BEND IT LIKE BECKHAM

"Hello mister... do you know bekam?"
"Ohhh yess... he used to be a football player".
"No mister... not Beckham... bekam!" 

Agaknya, macam tulah rupa perbualannya kalau kita tanya mat atau minah saleh perihal aktiviti berbekam ni. Kalau ikut slang mat saleh memanglah sebutannya jadi "Beckham" walau pun hakikatnya bekam dan beckham takde kena mengena langsung.

Maka tajuk kita kali ini tiada kena mengena dengan pengisian. Eh... ada jugaklah sikit2... beckham / bekam bukan ke ejaannya dekat2 sama tu! Boleh buat pantun.

Dalam sejarah umur hidup saya, inilah kali pertama saya menjalani kaedah perubatan secara bekam. Itu pun bukanlah disebabkan saya ada penyakit kronik yang boleh menjejaskan aktiviti fizikal atau mental. Saya sihat, Alhamdulillah. Sekadar mencuba sesuatu yang baharu setelah sekian lama mendengar cerita serta melihat sahaja orang buat bekam, kita ni bila lagi tak? Lagi pun bekam ni benda baik, disukai dan digalakkan oleh Rasulullah SAW sendiri sebagaimana hadis yang bermaksud:

""Jika ada ubat yang dapat menyembuhkan penyakit, maka bekam juga dapat menyembuhkannya".

Kata orang kampung saya, "prevention is better than cure". Maka sebelum datang sesuatu penyakit yang kita pun tak tahu akan datang nasib kita camane, adalah lebih baik untuk diri saya membuat rawatan ini. Masa sihat inilah kena beringat. Kena ingat pesanan Rasullulah SAW, rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, dan salah satunya ialah masa sihat sebelum sakit.

Bekam adalah suatu kaedah perubatan untuk mengeluarkan darah kotor (bertoksin) atau angin melalui permukaan kulit dengan menggunakan alat bekam, dengan harapan tubuh akan menjadi bertambah sihat bertenaga. Sesuai dengan peredaran zaman, peralatan untuk berbekam juga telah mengalami revolusinya sendiri. 

Antara bahan-bahan utama yang diperlukan untuk membuat bekam ini adalah:

Ini bukan pistol space cop gaban yer tuan2! Ini adalah pistol untuk menyedut angin keluar dari cawan (dalam bahasa bekam moden dipanggil "cup") yang dilekatkan pada anggota bekam.

Alcohol dalam bentuk spray yang digunakan untuk mensterilkan peralatan yang digunakan sebelum dan selepas berbekam.

Minyak but-but untuk menyapu bahagian yang akan dibekam.

Ini bukan pen biasa, tapi pena bekam, atau dalam bahasa saintifiknya dipanggil Lancets Pen High Speed Automatic. Sekiranya pangkalnya ditekan, muncungnya akan mengeluarkan jarum halus yang akan mencacah ke dalam kulit pesakit bagi membentuk liang-liang kecil yang boleh mengeluarkan darah. Sakit atau tidak bergantung kepada ketebalan kulit pesakit serta kemampuan  seseorang. Kalau sakit ustaz tu boleh edjas kasi kurang sakit. Kalau tak nak rasa sakit langsung pon boleh. Tak yah buat bekam.

Maka pada suatu malam, dengan kehadiran Ustaz Rizal ke kawasan kediaman saya, saya mengambil peluang keemasan ini untuk menjalani rawatan bekam. Walaupun ustaz ni tinggalnya di Pulau Pinang, beliau kerap turun ke KL atas urusan perniagaannya. Apabila berada di KL, beliau akan datang ke surau di kawasan kediaman ini untuk memberikan kuliah Maghrib. Sesudah solat Isyak, beliau akan melayan karenah penduduk di sini sama ada untuk berbekam ke, mengurut ke atau sekadar berbual-bual kosong sahaja.

Ustaz Rizal sedang mencacah badan pesakit menggunakan lancets. Beberapa tusukan awal tu rasa agak sentap jugak, tapi bila dah lama sikit, badan dah boleh terima tusukan tu, rasanya macam kena gigit semut jer.

Memandangkan aktiviti ini dijalankan secara suka-suka dan gembira, sambil bekam boleh lah borak-borak cerita pasal anak lah, kerjaya lah, perubatan lah, sukan lah, pokok lah, daun herba, ntah camane, cerita pasal bisnes HPA dengan kopi radixnya itu pun boleh jadi modal. Ustaz ni pon dah macam geng kitorang kat sini, maka harga yang dikenakan ke atas kami amatlah berpatutan dengan diskaun hebat kalau kedai bekam kat luar sinun tahu harga dia neh mungkin boleh timbul perasaan cemburu yang tidak berbelah bahagi.

Untuk makluman, sewaktu saya menjalani rawatan bekam, tiada siapa yang sudi mengambil gambar tubuh badan saya kerana jeles apabila melihat keseksian six pax gitew. Maka gambar-gambar yang dipaparkan dibawah merupakan tubuh badan seorang sahabat yang namanya terpaksa dirahsiakan kerana beliau tidak mahu tubuh badannya yang separuh bogel itu dieksploitasikan oleh pihak-pihak tertentu especially geng-geng GLBT. Ewww... tak sanggup mak!

Titisan darah mula terbentuk setelah anggota bekam dicucuk menggunakan lancets.

Meletakkan cup pada anggota bekam menggunakan pam vakum.

Biasanya Ustaz akan memasang tujuh hingga ke sebelas cup, bergantung kepada kemahuan dan kemampuan orang yang menjalani rawatan. Nak pasang kat kepala pon boleh tapi saya abaikan dahulu kerana belum bersedia untuk dicukur rambutnya. Hilang macho I nanti taw!

Selain daripada darah, angin juga boleh dikeluarkan dari badan. Perhatikan cup yang berwap itu. Tandanya angin keluar dari badan. Sesuai sangat untuk pesakit yang memang sedang hangin satu badan.

Susun atur cup bekam yang penuh dengan nilai artistik bombastik realistik untuk meningkatkan tahap keupayaan proses detoksifikasi. Dah macam permukaan planet makhluk asing pulak.

Maka terhasillah darah merah yang pekat melikat dan agak pejal. Itulah darah kotor yang penuh dengan toksin yang keluar dari badan manusia.

Sabda Rasulullah SAW lagi:
"Barangsiapa berbekam pasti mendapat rahmat dari Allah SWT" - Riwayat Muslim.


Manfaat Berbekam :
  • sihat tubuh badan
  • mengimbangkan daya tahan badan
  • buang angin
  • menghilangkan keletihan dan penat badan
  • menghilangkan sakit urat-urat dan lemah-lemah badan
  • mengurangkan risiko sakit jantung & darah tinggi
  • membantu mengurangkan kadar kolestrol dalam darah
  • membantu mencantikkan permukaan kulit dan lain-lain
  • membuang darah bertoksik
Antara Penyakit Yang Boleh Dirawat Dengan Berbekam :

  • Susah Tidur
  • Tekanan Jiwa
  • Ghout
  • Migrain
  • Masalah Jantung
  • Gementar
  • Lelah
Di dalam Shahih Bukhari, dari Sa'id bin Jubair RA, dari Ibnu 'Abbas RA, dari Rasulullah SAW, baginda bersabda; "Kesembuhan ada tiga perkara; minum madu, berbekam dan bakaran api (Al- Khayy). Tetapi aku melarang umatku melakukan pembakaran dengan api".

Wallua'lam.

No comments: