KOW PO BENTONG

Tan Kow Po adalah seorang lagenda dalam daerah Bentong, Pahang.

Sebut sahaja nama ini, dan masyarakat Bentong akan menunding jari ke sebuah kopitiam yang terletak bersebelahan dengan Hong Leong Bank, berhadapan dengan Stesen Bas Bentong.


Misteri di sebalik kopitiam ini, mereka memiliki khazanah ais krim buatan sendiri yang terenak, terlazat dan termasyhur di Pahang.


Walau pun tidak sepopular Baskin Robbins atau New Zealand Natural, sementelah itu semua orang putih punya aiskrim yang bagi sesetengah orang, rasanya biasa-biasa sahaja pun, tapi sebab konsep dan kaedah pemasaran yang cemerlang menjadikan mereka sangat terkenal.

Lagi pun nama Kow Po itu amatlah tidak komersil untuk diketengahkan sebagai francais atau pun ke pasaran antarabangsa.

Inilah dia aiskrim Malaysia, citarasa Malaysia dengan suasana kedai ala kopitiam yang hiruk-pikuk ala Malaysia.

Kunjungan kami sekeluarga ke Bentong setelah menghadiri satu majlis pertunangan membawa kami menerjah masuk ke dalam kedai ini setelah mendengar cerita yang agak memberangsangkan daripada saudara-mara yang pernah berkunjung ke sini.

Ianya sebuah kopitiam yang diusahakan oleh keluarga Tan Kow Po, hanya menyajikan makanan pencuci mulut (dessert) berasaskan ais krim pelbagai perasa sebagai tarikan utama untuk ke sini.

Walau pun tiada sebarang logo halal dipamerkan, kehadiran muslimin dan muslimat lain yang sudah tetap di sini, dan barangkali lebih arif sejarah dan tamadun yang terdapat pada kopitiam ini, memberi petanda bahawa tiada apa yang perlu diragukan. Tambahan, mereka tidak menyediakan sebarang makanan, apatah lagi makanan berdaging.

Satu-satunya sumber makanan yang kami nampak hanyalah nasi lemak yang diusahakan oleh sepasang pakcik dan makcik, pastinya Muslim yang menumpang mencari rezeki, membuka gerai jualan di hadapan kopitiam ini.


Dan kedai ini hanya fokus kepada minuman dan pencuci mulut berasaskan ais krim sahaja.

Tahap kebersihan juga amat membanggakan dengan pengiktirafan kelas A oleh pihak berkuasa tempatan.

Bahagian penyediaan minuman diletakkan di bahagian hadapan, tempat orang lalu lalang, keluar masuk ke kedai. Jadi kita boleh melihat dengan jelas proses penyediaan minuman yang dipesan berserta dengan ramuannya sekali. Ini secara tidak langsung boleh meningkatkan lagi tahap keyakinan pelanggan terhadap ramuan yang digunakan, begitu juga dengan tahap kebersihan yang diamalkan di kedai ini.


Menu yang menjadi kelaziman dipersembahkan dalam bentuk visual supaya lebih mudah untuk dibuat penilaian terutama sekali kepada pelanggan baru.


Di kedai ini, segalanya berkenaan dengan aiskrim. Pesanlah apa sahaja pemanis mulut idaman anda, pastinya aiskrim menjadi ramuan utama. Ais kacang, cendol, air jagung, di dalamnya mesti ada aiskrim.


Sememangnya kedai ini popular dengan aiskrimnya. Hidup mati kedai ini adalah kerana aiskrimnya. Dikhabarkan pelanggannya datang bukan setakat dari dalam negara, malah dari negeri atas angin sana juga, hanya kerana ingin menikmati aiskrimnya.

Kegemilangan Kedai Kopi Kow Po diabadikan dalam bentuk keratan akhbar dan foto-foto bersama selebriti serta orang kenamaan dipaparkan di bahagian hadapan untuk tatapan pelanggan.



IKLAN: Kami menyediakan perkhidmatan fotografi, dengan pengkhususan kepada majlis perkahwinan, keraian, hari jadi, aqiqah dan majlis-majlis rasmi, sesuai dengan kemampuan dan keperluan anda. Harga boleh bincang maaaa.... Sila hubungi kami di sini.

No comments: