bahan api, insurans, cukai jalan, penyelenggaraan, kalau jalan nak kena bayar tol lagi, parking lagi. Itu belum cerita pasal saman lagi, terutama bagi orang yang suka melanggar had laju yang ditetapkan (macam saya). Bak kata pepatah, besar periuk, maka besarlah keraklah. Analoginya disini ialah, lagi mahal kereta anda beli, maka lagi tinggilah komitmen kewangan yang harus anda leburkan.

Namun begitu, saya harus akur. Kereta bukanlah suatu mesin yang boleh bertahan selama-lamanya. Suatu hari nanti, dia akan kaput juga. Sembilan tahun adalah suatu tempoh masa yang panjang bagi sebuah kereta, dari saya bujang sampailah anak dah dua. Sembilan tahun adalah usia yang sangat matang bagi sesebuah kenderaan. Malah ada sesetengah negara di rantau ini yang mewajibkan kereta perlu ditukar setiap lima tahun! 

Berpegang kepada prinsip "kereta adalah liabiliti", setelah mengambil kira beberapa faktor seperti kewangan, penyelenggaraan, alat ganti, pusat servis, keselesaan, kebolehpercayaan (sekadar menyebut beberapa faktor utama), maka hasilnya:
Brand New Proton Exora MC 1.6 A/T.
Nota kaki: Faktor kelajuan dan penggunaan petrol terpaksa dikorbankan demi mendapatkan keselesaan dan ruang yang lebih besar. Hakikatnya, tiada sebuah kereta pun yang boleh menyediakan segala keinginan manusia dengan lengkap. Lagi pun, nak laju pergi mana pun, kita bukannya ada autobahn!. Nak jimat petrol? Myvi atau Saga FLX mungkin lebih efisien, tapi berapa besar ruang boleh dapat?

Apa yang pasti faktor kewangan tetap memainkan peranan utama. Dengan diskaun sehingga RM7000, saya mendapat sebuah model yang lebih tinggi variannya pada harga yang lebih kurang sama dengan varian yang lebih rendah, berbanding jika saya menggunakan kaedah pinjaman 100%, saya terpaksa membayar harga yang lebih tinggi tetapi mendapat varian yang lebih rendah. Senang cerita, saya bayar kurang tapi dapat lebih. Yang penting, bayaran bulanan haruslah tidak mencecah RM700.

Untuk mendapatkan kaedah pembelian cara ini, pastinya cara biasa yang digunakan dengan mengunjungi ruang pameran kereta a.k.a showroom lalu berbual-bual dengan jurujual macam kita nak beli kereta terbaik yang ada di ruang pameran tersebut, tapi harga nak murah pastinya tidak dapat dilaksanakan. Saya harus merahsiakan perkara ini untuk menjaga kredibiliti pihak yang menjual. Cukuplah saya katakan bahawa pembelian ini adalah halal dan sah di sisi undang-undang. Nak tahu jugak, kena belanja saya minum teh tarik dengan roti telur dulu baru rahsia boleh bukak... :-)

Keinginan untuk memiliki kereta baharu sebenarnya telah berputik pada awal tahun 2011. Walaupun pada awalnya kami (saya & isteri) masih belum menetapkan jenama pilihan kami, apa yang pasti kami inginkan nombor pendaftaran yang menarik. Untuk menunggu nombor pendaftaran WWW pada ketika itu memerlukan kami menunggu lagi sehingga tahun ke-10 atau ke-11 penggunaan Iswara. Maka apa yang paling hampir dan menarik dari pandangan mata kami ketika itu adalah WVW.

Lalu perkara pertama yang saya lakukan untuk menambah seri Exora ini adalah dengan menempah nombor yang menarik untuk dilekatkan sebagai nombor pendaftaran kenderaan. Usaha pemantauan pergerakkan nombor pendaftaran Wilayah Persekutuan melalui laman web JPJ mula dilaksanakan bagi memastikan pengumuman rasmi tender tempahan WVW.

Sebaik sahaja tender dibuka, buat pertama kali dalam sejarah hidup, saya mengemukakan bidaan untuk mendapatkan nombor pendaftaran WVW110 pada harga RM500. Itu sahaja yang saya mampu memandangkan saya tidak sanggup membazirkan lebih banyak wang untuk angka yang pada dasarnya tidak mempunyai sebarang makna. Nak nampak lawa jer hanya kerana ianya binari dengan tiga digit. Tidaklah nampak semak sangat sehingga tujuh karekter pada papan nombor pendaftaran. Nombor satu dan dua digit terpaksa diabaikan terlebih awal kerana yakin harganya pasti mencecah ribuan.

Selang beberapa hari kemudiannya, setelah hasil keputusan bidaan diumumkan, saya tewas dalam bidaan nombor pendaftaran kenderaan tersebut. Agak mengecewakan walau pun jauh di sudut hati tidaklah terlalu mengharap. Mujurlah saya masih ada beberapa lagi senarai pendek yang akan dibeli apabila ianya dibuka kepada umum. Untuk rekod, nombor pendaftaran WVW1 telah berjaya dibida pada harga RM200,000!

Kerana ruang masa yang tidak mengizinkan, saya hadir ke pejabat JPJ di Maju Junction untuk menempah nombor pendaftaran mengikut pilihan hati selepas dua hari ianya dibuka kepada umum. Sungguh tidak ku sangka, nombor WVW rupanya sangat laku sekali. Impian untuk memiliki nombor yang ada dalam senarai pendek habis hancur berkecai kerana telah dimilik orang. Tak nak mengalah punya pasal, nak jugak nombor cantik kan, saya terus lepak kat kaunter tu, cuba untuk berkompromi dengan petugas kaunter JPJ tu sambil menggunakan kaedah cuba dan jaya bagi mencari nombor pendaftaran terbaik yang dapat difikirkan pada saat itu juga. Nasib baik mamat tu ok jer.

Cari punya cari akhirnya terjumpalah nombor WVW4999. Hanya itu sahaja yang nampak cantik dimata ketika itu. Oklah, tak mahu buang masa, saya beli nombor itu. Bayar RM210, selesai!

Dokumen pembelian nombor tersebut lalu dibawa ke wakil Proton yang menguruskan urusan hal jual beli Exora untuk didaftarkan dengan segera.

Walau pun telah didaftarkan pada 31 Oktober 2011, namun hanya pada 4 November 2011, barulah ianya diserahkan secara rasmi kepada kami. Sejak dari itu, hadirlah sebuah Exora yang putih melepak dalam kehidupan kami.
Wajah suci tanpa sebarang pengubahsuaian serta penambahan aksesori, segar dari kilang.

Sewaktu pertama kali berkenalan dengan kereta tersebut, pada mulanya saya telah mengesan satu bunyi yang agak luar biasa dari kompatmen enjin ketika enjin sedang melahu. Ada bunyi seakan-akan enjin motorbot... gek gek gek... gitulah lebih kurang tak tahu nak taip camane dengan tepat. Bunyinya tidaklah kuat, malah tidak kedengaran langsung apabila pedal minyak ditekan dengan ganasnya. Cuma saya rasa tidak selesa kerana ianya tidak berlaku pada Exora orang lain. Lagi pun kereta ini baru sahaja keluar dari kilang. Saya syak mungkin defect dari kilang. Risau juga andainya suatu hari nanti kecacatan yang kecil itu akan menjadi bertambah besar.

Saya mengadu kepada wakil Proton tersebut. Katanya sebab enjin baru dipasang, maka komponennya masih baru. Lama-lama nanti akan hilang.Walaupun agak sangsi dengan kenyataan tersebut, saya terpaksa menerima seadanya. Tidak mungkin dapat tukar ke kereta lain. Bak kata orang kampung saya, "nice to see nice to hold, once broken consider sold"!

Untuk mempercepatkan proses running-in sehingga 1000km pertama, esoknya (5 November) kami balik kampung di Terengganu, sementelah hari raya Aidiladha bakal menjelang pada 6 November. Wah... beraya dengan kereta baru!

Beberapa hari selepas pulang dari berhari raya, saya memasang side line bodykit untuk keempat-empat panel pintu dan OEM spoiler di bahagian belakang. Untuk menjimatkan kos serta menghalang pengusaha kedai aksesori mengambil kesempatan ke atas insan yang lemah ini, barang-barang tersebut diperolehi melalui online mudah.my, lalu dibawa ke kedai aksesori berdekatan untuk dipasang.

Bacaan odometer telah hampir ke 1500km, namun masalah bunyi enjin yang tidak normal itu masih menghantui perasaan kami sekeluarga. Lalu saya telah merujuk ke pusat servis Proton Edar sewaktu servis yang pertama kali dalam sejarah. Hampir sehari suntuk berada di pusat servis, menunggu hasil siasatan. Bosan tok sah kata lah... habis segala akhbar, majalah yang ada di SC tu saya khatam, akhirnya saya menerima berita buruk apabila dimaklumkan bahawa memang terdapat masalah pada bahagian enjin. Penyelesaiannya, enjin terpaksa dibarai dan akan dipasang dengan enjin baharu yang didatangkan khas dari kilang. Untuk itu, Exora terpaksa ditinggalkan sepanjang tempoh rawatan yang akan mengambil masa kira-kira sebulan. Selagi ada warranty, kos keseluruhan rawatan akan ditanggung oleh pihak proton. Satu kelebihan apabila membeli kereta baharu.

Saya dimaklumkan bahawa proses penukaran enjin ini memerlukan masa yang agak lama kerana pihak kilang terpaksa mencetak nombor enjin yang sebijik dengan nombor enjin yang ada sekarang memandangkan nombor tersebut telah didaftarkan dengan JPJ. Tak bolehlah nak main masuk enjin sesuka hati jer. Sekali dapat detect apsal nombor enjin lain, nombor pendaftaran lain, dah kena cas kereta curi pulak kan?

Dan proses untuk mencetak nombor enjin secara manual itu memerlukan masa yang lebih kerana sistem pendaftaran nombor enjin di kilang dilakukan secara batch. Tak pasti camane... mungkin dia ada running number dia kot. So bila dia nak return to previous number, itu yang kena buat manual tu. Anggapanku sahaja. Nak sedapkan hati.

Sebagai ganti, pihak proton telah memberikan sebuah kereta Savvy Manual berwarna oren untuk memudahkan pergerakkan kami sekeluarga sepanjang tempoh Exora dirawat. Sedih dan kecewa, namun demi mengharapkan yang terbaik buat Exora, kami pasrah.

Selang beberapa hari kemudian, saya membuat lawatan susulan ke SC untuk mengetahui status rawatan Exoraku itu.

Komponen enjin yang telah dibaraikan diletakkan di bahagian belakang sementara menunggu kedatangan enjin baharu.

Sebahagian ruangan di dalam bonet depan setelah enjin ditanggalkan.



Saya faham bahawasanya semuanya ini bukanlah kehendak Proton, apatah lagi kakitangan di SC itu sendiri. Mereka pun memberikan layanan, kerjasama serta khidmat nasihat yang amat baik sekali. Kudos tu kakitangan Proton Edar Service Centre Bandar Puchong Jaya. Beli kereta Malaysia ni ikut nasiblah. Kena yang elok, maka eloklah dia, macam Iswara saya dulu, walau pun berkali ganda lebih murah dari Exora neh, tapi ok jer. Kena yang ada problem, sampai sudah takde penyelesaian.Ada orang kata, kalau dapat kereta yang bermasalah nie, biasanya malam punya production. Kenape? Ada staf mengantuk tak buat kerja betul-betul ke? Especially on the QC punya part, camane buleh tampal sticker "LULUS PROTON" kalo ada defect? Ke Proton buat tak kesah? Pejam mata jer. Janji barang boleh jual. Fikir nak untung jer. Kalau ada defect nanti customer datang komplen, boleh buat duit lagi maaa! Common lah Proton... kualiti mesti mau jaga beb! Macam ni ke nak dapat global market?

Dalam pada hati yang terguris dan pilu itu, diam tak diam menjelang Krismas 2011, akhirnya Exora kembali ke pangkuan kami. Dengan enjin baharu segar dari kilang, kami harus kembali menjalani proses running-in walaupun bacaan odometer telah mencecah lebih 1000km. Ini kerana, bacaan odometer digital itu tidak boleh direset kepada 0. Maka dengan itu, saya harus menolak bacaan odometer sebanyak 1000 untuk disesuaikan dengan kondisi enjin dan tempoh servis berikutnya.


09112011
Bagi mendapatkan maklumat berkaitan Exora, disamping bertukar-tukar pendapat yang secara tidak langsung dapat menambah kenalan yang terdiri daripada pemilik Exora lain yang ada di seluruh negara, mungkin juga Singapura dan Indonesia, saya telah menyertai komuniti kelab pemilik Exora, atau nama rasminya Exora Owners Club Malaysia (EOCM) seawal tarikh 24 Jun 2010, iaitu 16 bulan sebelum saya benar-benar memiliki kenderaan tersebut. Tujuannya hanya untuk mendapatkan maklumat, pandangan serta pendapat dari pemilik Exora sedia ada tentang kelebihan dan kekurangan yang ada pada kenderaan ini. Waktu itu, saya masih belum menjadi ahli berbayar. Maka capaian ke forum hanya terbatas kepada beberapa perkara sahaja, namun sudah cukup untuk memberikan gambaran tentang kebaikan serta keburukan yang ada.

Pendaftaran sebagai ahli EOCM berbayar bagi mendapatkan capaian penuh hanya dapat direalisasikan beberapa hari selepas saya benar-benar memiliki kenderaan tersebut. Secara rasmi, saya telah diterima sebagai ahli dengan nombor keahlian EOCM1215.

06012012
Projek memasang filem penapis haba a.k.a tinted untuk keseluruhan cermin supaya kereta kelihatan lebih cool dan dapat menahan kepanasan melampau serta menapis cahaya ultra ungu yang boleh membahayakan kesihatan kulit gebu tulus dan mulus.

Destinasi pilihan saya adalah di sebuah premis yang terletak di Bandar Puteri Puchong. Kedai ini hanya membuat pemasangan tinted sahaja. Maka saya anggap mereka pakar dalam bidang tersebut kerana bisnes mereka hanya fokus dalam lapangan ini sahaja. Walau pun mereka juga ada menawarkan jualan aksesori, tapi jumlahnya amat terhad dan saya hanya nampak aksesori asas sahaja dan jumlahnya tidaklah banyak.

Bukan saje-saje datang kedai ini. Saya perlu menggunakan voucher RM250 yang diberi oleh wakil Proton semasa pembelian kereta tempoh hari.

Voucher asal yang diperolehi daripada wakil Proton sebenarnya hanya berjumlah RM150 sahaja. Sudahlah sikit, jauh pulak tu. Kedai dia dekat Kota Kemuning sana nun. Apehal saya yang duduk di Puchong ni nak pergi Kota Kemuning pulak? Padahal kat Puchong ni pon bersepah kedai tinted.

Maka atas ehsan seorang lagi kaum kerabat kami yang bekerja sales person Proton Edar kawasan Puchong, beliau telah memberikan voucher kedai tinted lain yang berhampiran, semestinya di Puchong jugak lah kan sebab showroom dia kat Puchong, mesti JV dengan kedai tinted area Puchong jugak.

Setelah berbincang dengan wakil penjual CareKool untuk mendapatkan filem penapis haba terbaik pada harga yang berpatutan, akhirnya saya mengambil pakej yang berjumlah RM900 untuk keseluruhan cermin, ditolak dengan rebat voucher RM200, tolak lagi diskaun RM50 kedai tu bagi, maka jadilah ia RM650. Tambahan pemasangan door visor berharga RM130, maka jumlah keseluruhan menjadi RM780. Cantik! Tidak melebihi bajet.

Oh ya... sandblasting itu diberikan percuma.









Kadar ketelusan cahaya.
Cermin hadapan:
VLT: 75%
IR: 60%
UV: 99%

Barisan pertama (hadapan) & kedua (tengah)
VLT: 40%
IR: 62%
UV: 99%

Barisan ketiga (belakang)
VLT: 5%
IR: 50%
UV: 0

Cermin paling belakang
VLT: 20%
IR: 50%

*VLT: visible light transmission (kadar ketelusan cahaya)
  IR: infra red rejection
 UV: ultra-violet rejection.

Sewaktu pemilihan tinted, ah chai kat kedai tinted tu awal-wal lagi nak bagitahu bahawasanya jenis tinted yang saya pilih ini tidak mematuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh JPJ. Walaupun begitu, ianya masih tidak keterlaluan jika dilihat dari mata kasar. Andainya terperangkap, pandai-pandailah susun ayat.

27012012
Sudah terang lagi bersuluh.
Untuk mendapatkan lebih pencerahan ketika berjalan diwaktu malam, selain daripada ingin menyamai spesifikasi seperti varian H-line, maka lampu kabus a.k.a fog lamp haruslah dipasang.

Melalui forum Proton Exora saya mula mengintai maklumat dimana dan bagaimana impian ini harus dilaksanakan. Lalu terjumpalah dengan seorang sahabat, mesra orangnya, yang berpengalaman menyedia dan memasang lampu kabus kepada ahli kelab yang berminat. Berdasarkan maklumbalas positif yang diperolehi menerusi forum menambahkan keyakinan saya untuk berurusan dengan beliau.

Setelah berhari-hari bertukar-tukar mesej melalui forum, hinggalah kepada beberapa panggilan telefon, kami memasang janji untuk bertemu di suatu lokasi bagi melaksanakan projek ini, sementelah beliau juga tinggal di Puchong, melicinkan lagi proses pemasangan ini.
Barang baik baru keluar kotak plastik pun tak bukak. Original dari kilang proton. Rupanya yang tukang pasang tu pon pekerja proton. Jadi segala jenis barang alat ganti dia beli di koperasi Proton dengan harga istimewa.

Kerja-kerja pemasangan boleh dilakukan di mana-mana sahaja, tidak perlu bengkel. Hanya di perkarangan rumah beliau sahaja bertemankan lampu jalan dan lampu suluh.

Proses pemasangan suis original bagi menggantikan suis asal yang tiada fungsi fog lamp. Pendawaian elektrik juga dilakukan dengan baik tidak luput waranti.

Tadaaa... dah siap!
sewaktu dalam rangka lawatan ke Rumah Peranginan Persekutuan Morib.
Beberapa cubaan untuk mencatatkan kelajuan maksimum telah dilakukan ketika bersama Exora ini. Dan hasilnya...


Catatan rekod peribadi had laju maksimum. Dengan spesifikasi standard kilang, takat ini sahaja boleh pergi walau pun sudah tekan habis rapat ke lantai.
Lokasi: Lebuh raya Pantai Timur, antara Kuantan - Jabor.

Memang bahaya jika tidak kena cara. Oleh itu pastikan pastikan persekitaran yang selamat dengan keadaan trafik yang lengang (maksud saya sangat lengang! - ketika ini waktunya antara 2.00 ke 3.00 pagi), jalannya haruslah lurus, lebar dan panjang serta fokus kepada pemanduan mesti berada pada tahap 200%.

29062012: Mencatat bacaan odometer 9999, hanya sekali dalam hayat sesebuah kereta.

29062012: Mencatat bacaan 10,000 namun pada hakikatnya usia enjin baru 8000 kilometer perjalanan.
Setelah beberapa ketika kehulu kehilir bersama Exora, saya sangat berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh beliau. Walau pun tidak selaju Bugati atau pun sepikap Ferrari, ruangnya sangat luas membolehkan anak-anak bebas bergerak ke sana ke mari. Nak laju pergi mana pun. Asalkan dapat sampai ke destinasi dengan selamat dan selesa. Saya juga mampu mengangkut sejumlah penumpang yang terdiri daripada kaum keluarga sendiri apabila perlu ke sesuatu tempat menjadikan kereta ini amat disenangi. 

Apabila genap kiraan setiap 5000 kilometer, Proton Servis Centre Puchong Jaya haruslah dilawati bagi menjamin prestasi kenderaan berada di tahap optimum. Setiap kali servis, saya membawa minyak enjin sendiri yang berjenama Pennzoil yang dibeli di pejabat setiap kali wakil penjual Pennzoil datang mempromosikan produk beliau.

Harganya bukan sahaja lebih murah dari pasaran, tapi apa yang penting ianya pasti original kerana dibawa sendiri oleh pengedar UMW Pennzoil yang beribu pejabat di Shah Alam. Saya amat berhati-hati dalam soal minyak enjin ini kerana risau dengan lambakkan minyak enjin tiruan atau kitar semula yang bermaharajalela di kedai alat ganti kenderaan. Walau pun pilihan masih ada jika membeli di stesen minyak, tapi harganya lebih mahal jika dibandingkan dengan harga yang ditawarkan oleh wakil UMW tersebut, memandangkan organisasi tempat saya bekerja ini mempunyai pegangan saham dalam syarikat UMW. Maka kerana itu, mereka dibenarkan datang ke sini, sekurang-kurangnya sebulan sekali.

Dalam pada itu, hubungan saya dengan rakan2 EOCM berjalan lancar. Sesekali saya turut sama menyertai TT yang diadakan sekitar Puchong. Kemuncak hubungan bersama rakan2 EOCM ini adalah saya telah menyertai satu aktiviti tahunan yang dinamakan sebagai Year End Gathering (YEG) yang telah diadakan di Pulau Pinang.

Kisah YEG telah saya ceritakan dalam satu posting dalam blog ini. Tak perlu lah nak repeat banyak kali. Nak baca klik sini. YEG EOCM 2012.

Program Exo untuk tahun 2013 dimulakan dengan aktiviti bersosial dengan rakan2 kelab EOCM. Satu perjumpaan mega TT untuk rakan2 central region (CR) telah diadakan di perkarangan Pullman Hotel Putrajaya, dengan kehadiran yang amat memberangsangkan dari rakan2 sekelab.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan bagi merapatkan ukhuwah sesama EOCM. Untuk orang dewasa, pemilik Exo, moksu2 serta anak semua gembira untuk turut serta. Pelbagai juadah turut disediakan secara gotong royong pot luck.


Di hari yang bersejarah ini juga, EOCM telah diumumkan secara rasmi sebagai sebuah pertubuhan yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS). Maka tiada lagi isu halal haram yang selama ini menjadi polemik antara rakan2 EOCM.

Dengan status halal yang dimiliki oleh EOCM, menjadikan seolah-olah EOCM sebuah kelab baharu yang memerlukan pendaftaran baharu dari semua ahlinya. Kena isi borang baharu beserta sedikit pengerasnya. Segala urusan berjalan lancar dengan sokongan panglima dari setiap jajahan.

Pendaftaran ini juga telah membawa konflik dalaman antara kepimpinan tertinggi EOCM. Kesan daripada konflik itu menyebabkan EOCM kini berpecah kepada dua kumpulan. Selain dari EOCM yang kini berdaftar dengan ROS (atau lebih dikenali dengan EOCM Malaysia), wujud lagi satu kelab EOCM yang menggelarkan diri mereka sebagai Exora Owner's Club Motorsport (EOCM Motorsport).

Hasil daripada pendaftaran semula, ahli2 bersekutu telah diberikan nombor pengenalan baharu, yang menjadi ID kepada pemilik EOCM berdaftar. Ekceli nombor tu, nombor lama jugak, tapi stiker jer baharu, dan ianya kini berwarna hijau untuk menggantikan stiker lama berwarna putih.

Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun. Kini masuk tahun ke-2 saya menggunakan MPV buatan Malaysia ini. Masalah yang biasa berlaku pada produk keluaran Proton sebelum ini hampir tiada.
to be continued....

6 comments:

cikgu zul said...

terbaik boh...dok sebut doh nama aku...kohkohkoh

Anonymous said...

Kereta Proton saya sudah berusia hampir 8 tahun dan secara umumnya memang tidak mendatangkan masalah. Saya berpendapat, untuk beli kereta Proton, seboleh2nya;
1) Beli model yang sudah dua tahun di pasaran. Dalam tempoh setahun dua jurutera dan mekanik Proton akan mengetahui dengan lebih mendalam masalah2 yang ada dan akan membuat rektifikasi secara holistik. Kalau lagi lama lagi baik cuma model tu mungkin semakin kurang glamor.
2) Beli melalui salesman yang anda kenal ataupun dikenalkan oleh orang yang anda tahu. Dengan cara ini, mereka lebih bertanggungjawab.
3) Beli di HQ. Ia mengurangkan loading unloading. Ada salesman beritahu, kadang2 kereta boleh tercalar bila ditransport. Mereka akan buat touch-up di dealer. Biar belanja lebih sikit traveling ke HQ.

4)

ridz da JDM said...

salam boh...kalo terserempak exora silver WTY2038 area klang banting kasi hon2 lah...belum berdaftar berbayar ngan EOCM....daftar biasa jer...

wahhhh said...

Sy pnye exora pn ade bunyi pelik jgk..mmg slow bnyi dia..bnyi smasa tkn pedal minyak....risau jgk ni

Khairul Faizal said...

perkongsian pengalaman yang sangat hebat.. x boleh sy bayangkan jika enjin keta sy terpaksa ditukar sedangkan kereta baru koyak plastik..

sudi-sudikan ke blog saya cyberlipas.blogspot.com

Zuri Aqim said...

Benar tuan... sememangnya perkara itu agak mengecewakan tapi tiada apa yang perlu dirisaukan. Selagi ianya berada dalam warranty, saya kira proton telah memberikan khidmat selepas jualan yang terbaik. Saya juga telah diberikan sebuah kereta savvy sebagai penggantian sementara. Saya juga beranggapan perkara tersebut hanyalah kes terpencil sahaja. Mungkin 1 dalam beribu exora yang telah dihasilkan. Selepas pertukaran tersebut, hingga ke hari ini prestasi enjin amat memuaskan. Pemasangan semula telah dilakukan dengan kemas.