THE LEGENDARY MILO VAN


Suatu ketika dahulu, sewaktu zaman belum akil baligh, saya dan  kawan-kawan merasa kegirangan yang amat sangat tatkala melihat van Milo memasuki kawasan sekolah.

Tengok van jer, dah meleleh air liur. Itu belum minum lagi... segelas kecil manakan cukup untuk mengisi tembolok yang dahaga ini, apatah lagi jika van itu datang diwaktu tengah hari yang terik menggila, atau pun sewaktu pesta sukan sekolah rancak dijalankan. Dalam kepanasan atau kepenatan, nikmat Milo sejuk lazat tak terkata.

Walau pun ikut peraturan "segelas seorang" sahaja, namun kerana taksub terhadap kelazatannya, sanggup beratur lagi tiga empat kali, janji dapat minum Milo sejuk sepuas hati.

Sanggup pula beratur tengah hari rembang semata-mata untuk mendapatkan segelas Milo sejuk yang sedapnya lain macam, tak sama kalau buat sendiri kat rumah.

Itu antara nostalgia yang saya masih ingat ketika bersama van Milo.

Hari ini, saya tidak lagi melihat van Milo sama ada di sekolah atau di jalan raya, apatah lagi menikmati kedinginan meneguk Milo sejuk, eksklusif dari van Milo. Sebagai alternatif, minuman Milo dari kotak dan juga tin masih mempunyai rasa yang hampir hebat dengan Milo dari van. Anehnya, perasaan ini sukar didapati jika dilakukan sendiri dirumah atau pun dipesan dari mana-mana kedai makan. Air coklat dari van Milo tetap unik dan mempunyai rasa yang tersendiri.

Program penebusan van Milo yang dianjurkan oleh syarikat pengeluar minuman berkenaan telah memberi ruang kepada saya untuk mengembalikan nostalgia bersama van Milo dengan mengumpul sebanyak mungkin model van Milo yang ditawarkan.

Tapi bukan mudah. Saya harus mengumpulkan bukti pembelian yang telah disyaratkan oleh penganjur untuk ditebus bagi mendapatkan model van Milo yang dikehendaki.

Jumlahnya bukan sedikit. Tidak mungkin saya berupaya untuk membeli dan meminum minuman coklat ini dalam kuantiti yang banyak dengan tempoh masa yang terhad.  Lalu dengan bantuan kakak pembancuh minuman di pejabat, kami berusaha mengumpul sebanyak mungkin bungkusan Milo terpakai, kemudiannya digunting bahagian kod bar lalu dikumpul seberapa daya yang boleh. Demi mengumpulkan lebih banyak mata, saya juga lebih kerap membeli minuman Milo, terutama Milo Sejuk kerana ianya lebih digemari oleh anak-anak.

Tiba hari penebusan, saya menuju ke pusat penebusan terpilih untuk mendapatkan van Milo yang ditawarkan.

Sungguh tak ku sangka. Bukan saya sahaja yang gilakan van Milo mainan ini. Sangat ramai rupanya. Kena beratur lagi, macam zaman sekolah dulu daaa. Bezanya, masa kecil dulu beratur sebab nak minum Milo, bila dah besar beratur sebab nak dapatkan van Milo.

Walau pun ianya adalah model yang saiznya beratus kali ganda lebih kecil dari saiz sebenar, selayaknya dibuat mainan oleh kanak-kanak sahaja, saya tidak pasti ketaksuban apakah yang melanda sehingga memaksa mak budak dan bapak budak (termasuklah saya) sanggup menghabiskan masa beratur lama-lama di dalam kompleks membeli-belah. Mujur juga ianya berhawa dingin, kalau tidak lecak juga ketiak ini.

Diberitakan bukan sahaja di kompleks membeli-belah yang saya pergi ini, malah hampir keseluruhan pusat penebusan yang dibuka di sekitar Lembah Kelang (tempat lain saya tak tahu) mendapat sambutan yang amat luar biasa, sehingga mereka kehabisan stok dan terpaksa mengambil pesanan untuk dihantar melalui pos.

Bagi saya, van Milo adalah satu nostalgia zaman kanak-kanak. Ia mempunyai nilai sentimental zaman persekolahan. Memilikinya sebagai koleksi untuk dijadikan perhiasan adalah suatu hadiah kepada diri sendiri memandangkan barang ini tidak dijual di pasaran terbuka.

Juga boleh dijadikan satu pelaburan jangka panjang dari segi nilai jual balik yang bakal diperolehi sekiranya model-model tersebut diperdagangkan. Setakat hari ini, didapati sudah ada peniaga yang menjual model van Milo melalui internet dengan harga bermula dari RM70 untuk sebuah model yang besar!






Hampir lengkap semua koleksi, kecuali model van Milo keluaran tahun 2010 sahaja yang tiada dalam senarai kerana bukti pembelian tidak mencukupi. Lagi pun rupa bentuknya sama sahaja dengan van Milo keluaran 90-an, hanya warna kepala lorinya sahaja yang berbeza iaitu hijau.

No comments: