G7 EPISODE 6: GUNUNG ULU SEPAT

Gunung Ulu Sepat (dikenali mesra sebagai GUS) terletak di Banjaran Titiwangsa dan bersempadan antara Perak dan Kelantan. Dengan ketinggian lebih kurang 2,161 meter (7,090 kaki) dari paras laut, ia merupakan gunung ke-7 tertinggi di Semenanjung Malaysia, dan salah satu daripada “G7” yang menjadi wishlist wajib para pendaki tegar tanah air.

Ini adalah gunung ke-enam kami dalam misi menawan G7.

It was me and my hiking buddy yang kemaruk untuk menamatkan misi gila ini. Misi G7 ni bukan calang-calang. Bukan macam misi jadi pelancong duduk hotel berbintang-bintang atau misi cari tempat makan viral. Ini misi yang melibatkan peluh, keringat, dan kadang-kadang darah (akibat terluka dan serangan pacat). Setiap langkah mendaki adalah lambang keteguhan jiwa, setiap titisan peluh adalah bukti tekad yang tidak goyah.

Langkah demi langkah, kami berazam untuk menawan puncak GUS dengan matlamat demi menyempurnakan misi G7 bukan sekadar melatih fizikal, tetapi juga mental dan spiritual untuk menjadi lebih baik dari semalam. 

G7 bukan sekadar gunung, ia simbol perjuangan. Dan kami, para pendaki, adalah pejuang yang tidak akan tunduk pada cabaran.

Bila tengok orang lain dah grad G7, kami pun rasa tercabar. Dalam hati, “Kalau dia boleh, kita pun boleh.” Tapi dalam hati juga ada suara kecil, “Kau yakin ni? Kau ingat lutut kau umur 20 lagi?” Slowly but surely we conquer, walau pun setahun hanya sekali, sebelum umur mencecah 5 series, insha-Allah completed!

Kami sudah menawan 5 gunung sebelum ni (tidak termasuk gunung-gunung lain yang bukan kategori G7). Bermula dari Gunung Tahan yang super hardcore serta memberi inspirasi untuk menawan ke puncak G7 seterusnya, hinggalah ke Korbu - Gayong (KORGA) yang jahat nak mampus. Dan sekarang, GUS jadi gunung ke-enam.  Kalau takde aral menghalang, Insha-Allah tahun depan boleh grad di Puncak Chamah. Tapi sebelum sampai ke tahap tu, GUS perlu ditawan dulu. Dan GUS bukan calang-calang gunung.

Istimewanya GUS bukan sebab indahnya pemandangan di puncak (memang tak nampak), tapi sebab pengembaraan ke sana melibatkan kombinasi boat ride, 4x4 ride dan hiking dalam hutan asli yang masih tebal. Lebih istimewa sebab pendakian kali ini tidak perlu bawa dan pacak khemah. Kami menginap selesa dalam 'banglo' orang asli.

THE PLOT-TWISTER RIDERS 2025

Kita merancang, Tuhan menentukan.

Terlalu banyak plot twist yang berlaku. Semuanya gara-gara Taufan Bualoi yang menyambut kehadiran kami ngam-ngam datang masa hari ketibaan, dan berlalu pergi ngam-ngam pada hari kepulangan. Menurut laporan rasmi kerajaan Vietnam, sekurang-kurangnya 51 orang terbunuh dan lebih 14 lagi dilaporkan hilang apabila Bualoi yang membawa angin kencang berkelajuan mencecah 130 kilometer sejam membadai pesisir tengah negara itu. Pihak berkuasa Vietnam mengesahkan lebih 230,000 rumah rosak, manakala 80,000 hektar tanaman pertanian musnah. Nilai keseluruhan kerugian dianggarkan melebihi USD 600 juta (kira-kira 2.5 billion ringgit).

Sistem infrastruktur turut lumpuh di banyak kawasan. Jalan raya utama rosak teruk, jambatan runtuh, dan bekalan elektrik terputus selama beberapa hari di Da Nang, Hue dan kawasan sekitarnya. Beberapa lapangan terbang domestik dan pelabuhan turut ditutup, menyebabkan perjalanan darat, udara dan laut tergendala.

Ketika ribut mula mengganas, pihak berkuasa terpaksa menutup sepenuhnya aktiviti perikanan dan mengarahkan semua bot nelayan kembali ke pelabuhan. Ombak setinggi empat meter dilaporkan di beberapa kawasan pesisir, manakala tanah runtuh berlaku di lereng-lereng bukit sekitar wilayah Quang Tri dan Thua Thien Hue.

Sekian laporan dari bumi Vietnam.

*sumber: Media Vietnam


🛵 Fly & Ride Vietnam 2025: Enam Jahanam, Satu Taufan dan Misi yang Tak Jadi

✈️ Da Nang --> Hai Van Pass --> Hue --> Da Nang

27-28-29 September 2025 | 6 sahabat | 1 taufan | 1001 plot twist


🌧️Kami Datang Lagi, Vietnam!

Pada tahun 2019 dan 2020 kami dah dua kali menawan bumi Vietnam, maka penghujung September 2025 ini menjadi part three dalam siri pengembaraan tahunan kami. Aktiviti wajib 6 Jahanam (kadang-kadang ber-7) bergelar “Fly & Ride”. Konsepnya, fly (naik pesawat) dari tanah air menuju destinasi, dan ride (naik motorsikal) bila sampai destinasi. Actually it's not about the destination, it's the journey.

Kami bukan pelancong. Kami adalah pengembara yang lebih percaya kepada perancangan dan kewibawaan kami sendiri berbanding dengan travel agentJadi budget traveller, dan menjelajah ikut suka hati, bebas bagaikan burung-burung berterbangan, tidak terikat dengan masa atau jadual perjalanan yang diaturkan pihak ketiga.

Dan tahun ni, Da Nang menjadi base kami, manakala Hue menjadi destinasi tujuan, sementara Hai Van Pass menjadi klimaks pengembaraan kali ini.


That's the plan.


🏙️ Da Nang: Wilayah Tengah Vietnam Yang Tak Pernah Sunyi

Berhadapan dengan Laut China Selatan, kota Da Nang tidaklah terlalu sibuk macam Hanoi atau HCM City. Bandar pesisir laut dengan pantainya yang panjang lebih kurang macam Gold Coast versi mampu milik. 

Antara tarikan utama Da Nang adalah pantainya yang panjang (My Khe Beach), jambatan naga emas gergasi sembur api, kafe hipster, dan komuniti Islam Champa yang kecil tapi kuat.


Malamnya pula, lampu-lampu neon berkilauan ibarat mini Las Vegas. Pendek kata, bandar yang tak pernah tidur, tapi masih tenang.


🗺️ Misi Asal: Ride Sampai Hue, Merentasi Laluan Lagenda Hai Van Pass

Plan dari Malaysia semuanya nampak smooth.

Enam buah skuter sudah di-booking, cuma belum bayar sahaja. Laluan ke Hue siap dengan pit stop untuk bergambar di Hai Van Pass, laluan gunung berliku yang terkenal di seluruh dunia lepas muncul dalam Top Gear Vietnam Special.

Menjadi objektif kami untuk berada di Hai Van Pass bagi menyaksikan pemandangan luar biasa: gunung di satu sisi, dan laut di sisi lain. Bandar Hue, yang sepatutnya menjadi destinasi akhir kami, bukan sebarang bandar. Di sini lahirnya bekas ibu kota empayar Nguyen, penuh dengan istana lama dan sejarah yang masih hidup.

Semuanya nampak sempurna.

Sehinggalah plot twist melanda sebaik sahaja pesawat AK642 mendarat di bumi Vietnam.


🌪️ Taufan Bualoi: Misi ‘Fly & Ride’ Bertukar Jadi ‘Fly & Pray’

Belum sempat kami menjejak kaki ke bumi Vietnam, drama pertama sudah bermula di KLIA2. Tengah berjalan gaya confident ke pintu pelepasan, tiba-tiba kedengaran bunyi pelik… “flop… flop… flop…” , macam bunyi sandal RM10 yang dah pencen.

Rupa-rupanya, tapak kasut salah seorang geng kami tercabut. Baru nak mula trip “fly & ride”, kasut dia pula yang decide to retire early. Nasib baik tak tercabut masa dalam kapal terbang. Kalau tidak, mesti kabin kru ingat ada penumpang bawa barang seludup bawah seat.

Kami mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Da Nang, disambut oleh Taufan Bualoi, ribut tropika yang sedang menggila di Vietnam.

Hujan lebat turun mencurah membasahi bumi, pepohon nan hijau menari-nari mengikut rentak angin semuanya menggamit kehadiran kami bagaikan berkata "lu cari pasal datang sini"

Angin yang kononnya “sepoi-sepoi bahasa” tiba-tiba naik pangkat jadi sepoi-sepoi ganas, pokok kelapa pun tunduk hormat, payung pantai terbang macam nak migrate ke Laos. Laut yang selalunya tenang biru lembut, terus berubah mood tengah marah, bergelora, berombak seolah-olah tak nak bagi peluang untuk kami ride.

Sejak dari airport lagi, masing-masing terus buka apps cuaca. Yang tak pernah ada apps cuaca, dan-dan time tu jugak download untuk menjadi pakar kaji cuaca segera. Masing-masing cuba membuat hipotesis demi menyedapkan hati.

“Bro, tengok radar Zoom Earth ni. Hujan sampai tiga hari bro!”

Yang sorang lagi jawab, “Kalau redah motor sekarang, mungkin nama kita keluar berita malam ni."

Perjalanan harus diteruskan. Grab Car dipesan. Bertempiaran kami berlari menuju kenderaan. Belum ride lagi, kasut, stoking, seluar baju semua sudah lencun dibaham hujan. 



🍜 Selamat Datang ke Restoran Karim — Kompleks Islam Mini Da Nang


Dalam kelaparan dan perasaan bercampur-baur, kami naik Grab ke Restoran Karim, salah sebuah restoran halal di tengah kota Da Nang. Restoran ini diusahakan oleh komuniti Melayu Champa, minoriti Islam yang sudah lama bertapak di sini.

Kalau kat Malaysia kira macam “Pusat Islam versi mini”, sebab tingkat atas restoran tu boleh solat Jumaat memandangkan tiada masjid atau surau di sini. Jadi di restoran inilah komuniti Islam setempat berkumpul dan bersosial.

Sampai-sampai, staf restoran siap datang berpayung sambut kami macam VIP. 

Kitab menu diberi. Kami terus order santapan. Hujan-hujan sebegini. Perut sentiasa minta diisi. Ada menu tempatan, ada menu ala Malaysia. Dah sampai tempat orang, mestilah nak rasa apa yang istimewa. Paling rare, lada hitam versi Vietnam. Walau pun namanya lada hitam, tapi warnanya hijau segar macam baru petik dari pokok. Tak payah jemur sampai hitam, terus masak dan hidang. Sekali pandang macam latok Sabahan.

Selain makanan, semestinya minuman yang menjadi pilihan utama apabila berada di Vietnam ialah kopi Vietnam, Tapi kopi di Karim agak mengecewakan. Kopinya terasa seperti kopi segera 3 in 1. Naya Pak Karim!

Harga? Premium sikitlah. Fahamlah kesukaran dan limitasi untuk mendapatkan produk halal di sini. Tapi kalau dah halal, kita bayar dengan redha.


Sidang Tergempar di Tengah Ribut

Hujan masih belum berhenti. Kami “kena sidai” di Restoran Karim hampir dua jam.

Plan asal naik motor ke Hue nampak mustahil. Tapi nak tinggal kat Da Nang sampai balik pun tak masuk akal. Hotel di Hue dah bayar online sejak di Malaysia lagi.

Macam-macam idea keluar:
Naik bas?
Sewa kereta?
Tunggu ribut reda?

Akhirnya kami ambil keputusan paling praktikal. Switch dari dua roda ke empat roda. Tapi masalahnya, mana nak cari MPV yang boleh muat enam orang on the spot? Google menjadi senjata utama pencarian. Warga tempatan yang berada di sekitar restoran juga menjadi kaunter pertanyaan. Tauke restoran juga masuk campur nak bantu cari kenderaan.

Usaha tangga kejayaan. Cari punya cari... maka dari rider macho, kami bertukar jadi rombongan abah-abah pencen bercuti di Cameron Highland. Tapi tak apa. Janji sampai Hue.


🚗 Enam Jahanam Dalam MPV

Pemandu kami bernama Kanh (sebut macam “Khan”). Bukan Hindustan, tapi pure Vietnam.

Beliau tidak banyak bercakap, tapi sporting. Mungkin masalah bahasa membataskan perhubungan kami. English dia pun ala kadar sahaja. Kami pulak? Habis satu MPV bergegar. Agaknya dalam fikiran si Kanh dia anggap kecoh betul orang Malaysia ni.

Bila enam lelaki berlagak bujang berada dalam satu kenderaan, topik perbualan boleh melompat dari isu kritikal geopolitik antarabangsa sampailah ke isu bawah lengan.

Pemandangan di luar kabur, hujan tak berhenti. Walaupun berkereta, perjalanan melalui Hai Van Pass yang berliku dan terdedah kepada ribut sangat berisiko tinggi. Maka sebagai alternatif, lebuhraya bertol digunakan untuk sampai ke Hue. Di kesempatan itu, kami melalui Terowong Hai Van yang sepanjang 5 kilometer. Kalau terowong Karak dah rasa panjang, yang ni boleh buat fun run.

Sepanjang perjalanan, kelihatan penduduk tempatan meredah hujan dengan bermotorsikal, kebanyakkannya menggunakan helmet separuh telur, majoriti tanpa visor, dengan baju hujan bersarung jenis poncho. Kau bayangkan naik motor tadah muka hadap hujan. Tebal betul kulit muka mereka.

Kami? Syukurlah naik kereta. Mungkin ini keputusan paling tepat dan bijak tahun ini. Andainya kami bermotorsikal, kemungkinan besar tak sampai, dengan banjir kilat di beberapa tempat, air bertakung setinggi separuh tayar. 


🏨 Hue Dalam Hujan & Doa

Kami tiba di Hue menjelang waktu petang. Hujan masih mencurah tanpa belas kasihan. 

Check-in Moonlight Hotel di tengah bandar Hue, kongsi bilik tiga orang. Hotel selesa, taraf 4 bintang, tapi rasa macam 3 bintang sahaja. Entahlah, mungkin standard Malaysia dan Vietnam tidak sama. Itu tidak penting. Sebagai budget traveller, ini lebih dari mencukupi.

Malam itu, berbekalkan payung hotel, kami keluar jalan-jalan cari makan. Sememangnya dari Malaysia lagi kami sedar Hue tiada kedai makan Muslim. Paling hampir adalah restoran India. Bukan mamak, tapi Hindu. Nama kedai pun diinspirasi dari dewa dewi.


Dalam keterpaksaan, kami sebolehnya order makanan berasaskan vegetarian. Sekadar untuk mengalas perut. Tapi nasi beriani dia sedap weh. Selambak dia kasi. Habis licin. Nasi takpe kot. No pork, no lard.


🌉 Malam Tenang di Perfume River

Usai menikmati makan malam, kami bersiar-siar sekitar bandar Hue, menyelusuri tepian sungai yang dikenali dengan nama Perfume River. Style betul nama tu. 

Nama “Perfume” (atau “Fragrant/Scented/River of Aroma”) datang dari fenomena alam. Diceritakan bahawa pada musim bunga, bunga-bunga dan daun dari ladang atau hutan di hulu sungai akan jatuh ke dalam air. Sewaktu aliran sungai membawa bahan organik ini, harumannya ikut tersebar di air dan udara di sekeliling sungai itu. Aroma yang menyenangkan itu memberi nama kepada sungai itu. Tapi kami tak bau apa-apa pun. Sama ada zaman berbau itu sudah berlalu atau konflik dengan ribut taufan.

Sungai itu lebar, sangat lebar macam Sungai Pahang, tapi paras air dah sama tinggi dengan tebing.
Lampu jambatan berwarna-warni berpantul di air. Walau kebasahan, terasa ketenangan dan kedamaian menikmati suasana malam yang dingin di Hue.

Balik hotel, sambung hobi baru. Scroll aplikasi cuaca, sambil berdoa supaya Taufan Bualoi segera pergi.


🏯 Pagi Bersejarah & Pasar Ole-Ole

Pagi di Moonlight Hotel, Hue disambut dengan hujan renyai kadangkala lebat jatuh di luar tingkap. Udara sejuk, dan aroma kopi panas dari restoran hotel seolah-olah memanggil setiap penginap turun ke ruang sarapan.

Di ruang makan, suasananya meriah tapi tenang. Meja-meja dipenuhi pelancong asing, kebanyakannya dari Eropah Timur, berdasarkan loghat dan bahasa yang kedengaran macam campuran antara Rusia dan Poland gitu. Mereka berbual rancak sambil menyuap roti bakar dan sosej, sesekali ketawa besar seperti baru menang loteri.

Buffet pagi itu kelihatan mewah. Meja panjang dengan deretan hidangan yang menggoda: nasi goreng, baked beans, mashed potato, ayam goreng, salad segar, buah-buahan tropika dan pelbagai lagi menu seakan-akan hotel di Malaysia walaupun tiada nasi lemak dan roti canai… dan di hujung sana, sekeping kad kecil bertulis “Pork & Bacon”. Kami berpandangan sekejap, tanda berjaga-jaga. Dalam dunia buffet antarabangsa, iman dan perut kena bekerjasama.

Akhirnya kami pilih menu selamat: telur, roti, salad sayuran, dan buah-buahan. Tak fancy, tapi cukup untuk isi tenaga. 

Seperti dijanjikan, Kanh dah terpacak depan hotel tepat jam 8.00 pagi, macam bodyguard menunggu VVIP. Kami perlu check-out awal sebab dengar kata ribut hari ini nak “peak performance”. Dalam kepala masing-masing dah mula fikir bukan-bukan; banjir, jalan tutup, tanah runtuh... semua ada. Risau juga kalau terpaksa buka 'cawangan baru' di Hue sebab tak sempat sampai Da Nang, apatah lagi nak balik Malaysia.

Sebelum keluar dari Hue, kami singgah di Hue Historic Citadel, kota purba peninggalan Dinasti Nguyen. Dinding batu tebal, seni bina klasik, dan aura bersejarah yang masih kuat. Hujan atau tidak, kami tetap bergambar bukti kehadiran.

Kalau datang ke Hue tapi tak singgah ke Hue Historic Citadel, memang rugi besar. Bekas pusat pemerintahan Dinasti Nguyen, iaitu pemerintahan terakhir institusi diraja Vietnam (1802–1945). Kawasan ini luas gila, dikelilingi parit besar dan tembok batu tebal yang buat rasa macam masuk zaman purba. 

Di dalamnya ada pelbagai bangunan yang terdiri daripada kompleks istana, taman, kuil dan balai diraja, termasuk Imperial City dan Forbidden Purple City yang dulu hanya khas untuk maharaja dan keluarga diraja. Walaupun banyak bangunan musnah ketika perang Vietnam, kerja pemulihan masih berjalan sampai sekarang. Jadi kita masih boleh rasa aura klasik dan kebesaran institusi diraja Vietnam zaman dahulu kala.

Kami lepak tak lama. Basah... tak syok nak bersiar-siar. Lagi pun kami mengejar masa untuk mengelak segala kemungkinan di tengah perjalanan. Kalau tak hujan, memang cantik untuk bergambar OOTD.

Tidak jauh dari situ, kami singgah ke sebuah kedai barangan cenderamata. Objektif kami, membeli ole-ole untuk dibawa pulang sebagai tanda membeli jiwa insan-insan tersayang yang ditinggalkan. Macam-macam ada, dari benda yang boleh dimakan hinggalah ke benda yang pakai buang. Ini semua idea Kanh. Kata Kanh, “Cheap here, not like Da Nang.” Kami pun percaya terus. Tapi betul memang murah, harga serendah VND20,000 (RM3.00) dah boleh dapat barang baik punya. 


🌧️ Bualoi Masih Mengamuk, Tapi Kami Balik Juga

Perjalanan pulang ke Da Nang ditemani hujan lebih lebat seolah-olah menangisi pemergian kami. Meninjau ke luar jendela kenderaan, dengan harapan dapat menyaksikan puting beliung twister depan mata. 

Dalam MPV, suasana tidak jauh berbeza dengan perjalanan datang. Penuh lawak, cerita tak masuk akal, dan perbualan eksklusif lelaki berlagak bujang. Sekadar untuk mengubat hati yang lara kerana semua perancangan tidak menjadi.

Kanh, seperti biasa, tenang di tempat pemandu. Fokus dia tak goyah walau jalan makin licin. Kadang-kadang kami perasan dia senyum kecil bila dengar gelak kami di belakang. Mungkin dia dah lali dengan perangai geng Malaysia kepala sewel ini.

Sepanjang perjalanan, hujan membataskan pemandangan. Tapi Kanh kekal steady. Sesekali dia buka wiper paling laju, tapi hujan masih degil menari diatas cermin depan seolah mengikut alunan muzik techno berbahasa Vietnam yang berkumandang perlahan.

Dua jam kemudian, kami mula nampak papan tanda “Da Nang”. Alhamdulillah... Lega dan syukur kerana tiada kejadian yang tidak diingini sepanjang perjalanan. 

Sampai Da Nang, aktiviti pertama; shopping di Han Market.

Tempat ni syurga bargain hunter: baju branded Made in Vietnam, kain, beg... semua murah.

Ori atau copy-ori? Entahlah... Sukar untuk mencari perbezaan kerana yang original pun memang ada yang Made in Vietnam memandangkan banyak kilang pengeluar jenama antarabangsa memberi lesen dan hak untuk beroperasi di Vietnam. Sebab tu ramai pelancong rambang mata. Kualiti nampak sama, jahitan kemas, tag pun ada hologram. Bezanya cuma harga: kalau di butik boleh cecah RM400, kat sini boleh dapat bawah RM100. Nak kata ori pun tak berani, nak kata fake pun rasa berdosa sebab material dia bukan main premium.

Di tengah kesibukkan jalan raya, kami turun seorang demi seorang, masing-masing berlari kecil mengelak hujan, menumpang teduh di bawah bumbung pasar yang penuh bau campuran kain baru, rempah, kopi, dan udang kering.

Han Market ni macam campuran Pasar Payang dengan Petaling Street versi Vietnam. Dua tingkat, kiri kanan penuh dengan kedai menjual pakaian, beg, topi, semuanya berjenama terkenal, hinggalah ke patung Labubu yang kini trending di Malaysia. Masing-masing terus aktif menjelajah lorong ke lorong macam orang kaya pergi pasar malam. Ada yang sibuk tawar-menawar dalam bahasa Inggeris rojak, ada yang guna kaedah universal... senyum dan tunjuk translator di handphone. Bila tak puas, kami membebel dalam bahasa Ibunda, padan muka diorang tak faham. Tapi awas... cakap jangan sebarang cakap. Ada juga yang sedikit sebanyak faham dan mampu bertutur dalam bahasa Melayu sebab pernah tinggal dan bekerja di Malaysia.

Bayangkan baju North Face, Columbia, Nike, Patagonia dan lain-lain. Tersusun elok, kain lembut, jahitan kemas, tag pun siap dengan logo hologram (yang entah betul entah tidak). Masing-masing mula pegang satu-satu, belek depan belakang sambil berpura-pura macam tahu beza “original” dengan “gred AAA”.

-

Itulah istimewanya Han Market. Tak perlu jadi kaya untuk nampak gaya antarabangsa.

🍛 Restoran Kampung Melayu & Kedai Tebalo

Selesai mengalirkan mata wang negara ke Han Market, kami menuju ke Restoran Kampung Melayu, sebuah lagi kedai makan yang diyakini halal, juga diusahakan oleh komuniti Melayu - Champa. Mengikut firasat kami, keseluruhannya ada tiga restoran halal di Da Nang. Ini yang kedua. Nanti dinner kita pergi restoran ketiga. Suasana cozy, makanan sedap, dan ada aura “balik kampung” di negara orang.

Restoran ni memang padu dari segi rasa. Nasi goreng kampung dia punya aroma boleh buat kau teringat kedai tomyam kat Malaysia 

Harga dia? Standard restoran halal di Vietnam lah. Boleh kata premium sikit lah, tapi halal punya pasal, redha sajalah. Contohnya, nasi goreng kampung sekitar 120,000 VND (lebih kurang RM22), teh ais pula RM10. Tapi bila kau fikir balik, bukan senang nak jumpa nasi goreng yang bukan sekadar no pork, no lard, kan? Lagi pun portion dia agak besar. Bukan disini sahaja, malah boleh dikatakan portion makanan di semua restoran halal di Vietnam ni boleh makan dua orang. Makan ramai-ramai, masih berbaloi dengan harga yang ditawarkan. Nak kata orang Vietnam makan banyak, susah nak jumpa orang lokal yang obes di sini. Mungkin rasa bersalah sebab letak harga premium, maka dilebihkan portion supaya pelanggan puas hati.

Yang penting, tempat ini bersih, pekerja faham maksud “halal” yang sebenar, dan suasana pun macam balik makan kat kafe Melayu moden. Halalan Toyyiban.

Kami keluar dengan perut kenyang. Terus insaf malam nanti nak makan yang ringan-ringan sahaja. Di luar, pemandu setia kami yang sudah siap sedia menanti untuk membawa kami ke destinasi seterusnya. Kami ajak dia makan sekali, dia tak nak. Dah kenyang katanya. 

Maka kami request bawa kami ke kedai barangan outdoor. Tujuannya ada seorang ni nak beli backpack untuk dibawa hiking dan camping. Kata orang, kat Vietnam ni barang-barang outdoor murah. Dah alang-alang berada di sini, why not?

Tanpa banyak soal, dia bawa kami ke sebuah kedai bernama Tabalo; Kedai outdoor yang tidak jauh dari Restoran Kampung Melayu. Jaraknya hanya dalam 5 kilometer.

Sebuah kedai yang kecil sahaja, tapi padat dengan pelbagai barangan yang boleh buat kau hidup selesa dalam hutan. Rak demi rak penuh dengan beg backpack besar, kasut trekking, jaket, dan segala macam gajet adventure berjenama terkenal.


Seperti diduga, harga barang kat Tabalo ni serius murah berbanding dengan harga yang ditawarkan di Malaysia. Kualiti nampak mantap. Tak dapat dipastikan ori atau copy-ori, tapi kalau dah jual kat butik macam ni, lebih kepada ori lah agaknya. Kalau tanya staf, confirm dia kata ori. Kalau dia kelentong pun kau apa tahu. Maklumlah, jarang-jarang sekali membeli barang outdoor.


Kebetulan pulak ada sales. Harga diskaun... Lepas tu, kalau berbelanja dengan jumlah tertentu, dapat free gift lagi. Daripada seorang je yang serius nak beli, terus berjangkit kat orang lain. Yang mana tadi asalnya cuma nak teman, tiba-tiba dah pegang dua helai baju. Seorang lagi sibuk test sandal. Katanya “eh selesa betul, murah pulak tu! Ada yang rasa 'ish tak boleh jadi ni tak beli apa-apa', beli juga lah walaupun hanya sekadar stoking.

Tabalo ni memang bahaya, bukan sekadar kualiti barangan, tapi sebab terlalu berbaloi. Barang nampak premium, tapi harga dia lebih rendah daripada jangkaan. 

Ya udah. Lagi lama di sini, papa kedana dibuatnya. Jom check-in hotel....


🏖️ Richiho Hotel & Pantai My Khe

Kami keluar dari Tabalo dengan tangan penuh plastik dan hati penuh penyesalan bercampur puas hati.  Kami terus arahkan Kanh ke destinasi seterusnya... Richiho Hotel. Di sini juga Kanh melepaskan jawatannya sebagai private supir setelah dua hari berkhidmat dengan cemerlang. Perkhidmatannya dibayar berserta sedikit tips tambahan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kerana sudi melayan karenah kami.

Pintu kaca automatik terbuka, hawa dingin menyapa, receptionist pula senyum mesra dengan bahasa Inggeris yang lembut, siap bagi welcome drink lemon sejuk. Dalam hati, “Ok… nampak gaya malam ni tidur lena.”

Kami check-in satu unit apartment 3 bilik, luas dan moden, tanpa ruang tamu. TV pun hanya satu, dalam bilik paling besar consider as master bedroom. Tapi siapa je check-in sebab nak tengok tv. Walau pun banyak channel, hampir keseluruhannya dalam bahasa Vietnam tanpa sari kata waima dalam bahasa Inggeris sekali pun. Ada lah beberapa channel yang meyajikan filem Hollywood  berbahasa Inggeris. Tapi rugilah datang tempat orang dan tercongok depan TV sahaja kan?

Lokasinya hotel ini agak strategik. Terletak tidak jauh dari Pantai My Khe, yang merupakan antara pusat peranginan utama di Da Nang. Jalan kaki dalam 5 minit dah boleh pijak pasir putih. Kawasan sekitar pun meriah. Ada kedai serbaneka 24 jam, ada beberapa kafe hipster, restoran halal pun tak jauh, dan kalau nak bersiar-siar menggunakan basikal atau skuter, banyak tempat sewaan di tepi jalan. Semuanya within walking distance.

Waktu merangkak senja, hujan dah mula reda. Kami brisk dalam town, rasa tenang lepas dua hari dikejar taufan. Tak perlu bercerita. Biarlah gambar-gambar ini berbicara...



🍢 Malam di Da Nang: Naga Keluarkan Api

Malam yang cukup epik di Da Nang. Di sini, kisah naga menghamburkan api bukan sekadar mitos tapi realiti yang boleh disaksikan dengan mata kepala sendiri. Hujan yang seakan-akan sudah reda, namun sedikit renyai seolah-olah mengizinkan kami untuk menyaksikan pertunjukkan istimewa ini. Bayangkan jika cuaca seganas semalam, sia-sia sahaja perjalanan sejauh ini. Tidak dapat dipastikan jika hujan lebat ada show atau tidak. 

Memandangkan supir sudah tiada, kami memesan Grab 7s menuju ke Jambatan Naga Da Nang yang terkenal itu.  Dalam perjalanan, bandar Da Nang bergemerlapan dengan cahaya lampu neon, saling tak tumpah macam Las Vegas. 


Kami turun ditepi sungai, tapi salah tag drop-off point, jadinya kami turun di bahagian ekor naga. Brisk walk lagi merentasi jambatan sepanjang 666 meter menuju ke bahagian kepala, menyeberangi Sungai Han yang menghubungkan pusat bandar Da Nang dengan lapangan terbang antarabangsa dan kawasan pantai. Ia direka menyerupai naga zaman Dinasti Ly sebagai simbol kekuatan, kemakmuran dan keberanian rakyat Vietnam. Walaupun cuaca tidak menentu, sekejap hujan, kejap reda, orang tetap berduyun memenuhi bahu jalan. Dah sampai sini, barulah nampak kelibat orang Malaysia di celah-celah ribuan penonton yang datang dari pelusuk dunia.

Apa yang istimewa tentang pertunjukan naga api ni? Ia bukan sekadar lampu LED yang memenuhi badan dan kepala naga, tapi betul-betul mengeluarkan api in real life. 


Pertunjukan terbahagi kepada dua bahagian utama; hamburan nafas api gergasi kira-kira 2 minit, diikuti dengan sesi semburan air (mist) beberapa minit selepas itu. Maka keseluruhan pertunjukkan mengambil masa kira-kira15 minit termasuk setup dan transisi persembahan. Biasanya diadakan pada waktu malam bermula pukul 9.00 malam pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad serta pada hari-hari cuti dan hari istimewa di Da Nang. 

Lepas pertunjukan naga berapi yang gempak itu, kami semua dah separuh letih. Rasa macam nak balik hotel terus tidur sahaja. Jadi kami pun order Grab lagi, tapi drop-off di Restoran Zeytun Da Nang untuk makan-makan, satu lagi restoran halal yang terletak tidak jauh dari hotel penginapan kami. 

Berbeza dengan restoran halal yang dikunjungi sebelum ini, menu Zeytun menggabungkan masakan Arab, Mediterranean dan sedikit sentuhan Asia. Ada hummus, kebab, nasi briyani, roti pita dan sebagainya. Tapi sebab masing-masing masih kenyang nasi goreng kampung tengah hari tadi, kami cuma pesan menu ringan-ringan sahaja. Sekadar rasa nak kunyah-kunyah sebelum pulang ke hotel. Pasal makan geng ni tak berkira langsung. Terlebih terkurang kira halal. Kadang-kadang ada seorang yang sponsor. Senang semua jenis tak berkira.

Kami order chicken shawarma dan kebab, kongsi makan ramai-ramai. Semua sedap, portion besar, dan rasa memang “authentic”. Tapi perut kami dah over limit, jadi lepas separuh pinggan, semua mula pandang satu sama lain dan bersetuju: 

“Bungkus je lah.” 😂


🌅 Hari Ketiga: Langit Cerah, Jiwa Lapang

Hari terakhir. Cuaca akhirnya tenang, redup dan nyaman. Sesuai sangat kalau dapat ride. Tapi apakan daya, hari ini kami akan berangkat pulang. Ada cadangan untuk datang repeat di masa akan datang. Selagi Hai Van Pass belum ditakluki, selagi itu jiwa kami tidak tenang, ibarat menyudu kuah sebelum merasa isinya.

Sarapan ala buffet disediakan di hotel. Tapi macam biasa, kena pandai pilih. Staf disitu pun hairan barangkali, roti, telur dan buah-buahan cepat pulak habis hari ni. Banyak kali kena re-fill

Taufan Bualoi semakin jauh. Dalam keadaan ralat dan terkilan tapi redha dengan ketentuan, kami bersiar-siar di tepi Pantai My Khe sambil menunggu waktu check-out. Mengenang nasib di perantauan. Apa dirancang tidak menjadi. sedar-sedar nak balik dah.

Bandar ni memang cantik. Tepi laut, moden dan tenang. Tapi sedih kerana kami gagal memanfaatkan misi pengembaraan ini dengan sebaiknya.

Tapi rezeki tidak pernah salah alamat...  


🛵 Finally, The Ride!

Tengah sibuk berkemas lipat baju dan perah otak mana nak sumbat souvenir banyak-banyak nih, tiba-tiba dapat notifikasi simple tapi penuh bermakna; flight delay.

Ya, penerbangan yang dijadualkan pada pukul 12.30pm ditunda ke pukul 2.30pm. Sekarang baru pukul 10.00 pagi. Terlalu banyak masa terluang.

Biasanya kalau dengar perkataan delay, otak manusia akan beralih ke mode marah dan memberontak. Tapi kali ni lain. Kami semua saling berpandangan, seolah-olah delay itu ada suatu rahmat yang amat membahagiakan.

Ini peluang kita ride!

Hasrat yang dianggap sudah terbatal sejak awal akhirnya hidup semula bagaikan api lighter yang disimbah Ron95. Marak menyala semula tanpa sempat dipadamkan. Inilah plot-twist on top of the plot-twist.

Tanpa tunggu lama, kami terus keluar cari kedai sewa motor berdekatan hotel. Dapat satu kedai kecil tepi jalan, tapi owner dia pulak berkira yang amat. Harga tak boleh kurang langsung walau pun kami cuma nak guna sekejap sahaja. Paling maksimum pun tiga jam. Sudahlah minyak kena isi sendiri. Dasar kapitalis!

Memandangkan masa agak terhad, tak kuasa dah nak pergi cari tempat lain. Akhirnya kami setuju juga. Sewa tiga biji skuter 150cc, bayar harga sehari sewaan. VND150,000 (dalam RM24.00) sebuah. Tapi guna tak sampai 3 jam. Tak apa lah, yang penting dapat title "ride". Maka berbekalkan dengan skuter dengan helmet seteng kaler oren, kami bergerak dengan pantas tapi berhati-hati. Sistem pemanduan sebelah kiri tak sama dengan Malaysia agak mengelirukan menyebabkan rider dan pillion harus bekerjasama bagai sepasang mata dan tangan. Seorang fokus pada jalan, seorang lagi jadi navigator tak rasmi. “Ehhh... betul ke jalan ni?” jadi soalan wajib di setiap simpang. Kadang-kadang gelabah, kadang-kadang lawak sendiri bila tersalah masuk lorong. Tapi itulah manisnya ride di tanah orang. Setiap kekeliruan jadi pengalaman, setiap kemusykilan jadi kenangan.


Lepas isi minyak, terus hidupkan enjin. Bunyi enjin skuter yang dirindukan akhirnya kedengaran. Angin laut Da Nang menyapa muka, dan jalan menuju Hai Van Pass terbentang indah di depan mata. Cuaca baik seolah-olah merestui pengembaraan singkat kami kali ini.

Perjalanan kira-kira 45 minit dari pusat bandar itu melalui laluan berbukit dengan deretan hairpin corner, ditemani pemandangan laut yang sepatutnya membiru tenang namun kelihatan keruh, masih bergelora selepas dihentam badai.

Ride punya ride, perjalanan akhirnya terhenti di satu lokasi yang menempatkan deretan kafe / RnR lereng gunung dengan pemandangan indah di kawasan Hai Van Pass. Terletak di tepi jalan utama Hai Van Pass, iaitu laluan bergunung-ganang yang menghubungkan Da Nang dan Hue. Tempat ini sememangnya popular bagi pengembara dan pelancong yang singgah untuk minum kopi sambil menikmati pemandangan indah laut dan kota Da Nang dari kejauhan. Digelar sebagai "pemandangan bernilai jutaan dolar” sememangnya tidak keterlaluan diperkatakan kerana dari situ kami sendiri menyaksikan keindahan Teluk Da Nang dan laut terbentang luas di bawah. Kami berhenti sebentar menikmati kopi serta bergambar kenangan di beberapa spot menarik. 

PHƯƠNG DUNG VIEW TRIỆU ĐÔ: Pemandangan Bernilai Jutaan Dolar

Sejujurnya, setelah beberapa kali minum kopi Vietnam sepanjang 3 hari 2 malam di lokasi berbeza, inilah kopi yang paling sedap dan kaw. Sedap bukan hanya sekadar kopi, tapi mengenangkan momen-momen suka duka yang dilalui sepanjang berada di sini.

Dan di situ, di atas bukit, kami sedar. Segala suka duka, penat, hujan, ribut, dan delay yang kami hadapi sepanjang pengembaraan ini rupanya bukan gangguan… tapi plot twist paling manis. Kalau flight tak delay, memang takkan ada bab ride ni.

Akhirnya kami berjaya juga meratah selekoh di laluan lagenda Hai Van Pass, walau pun bukan keseluruhan, hanya sebahagian trek. That's better than nothing. Merasalah juga di saat-saat terakhir sebelum pulang. Allah masih berikan ruang kepada kami menutup helaian pengembaraan ini dengan cemerlang dan rasa syukur yang sukar diungkap dengan kata-kata. 


Kami pulang ke tanah air dengan perasaan yang sukar digambarkan. Bercampur-baur antara puas dan rindu, antara penat dan bahagia. Puas kerana impian kecil akhirnya tercapai, dan rindu kerana sebahagian hati tertinggal di jalan berliku Hai Van Pass.

Mission accomplished! BOOM!!! 🤩🥳 💣💣💥


XPDC YONG BELAR

Misi G7: Episod 3

Menawan Puncak Yong Belar (YB).

Maximum Elevation: 2181 meter / 7156 feet.

Total distance: 18km (one way), 36km (return).

Ini adalah misi ketiga dalam mencabar diri sendiri untuk menakluk puncak G7. Nak kena bagitau jugak ke G7 tu apa? Tuan puan Google je lah ye? 

Nama Yong Belar diambil dari istilah orang asli yang bermaksud 'Laluan Sejuk' memandangkan suhu di persekitaran YB yang amatlah sejuk, apatah lagi kehadiran kami disambut dengan hujan tanpa henti, sekejap gerimis, sekejap lebat mengesahkan lagi bahawa nama itu memang kena pada tempatnya. Dia punya level sejuk tu memang tak boleh bawak bincang.

Berbanding dengan jirannya Yong Yap, yang bermaksud 'Laluan Sungai', memang banyak sungai dan anak sungai yang merentangi trek perjalanan dan pendaki harus mengharungi sungai-sungai tersebut untuk sampai ke puncaknya.

Itulah antara secebis pengetahuan yang saya perolehi dalam pendakian ini, berkenaan dengan nama gunung dengan pangkalan 'Yong' ini sebagaimana yang diceritakan oleh abang guide yang baik hati. Dulu duk ingat Yong tu macam kak yong macam bahasa orang Perak.

Perjalanan ke YB bermula pada hari Jumaat, hujung Februari 2022 setelah hampir dua tahun terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19. Mujur lah khemah, trail shoe dan beberapa keperluan yang dibeli seawal perancangan tarikh terdahulu tiada tarikh luput. Sekian lama terpendam dalam rak dan almari, tibalah masa untuk menggunakannya.


Terima kasih kepada my hiking buddy yang sudi menumpangkan powilnya supaya kami dapat sampai dengan selamat dan selesa ke destinasi tujuan. Lawa sangat powilnya pon. Sayang pulak nak bawak masuk off-road.

Destinasi kami pada hari Jumaat yang mulia ini adalah menuju ke Cameron Highlands yang merupakan transit untuk kami berehat dan tidur sebelum memulakan pendakian pada awal pagi esoknya. Sampai awal tak kalut.


Tiba di CH sekitar jam 2.00 petang. Terus jumpa gogo dan beberapa rakan sependakian yang lain di sebuah restoran yang menjual nasi lemak strawberi, tapi tak order pun nasi lemak strawberi, sebab masih kekenyangan setelah menikmati juadah makan tengah hari sebentar tadi di sebuah gerai makanan di Simpang Pulai sebelum naik ke CH. Lagi pun saya bercadang untuk mengurangkan pemakanan bagi mengelakkan pembuangan sisa kumbahan di dalam hutan. Tak syok ooo memerut dalam hutan. Tapi kalau nak memerut juga, kita layankan aje, takkan nak tahan pulak benda nak keluar. 

Lepas minum-minum, bergurau berlepak bergurau senda, kami terus sahaja ke sebuah apartment yang telah dibooking.com oleh gogo, supaya kami dapat menghabiskan sisa masa sebelum meneruskan pendakian pada awal pagi esok. Hujan turun tanpa henti di CH sedikit merisaukan kerana dibimbangi bakal merencatkan tempo perjalanan pada esok hari. Hujan atau tidak, the show must go on. Eiiiii sayangnya kasut baruku. First time pakai nak mendaki, terpaksa berbasahan pulak. 

Dalam perjalanan ke apartment itu, singgah di sebuah kedai serbaneka untuk membeli makanan dan minuman yang perlu dibawa sebagai bekal perjalanan memandangkan sarapan dan merarau perlu disediakan atas inisiatif sendiri. Mula-mula ingat nak beli / bawa bekal burger Mekdi (dah ada Mekdi rupanya kat Brinchang ni), tapi terpesona pula dengan FM versi black white ni. Dah masuk, tengok-tengok ada pula makanan yang sesuai. Apa jenis makanan pun tak kisah sebenarnya, asalkan mempunyai unsur karbohidrat yang mampu memberikan tenaga dan mengenyangkan perut, selain daripada tahan lama dan senang dibawa. Contohnya onigiri, empat ketul sekali beli. Simplicity at its best.


Lepas tu terus ke apartment. Tak ada aktiviti apa pun. Kononnya nak tidur lepas asar supaya cukup tenaga nak bangun pukul 1.00 pagi. Mana maunya tidur lepas asar. Dari asar bawak ke maghrib. Golek-golek atas katil tak lena juga. Turun bawah teman member beli makan malam, ada Speedmart rupanya. Bazir je beli air / bateri kat FM tadi. Harga jauh beza kot.

Lepas isyak, paksa juga mata untuk tidur. Alhamdulillah, dah dekat pukul 10.00 baru berjaya kot. Cukuplah dapat lena tiga jam. Nikmat juga tu daripada tak dapat tidur langsung. Better than never.

Pukul 1.00 cepat bangun. Tak selera nak mandi dengan kesejukkan melampau sementelah diluar hujan masih turun mencurah-curah. Cukuplah sekadar gosok gigi dan membasuh anggota badan tertentu dengan berwuduk. Dah siap semua full gear, let's jom!


Masjid Lojing menjadi saksi pertemuan semua pendaki sebelum menaiki powil yang akan membawa kami ke titik permulaan pendakian. Dari apartment ke Masjid Lojing kurang lebih 15 minit bawa selow sebab jalan basah dan licin.

Pembahagian ration dilaksanakan dengan adil dan saksama supaya semua orang mendapat beban yang lebih kurang sama, yakni sekitar 3 - 5 kilogram seorang. Barangan peribadi terpulang kepada keperluan masing-masing. Jisim bag seberat 7-8 kilogram itu sudah pasti. Malah kebanyakkannya ada yang lebih besar dan berat lagi. 

Kami sampai awal di perkarangan masjid sekitar jam 2.15 pagi, dengan harapan powil datang menjemput kami sekitar jam 2.30 pagi, atau selewatnya 3.00 pagi, kerana mengikut perancangan pendakian seharusnya bermula pada jam 3.00 pagi. Pada waktu tersebut, walau pun powil telah memunculkan dirinya, tapi disebabkan bilangannya yang terhad berbanding dengan bilangan pendaki yang ramai, sekurang-kurangnya ada dua kumpulan berbeza pada waktu itu dengan jumlah sekitar 50-60 orang keseluruhannya, tunggu punya tunggu, jam 4.45 pagi baru ada rezeki dapat naik powil menuju ke starting point. 

Maka duduk lah saya di belakang tu bersama beberapa teman yang lain dalam kesempitan, kehujanan dan kesejukkan macam beria sangatlah kau ni pagi-pagi buta sanggup buat keje gila ni, kalau solat subuh berjemaah kat surau, hujan sikit pun kau dah tarik selimut malas nak pergi. Saya insaf dalam kedinginan itu. Ampuni aku Ya Allah! Terus berazam lepas ni nak amalkan solat subuh berjemaah kat surau. 


Kehujanan dan kesejukkan satu hal. Duduk belakang dengan percikan lumpur ibarat seekor kerbau membawa lumpur, semuanya habis terpalit, terngiang-ngiang peribahasa yang saya pernah belajar masa di sekolah dahulu.   

Setengah jam jugaklah terhuyung hayang dalam powil tu, kami sampai di sebuah bangunan kosong, gayanya macam stor pekebun sayur Lojing Highlands. Masing-masing macam dah tak sabar nak mendaki dalam gerimis pagi ni.

Kami diperkenalkan dengan 5 orang guide yang akan memimpin kami dalam ekspedisi ini dalam sesi taklimat sebelum mendaki. Selesai taklimat ingat nak jalan dah, tapi terpaksa tunda lagi dalam satu jam bagi menantikan masuknya waktu solat fardhu subuh bagi kawasan Lojing. Solat dulu kat sini lebih memudahkan dengan adanya kawasan yang lapang dan berbumbung serta sumber air untuk berwuduk. Once dah gerak, sukar untuk mencari tempat solat dengan mengambil kira keadaan cuaca dan bentuk muka bumi serta bilangan kami yang berjumlah 29 orang, dengan tambahan 5 orang abang-abang guide. Tak tergamak rasanya abaikan solat hanya kerana mendaki gunung.

Jam 7.00 pagi, langkahan bermula dengan melalui kawasan kebun sayur sebelum masuk ke pintu rimba.


Pintu Rimba nama diberi, ibarat pintu gerbang masuk ke alam YB.


Objektif perjalanan pada hari ini adalah untuk tiba ke Kem Pelaur dengan keadaan yang selamat, lokasi dimana kami akan mendirikan khemah dan bermalam sebelum meneruskan pendakian ke puncak. I am activating my GPS watch, and see how it goes.

Memandangkan keadaan cuaca luar jangka, kami sebenarnya telah tersasar jauh dari jadual asal bila mana aktiviti pendakian sepatutnya bermula pada jam 4.15 pagi terpaksa ditunda ke jam 7.00 pagi. Rentetan itu, semua aktiviti dan perancangan seterusnya semuanya tertunda. Biar lambat asal selamat. Better late than never. Pasti ada hikmahnya. 

  
Fasa pertama pendakian pada hari ini melibatkan perjalanan sejauh 8 kilometer dengan tempoh perjalanan sekitar tiga jam pada suhu purata 19 / 20 darjah celsius. Trek becak sepanjang perjalanan menambahkan lagi cabaran mental dan fizikal kepada pendaki apatah lagi dengan beban yang digalas.


Awal perjalanan, beria aje nak elak selut dan becak. Lama-lama pasrah je lah, mari kita membajak. Dia punya becak, pacat pun tak mampu hidup. Walau pun begitu, saya fikir keadaan becak yang ditempuhi tidaklah seteruk trek Gunung Irau, bila mana tersilap langkah, terbenam lah kaki sampai ke peha.

Dua jam kemudian, kami tiba di kawasan lapang yang luasnya hanya sekangkang kera, dikenali pendaki sebagai puncak tipu. Berhenti sebentar untuk mengalas perut, menikmati onigiri pertama yang penyet macam ketupat basi. Ada beberapa puncak tipu, mungkin 4 atau 5, saya tak ingat bilangannya. Yang pasti lebih dari 3.


Satu jam kemudian, kami tiba di kem pertama yang dikenali dengan nama kem Tudung Periuk. Berehat sebentar sekadar untuk bergambar dan regroup kembali dengan pendaki lain. Perhentian yang lama boleh menyebabkan tubuh mengigil kesejukkan sementelah hujan semakin rancak menggugurkan titisan air ke bumi. Teruskan berjalan lebih afdhal, supaya badan dapat dihangatkan dengan pembebasan haba. Ikutkan jadual asal, sepatutnya sampai Tudung Periuk jam 7.00 pagi, ini dah pukul 10.00.


Dari Kem Tudung Tudung Periuk ke Kem Pelaur jarak perjalanan mengambil masa kira-kira satu jam sahaja. 


Di persimpangan ini, Pelaur dan puncak YB hala tujunya berbeza. Menuju ke Kem Pelaur tidaklah jauh, kurang lebih dalam 15 minit sahaja. Kena turun sikit dan membajak lagi dan lagi.


Setibanya di Pelaur, terbentang dataran yang agak luas berlatar belakangkan air terjun dan sungai yang amat sesuai digunakan sebagai sumber air sama ada untuk pemakanan, minuman dan mandi-manda.


Air terjun yang sepatutnya mengalir indah dan tenang bertukar menjadi ganas berikutan limpahan air dek kerana hujan yang turun tanpa henti. Disebabkan keganasan itu, tak berani lah kami nak mandi-manda bershowerkan air terjun. Cukuplah sekadar bermain-main di tepian sungai sambil menikmati keindahan panorama hutan hujan tropika. 


Khemah didirikan dengan pantas bagi mengelakkan kebasahan pada ruangan dalaman. Dalam becak selut agak cerewet juga untuk mencari tapak yang sesuai untuk mendirikan khemah. Mujur lah saya dan beberapa teman sependakian lain tiba awal. Dapatlah kami memilih tempat yang sesuai. 


Timbul persoalan bila waktu yang sesuai bagi kami menuju ke puncak? Mengikut jadual asal, kami sepatutnya ke puncak pada hari ini juga, yakni sebaik sahaja selesai memacak khemah, dan dijadualkan tiba di puncak sekitar jam 3.00 petang. 

Memandangkan sekarang sudah jam 12.00 tengah hari, perjalanan ke puncak dijangka mengambil masa sekitar 5 ke 6 jam, maknanya ada kemungkinan kami mungkin akan tiba di puncak pada jam 6.00 petang, atau mungkin lewat lagi dengan keadaan cuaca yang tidak menentu ini. Lagi mau patah balik ke camp site, ambil masa 4 5 6 jam lagi, bermakna kami harus berjalan lewat malam dengan risiko hujan dan kesejukkan altitud tinggi yang boleh mengakibatkan hipotermia. Bekalan makanan pula tidak mencukupi dan perlukan masa untuk memasak, dikhuatiri akan menyebabkan kebuluran pula.

Mengambil kira faktor-faktor tersebut, maka gogo dan guide membuat keputusan untuk menunda perjalanan ke puncak pada jam 3.00 pagi esok.

Bermakna, it's now time to relaks, menghabiskan sisa kehidupan hari ini di campsite, dengan berehat dan lepak dalam khemah, dan menyediakan santapan makan tengah hari dan makan malam secara gotong royong kerana chef bertugas tidak dapat hadir atas alasan positif Covid-19 pada saat akhir sebelum pemergian ke YB.


Dalam keboringan, sempat jugak lah membelek telefon bimbit yang kebengongan akibat dibasahi air walau pun dibalut dengan plastik sepanjang pendakian, analyze balik aktiviti hari ni dalam bentuk statistik dan grafik. Belek punya belek sampai tertidur, lepas tu terbangun menggigil kesejukkan. Sejuk-sejuk ni asik rasa nak terkencing jer. Nasib baik toilet (sungai) kat sebelah je.


Hari kedua, deringan jam dari telefon bimbit mengejut saya seawal jam 2.30 pagi, menandakan waktu untuk bersiap demi menuju puncak. Dengan kesejukkan melampau, saya gagal mendapatkan tidur yang lena apabila seringkali terjaga dan menggigil bila mana jaket dan sleeping bag masih tidak mampu memberikan kehangatan yang diperlukan bagi mendapatkan tidur yang selesa. Di luar, kedengaran hujan lebat turun membasahi bumi merencatkan motivasi saya untuk meneruskan pendakian. Saya fikir amat keberatan untuk melakukannya.

Saya berkomunikasi dengan teman sependakian di khemah sebelah, menyatakan hasrat saya untuk tidak mengambil risiko. Cukuplah sampai disini sahaja. Lain kali kita datang dan daki lagi.

Di luar khemah, kedengaran suara abang guide, gogo dan beberapa pendaki sedang bermesyuarat apakah harus diteruskan pendakian awal pagi ini, sedangkan saya masih diam di dalam khemah mengharapkan keputusan tersebut akan menyebelahi saya. 

Tidak lama kemudian, keputusan dicapai. Aktiviti pendakian pada awal pagi ini dibatalkan. Saya gembira, tapi dalam masa yang sama juga merasa kecewa kerana hasrat saya untuk menawan puncak G7 ketiga ini menemui kegagalan. Takpelah, takkan lari gunung dikejar, lain kali kita repeat lagi. Sementara menantikan mentari muncul kembali, saya kembali melelapkan mata.

Usai menunaikan solat fardhu Subuh dalam keuzuran apabila terpaksa solat duduk di dalam khemah kerana hujan masih belum berhenti, saya mula berkemas dengan mengasingkan barang-barang yang kotor, lembab dan basah dengan barangan yang masih kering untuk dibawa pulang. 

Jam 8.00 pagi, dalam keadaan gerimis, terdengar suara yang mengatakan pendakian akan diteruskan. Tapi pendaki diberi pilihan sama ada untuk terus mendaki atau tunggu di campsite, sebelum kita semua sama-sama turun ke bawah. 

Saya memilih untuk mendaki dengan mengambil kira faktor walau pun hujan, tapi hari sudah siang tidaklah terlalu mengundang risiko yang bahaya. Alang-alang sudah sampai, kita teruskan sampai ke puncak. 

Jam 9.40 pagi, setelah selesai melipat khemah yang basah dan memuatkan semua barangan ke dalam beg, saya bersama kurang lebih separuh dari line up asal memulakan pendakian ke puncak. Pendakian menjadi lebih mudah apabila beg ditinggalkan di camp site. Hanya perlu membawa beg kecil sahaja untuk membawa minuman, makanan dan barangan asas. Segak berbaju melayu berwarna jingga, trade mark saya menawan puncak, langkah diatur berhati-hati bagi mengelakkan tenggelamnya kasut ke dalam becak sebagaimana tenggelamnya kapal van der wijck.


Fasa kedua pendakian ini mula menampakkan keindahan hutan YB dengan lanskap mossy forest hampir sepanjang trek pendakian, berbanding dengan fasa pertama yang kebanyakkanya hanya ditumbuhi dengan hutan hujan tropika.


Hampir 3 jam pendakian, saya tiba di Kem Kasut, satu lagi kawasan mendatar yang sesuai dijadikan tapak perkhemahan, tapi menjadi tidak sesuai di musim hujan ini memandangkan hampir keseluruhan kawasan tersangatlah becak dan digenangi air. Punca air bersih juga tidak berapa jauh, namun tidak kelihatan dari sini. Pendaki harus turun kira-kira dalam 10 minit untuk sampai ke anak sungai bagi mendapatkan bekalan air. Dah turun, kena naik balik. Letih sikit lah kalau nak camping kat sini. Tapi kelebihannya adalah, kem ini paling hampir dengan puncak. 


Tiga jam perjalanan dari Kem Pelaur ke Kem Kasut adalah satu tempoh masa yang agak perlahan sebenarnya jika dibandingkan dengan kawanan yang lain sudah tiba dalam jangka masa 30 - 60 minit yang lalu. Saya selow sebab saya memaksa diri saya untuk menemani seorang pendaki yang keseorangan setelah ditinggalkan oleh orang lain. Tak sampai hati pula nak biarkan beliau berjalan seorang diri di dalam hutan yang pertama kali dijejaki. Sekali-sekala saya cuba juga meninggalkan beliau dan cuba untuk mengejar sekumpulan pendaki yang sudah jauh di depan, tapi dah nampak bayang dah diorang. Jadi saya pulak yang jalan sorang-sorang. Seram jugak. Nak tak nak, tunggulah kawan tu datang balik dan jalan seiringan. Salah taktik pulak saya. Patutnya awal-awal lagi saya tinggal dia. Dalam 20 minit sebelum sampai ke puncak, bertembunglah saya dengan kawanan pertama yang sudah pun memulakan perjalanan turun dari puncak. Saya tak sampai lagi, mereka dah turun. Hareyyy betol!


Jalan punya jalan punya jalan pace selow sepak daun lenggang mak limah punya jalan, dua jam berikutnya tiba lah saya ke destinasi tujuan. Puncak Yong Belar akhirnya saya tawan. Gembira di hati bukan kepalang. Kerana impian sudah menjadi kenyataan.


Jam 2.00 petang, setelah hampir 4 jam setengah mendaki, saya tiba di puncak dengan selamat dan jayanya. Cuma tinggal tiga orang sahaja. Itu pun mereka sudah bersiap-siap nak turun. 


Saya biarkan mereka turun dahulu. Tinggallah saya keseorangan merakam kenangan. Akan datang entah bila akan kembali bertandang. Mungkin ini yang pertama dan terakhir di YB barangkali.


Pemandangan dari puncak sebenarnya memang tak nampak apa-apa dek kerana kabus dan awan menyelubungi alam. Lagipun puncak YB tidak menyediakan pemandangan seluas 360 darjah kerana terhalang dengan tumbuh-tumbuhan. Hanya satu sudut sahaja yang terbuka, itu pun berkabus pula.


Berada di puncak YB, bermakna berada di dua negeri. Puncak YB adalah garis sempadan antara Perak dan Kelantan. Sekejap saya berada di Perak, beberapa saat selepas itu saya berada di Kelantan. Malah dalam masa yang sama, sebelah kaki saya berada boleh di Perak, manakala sebelah lagi berada di Kelantan. Mari kita lihat batu sempadan, yang ditandakan mengikut nombor plat kenderaan - D for Kelantan, A for Perak. Menarik bukan?



Perjalanan masih belum terhenti disini. Naik adalah satu pilihan, tapi turun satu kemestian.

Puas bergambar, keseorangan, seram pulak rasanya. Badan mula menggigil kesejukkan, bukan ketakutan ya. Saya memulakan perjalanan turun 15 minit selepas berada di puncak. Beberapa minit kemudian, jumpa balik dengan pendaki yang saya teman masa naik tadi. Jalan sorang lagi. Ingatkan beliau bersama dengan orang lain. Boleh lah saya mempercepatkan kelajuan. Dah kena ikut dia pulak. Jalan sepak daun lenggang mak limah sekali lagi. 

Dalam perjalanan, sekali lagi melalui Kem Kasut tatkala jam sudah menunjukkan sekitar 4.00 petang. Barulah kelihatan seorang guide sedang menunggu kami sebagai pendaki terakhir yang turun pada hari ini. Saya mohon untuk berhenti sebentar, turun ke anak sungai bagi menambah bekalan minuman dan berwuduk, seterusnya menunaikan solat zohor / asar. Sekeping plastik hitam yang ditemui di Kem Kasut, mungkin ditinggalkan pendaki lain sebelum ini menjadi hamparan sejadah dalam keadaan arah kiblat tidak dapat dipastikan secara tepat kerana aplikasi di telefon bimbit tidak dapat berfungsi dek kerana ketiadaan talian internet dan komunikasi. Tanya guide dimana arah kiblat, dia pun tak tahu. Eh, awak tak solat ke? Saya berkata di dalam hati. 

Last choice, terpaksalah menggunakan kompas di telefon bimbit. Tak dapat dipastikan ketepatannya benar atau tidak. Setidak-tidaknya ada usaha. Berpandukan arah 292, solat dilaksanakan dalam gerimis hujan. Semoga amalan diterima.

Lepas solat, perjalanan diteruskan, tanpa henti dengan matlamat untuk sampai ke Kem Pelaur sebelum matahari terbenam. 

Jam 7.00 malam, berjaya tiba di Kem Pelaur, yakni sebelum matahari terbenam. Suasana lengang bila mana pendaki lain sudah mula meninggalkan tapak perkhemahan. Hanya tinggal guide 3 orang sahaja sedang menunggu ketibaan kami untuk turun pulang bersama.

Saya mengambil masa seketika untuk menukar pakaian dan memperkemaskan barangan di dalam beg untuk dibawa turun. Beban bertambah kerana harus membawa ration yang berupa sampah, disamping beg yang berisi pakaian basah.

Perjalanan turun bersambung sebaik sahaja tibanya waktu maghrib. Saya berada dalam kumpulan terakhir bersama 3 orang guide dan seorang pendaki yang saya temani sewaktu naik dan turun dari puncak YB. Tapi ini kali saya tak tunggu dah. Saya bersama dengan seorang lagi guide terus sahaja mara meninggalkan pendaki tersebut bersama dua lagi guide jauh di belakang. Dia dah ada teman, tak kuasa dah saya nak jalan sepak daun. Saya mahu cepat sampai dan mengisi perut yang kekosongan.

Berjalan dalam kegelapan di dalam hutan bersama hujan, bertemankan suluhan head lamp di kepala betul-betul menguji kekuatan fizikal dan mental. Dengan beban yang berat, beberapa kali juga saya mengajak guide berhenti seketika untuk melegakan lenguh di bahu. Dah duduk, susah pula nak bangun sebab beg berat. Berpusing-pusing mencari kekuatan untuk bangun semula. Tenaga juga semakin berkurangan sementelah tiada sumber karbohidrat diperolehi sejak mula pendakian seawal pagi tadi. Bekalan yang dibawa hanyalah coklat dan kekacang. Mujurlah abang guide ada sedikit roti, dalam hutan, sejuk dan dingin, dah nak masuk level kebuluran rasanya, terasa roti tu enak dimakan begitu sahaja. 

Bayangkan dari pukul 9.30 pagi tadi, mendaki ke puncak, lepas tu jalan balik ke Kem Pelaur, lepas tu jalan lagi naik turun trek berbukit sampailah ke pintu rimba (starting point) kurang lebih jam 11.30 malam, keseluruhannya hari ini sahaja saya berjalan selama 14 jam hampir non-stop. Giler betol. Tapi ini lah nikmat pendakian sebenarnya. Cabaran utama adalah mencabar diri sendiri. Mencabar kemampuan fizikal dan mental. Kegigihan dan usaha yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Semuanya dengan izin Allah. 

Secara keseluruhannya, trek pendakian YB tidaklah terlalu pacak jika dibandingkan dengan gunung G7 yang pernah saya jejaki, dimana hampir 80% perjalanan dirasakan agak landai. 

Hari pertama nampak ketara sikitlah perjalanan naik turunnya.

Hari kedua, menuju puncak memang ketara lah elevation, tapi tidak terlalu memacak.

Begitulah ceritanya ekpedisi menawan puncak Yong Belar, yang merupakan gunung ke-3 tertinggi di Semenanjung, dan ke-8 di Malaysia secara keseluruhannya.

Kemana kita selepas ini? Tunggu episod seterusnya dalam misi penjelajahan G7.

Wassalam.