SUPERMOON


Pada 6 Mei 2012 yang lalu, telah berlaku suatu fenomena yang sebenarnya takdelah pelik mana pon kerana ianya pasti berlaku setiap tahun. Cuma, mungkin ramai di antara kita tidak menyedarinya atau memang malas nak ambik port lantaran tidak memberi kesan dalam kehidupan seharian mereka.

Namun, bagi pencinta astronomi, saat ini adalah salah satu daripada fenomena alam yang ditunggu-tunggu saban tahun bagi mendapatkan gambaran paling jelas rupa bentuk permukaan bulan.

Terlalu jelas hinggakan saya yang hanya menggunakan lensa telephoto dengan kapasiti maksimum sebanyak 300mm pun mampu melihat lekuk-lekuk kawah pada permukaan bulan, umpama parut jerawat sahaja rupanya . Apatah lagi bagi peminat astronomi yang  menggunakan teleskop yang power-power tu, kalau ada alien tengah melambai dari sana pun boleh nampak dengan jelas.

Fenomena ini dikenali sebagai Perigee (sebutan dia perigi kot?). Hanya untuk tempoh beberapa minit sahaja dalam setahun, posisi bulan purnama akan berada paling hampir dengan bumi dengan keadaannya yang penuh membulat, terang bersinar, dengan kadar perubahan  sebanyak 15% dari segi saiz dan 30% dari segi kecerahan, itupun kalau tiada halangan seperti awan, asap dan sebagainya.

Macam mana pulak bulan boleh berada dekat atau jauh dengan bumi? Bukan posisi bulan sentiasa tetap ke?

Baiklah... untuk menjawab soalan adik tu, kita kena terima hakikat bahawa sesungguhnya orbit bulan bukannya berbentuk bulat tepat macam bola sepak. Orbit bulan sebenarnya berbentuk elips, iaitu membujur (sekarang bayangkan sebiji telur ayam!).


Oleh kerana itu, ada ketikanya ia berada hampir dengan bumi, disebut perigee, dan pada suatu ketika yang lain ia akan berada pada kedudukan paling jauh dari bumi, lawan kepada perigee tadi disebut apogee.

Pada 6 Mei yang lalu, tepat jam 11.34 pagi waktu Malaysia, jarak bulan telah berada pada kedudukan 356,953 kilometer dari bumi, yakni jarak terhampir untuk tahun ini. Memandangkan pada ketika itu kedudukan kita berada pada waktu siang, maka tiadalah dapat kita melihat saat-saat bulan penuh berada hampir dengan bumi. Hanya orang-orang di negeri atas angin sana sahaja yang mampu menikmatinya.

Sehinggalah malam menjelma di negara kita, jarak bulan dengan bumi telah berubah selari dengan pergerakan bulan mengelilingi orbit, menjelaskan bulan yang kita lihat pada malam tersebut telah tersasar dari perigee maksimum, menjadikan rupa bentuk bulan dalam gambar yang saya ambil itu kelihatan agak gelap dan terlindung pada bahagian atasnya (kerana saya telah lewat selama 23 jam!).

Walau pun begitu, pada malam 7 Mei, sewaktu bulan menjengah di langit, keadaannya masih lagi bulat dan bersinar terang. Lantas saya mengambil kamera, dan selepas beberapa rakaman, hasilnya tidaklah terlalu mengecewakan.

Untuk rekod, titik apogee maksimum untuk tahun ini adalah pada kedudukan 406,099 kilometer dari bumi.

Fenomena perigee - apogee ini sebenarnya berlaku sebulan sekali untuk sepanjang tahun. Ini kerana bulan mengambil masa selama 29.53 hari (biasanya dibundarkan kepada 29 dan 30 mengikut takwim Islam) untuk melengkapkan satu kitaran penuh fasa mengelilingi bumi.

Istimewanya, bulan penuh (orang kampung kata bulan 15) dalam kedudukan perigee hanya berlaku sekali sahaja dalam setahun. Lain-lain kedudukan perigee, bulan mungkin dalam keadaan separuh, mungkin dalam keadaan tiga suku, mungkin juga baru nak mula hanya kelihatan dalam bentuk sabit sahaja.

Mengikut kiraan falak, tahun depan (2013), supermoon perigee bakal berlaku sekali lagi pada tarikh 23 Jun 2013. Lebih tepat lagi, ianya bakal berlaku pada jam 7.11pm. Sememangnya, dalam kiraan falak, setiap jam, minit, saat dan milisaat perlu diambil kira.

Andai berkesempatan tahun depan kita rakam lagi.

Subhanallah!

No comments: