Showing posts with label Food. Show all posts
Showing posts with label Food. Show all posts

MEDAN NELAYAN LANGKAWI

Hari ketiga di Langkawi (pabila malam menjelma).

Mentang2 sudah ada kereta (sewa), selera tekak ni rasa nak makan benda pelik-pelik sikit. Dua malam takde kenderaan, asik2 makan depan hotel sahaja. Cukuplah tu. Kasi bisnes dekat towkey restoran lain pulak yer!

Seperti biasa, pencarian dilakukan hanya dengan menggunakan hujung jari sahaja. Giler canggih zaman sekarang neh. Guna hujung jari jer, sedar2 dah sampai.:-)

Pencarian itu telah membawa kami ke sebuah restoran yang menyediakan hidangan makanan laut (seafood) yang segar dari laut dan sungai dengan harga yang berpatutan. Walau pun agak jauh dengan perjalanan mengambil masa kira-kira 20 minit dengan kelajuan sederhana, dengan adanya kereta ini, apa sangatlah 20 minit tu kan? Ekceli, masa perjalanan kami lebih dari 30 minit sebenarnya jika diambil kira faktor kesesatan yang nyata kerana tidak nampak sign-board restoran ini yang kena masuk ke dalam sikit dari jalan utama. Kami duk bayang restoran ni senang nampak tepi jalan gitu.

Maka digelar oleh orang-orang kebanyakkan di Langkawi ini akan restoran itu dengan nama Medan Selera Nelayan. Letaknya di sebuah lorong dalam Jalan Bukit Malut. Kalau dari Pantai Cenang / Pantai Tengah, silalah ambil jalan pantai nak ke Kuah. Lepas Kelab Golf Langkawi (belah kiri), ada satu lorong kecil belah kanan dengan sign-board tak berapa nak besar tertulis "Medan Selera Nelayan". Jangan sesat lagi macam aku sudah. Ini wa kasi koordinat GPS 6.319591, 99.796057.


Ok... dah sampai restoran. Orang tak ramai... cantekkk! Duduk pastu datang encik pelayan. Nak order seafood kena pi tengok belakang kedai apa yang ada.



Wahhh... macam2 ada you! Rambang mata i nak memilihnya. Sabaq... jalan gelojoh. Kita nak terai benda yang payah nak jumpa kat semenanjung ajer.

Mari kita berkenalan dengan beberapa spesis pelik yang belum pernah dijumpai. Orang lain mungkin dah pernah, saya belum.

Siput buluh a.k.a pahat. First time jumpa benda ni. Okeh... ambik 100 gram

Siput sudu. Nampak macam lala jer. Okeh... tak yah ambik.

Ikan ketang. Bukan kentang, bukan ketam. Tak yah ambik jugaklah.

Ikan jepun. Yaperdaaa nama negara lak! Sedap digoreng begitu saja. Okeh... nak rasa. Ambik dua ekor.

Ketam. Nak makan tapi leceh lah nak kopek kulit bagai. Tak yah ambik

Bawal putih. Okeh ambik sekor. Kita masak masam manis.

Selesai memilih makhluk yang akan dijadikan lauk, kasi kat abang tu dia akan timbang. Lepas tu bagi tahu nak masak macam mana. Kalau tak bagi tahu pun, nanti dia tanya. Jangan risau kalau anda tak tahu jenis2 masakan yang ada di atas muka bumi ini. Asalkan anda tidak buta huruf, semuanya telah disajikan di papan kenyataan ini. Pilih sahaja mana yang berkenan.



Nak dijadikan cerita, kebetulan pulak malam kami pergi makan tu, restoran ini telah ditempah khas oleh somebody untuk membelanja petugas LIMA, tapi tak tahulah petugas bahagian mana. Logiknya, kalau dia nak jamu SEMUA petugas yang ada, tak cukup tanah restoran tu nak sediakan tempat. So, saya rasa ini sebahagian sahaja yang mungkin ada kaitan dengan somebody yang nak open table neh. Majoriti meja telah ditempah khas. Mujur kami datang awal sikit. Jadi masih ada ruang untuk kami empat beranak ni menjamu selera.

Bila dah ramai2 nak datang makan serentak macam tu, dengan sumber tenaga yang terhad,  pengeluaran tidak dapat memenuhi permintaan dengan pantas. Maka berlakulah bottle neck apabila sumber tenaga yang ada terpaksa dikerahkan untuk memenuhi permintaan somebody itu. Pesanan kami terpaksa ikut queue entah dah jatuh ranking ke berapa tak tahu. Dekat sejam punya tunggu, akhirnya baru complete hidangan kami.  Kami pun tak salahkan mereka malah amat memahami senario yang berlaku di masa itu betapa mereka amat sibuk sekali menyediakan hidangan pelanggan yang sangat ramai nak datang makan serentak. Sabor je lah. Apo nak buek? The timing is not right.

As a reward, dapatlah makan makanan pelik2 neh. Bukan dapat makan free pun. Kena bayar jugak!

Pahat masak sambal telur

Ikan jepun goreng biasa

Ikan bawal bakar

Dah makan, dah kenyang, orang pun ramai... serabut ah! Jom balik! Tomorrow is the final day in Langkawi. Layan orang shopping kat Pekan Kuah.

CLINIC CAFE SEBERANG JAYA

There was a day I went to Seberang Jaya, Penang.

Bukan saje pergi suka2 melancong ke, melawat sedara ke hape. Kita pergi buat kerja kena outstation taw!
Beberapa hari duduk situ, buleh kata hari2 pekena nasik kandaq.  Siang malam kari. Naik cemuih!

Nak dijadikan cerita, berdekatan dengan tempat kita buat kerja tu, adalah satu restoran ni yang boleh bikin hati tertarik. 

Manusia ni kalau sakit dan tak sihat akan pergi klinik. Tapi di Seberang Jaya, kalau lapar dan dahaga pun boleh pergi klinik. Klinik di sini bukan sekadar tempat untuk mendapatkan rawatan, tetapi ianya telah berkembang menjadi tempat makan. Saya tak pasti ada berapa banyak klinik seumpama ini di Malaysia. Mungkin ini satu-satunya.

Takde sape pun yang rekemen suruh saya makan kat sini. Jadi saya belum tahu tahap kesedapan menu yang disajikan. Lagi pun pada saya, sedap itu subjektif. Sedap bagi kita, mungkin tidak bagi orang lain. Dan ianya bergantung kepada keadaan tahap kelaparan sewaktu mengadap makanan tu. Kadang2 kita rasa biskut kering cicah teh-o pon sodap giler bila tahap kebuluran mencapai tahap gaban. Kadang2 tu pulak makang nasik lauk ikang singgang dengan ulang cicoh budu sedapnya bukang kepalang. Maka kerana itu saya mengamalkan prinsip daun serai, daun gaharu, belum try, belum tahu. 

Nak kata makanan dia healthy sangat tak jugak. Ada jer ala carte goreng2 dengan kandungan beribu-ribu kalori.  Kesimpulannya di sini, it’s not about the food. It’s about the concept, theme and decoration.

Café ni terletak di Jalan Todak 3, Pusat Bandar Seberang Jaya, Pulau Pinang, bertentangan pula dengan Supermarket Billion berhampiran dengan pusat membeli-belah Sunway Carnival. Ianya berada di satu kawasan dimana ia cuba memberi cabaran kepada beberapa buah restoran nasi kandar bertaraf gergasi yang terdapat berhampiran dengannya.   

Sekali pandang memang tak perasan ianya sebuah café. Dua kali pandang  mungkin kedai menjual peralatan untuk klinik. Tiga kali pandang, baru perasan. Restoran rupanya. 

Saya tidak pasti siapakah pemilik restoran ini. Walau pun begitu, perasaan saya lebih terarah kepada ianya dimiliki oleh non-muslim.  Kerana itu, sebelum masuk, saya cuba menggunakan hak saya sebagai pengguna. Ada seorang wanita berpakaian uniform putih, lagaknya seperti jururawat sahaja, nampak tercegat di muka pintu sambil memegang buku menu.

“Restoran ni halal ke?”
“Halal lah encik… kalau tak takkan saya kerja kat sini”, akak itu berkata dengan fasihnya dalam bahasa Malaysia.
“Oh, kalau macam tu, boleh lah kita makan kat sini”, saya membalas kenyataan akak tersebut dengan berkata kepada rakan saya.
“Eh… boleh apa pulak tak boleh. Ramai jer Melayu makan kat sini”, kata akak sambil menjemput kami masuk.
“Memanglah muka akak nampak Melayu… kot lah Indon ke, Sabah Sarawak ke”, saya berkata balik, tapi dalam hati je lah.

Maka dengan keyakinan dan iman yang teguh, kami melangkah masuk ke restoran ibarat seorang seorang pesakit mencari tuan doktor.

Saya terkesima dengan dekorasi restoran ini.  Ia membuatkan saya terasa seolah-olah seperti berada di satu sudut dalam sebuah hospital. Setiap benda yang ada di restoran ini ada kena mengena dengan hospital, klinik dan kesihatan. Poster yang menghiasi dinding restoran penuh dengan informasi biologi hal ehwal dalaman tubuh manusia. 

Cuma secara peribadi, saya rasakan ianya terlalu merah. Ada ke klinik / hospital yang guna warna merah? Owh... mungkin pemiliknya peminat pasukan "Setan Merah" agaknyer. Jadi bila gabungkan kelab bolasepak dengan kesihatan, inilah jadinya. Hahahaha... pandai2 jer aku buat kesimpulan.

Orang tak ramai, mungkin kerana di luar waktu makan. Kami datang 4.00 petang, baru nak lunch, apa barang!!!

Nurse tengah ambik order.

Lampu bilik bedah yang digunakan untuk membedah makanan dia atas meja makan.

Diorang guna bekas ni untuk letak sudu, garfu dan tisu. Sama jugak kalau kat hospital diorang letak pisau, gunting dan peralatan bedah lain.

Kelalang kon diguna untuk isi air minuman.

Bekas makanan yang biasa digunakan untuk letak peralatan bedah. Harap2 benda ni bukan bekas terpakai yang dibeli dari hospital.

IKLAN: Kami menyediakan perkhidmatan fotografi, dengan pengkhususan kepada majlis perkahwinan, keraian, hari jadi, aqiqah dan majlis-majlis rasmi, sesuai dengan kemampuan dan keperluan anda. Harga boleh bincang maaaa.... Sila hubungi kami di sini.

FOOD FESTIVAL

Syawal datang lagi. Pesta makanan yang bermula sejak Ramadan berlarutan untuk tempoh sebulan lagi. Ketika Ramadan, walau pun terdapat pelbagai jenis makanan di serata tempat, waktu makan hanya terhad pada sebelah malamnya sahaja. Dugaan Syawal pastinya lebih hebat. Sebutlah apa sahaja jenis makanan yang berlemak, berminyak, bergula serta berkolesterol tinggi, ianya pasti menjadi hidangan utama. Haiwan berlemak seperti daging dan ayam menjadi sangat popular. Sukar untuk menemui buah-buahan serta sayur-sayuran sebagai menu utama. Kalau ada pun, terhad kepada hidangan pencuci mulut sahaja.


Kunjungan saya ke majlis jamuan rumah terbuka aidilfitri anjuran menteri atau parti kerajaan yang memerintah biasanya sangat mewah dengan makanan. Keperluan untuk menyajikan hidangan percuma kepada puluhan ribu tetamu yang terdiri daripada kalangan rakyat jelata memerlukan peruntukan modal yang bukan sedikit. Oleh kerana ianya percuma, tetamu bebas mengambil apa sahaja,tanpa had dan kawalan. Kebenarannya adalah, ambil apa sahaja makanan yang dilihat mengikut nafsu, bukan mengikut akal fikiran yang waras sama ada boleh atau tidak dihabiskan makanan itu. Kalau tidak habis pun, boleh ditinggalkan sahaja. Tiada siapa peduli.

Nampaknya tiada siapa yang mempedulikan soal pembaziran. Tidak mungkin aku seorang sahaja yang mengambil apa yang difikirkan perlu dalam kuantiti yang sedikit. Mungkin ada beberapa orang lagi, namun majoritinya... aduhai typical malaysian!

Eat & Leave... sikap pengunjung yang tidak tahu melupuskan bekas makanan yang telah digunakan menyukarkan pengunjung lain menggunakan meja yang disediakan. Semak mata memandang, semak lagi aku cari tempat nak makan.
Jika dihitung dengan bekas makanan yang bertaburan di atas padang, maka bergunung lagilah sampah sarap yang berjaya dicipta oleh rakyat Malaysia. Patutnya diberi pengiktirafan, "jumlah sampah paling banyak dihasilkan dalam tempoh satu jam".


Saya agak keliru dengan kempen penjagaan alam sekitar yang diwar-warkan oleh kerajaan, kononnya bekas polisterin boleh menjejaskan ekosistem kerana mengambil masa sehingga 100 tahun untuk diurai. Namun dalam kebanyakkan kes, pihak kerajaan masih galak menggunakan bekas polisterin dalam kuantiti yang sangat banyak.

Apa neh? Cakap tak serupa bikin pon?

KOW PO BENTONG

Tan Kow Po adalah seorang lagenda dalam daerah Bentong, Pahang.

Sebut sahaja nama ini, dan masyarakat Bentong akan menunding jari ke sebuah kopitiam yang terletak bersebelahan dengan Hong Leong Bank, berhadapan dengan Stesen Bas Bentong.


Misteri di sebalik kopitiam ini, mereka memiliki khazanah ais krim buatan sendiri yang terenak, terlazat dan termasyhur di Pahang.


Walau pun tidak sepopular Baskin Robbins atau New Zealand Natural, sementelah itu semua orang putih punya aiskrim yang bagi sesetengah orang, rasanya biasa-biasa sahaja pun, tapi sebab konsep dan kaedah pemasaran yang cemerlang menjadikan mereka sangat terkenal.

Lagi pun nama Kow Po itu amatlah tidak komersil untuk diketengahkan sebagai francais atau pun ke pasaran antarabangsa.

Inilah dia aiskrim Malaysia, citarasa Malaysia dengan suasana kedai ala kopitiam yang hiruk-pikuk ala Malaysia.

Kunjungan kami sekeluarga ke Bentong setelah menghadiri satu majlis pertunangan membawa kami menerjah masuk ke dalam kedai ini setelah mendengar cerita yang agak memberangsangkan daripada saudara-mara yang pernah berkunjung ke sini.

Ianya sebuah kopitiam yang diusahakan oleh keluarga Tan Kow Po, hanya menyajikan makanan pencuci mulut (dessert) berasaskan ais krim pelbagai perasa sebagai tarikan utama untuk ke sini.

Walau pun tiada sebarang logo halal dipamerkan, kehadiran muslimin dan muslimat lain yang sudah tetap di sini, dan barangkali lebih arif sejarah dan tamadun yang terdapat pada kopitiam ini, memberi petanda bahawa tiada apa yang perlu diragukan. Tambahan, mereka tidak menyediakan sebarang makanan, apatah lagi makanan berdaging.

Satu-satunya sumber makanan yang kami nampak hanyalah nasi lemak yang diusahakan oleh sepasang pakcik dan makcik, pastinya Muslim yang menumpang mencari rezeki, membuka gerai jualan di hadapan kopitiam ini.


Dan kedai ini hanya fokus kepada minuman dan pencuci mulut berasaskan ais krim sahaja.

Tahap kebersihan juga amat membanggakan dengan pengiktirafan kelas A oleh pihak berkuasa tempatan.

Bahagian penyediaan minuman diletakkan di bahagian hadapan, tempat orang lalu lalang, keluar masuk ke kedai. Jadi kita boleh melihat dengan jelas proses penyediaan minuman yang dipesan berserta dengan ramuannya sekali. Ini secara tidak langsung boleh meningkatkan lagi tahap keyakinan pelanggan terhadap ramuan yang digunakan, begitu juga dengan tahap kebersihan yang diamalkan di kedai ini.


Menu yang menjadi kelaziman dipersembahkan dalam bentuk visual supaya lebih mudah untuk dibuat penilaian terutama sekali kepada pelanggan baru.


Di kedai ini, segalanya berkenaan dengan aiskrim. Pesanlah apa sahaja pemanis mulut idaman anda, pastinya aiskrim menjadi ramuan utama. Ais kacang, cendol, air jagung, di dalamnya mesti ada aiskrim.


Sememangnya kedai ini popular dengan aiskrimnya. Hidup mati kedai ini adalah kerana aiskrimnya. Dikhabarkan pelanggannya datang bukan setakat dari dalam negara, malah dari negeri atas angin sana juga, hanya kerana ingin menikmati aiskrimnya.

Kegemilangan Kedai Kopi Kow Po diabadikan dalam bentuk keratan akhbar dan foto-foto bersama selebriti serta orang kenamaan dipaparkan di bahagian hadapan untuk tatapan pelanggan.



IKLAN: Kami menyediakan perkhidmatan fotografi, dengan pengkhususan kepada majlis perkahwinan, keraian, hari jadi, aqiqah dan majlis-majlis rasmi, sesuai dengan kemampuan dan keperluan anda. Harga boleh bincang maaaa.... Sila hubungi kami di sini.

MY YUMMY TEMOSA


Setiap kali pulang ke kampung halaman di negeri Terengganu Darul Iman, ini adalah antara menu yang wajib dicari demi memenuhi tuntutan nafsu makan yang tidak terbatas ini.

Selain daripada keropok lekor dan satar, karipap inti ikan atau lebih dikenali di kalangan penduduk tempatan dengan nama "temosa" (disebut temose dengan huruf 'e' dibunyikan dengan 'e pepet') tetap menjadi pujaan di hati beta.

Kalau di kampung saya, tak susah pun nak cari. Ada jiran yang tinggal berdekatan, merangkap sahabat kepada ibu saya, mengusahakan produk temosa secara kecil-kecilan, kebanyakkannya dalam bentuk separa siap atau lebih glamer dengan nama frozen. Tak yah cakap nak makan. Bila saya balik jer, secara otomatik ibu saya pasti mendapatkan stok temosa untuk kami anak-beranak makan. Kadang-kadang makan time sarapan, kadang-kadang sambil minum petang, kadang-kadang bila tiba musim diet, dinner makan temosa jer. Biasanya, kami dapat merasai keenakkan temosa yang fresh baru keluar dari kilang. Yummy my tummy!

Seingat saya, belum pernah lagi bertemu dengan makanan seumpama ini di Lembah Klang. Balik-balik karipap kentang. Kadang-kadang tu nama jer karipap ayam lah, karipap daging lah, karipap sardin lah, tapi isi kat dalam nampak kentang jer. Agaknya, bila diorang taruk rempah kari ayam, jadilah karipap ayam. Bila taruk rempah kari daging, jadilah karipap daging. Ayam ntah ke mana, daging pun ntah ke mana.

BATU PAHAT: THE BISCUIT TOWN

Apa ada dengan Batu Pahat?

Walaupun bandar Batu Pahat bukanlah sebuah bandar pelancongan atau pusat membeli-belah yang tersohor lagi terkemuka, adalah saya sebagai orang asing yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke bandar Batu Pahat, secara peribadi, berasa teruja dengan pembangunan dan kepesatan bandar Batu Pahat.

Batu Pahat bukanlah ibu negeri Johor Darul Takzim, namun kesibukkan, pembangunan dan kerancakkan kegiatan ekonominya lebih meriah berbanding dengan sesetengah bandar lain yang mencapai status ibu negeri. Malah terdapat sesetengah agensi kerajaan yang mana besar bangunannya sudah macam ibu pejabat negeri. Tiada siapa yang gemarkan kesesakkan jalan raya, tapi hakikatnya itulah salah satu lambang pembangunan.

Batu Pahat juga merupakan pusat pengeluaran biskut hup seng cap ping pong dan munchy's. Semestinya biskut mereka sangat terkenal ke seluruh negara bukan?

Mungkin taksub dengan singkatan BP, atau kesetiaan kepada BP, atau nama BP tu memang catchy dengan Batu Pahat, saya dapati bilangan stesen minyak BHP (dulu BP) melebihi daripada stesen minyak jenama lain. Ini jarang berlaku di bandar-bandar lain, stesen BHP ibarat melukut di tepi gantang sahaja.

Untuk benar-benar sampai ke bandar Batu Pahat, kami melalui banyak perkampungan yang mana pangkalnya bermula dengan nama "parit". Mengikut lagenda, "parit-parit" ini didiami oleh orang melayu keturunan jawa.

Hampir keseluruhan masa yang ada terpaksa dihabiskan untuk menyelesaikan tugasan rasmi membuatkan saya tidak sempat untuk meneroka sehingga ke ceruk bandar dan kampung, kononnya nak melancong. Saya sedar dan pasrah kedatangan saya adalah kerana urusan kerja, jadi buat kerja dahulu, nak jalan kemudian.

Namun begitu, saya masih cuba mencari senggang waktu untuk menjelajah mencari keunikkan menu makanan yang ada di Batu Pahat.

Lalu, sebaik sahaja tiba dari Kuala Lumpur, saya terus menuju ke Restoran Nasi Beriani Power yang terletak di Taman Soga. Nasi beriani adalah ikon Batu Pahat. Ibarat nasi kandar di Pulau Pinang atau nasi dagang di Terengganu, nasi beriani mudah didapati di restoran atau warung di sekitar bandar Batu Pahat. Cuma sebagai orang luar, agak sukar untuk membezakan nasi beriani manakah yang benar-benar lazat. Pengalaman menjamah nasi beriani di dua restoran yang berbeza habya boleh diterjemahkan dalam dua perkataan. SEMUA SEDAP!

Uniknya nasi beriani Batu Pahat adalah rasanya yang agak manis jika dibandingkan dengan nasi beriani di bandar lain. Tidak pasti pula manis itu datangnya dari gula atau madu, tapi rasa manis-manis berempah memberikan satu citarasa berbeza yang sedap sebenarnya. Terasa tidak cukup sepinggan. Nak tambah lagi!

Disini juga saya mengenal perbezaan antara nasi beriani gam dengan nasi beriani biasa (tiada gam).

Apa yang menjadikan nasi beriani itu bergam ialah lauk utama seperti daging lembu, kambing atau ayam digaul bersama nasi, manakala yang tidak bergam itu pula hanya nasi kosong sahaja. Lauk asing, dalam gulai.

Nasi Beriani Power Taman Soga memang lazat. Terlampau lazat sehingga kereta kami yang diparkir di depan restoran kenalah saman. Mana nak tahu kan? Kami baru jer sampai dari KL, enjin kereta pun tak sejuk lagi. Kami langsung tak tahu sistem parking kat situ kena pakai kupon. In fact, tak nampak pun sign-board yang mengatakan kami kena beli kupon untuk parking kereta.

Kawtim dengan mamat penguatkuasa tu, dia pun macam bersalah jugak saman kitorang yang baru sampai dan tak tahu apa-apa nih. Tapi sebab tiket saman tu sudah tertulis, dia pun tak boleh nak kensel lagi. Nak tak nak, kena bayar jugalah. Cuma kami minta tolong mamat tu tolong bayarkan. Kami nak pergi pejabat perbandaran tak sempat. Ahad dah nak balik  KL. Bagi kat mamat tu RM10 dan kami bertukar-tukar nombor telefon. Petang tu jugak mamat tu call dan jumpa kitorang balik... bagi resit. Setel...

Satu lagi menu menarik yang tidak kedapatan di tempat-tempat lain adalah sejenis mi berkuah yang digelar penduduk tempatan sebagai mi racun...

Mendengar namanya sahaja sudah mengerikan bukan?

Orang putih kata "don't judge a book by it's cover, man..."

Orang melayu kata "daun serai daun gaharu, cuba dulu baru tahu..."

Senang cerita... memang mablesss lah ini mi!!!


Rupanya berkuah seperti mi rebus, tapi lebih kemerahan. Dengan rasa yang pedas-pedas manis, dan yang paling teristimewa sekali disajikan bersama ketulan-ketulan tulang kambing siap dengan straw sekali. Tujuannya... untuk menyedut sum-sum yang terdapat di dalam tulang tersebut.


Inilah pertama kali dalam sejarah saya makan suatu hidangan sebegini. Walau pun menyedut sum-sum masih tidak dapat dijadikan satu kegemaran (memikirkan lemak-lemak yang terkandung di dalamnya), tapi saya pasti saya akan mencari mi racun lagi sekiranya pergi ke Batu Pahat lagi.

Saya juga terjumpa dengan sejenis laksa yang unik. Laksa Buyung nama diberi. Mai semangkuk... nak terai...


Inilah rupanya laksa buyung. Sedap? Oklah... rasa dia, rupa dia macam laksa utara, tapi bukan laksa utara sebab kuah dia warna putih macam kuah laksa terengganu. Makan pulak dengan cili padi... perghhh berpeluh!

Lain-lain juadah istimewa yang saya sempat rasa, atau dalam kata lain yang lebih sopan ialah paw kawan punya adalah mee bandung, tauhu bakar dan asam pedas batu pahat. Semuanya enak-enak belaka.

Kesimpulannya, Batu Pahat ni bab makan memang heaven!


IKLAN: Kami menyediakan perkhidmatan fotografi, dengan pengkhususan kepada majlis perkahwinan, keraian, hari jadi, aqiqah dan majlis-majlis rasmi, sesuai dengan kemampuan dan keperluan anda. Harga boleh bincang maaaa.... Sila hubungi kami di sini.