FLOWER POWER

"Nama encik?" tanya seorang gadis yang hanya berbaju-T dan berseluar jeans sebaik sahaja kami melangkah masuk menerusi pintu gerbang yang dihias cantik dengan bunga-bungaan.


"Errr... Mustaqim". Saya sedikit teragak-agak. Tidak pasti sama ada untuk memberikan nama sebenar atau sekadar nama samaran.

"Bin?" tanpa memandang, beliau terus bertanyakan nama bapa saya pula. Lalu saya memberikan nama bapa saya sepenuhnya, kali ini lebih lancar.

"Isteri encik?" beliau bertanya lagi, tanpa memberhentikan penulisan nama ayah saya.

Saya tidak bersuara. Saya biarkan isteri saya memberikan namanya sendiri.

"Konsep baju encik ni nak bagi nama apa?" saya dapat menangkap soalan itu dengan jelas biar pun mata saya liar memerhatikan keadaan sekeliling andai ada yang boleh memusnahkan harapan kami untuk pulang sebagai pemenang.

"Ok, you letak flower power".

"Baik encik, terima kasih".

Saya amat yakin, itu bukanlah urusan pendaftaran. Biasanya, saya amat mengenali orang-orang yang bertugas di kaunter pendaftaran. Kawan-kawan saya juga.

Saya tidak mengenali gadis itu. Langsung tidak. Barangkali petugas di pusat konvenyen atau penganjur yang menjayakan majlis atau mungkin juga juri.

Di saat itu, saya sudah membayangkan kami suami isteri sudah berdiri di atas pentas utama, menerima cek dari Toh Puan, isteri kepada pengerusi lembaga pengarah syarikat.




"Anda dan isteri begitu sporting malam ini", ujar beberapa kenalan yang sedikit teruja melihat penampilan kami yang pastinya berbeza dari hari biasa.

Kami harus berlaku sporting, apatah lagi jika ini adalah satu pelaburan jangka pendek yang sangat menguntungkan. Sekarang bayangkan pulangan bersih sebanyak 400% dalam masa beberapa hari sahaja. Saya fikir tiada pelaburan lain di dalam dunia ini yang mampu memberikan pulangan sebegitu baik dalam jangka waktu yang sangat pendek. Bijak? Memang bijak!

Bukan selalu kami mengenakan busana sedemikian rupa. Sepanjang tempoh kehidupan kami, ini adalah kali kedua kami berfesyen sebegini. Kali pertama berlaku kira-kira seminggu sebelumnya, sewaktu mengenakan pakaian ini untuk dicuba di kedai sewaan.

Tatkala sebahagian besar rakan sekerja, terutama wanita mengenakan solekan dan dandanan yang luar biasa hebat, saya tidak pasti apakah tujuan mereka mengharapkan ganjaran untuk membawa pulang hadiah pakaian terbaik yang ditawarkan.


Pastinya sukar mengharapkan ganjaran daripada cabutan bertuah semata-mata kerana segalanya bergantung kepada nasib.

Maka kerana itu, saya harus mencari ikhtiar supaya tidak pulang dengan tangan kosong.

Saya berfikiran, untuk majlis sebegini solekan dan dandanan bukan kriteria utama yang dilihat juri. Juga bukan kerana betapa mahalnya busana yang disarung atau terhasil daripada  sentuhan pereka fesyen terkenal. Ini bukan majlis anugerah juara lagu atau bintang popular.


Kerana itu kami mengenakan busana yang fancy dan kelihatan gila-gila sedikit, dengan warna-warna yang sebegitu terang supaya lebih menonjol dari yang lain. Rambut juga tidak perlu didandan. Sewa sahaja di kedai, bukan sahaja lebih mudah, malah menarik perhatian ramai.

Selepas beberapa ketika, ketika sedang enak menikmati hidangan Stir-fried Blue Ocean Prawns with Supreme Soya Beans, nama kami dipanggil oleh dua artis yang menjadi pengacara di depan sana. Oh, impian sudah menjadi kenyataan!


Dunia ini penuh dengan warna-warni, bukan? Nikmatilah...


IKLAN: Kami menyediakan perkhidmatan fotografi, dengan pengkhususan kepada majlis perkahwinan, keraian, hari jadi, aqiqah dan majlis-majlis rasmi, sesuai dengan kemampuan dan keperluan anda. Harga boleh bincang maaaa.... Sila hubungi kami di sini.

No comments: