Ini adalah kisah pengembaraan 13 orang pahlawan berkuda besi, bukan kuda arab tapi kecik macam kuda padi, meredah onak, ranjau dan duri, demi mengisi masa lapang riadah hujung minggu kami. Banyak faedah yang kami perolehi, selain menguji keupayaan fizikal dan juga mentaliti, aktiviti begini boleh membina dan menambah keyakinan diri, juga memupuk semangat persahabatan antara kami.
Rentetan kejayaan cemerlang, gemilang, terbilang ekpedisi Cub Chai For a Cup of Tea pada bulan Oktober 2011 yang lalu, kami belum berasa jemu, walau penat sudahlah tentu, nak konvoi ni tak semestinya kena laju. Apa yang penting? Kerjasama dan disiplin di atas jalan raya.
Ekspedisi ini diusahakan dengan tenaga dan kudrat sendiri oleh sekumpulan rakan sekerja, tanpa sebarang sponsor mahu pun penaja. Walau pun bekerja di bawah bumbung yang sama, bukan selalu dapat jumpa, kerana jabatan dan lokasi tingkat masing-masing berbeza,. Namun berkongsi minat yang sama, dunia permotoran menyatukan kami semua, tak kira pangkat dan juga harta. Lalu kami bergabung tenaga, bersama-sama merentas dunia.
Destinasi kami kali ini boleh tahan juga jauhnya, pergi balik sahaja dah 500 kilometer. Kalau berkereta biasa sahaja, kalau kapcai tak ramai yang mampu, saya sorang-sorang pun tak sanggup. Kalau seorang mungkin seronok, bila dah ramai tentulah beronok-ronok.
Kalau dah minat, lautan dalam pun sanggup ku redah, ke angkasa raya pun sanggup ku terbang, inikan pula negeri Pahang.
Tapi seronok, seronok juga. Keselamatan haruslah diutamakan. Awak tu mentimun, atas jalan banyak durian. Awak lenyek orang awak kena, orang lenyek awak pun awak yang kena.
Destinasi kami kali ialah Lake Chini Resort, Tasik Chini, Pahang. Wahhh... serius neh... koi tak pernah sampai lagi tempat ni!
Seperti biasa, (ekceli takdelah biasa mana pun... baru kali kedua), bagi mempamerkan semangat perjuangan harmoni supaya lebih terserlah, t-shirt khas juga haruslah ditempah. Dengan memakai t-shirt ini kami bukan sahaja kelihatan lebih hensem dari biasa, malah keseragaman dan kesepaduan antara kami terasa gerun dipandang mata. Masakan tidak, sekumpulan jejaka dengan baju oren belaka, menjadi perhatian tua dan muda, walau dimana kami berada.
Berminggu-minggu mengatur perancangan dan strategi, cukup dengan racun bagi mengajak mat kapcai lain join sekali, akhirnya terkumpul juga 13 orang penunggang handalan, dengan kapcai masing-masing hebatnya boleh tahan. Kami bertekad untuk membuktikan bahawa, walau pun kecil tapi besar jiwa kapcai kami ini, bukan setakat hari-hari guna untuk ulang-alik pergi kerja, tapi boleh meredah perjalanan beratus-ratus kilometer.
Hari Pertama
Tanggal 28 Januari 2012 perjalanan bermula, kami bertemu di stesen minyak di lebuh raya Karak, tidak jauh dari tol Gombak. Seawal pagi lagi sudah terpacak, yang datang dari Seremban pun ada jugak, ada yang berteman dengan si anak, bukan yang kecik tapi dah besar dan segak.
Dengan kekuatan 13 orang riders yang ganteng-ganteng semuanya, bersama jentera kapcai Honda Wave 125 ada dua, Yamaha LC135 pun ada dua, Yamaha Lagenda satu sahaja, motor paling baharu Suzuki Axelo 125 turut bersama, Modenas GT128 empat orang pemiliknya, Modenas X-Cite 130 pula sebuah sahaja, Modenas Kriss-2 juga turut serta dan sebuah RG Sports 18 tahun usia otai yang punya pun nak ikut juga.
Demi merakamkan detik-detik bersejarah yang boleh diceritakan ke anak cucu kami nanti, Encik Bazid telah bermurah hati mengubah suai jentera RGnya lengkap dengan camera stand, supaya lebih mudah untuk merakam dan tidak menjejaskan gaya tunggangan.
Camera stand Suzuki RG-Sports limited edition |
Masing-masing khusyuk mendengar taklimat ringkas sebelum perjalanan dimulakan |
11.20am: Tiba di R&R Temerloh, rehat dan betulkan otot-otot yang dah lenguh. Laparnya perut bukan kepalang, kalau takde makanan, memang nak makan orang. Dah sampai Temerloh ni memang dari tadi lagi dah terbayang-bayang, ikan patin enaknya bukan kepalang. Sementelah mentari pun sudah meninggi, kita combine terus sarapan dengan makan tengah hari. Seharusnya nasi yang kami cari, berlaukkan patin, apa lagi? Lagi pun destinasi kami jauh lagi, restoran mana nak singgah lagi? Pasal makan, kita setel sini.
Patin masak tempoyak, Temerloh mari... TERBAEEKKKK! |
Lama jugak tak isi minyak neh. Sejak bergerak dari Tol Gombak tadi, dah sampai R&R Temerloh baru nak isi lagi, inilah kelebihan motor kapcai kami, minyak setangki jimat berkali-kali.
Bukan tangki motor sahaja perlu diisi, tangki tambahan juga perlu dibawa kerana mengikut kajian dan analisis yang telah dilakukan oleh perisik khas yang diimport khas dari Chenor, tiada lagi stesen minyak yang kedapatan di kilometer seterusnya sehinggalah sampai ke Pekan Chini. Mesej ini telah disampaikan seawal perjalanan lagi supaya membawa tangki tambahan, kalau tak berpeluh lah ketiak, korang soronglah sendiri. Secara tidak langsung, hal ini telah berjaya memupuk sikap tanggungjawab, antara keperluan dengan kehendak. Tak kiralah tong minyak enjin kereta ke, botol air mineral ke, tupperware ke, asalkan boleh menampung sejumlah cairan yang bernama petrol ketika keperluan mendesak.
12.00pm: Kami bergerak meninggalkan R&R Temerloh, lalu kembali ke Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), mencari jalan keluar seterusnya ke Chenor / Kampung Awah. Rupanya jaraknya takdelah jauh, tak sampai 10 kilometer pon. Ok... ramai2 susur keluar ke Chenor. Vrooommm!
Maka bermulalah cabaran seterusnya, merentas jalan persekutuan (2), meredah pekan dan desa. Melalui kawasan kampung dan pekan-pekan kecil sepanjang 6.5 kilometer sahaja jauhnya sebelum masuk ke jalan seterusnya. Sebelum LPT siap dibina, laluan ini lah medan utama, kenderaan dari pantai timur menuju Kuala Lumpur.
Sampai di simpang, kami belok ke laluan seterusnya, jalan negeri (C23) kali ini sememangnya aman dan tenteram. Menyusuri jalan-jalan kampung yang kecil dan lengang, sebiji kereta pun susah nak jumpa. Jalan ini letaknya di persisiran Sungai Pahang. Sambil menikmati kehijauan hutan dan belukar, kami menunggang dengan penuh rasa gembira. Jalan kampung punya pasal, tak pakai helmet pun tak apa. Walau pun begitu, keselamatan haruslah dijaga, walau di mana anda berada.
Jalan kampung. |
Singgah di sebuah jambatan yang kami sendiri pon tak tahu kat mana semata-untuk untuk posing bergambar dengan seksi |
Sementara menunggu urusan check-in selesai, kami pun duduklah bersembang menceritakan pahit getir pengalaman yang dikutip sepanjang perjalanan tadi. Semua nampak seronok dan cergas sahaja biar pun telah menunggang dalam kadar yang agak lama. Begitulah rider sejati, biar pon kapcai, dalam hati tetap ada taman walau dimana sahaja berada.
Teruja dengan kehadiran kami, adalah seorang mamat ni, penduduk tempatan barangkali, motor dah cantek siap dengan cover set Repsol persis Valentino Rossi, tiba2 datang mengadu kat kami. masalah motor yang beliau hadapi. Semput tak lepas 100 katanya. Wah... nampak macam kita nie hebat sangat ke bab2 teknikal sebuah kapcai? Namun, untuk tidak menghampakan peminat, chief mechanic dipanggil. Entah apa digodek, bolehlah dapat pick-up sikit.
Ikhlas membantu insan yang memerlukan |
Si gadis manis menyambut kedatangan kami di kaunter receptionist. |
Kat sini pun dah ada kapcai rupanya. Honda lampu bulat C70 klasik, memang mengancam bro! |
Laluan ke jeti |
Kawasan lobi |
Ini bukan geng kami walau pun baju sama oren, tapi hati lain-lain tau! Rupanya uniform pekerja kat sini pun oren taww! |
Kayak tersadai di tebing tasik. Boleh disewa dengan harga berpatutan. |
Standard and deluxe room. Ada balkoni. Sesuai untuk family kecil dan pasangan muda-mudi dalam fasa bulan madu. |
Surau tapi tiada siapa yang azan bila masuk waktu |
Cengginilah rupa dormnya, mengadap depan-depan. Piring astro tu takde fungsi yer. Jangan kata astro, TV pun takde dalam dorm neh. Dalam standard / deluxe room mungkin ada. |
Beginilah keadaan dorm kami. Dah macam asrama. |
Tapi semua ini bukan percuma ya kawan-kawan. Terpulang kepada bajet dan kehendak anda, ini adalah harga yang harus dibayar.
Sekali pandang, masing-masing dah macam pelancong dari Uganda pulak, dengan uniform orennya sama jer semua. Lepas tu pakai pulak life jacket kaler pon oren, dengan drebar motorbot pon pakai t-shirt oren, patutlah naga tak muncul-muncul. Silau dengan kaler oren gamaknyer.
Mengikut perkiraan ahli nujum Tasik Chini, sebuah bot hanya boleh memuatkan maksimum seramai 6 orang sahaja termasuk drebar. Demi memenuhi permintaan kami yang seramai 13 orang neh, maka 3 buah bot terpaksa disediakan.
Mari kita menambahkan pengetahuan tentang Tasik Chini.
Tasik Chini merupakan tasik air tawar semulajadi yang kedua terbesar di Malaysia. Ia terhasil daripada kombinasi 12 tasik-tasik yang lebih kecil lalu membentuk sebuah tasik besar dengan jumlah keluasan sebanyak 12,565 ekar. Tasik Chini mendapat sumber air semulajadinya dari Sungai Pahang.
Cer teka tasik air tawar semulajadi terbesar di Malaysia kat mana?
Masa yang paling afdal untuk melawat Tasik Chini adalah diantara bulan Ogos hingga September, di mana di kala itu, bunga-bungaan teratai berkembang mekar lalu mengubah permukaan tasik seolah-olah menjadi taman terapung. Sewaktu kehadiran kami, pokok teratai banyak tapi tak berbunga lah. Yang banyak adalah pepohon mengkuang yang tumbuh liar di kebanyakkan tempat di tasik ini.
Bercerita tentang Tasik Chini sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan lagenda naga yang sangat terkenal itu. Adapun nama si naga itu ialah Seri Gumum. Walau pun tidak dapat dibuktikan secara saintifik tentang kewujudan beliau dan hanya telah diceritakan dari satu generasi ke satu generasi, namun naga Seri Gumum tetap menjadi kebanggaan penduduk sekitar Tasik Chini, sehingga ia turut menjadi maskot yang dicetak di atas t-shirt ekspedisi kami.
Bagi memastikan naga Tasik Chini ini benar-benar wujud atau tidak, apabila tiba di sebuah tempat yang agak jauh dari daratan, dengan air yang tenang dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa, salah seorang peserta konvoi dengan gagah beraninya telah terjun tiruk ke dalam tasik tersebut. Saya nak sebut juga nama beliau sebagai kredit diatas keberaniannya itu biar satu Malaya tahu. Beliau adalah Encik Salimi. Dengan hanya berswimming trunk, dia tak kesah berapa dalam tasik tu, apa ada kat bawah tu, naga ke, ular ke, batang kayu ke, dia terus terjun jer. Kita yang tengok ni pulak risau kot-kot naga tu datang ngap dia.
Dalam 5 minit melayan keletah Encik Salimi berendam di dalam tasik, kami ride lagi motorbot ini pusing2 tasik yang luas amat ini.Vrooommm!
Di beberapa kawasan di permukaan tasik ini, kami bertemu dengan pelampung yang lengkap dengan sign board bersegi tiga. Seperti yang telah diceritakan tadi, Tasik Chini kan terdiri daripada gugusan 12 tasik yang membentuk sebuah tasik yang besar. Maka setiap papan tanda ini menandakan tasik kecil tersebut beserta namanya sekali.Cuma kami tidak faham kenapa ianya dipanggil laut. Adakah bagi orang Pahang, tasik kecil dipanggil laut. Habis tu, kalo laut kat tepi pantai sana dipanggil apa pulak?
Kemuncak daripada perjalanan menggunakan 'bot persiaran mewah' ini, kami dibawa melawat ke perkampungan orang asli yang merupakan penduduk pribumi di kawasan Tasik Chini.Tak sangka pulak rupanya ada penempatan manusia di tengah kawasan tasik ni.
Mendarat di jeti perkampungan orang asli |
Rusa masuk kampung |
Sampai-sampai sahaja, tak sempat nak bagi salam pun, diorang dah sibuk nak menyumpit. Dengan sedikit bayaran, korang sumpitlah nak sumpit banyak mana pun.
Pak cik ni merupakan drebar salah sebuah motorbot kami, rupanya orang sini jugak. |
Hikmat menyumpit buluh perindu tidak terbatas |
Bahkan tandas awam yang bina dengan struktur batu disitu jauh lebih indah jika dibandingkan dengan kediaman mereka ini. Owhhh insaf sangat dah nie!
Walau pun daif, kami percaya, mereka mempunyai hati yang cekal untuk meneruskan kehidupan. Kalau tidak, masakan anak-anak yang masih kecil tampak yakin meniti titian kayu di atas air untuk menuju ke rumah mereka. Kalau anak kita, belum apa-apa lagi kita bising dah takut jatuh masuk tasik.
Kehidupan mereka sangat ringkas lagi berdikari. Kecik-kecik lagi sudah mengerah keringat berkayuh sampan di tasik, tak payah pakai life jacket pun. Kalau kita bising dah takut jatuh masuk tasik... (ehhh tadi dah cakap eh?)
Dan kerana kedaifan itulah, kami terus melancarkan derma kilat bagi membantu demi menghiburkan anak-anak kecil ini. Juga dengan kata-kata perangsang supaya mereka rajin ke sekolah.
YB Najmudin menyampaikan sumbangan ikhlas kepada anak-anak orang asli dengan ucapan "undilah saya!" |
YB Najmudin menyampaikan kata-kata perangsang kepada anak-anak orang asli suku Jakun dengan ucapan "undilah saya!" |
Menjelang petang, kami start motor lagi, kali ini ke Pekan Felda Chini pula bagi membeli beberapa barangan keperluan dan seterusnya makan malam. Dengan segerombolan pemuda dan petua yang datang umpama pasukan berkuda, membuatkan kehadiran kami menjadi tumpuan ramai. Nasiblah naik kapcai... kalo superbike sure ada makwe nak ikut belakang neh ;-)
Bersiar-siar di Pekan Felda Chini sebenarnya takde apa yang menarik pun. Pekan kecil sahaja dengan beberapa blok kedai ibarat pekan koboi sahaja. Stesen minyak pun ada satu. Dengan murah hati, kami telah singgah di sebuah medan selera dan memborong segala jenis makanan dan minuman yang ada disitu, membuatkan makcik dan pakcik kedai makan tu dapat collection lebih banyak dari hari biasa.
Teh tarik gelas besar yang memang betul-betul besar |
Yang tak minat memancing, terbongkang atas jeti tak tahu nak buat apa |
Hari Kedua
Kami memulakan pagi yang indah ini dengan menunaikan solat subuh, semoga apa yang kami lakukan ini mendapat keberkatan dari-Nya. Memandangkan lepas solat mata dah tak mahu lelap, mana yang sangap tak puas hati dapat ikan besar jari semalam tu meneruskan lagi aktiviti memancing.
Sambil yang lain buat unggun api, sembang-sembang masak maggie. Yaperdaaa... malam tadi tak nak buat. Dah pagi, matahari nak keluar baru nak buat unggun api.
Tenang dan nyaman sekali menyedut udara segar pagi di Tasik Chini.
Sebentar lagi kami akan bergerak pulang. Rasanya penat masih tak hilang, aduhai hari ni nak jalan jauh lagi. Kan seronok kalau dapat berehat lagi sehari. Apa kan daya, kami kerja tak dapat cuti. Beginilah nasib kalau dah makan gaji, tak boleh nak buat sesuka hati. Lagi pun dirumah ada anak bini menanti.
10.45am: Masa untuk bersarapan dan bersiap untuk pulang. Urusan makan dan minum agak terhad di sekitar Tasik Chini. Walau pun ada disediakan kemudahan restoran di dalam resort, selera kami, lebih senang makan diluar. Lagi pun memang dah nak balik pun... lepas sarapan, kita teruskan perjalanan.
Modenas Racing Team. Ekceli ada sebiji lagi Kriss malu pulak dia. |
Kalau nak sedap lagi, terpaksalah pergi pekan Chini, mungkin di sana banyak makanan menanti. Tapi kami tak kuasa lah nak cari kedai lagi, ngam-ngam sampai sini, hujan renyai pun turun membasah bumi. Maka sambil menunggu hujan berhenti, kami tolong lah makcik kedai makan ini clearkan dia punya menu sarapan pagi.
12.00pm: Setelah hujan telah reda, perut yang lapar pun dah kenyang semula, kami meneruskan perjalanan pulang dengan mengikuti laluan berbeza, tidak sama seperti laluan semalam. Lagi pun kami bercadang nak singgah Seremban, atas jemputan Encik Mohd Nor raider kita yang berpengalaman, katanya nak buat acara makan-makan, tanda perjalanan mencapai kejayaan.
Laluan ini meliputi perjalanan sejauh 215 kilometer (lebih kurang), bermula dari Felda Chini - Paloh Hinai - Felda Keratong membawa ke Serting, masuk ke Negeri Sembilan melalui daerah Jempol - Bahau - Juasseh - Kuala Pilah - Terachi dan berakhir di Taman Bukit Margosa, Ampangan, Seremban.
Memang terasa lah jauhnya berbanding dengan jalan datang semalam, walau pun realitinya beza tak sampai 10 kilometer pun. Tapi disebabkan jalan persekutuan ni dua hala, dengan kenderaan lain pun boleh tahan banyak juga, nak mengekor dan memotong pun kena ambik masa, kalau redah sahaja tentulah bahaya. Perjalanan pun hijau sahaja dengan pepohon sawit dan pokok hutan tumbuh melata, dah laluan kami kebanyakkannya kawasan Felda.
Kami juga terpaksa berhenti sekali sekala sekadar untuk memenuhkan tangki minyak motor yang sering kehausan dan melegakan lenguh-lenguh otot yang agak kejang.
3.00pm: Kami tiba di Pekan Bahau untuk berehat, melepaskan penat dan lelah, juga mencari bengkel motorsikal bagi membetulkan sebarang kecederaan yang terdapat pada jentera. Macam RG-Sports Encik Bazid, dari Chini lagi ekzosnya keciciran silencer, ada karburator tercabut skru lah, berjalan jauh begini pasti ada cacat dan cela. Sebab itu kita perlu sentiasa waspada.
Bagi jentera yang masih tip-top tiada masalah, kami terus lajak ke masjid untuk berehat dan menunaikan ibadah. Kitorang ni rempit-rempit jugak, tapi solat tidak dilupa kerana itu adalah tiang agama. Jangan ingat mat motor itu jahat belaka. Hanya kerana seekor kerbau yang bawak lumpur, tak semestinya boleh terpalit semuanya kalau yang lain tu pandai bawa diri.
Kira-kira sejam kemudian, kami pun meneruskan perjalanan menuju ke Pilah untuk terus sampai Seremban. Di Pilah cuaca nampaknya tidak begitu baik. Awan mendung berarak
kelabu, tak lama lagi hujanlah tu. Di tepi jalan kami berhenti, menukar persalinan yang sesuai untuk menunggang kala hujan turun nanti. Sewaktu menukar pun sudah terasa titisan air membasahi bumi.
Panas atau hujan. Sentiasa bersedia |
5.00pm: Perjalanan penuh cabaran dari Chini ke Seremban akhirnya tamat di Ampangan. Rumah Encik Mohd Nor kami singgah. Badan dah penat, perut dah lapar setelah menjamah makanan terakhir nun jauh di Chini sana.Time ni hidanglah apa benda pun, semua sedap!
Mi dan bihun menyambut kami, lengkap dengan kuih-muih sekali, disediakan sendiri oleh Encik Mat Nor punya isteri. Geng oren memang dah kebulur dari tadi.
Setelah kenyang perut berisi, tidak bermakna perjalanan berakhir di sini. Majoriti kami yang tinggal di Lembah Kelang haruslah berangkat pulang.
Dari Ampangan kami masuk ke Lebuhraya Lekas sewaktu hari dah petang dan hujan telah berhenti. Nak sampai rumah sebelum malam, supaya mudah nampak di jalan. Kami bergerak dalam satu kumpulan, perjalanan relaks, tenang dan santai, sambil menikmati alam ciptaan Tuhan. Sampai sahaja ke susur keluar berkenaan, seorang demi seorang mengundur diri, untuk pulang ke rumah bertemu anak dan isteri.
Kalau dikira secara keseluruhan, perjalanan ini jauhnya lebih 500 kilometer, pergi dan balik macam bulatan pulak rasanya kalau tak caya tengoklah peta.
Begitulah catatan perjalanan kami. Bagi yang tidak adventure, memang kerja gila kalau difikirkan kembali. Kalau dah minat, tak yah suruh pun, volunteer nak pegi.
Kami berjaya dengan jentera kapcai kami. Kecil-kecil cili padi. Kalau hendak seribu daya, kalau tak nak macam-macam alasan boleh bagi.
Walau jauh beribu batu, kapcai kami dah sampai Chini. Di sana, di sini, CUP CHAI D'CHINI.
IKLAN: Kami menyediakan perkhidmatan fotografi, dengan pengkhususan kepada majlis perkahwinan, keraian, hari jadi, aqiqah dan majlis-majlis rasmi, sesuai dengan kemampuan dan keperluan anda. Harga boleh bincang maaaa.... Sila hubungi kami di sini.
2 comments:
errr... nanti mak ko marah aku tak bertanggung jawab....
lagi pun kitorang nie layan kap jer... lainlah ko ada versys... huhuhuhuhuhu
Lambat terjumpa blog ni...best akak cd membacanya...kelakar namun berinformasi.
Post a Comment