THE EXORIAN


Maka tersebutlah sebuah kisah pengembaraan sekumpulan rakan kelab MPV pertama keluaran Malaysia, Exora Owner Club Malaysia nama diberi. Menjelajah dari wilayah tengah menuju utara, meredah kepekatan malam demi menyertai perhimpunan besar tahunan, Year End Gathering dipanggil orang, kalau sebut Y-E-G pun boleh lagi senang.

Ini adalah perhimpunan akhir tahun keempat sejak kelab ditubuhkan. Tahun pertama dan kedua saya tak pergi. Maklumlah masa tu tak pakai exo lagi. Tahun ketiga baru jer pakai exo, nak pergi rasa segan lagi. Tarikh dapat exo dengan YEG pun rapatlah sangat. Nak register pun tak sempat.

Tahun keempat barulah dapat pergi. Sebagai newbie memang lah tak kenal sangat diorang. Umur baru setahun jagung lah katakan. Pucuk muda lagi. Dalam forum pun tak aktif mana. Takat menyampuk sekali-sekala. Kalau biasa jumpa pun, teman-teman dari jajahan yang sama. Join TT yang biasa-biasa sahaja, geng Puchong melepak bersama.

Semangat EOCM punya pasal, bila jumpa rasa lain macam saja. Senang sangat nak bermesra dengan diorang neh. Dah join kelab kenalah bergaul dengan orang. Kelab itu kan untuk bersosial. Kalau tak suka bersosial, duduk sorang-sorang tak yah lah join kelab.


Uniknya di Malaysia ni, negara kita kecik sahaja. Ikut statistik Kementerian Pengangkutan Malaysia, sehingga hujung tahun 2011 kenderaan berdaftar ada 21,401,269. 21 juta you!!! Boleh dikatakan setiap model kereta mesti ada kelab mereka. Tak kiralah kereta tempatan ke, Jepun ke, Conti ke, kereta antik ke, kereta mini ke, masing2 ada kelab. Kalau campur kelab motorsikal bertambah tambah lagi lah bilangannya. Itu maknanya masyarakat kita memang suka bersosial. Kalau tidak takkan lah ranking penggunaan Facebook di Malaysia ni duduk nombor 18 daripada 212 negara. Just for record, negara Vatican City yang duduk di tangga 212 cuma ada 20 orang pengguna Facebook sahaja! Tapi diorang penduduk tak ramai macam kita. Wikipedia kata, setakat tahun 2009, Vatican City cuma ada 826 orang rakyat sahaja. Ini info tarak tipu punya. Kalau tak caya sila check di http://www.socialbakers.com/.


Berbalik kepada cerita YEG-IV EOCM 2012, kali ini diadakan jauh nun di utara sana, di Pulau Pinang pulau mutiara. Memandangkan program bermula pada hari Sabtu pagi, maka kami yang tinggal berjauhan ini haruslah merancang masa perjalanan dengan saksama supaya dapat tiba tepat pada waktunya. Sesudah semuanya sebulat suara, dalam forum diwar-warkan berita, warga kelab seluruh negara, mengikut jajahan berkonvoi bersama.

Ikut statistik, dalam wilayah Lembah Klang ini lah paling ramai peserta. Masing-masing bergerak mengikut kumpulan berbeza. Ikut jajahan masing-masing. Saya mengikut konvoi malam ke utara bersama-sama dengan jajahan saya sendiri iaitu Krabat yang terdiri daripada geng yang bermastautin di daerah Klang, Shah Alam, Puchong, Subang serta kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya. Rancangan pada malam itu adalah untuk bergabung dan berkonvoi bersama dengan ahli kelab dari jajahan VIP yang merangkumi kawasan Putrajaya, Sepang, Seri Kembangan, Bukit Mahkita, Bandar Seri Putra, Serdang dan Puncak Jalil (hoh... besar jugak kawasan liputan VIP rupanya).

Janji dimetrai antara Krabat dan VIP untuk bergabung bersama di RNR Mofaz Lebuhraya Elite pada jam 11.00 malam. Saya sampai beberapa minit sebelum waktunya dan yang kelihatan hanyalah sebiji pesawat milik ZTP sahaja. Lorrr... aku ingat aku yang lambat rupanya diorang lagi lambat? Tunggu punya tunggu sebiji demi sebiji pesawat sampai. Last sekali geng VIP sampai dah dekat pukul 12.30 tengah malam gitu.


12.30 malam kami cargas meninggalkan RNR Mofaz, meredah kepekatan malam. Perasaan penat, mengantuk, letih dan bosan menunggu hilang dek kerana keterujaan untuk berkonvoi, walau pun pada hakikatnya saya tidak ada masa untuk mendapatkan rehat yang sempurna hatta nak lelap seminit dua siang tadi pun tak sempat. Maka benarlah kata orang-orang bijaksana bijaksini, konvoi beramai-ramai itu lebih afdhal dari konvoi seorang diri.

Saya tidak sempat nak kira ada berapa banyak pesawat yang tiba dari Putrajaya tadi. Apabila kami bergabung, saya tak sempat nak kira jugak. Jadi saya tidak pasti jumlah kami ada berapa semuanya. Lepas tu bergabung lagi dengan pesawat-pesawat yang menunggu di beberapa lokasi sepanjang lebuh raya, saya terus jadi lost count.

Sepanjang perjalanan tersebut, kami singgah di beberapa perhentian untuk bergabung dengan pesawat dari jajahan lain yang sedia menunggu kami dengan penuh kesopanan dan kesusilaan. Antara tempat-tempat yang dilewati adalah RNR Behrang - bergabung dengan geng Rawang, RNR Tapah - bergabung dengan geng Pantai Timur dan yang akhir sekali RNR Gunung Semanggol - berehat, solat dan tidur sat. Tapi apakan daya, nak tidur tiada selera pula rasanya. Kat Gunung Semanggol ni dah tak terkira banyaknya pesawat yang berjaya digabungkan. Dua jam jugaklah lepak sini sebelum meneruskan perjalanan ke check point terakhir yang merupakan tempat gabungan terakhir semua pesawat dari seluruh negara iaitu Autocity Juru.

Mengikut laporan akhbar yang kami terima, sebanyak 240 buah pesawat telah berhimpun di Autocity Juru, yang mana apabila dicampur dengan jumlah ahli keluarganya sekali, pastilah berganda-ganda lagi ramainya manusia.


Exo ni kan family car. Maka majoriti pemiliknya tentunya berkeluarga serta beranak pinak. Sebilangan kecil sahaja yang masih masih bujang trang tang tang. Musykil jugak apsal orang bujang pon mau angkat pesawat ini? Mungkinkah family dia memang ramai kat rumah? Mungkinkah dia merancang untuk kahwin dan beranak pinak maka beli exo awal2 adalah lebih mulia daripada beli kereta sedan lepas tu nak kena jual balik sebab nak angkat MPV? Atau mungkinkah mereka menjalankan kegiatan teksi sapu angkut orang ramai2 naik exo mereka? Hanya mereka yang tahu sebabnya. Wang mereka, ikut suka dioranglah nak beli kete ape!

Beberapa jam di Autocity Juru, urusan pendaftaran berjalan lancar dengan setiap peserta diberikan goodie bag yang ada beberapa benda berfaedah di dalamnya. Selain itu, sambil menunggu masa untuk flag-off, kami dihidangkan dengan pemandangan pesawat exo yang dimodified kaw-kaw punya ibarat auto show pulak dah. Dengan cuaca terik panas menggila, adusss tak tahan! Bila diorang nak gerak ni.






Tunggu punya tunggu, sampailah ke pukul 12.00 tengah hari barulah konvoi bergerak ke destinasi, lokasi percutian yang bakal mengumpulkan seluruh warga kelab EOCM bersama ahli keluarga mereka, bertempat di Tanjung Bungah, tuuuu dia RAINBOW PARADISE BEACH RESORT.

Sebelum berkonvoi kena dengar taklimat dahulu dari penganjur. Peraturan dan keselamatan haruslah diutamakan, kalau nak seronok kemalangan haruslah dielakkan.


Untuk berkonvoi dengan ratusan pesawat dalam sebuah bandaraya yang sesak bukanlah suatu perkara yang mudah. Kami tidak dapat bergerak serentak dalam satu kumpulan yang besar disebabkan oleh beberapa halangan seperti percampuran dengan kenderaan lain, lampu isyarat, kesesakkan dan kesesakkan.Saya ulang dua kali sebab walau pun hari tu hari Sabtu, kesesakkan di bandaraya Pulau Pinang amat luar biasa sekali.

Walau pun kami dibantu oleh marshal yang mengaku sebagai anggota polis, namun entah kenapa pada hari itu mereka hadir bukan sebagai anggota polis, tapi sebagai ahli kelab motorsikal SYM.

Mereka tidak mengenakan pakaian seragam polis trafik yang lengkap berpistol dan kenderaan polis yang bersiren. Kalau nampak pistol dan siren, orang mungkin lebih hormat dan memberi laluan pada konvoi. Tapi sebab takde kan, kenderaan lain buat donno jer. Sudahnya, konvoi terpisah kepada beberapa kumpulan kecil. Habis berterabur. Yang tak biasa dengan Penang, sesat entah kemana. Maka di sini komunikasi amatlah penting. Mujur jugak kebanyakkan peserta ada walkie talkie dan nombor telefon untuk dihubungi. Saya pun hampir tersesat, salah masuk jalan lain. Nasib baik nampak balik group depan dari jauh. Cepat-cepat kejar sebelum masuk jambatan. Agak thrill disitu.

Beberapa ketika berkonvoi dalam kesesakkan, dengan mata yang merah dan berat semacam, daripada bangkit tidur jam 6.30 pagi semalam, sampai sekarang tak tidur dah lebih 30 jam, dalam kepala dah terbayang bantal dan tilam, akhirnya kami selamat sampai hotel percutian. Dalam keadaan tak cergas ni pun rupanya saya berapa dalam kumpulan paling depan, kat belakang ramai lagi yang ketinggalan.

Lepas parking pesawat dengan sopan, kami bergegas ke hotel penginapan, mengantuknya mata dah tak boleh tahan, nak masuk bilik nak lelap beberapa jam.

Dah sampai lobi tak boleh check in lagi, tengok jam laaa... baru pukul 1.00 tengah hari, waktu check-in kena tunggu sejam setengah lagi, tak dapat nak tidur kena tunda lagi. Perut pulak dah mula berbunyi, abang dan adik pun dah mintak nasi, badan dah penat mana nak pergi, makan kat hotel je lah, nak keluar terasa kudrat sikit sekali.

Usai santap hidangan tengah hari, orang dah beratur nak ambik kunci, alamak ramainyer orang dekat lobi, kaunter dua sahaja untuk bagi kunci.

Kerana semangat Exorian menebal tinggi, kesabaran haruslah dipraktikkan disini. Orang lain pun penat jugak, jangan kata tidur, mandi pun tak.

Dah dapat kunci cargas ke bilik tingkat 20 you... tinggi memang tinggi... abang suke... pemandangannya menarik sekali. Pepehal kita nak tidur dulu, petang nanti kita bangun.


Patutnya pukul 6.00 tu ada pertandingan auto saloon car. Sedap sangat tidur, saya tak jenguk langsung. Walau pun tak ambik bahagian maklumlah kereta stended macam baru keluar kilang, tapi nak jugak tengok2 orang make up kete sambil beramas mesra dengan pemilik pesawat. Bunyi jam sedar2 dah 6.30 petang... alahai dapat tidur sejam setengah jer... terpaksa jugak bangun walau pun mata masih pedih bangat. Nanti terlepas pulak dinner time, apa pun tak dapat.

Jom bersiap untuk dinner.



Makan malam hidangan buffet, ke tingkat bawah sama dituruni, lepas makan ada persembahan, ada ucapan dan nyanyi-nyanyi. Saya sempatlah juga menyumbangkan suara, siap pakai live band nak lebih feel lah kononnya, tanpa latihan mahu pun rehearsal, untuk hiburan seisi keluarga, suara memang lah tak sedap mana, kalau sedap dah lama jadi artis antarabangsa.

Dalam tak sedap tu pon boleh jugak dapat hadiah, mungkin itu dinamakan tuah, hamper je pun selain voucher cabutan bertuah.


Dah dapat hadiah saya tinggalkan majlis, nak sambung tidur lagi. ZZZZZZZZZZZZZ

Terima kasih daun keladi, tahun depan In Shaa Allah kita jumpa lagi.

IKLAN: Kami menyediakan perkhidmatan fotografi, dengan pengkhususan kepada majlis perkahwinan, keraian, hari jadi, aqiqah dan majlis-majlis rasmi, sesuai dengan kemampuan dan keperluan anda. Harga boleh bincang maaaa.... Sila hubungi kami di sini

3 comments:

cikgu zul said...

terbaik jugok boh...catatan yg menarik...tp ...bakpe wajahku yg hensem dan exoraku yg macho xdok?...ini tidak adil....kohkohkoh

Saudagar Mistik said...

Best citer..terbaik bro..layanz

boss said...

Tahniah..menarik susunan ayat2..