CANOPY TAMAN NEGARA

Titian kanopi dibina pada tahun 1992 di Taman Negara oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara.

jalan terus untuk masuk ke alam bunian.

Titian kanopi Taman Negara ini bukan sahaja yang terpanjang di Malaysia, malah mencatat rekod sebagai yang terpanjang di dunia dengan jarak titian sehingga 550 meter dan ketinggian 50 meter. Semasa lawatan ini pun, pihak Taman Negara dalam proses untuk melanjutkan jarak titian ke suatu jarak baru bagi memecahkan rekod sedia ada.



Ia dibina dengan kabel besi dan jaring khas berkualiti tinggi serta tali yang kukuh dan mampu menampung berat lebih dari 5 tan dan kabel besi lebih dari 10 tan.

Ia tidak menggunakan paku yang mampu merosakkan pokok yang ada. Saya tidak pasti teknologi apakah yang diguna untuk mengikat kabel-kabel tersebut ke batang pokok, tapi ia kelihatan amat kukuh.

pengalaman meniti titian kanopi bermula di sini.
sebahagian pelancong sedang berehat sambil menunggu giliran untuk bergerak melalui titian kanopi.

Untuk berjalan di atas titian kanopi ini, kita tidak boleh berjalan beramai-ramai sambil bertepuk bertampar dengan kawan-kawan sambil bergelak ketawa macam berjalan kat Bintang Walk. Shuffle adalah diharamkan sama sekali!

Setiap peserta akan dilepaskan seorang demi seorang kerana kapasiti titian hanya membenarkan seramai empat orang manusia sahaja harus berada di atasnya untuk satu-satu masa.

peraturan yang dibuat bukan untuk menyusahkan, tetapi untuk keselamatan. kalau tak ikut peraturan siapa yang susah?

Ia disambungkan dari satu pokok ke pokok yang lain yang bukan sahaja bertindak sebagai tiang jambatan, malah sebagai pelantar untuk berehat serta mengambil gambar. Jangan berhenti di atas titian kerana ianya boleh menghalang perjalanan orang lain.

berada di atas pelantar membolehkan anda mengambil gambar rakan-rakan lain yang sedang berjalan di atas titian.sekiranya anda ingin gambar anda dirakam, tukar kamera anda dengan rakan.

Pokok tinggi yang melepasi kanopi hutan hujan tropika secara purata mampu mencapai 45 hingga 55 meter dan untuk sesetengah spesies daripadanya boleh mencapai ketinggian 60 hingga 70 meter.

berada di atas kanopi membuatkan kedudukan kita lebih tinggi dari kebanyakkan pokok.
pemandangan indah sungai tembeling dapat disaksikan dengan jelas dari salah satu pelantar titian kanopi.

Sedikit bayaran dikenakan dengan kadar RM5.00 untuk dewasa, serta RM3.00 bagi kanak-kanak sebelum dibenarkan meniti laluan kanopi ini. Seelok-eloknya kanak-kanak itu biarlah sudah mumayyiz serta datang dari spesis yang boleh berjalan sendiri kerana kelakuan mendukung anak sambil berjalan di titian ini amatlah merbahaya. Walau pun nampak kacang, orang yang berjalan memerlukan keseimbangan di mana kedua-dua belah tangan harus berpaut pada tali di sepanjang laluan ini. Untuk menjadikan cerita ini lebih ngeri, ada kemungkinan anak yang di dukung itu boleh terjunam lalu merempuh pepohon yang rendang sebelum jatuh terhempas ke bumi lalu menyebabkan hati kita akan berkecai menyesal tak sudah.


aksi lagak ngeri untuk terjun dari titian kanopi tidak berhasil setelah menyedari amal ibadat belum sampai ke tahap wali.

Trivia 1: Titian Kanopi Taman Negara akan diganti dengan kelengkapan yang baharu setiap lima tahun sekali bagi menjamin keselamatan pengunjung.

Trivia 2: Aremes Sdn.Bhd merupakan kontraktor yang dipertanggungjawabkan untuk memasang dan menyelenggara titian kanopi ini. Sebelum dilantik sebagai kontraktor, syarikat ini mempunyai pengalaman dalam industri pembalakan, lantas memberi kelebihan kepada mereka untuk bekerja di dalam hutan.


IKLAN: Kami menyediakan perkhidmatan fotografi, dengan pengkhususan kepada majlis perkahwinan, keraian, hari jadi, aqiqah dan majlis-majlis rasmi, sesuai dengan kemampuan dan keperluan anda. Harga boleh bincang maaaa.... Sila hubungi kami di sini.


TERISEK HILL


Pengembaraan aksi lasak di dalam kawasan Taman Negara di teruskan lagi dengan pendakian ke puncak Bukit Terisek.

papan tanda penunjuk arah bagi memastikan anda tidak sesat di hujung jalan. kalau sesat dihujung jangan, kembalilah ke pangkal jalan.

Kepada pendaki tegar bertaraf profesional, setakat Bukit Terisek ni takde apelah sangat jika dibandingkan dengan pendakian ke Gunung Tahan yang sudahb tentu berkali-kali ganda lebih mencabar hinggakan mengambil masa berhari-hari untuk sampai. Berapa kali kena tidur dalam hutan tuh? Nak jugak merasa tapi tak tahu bila.

Tetapi kepada pendaki amatur, pendakian ke puncak Terisek boleh dianggap satu cabaran yang dahsyat sekiranya anda kurang cergas serta kurang bersenam. Walau bagaimanapun, walau sepower mana pun anda mendaki, air kena bawak. Mendaki membuatkan anda berpeluh, mengah dan cepat haus.

Bukit Terisek merupakan salah satu daripada jajaran bukit dan gunung yang membentuk banjaran Tahan. Owh, baru kali ini saya tahu kewujudan banjaran Tahan. Selama ini saya fikir Taman Negara dan Gunung Tahan berada dalam kawasan banjaran Titiwangsa!

Mendaki Bukit Terisek menjadi salah satu aktiviti popular yang biasa dilakukan oleh pengunjung ke Taman Negara memandangkan kedudukannya yang hampir dengan kawasan penginapan. Tambahan, trek pendakiannya tidaklah begitu merbahaya. Ketinggiannya pula hanya mencecah 344 meter sahaja serta mengambil masa tidak sampai dua jam untuk menamatkan sesi naik dan turun pendakian.

Cubalah!

stairway to heaven. lihatlah betapa berpeluhnya beliau walau pun berjalan di atas platform. pihak taman negara telah menyediakan platform sebegitu rupa bagi memudahkan pendakian. tapi jangan ingat sampai ke atas ada platform macam ini. masa mula-mula nak start sahaja.
lepas tu panjat tanah lah jawapnyer.

Pemandangan dari satu lokasi yang dinamakan sebagai "second view point", lebih kurang lagi 15 minit untuk sampai ke garisan penamat.

Titik akhir di puncak Bukit Terisek. Dah sampai sini kena patah balik.



IIKLAN: Kami menyediakan perkhidmatan fotografi, dengan pengkhususan kepada majlis perkahwinan, keraian, hari jadi, aqiqah dan majlis-majlis rasmi, sesuai dengan kemampuan dan keperluan anda. Harga boleh bincang maaaa.... Sila hubungi kami di sini.

A BUG'S LIFE

Serangga ialah benda hidup dari kelompok haiwan Invertebrata, kelas Insecta, yang mempunyai bilangan spesies terbanyak. Anggaran jumlah keseluruhan spesies ini, termasuk yang belum dikenali oleh sains adalah antara dari 20 hingga 30 juta.

Terdapat sekitar 5,000 spesies pepatung (dragonfly), 2,000 mentadak (praying mantis), 20,000 belalang (grasshopper), 170,000 rama-rama dan kupu-kupu, 120,000 lalat, 82,000 pianggang, 350,000 kumbang, dan 110,000 spesies lebah dan semut. Subhanallah... hebat sungguh bukan?

Dalam puluhan juta tu, hanya beberapa ekor ini sahaja yang sempat ditemui ketika ekpedisi ke Taman Negara Pahang. Yang lain-lain tu tak tahulah menyorok kat mana. Nak kena bertapa sebulan dalam hutan baru jumpa barangkali.

Nama-nama yang diberikan kepada serangga-serangga ini adalah rekaan mengikut sesedap rasa sahaja. Untuk mendapatkan nama sebenar atau pun nama saintifik mereka, sila bertanya pada mana-mana pakar serangga atau rujuk ke Jabatan Perhilitan berhampiran anda.


mentadak hutan kalau tak silap. apa yang saya kagum adalah bukan sebab mentadak tu, tapi kecekapan pemandu pelancong mengesan serangga ini dalam kepekatan malam. pada saya, antara serangga ini dengan ranting kayu dah takde beza pun. 
labah-labah. iyer... semua orang tahu labah-labah. tapi labah-labah spesis apa?
serangga daun. ek eleh senang jer bagi nama, mentang-mentang rupa dia macam daun. kalau rupa dia macam buah nak bagi nama serangga buah? ok... ekceli saya tak tahu nama dia, tapi sangat eksotik. mungkin seekor belalang yang sedang menyamar menjadi daun.

yang ini memang brutal. tengok dia punya misai jer lipas pon mencicit lari.

yang ni nak menyamar jadi daun kering pulak yer?

dalam pada duk jumpa serangga yang ganas-ganas tu, ada jugak yang comel rupanya.

angle dari depan plak. kecik jer muka nyer pon. tak padan dengan badan.

Selain dari serangga, Taman Negara Pahang juga menjadi habitat kepada entah berapa juta lagi spesis fauna yang membentuk hutan hujan tropika ini. Antara yang sempat saya rakam tatkala tangan masih gagah mengusung DSLR masuk ke dalam hutan (lepas tu masuk bag supaya lebih fokus kepada aktiviti mendaki)

bunga apa yer? biasa tengok tapi tak tahu nama. biasa ditanam di taman bunga atau taman permainan sebagai pokok hiasan. masa ni belum masuk hutan lagi. dirakam di sekitar kawasan Mutiara Taman Negara

pokok tapak hantu (ko nak tapak kaki ke tapak tangan?), sejenis pokok herba yang mempunyai pelbagai khasiat dan boleh dibuat ubat. mendapat nama sedemikian rupa kerana bentuk daun dia macam tapak tangan hantu. hah... iyer ke?

ketul-ketul putih atas tanah tu nama dia ubi jaga. khasiat dia power juga, cuma nak masak dia leceh sikit kena rendam seminggu rasanya.

pokok rotan. baru saya tahu bahawasanya pokok rotan itu berduri. maklumlah selama ni duduk atas kerusi rotan mana nak rasa durinyer.

halia hutan. tak tahu lah boleh buat teh halia ke tidak.

pokok-pokok besar yang menjulang tinggi macam ini, entah berapa ratus tahun sudah usia dia.

Begitulah serba sedikit khazanah yang ada dalam Taman Negara. Jenuhlah nak cerita semua berapa tan flora dan fauna ada kat dalam tu. Profesor universiti yang buat research pasal hutan ni pun tak dapat nak cerita semua. Ini pulak nak cerita dalam blog cinonet neh.

Kalau nak alami sendiri pengembaraan menyaksikan flora dan fauna, pergilah melancong ke Taman Negara.

Akhir kalam, sayangilah hutan kita. Hutan kita, wajah kita... (eh itu filem lah badigol!)


IKLAN: Kami menyediakan perkhidmatan fotografi, dengan pengkhususan kepada majlis perkahwinan, keraian, hari jadi, aqiqah dan majlis-majlis rasmi, sesuai dengan kemampuan dan keperluan anda. Harga boleh bincang maaaa.... Sila hubungi kami di sini.

BATEQ ORI

“Mudahnya mereka berkahwin. Tiada hantaran, tiada jamuan dan tiada persandingan. Kalau orang kita mahunya ditolak bulat-bulat pinangan aku jika tiada semua itu,” bisik seorang rakan apabila mendapat tahu bagaimana Orang Asli Bateq mendirikan rumah tangga.

Jika begitu ringkasnya majlis perkahwinan, tentu saja upacara merisik dan meminang lagi mudah. Tertarik dengan perkara berkaitan perkahwinan kaum itu, saya bertanya kepada Mahyuddin, seorang pemandu pelancong berketurunan Melayu tetapi begitu hampir dengan kehidupan suku kaum Bateq di Taman Negara Pahang.

Inilah Mahyuddin, kalau lebih mesra dengan panggilan Din. Melihatkan pada rupa paras beliau, pada mulanya kami fikir beliau adalah salah seorang dari kalangan kaum Bateq, tapi beliau tidak mengaku. Logik jugak... tengok pada nama dan percakapan, macam Melayu jer mamat neh.

Kata Mahyuddin, urusan meminang dan merisik orang Bateq memang mudah. Walau pun tidak sama dengan budaya Melayu, tidak bermaksud mereka tiada adat, cuma caranya berbeza.

Jika terdapat seorang lelaki jatuh hati kepada seorang perempuan, keluarga lelaki berkenaan akan bertemu dengan keluarga perempuan bagi menyatakan tujuan mereka. Jika malu atau segan, Tok Batin boleh menjadi wakil bagi keluarga lelaki.

Setelah kedua-dua keluarga bersetuju, maka keputusan terakhir sekarang terletak kepada si perempuan. Untuk satu malam, pasangan ini akan dibiarkan berdua-duaan di dalam sebuah rumah untuk mengenali hati budi masing-masing. Tiada aksi terlarang kerana mereka sangat patuh kepada adat. Sekadar berbual-bual sahaja barangkali.

Andainya masing-masing sudah suka, perkara itu akan disampaikan kepada pihak keluarga. Hanya dengan persetujuan, perkahwinan mereka sudah dikira sah dan mereka diisytiharkan sebagai suami isteri. Selesai! Tak perlu akad ke, nak daftar ke, hantaran, pelamin, kenduri-kendara, pendek kata tak perlu keluar duit satu sen pun!

Undang-undang rimba tidak perlu terlalu kompleks. Life is simple!

Walau pun mudah, tapi proses untuk menjadi lelaki sejati bukanlah senang. Rukun nikah yang paling agung bagi lelaki kaum Bateq ialah kewajiban menguasai kemahiran menyumpit dan berburu. Tak pandai berburu, tak boleh kahwin. Ini bagi menunjukkan mereka mampu menyara dan menjaga keluarga sesudah berkahwin.

Walau di bandar, mahu pun di rimba, tanggungjawab lelaki tetap sama, mencari nafkah untuk keluarga.

Menyumpit adalah suatu kemahiran yang mesti ada pada kaum lelaki Orang Asli Bateq.

Aduhhhh... seorang mangsa yang telah berjaya disumpit.

Kaum Bateq sejak kecil lagi diasuh dengan kehidupan memburu haiwan seperti monyet, tupai dan burung. Mereka merupakan satu-satunya kelompok manusia yang dibenarkan berburu di dalam kawasan Taman Negara dan tidak tertakluk kepada mana-mana akta perhilitan atau perhutanan, dengan syarat hasil tersebut hanya untuk kegunaan sendiri dan ahli keluarganya sahaja.

Mengikut kepercayaan mereka, haiwan di atas pokok atau tinggal di tempat tinggi lebih suci daripada haiwan yang melata dibumi. Bukan bermakna mereka tidak makan haiwan yang melata di bumi, cuma jika diberi pilihan, haiwan yang berada di atas itu lebih baik dari di bawah.

Indeks prestasi pemburuan lelaki Bateq diukur melalui tanda yang diukir pada buluh sumpit. Tanda itu menunjukkan bilangan korban yang berjaya disumpit oleh pemiliknya. Namun begitu bukan boleh main tanda suka hati jer beb... Hanya Tok Batin sahaja yang layak menanda buluh sumpit berkenaan. Camane cara diorang tanda, korang kena pergi tengok sendiri.

Setiap sumpit yang dihasilkan itu dibuat khas secara eksklusif untuk seorang pemilik sahaja. Kira macam costume made lah! Maknanya tak bolehlah nak sharing-sharing walaupun sharing is caring, melainkan sumpit yang digunakan sebagai produk pelancongan, that one boleh sharing. Yang kita ni pulak duk hembus ke sumpit tu, dari mulut ke mulut... yennadeyyy... Orang Asli pun tahu hygiene tau tak? That's why mereka hidup walau pun cukup ala kadar dengan keperluan asas sahaja seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal, tapi mereka sihat tau dan jarang dijangkiti penyakit. Makanan mereka hanya dari sumber asli, takde campur chemical ke, bahan pengawet ke, artificial ke.

Maka kerana itu, saiz dan panjang sumpit itu berbeza, bergantung kepada keselesaan si pemilik. Ia ibarat aset peribadi yang harus dijaga dengan cemerlang. Ia bukan sahaja bertindak sebagai senjata, malah jodoh mereka juga ada tercatat di situ.

Baby Bateq

Lawatan singkat ke perkampungan kaum Bateq yang terletak di pinggir Sungai Tahan itu ternyata anugerah berharga apabila berpeluang mengenali peribumi yang dipercayai telah wujud sejak 1000 tahun sebelum Masehi. Itu pun berdasarkan penemuan arkeologi di Gua Cha, Kelantan. Mungkin lebih lama dari itu, wallahuaklam.

Orang Asli kaum Bateq berasal daripada kumpulan Negrito yang mempunyai beberapa ciri fizikal yang sama dengan populasi pigmi-afrika (pigmi; bertubuh kecil dan berbadan rendah). Tubuh mereka agak kurus, dengan kulit yang lebih gelap serta rambut kerinting afro semulajadi.

Mereka mengamalkan kepercayaan animisme, iaitu kepercayaan terhadap makhluk halus dan juga roh. Mereka tidak menafikan kewujudan Tuhan kerana mereka bukanlah ateis.

Perkampungan Orang Asli Bateq di pinggir Sungai Tahan boleh dilawati melalui pakej pelancongan yang disediakan di jeti Kuala Tahan.

Perjalanan menggunakan bot panjang tidak sedikit pun menjemukan. Malah kami disajikan dengan pemandangan indah hutan hujan tropika yang tertua di dunia sambil sesekali melayan hilai tawa rakan-rakan yang teruja dengan percikan arus sungai yang membasahkan penumpang di dalam bot.


Suku kaum Bateq sentiasa berpindah-randah disebabkan faktor sumber makanan yang menyusut atau apabila berlaku kematian dalam kampung itu. Mereka tinggal bertebaran dan tidak menetap di satu kawasan. Berdasarkan kajian, dipercayai mereka ini antara kumpulan nomad terakhir memandangkan kaum Orang Asli lain telah mula menetap di sesuatu kawasan serta menerima kehidupan yang lebih moden sesuai dengan arus pembangunan setempat.


“Kaum Bateq masih menghabiskan masa di dalam hutan dan tidak bersedia meninggalkan tradisi mereka. Mereka selesa tinggal di hutan dan masih berpegang teguh kepada kepercayaan nenek moyang mereka. Mereka juga lebih selesa tinggal di pondok buluh beratapkan rumbia daripada tinggal di dalam rumah batu,” Mahyuddin meneruskan ceritanya dengan lebih lanjut. Ternyata beliau mempunyai pengetahuan yang luas dalam hal ehwal yang berkaitan dengan kaum Bateq.

Anak-anak suku kaum Bateq. Jika anda bercadang untuk ke sini, sila bawa gula-gula, keropok jajan atau wang kecil untuk diagih-agihkan kepada anak-anak ini. Mereka pasti gembira!
"Anak-anak mereka pernah dihantar ke sekolah dengan bantuan penuh daripada kerajaan dari segi pengangkutan, keperluan sekolah dan sebagainya, namun ianya tidak bertahan lama. Tidak lama kemudian, mereka berhenti dan kembali meneruskan kehidupan seperti biasa," kata Mahyuddin sambil menghembuskan asap rokok berkepul-kepul naik ke udara.

Seperkara lain yang menarik mengenai budaya kaum ini ialah tradisi mengebumikan mayat di atas pokok.

Menurut Mahyuddin, pokok yang menampung "kubur" berkenaan tidak semestinya besar tetapi perlu kuat untuk menampung mayat.

Pondok untuk menempatkan mayat dibina daripada kayu hutan dan atapnya daripada daun pokok. Kuburan itu dibina jauh ke dalam hutan dan mengambil masa perjalanan yang lama serta sukar ditemui orang.

Mereka percaya dengan menempatkan mayat di atas pokok, ia membantu roh si mati supaya lebih mudah naik ke atas dan tidak mengekori serta mengganggu ahli keluarga yang lain.

Kami dipertontonkan dengan demonstrasi menyalakan api secara tradisional menggunakan hasil hutan seperti batang kayu dan rotan. Walau pun mereka sudah tahu menggunakan lighter bagi memudahkan kerja, namun kaedah tradisional tidak dilupakan.

Mula-mula gesekkan tali rotan pada batang kayu. Kayu pun tidak boleh sebarang kayu. Ada kayu-kayu tertentu sahaja. Gesek punya gesek sampai keluar habuk yang berbara.
Kejap jer, tak sampai seminit dah berbara. Cepat-cepat letak bara itu atas rumput kering. Tiup-tiup sikit bagi hidup apinya.
Tadaaa... dah dapat api!!! Hungga Hungga!!!
Pokok pulai daun meranti,
Anak tapir dua sejoli,
Kalau tuan nak tengok kami,
Datanglah ke Tahan kami menanti.

ewahhh... berpantun pulak dia!
IKLAN: Kami menyediakan perkhidmatan fotografi, dengan pengkhususan kepada majlis perkahwinan, keraian, hari jadi, aqiqah dan majlis-majlis rasmi, sesuai dengan kemampuan dan keperluan anda. Harga boleh bincang maaaa.... Sila hubungi kami di sini.

MANI - PEDI


Demi menyerlahkan keperibadian yang unggul serta bermutu tinggi, kecantikkan yang lahir dari jiwa yang bersih haruslah diiringi dengan rupa bentuk paras yang berkualiti tinggi. Jika selama ini penekanan hanya diberikan kepada kosmetik di wajah sahaja, aspek penjagaan tangan dan kaki sering sahaja diabaikan, sedangkan ada golongan lelaki (sila baca sebagai suami) yang suka memberi perhatian pada bahagian badan yang ini juga.


Bayangkan muka dah lawa macam Jessica Alba, tapi kuku di tangan lebam-lebam penuh dengan kotoran, siap ada taik kuku lagi dicelah-celahnya. Ada satu puak lagi ni suka sangat gigit kuku sampai pecah-pecah, kalo cakar muka orang sure berdarah. Sesungguhnya perlakuan itu amat tidak mempersonakan. Tapak kakinya pula menggerutu macam kertas pasir.  Owh tidakkkk!

ini adalah sampel kuku yang diperbuat daripada plastik untuk rujukan pelanggan memilih corak yang diingini. haruslah diperbuat daripada plastik, atau apa-apa bahan tiruan. hilang akal sape nak derma kuku betul
Merias tangan (oh my english!: manicure) adalah satu aktiviti kosmetik untuk merawat dan mencantikkan kuku yang berada di jari jemari tanganmu itu. Ianya boleh dilakukan sama ada  di rumah atau di salon kuku

suasana santai di pusat rawatan membolehkan anak-anak turut menyibuk sama. kalau anak anda tidak duduk diam, sumbat sahaja ke dalam sebuah bilik khas untuk kanak-kanak yang disediakan di tempat ini. foto dirakam di salah sebuah pusat rawatan di petaling jaya.

Rawatan manicure bukan sahaja rawatan untuk mencantikkan kuku, tetapi juga boleh melibatkan keseluruhan anggota tangan. Perkhidmatan manicure selalunya terdiri daripada proses rawatan, pembentukkan dan pembersihan kuku, urutan, penggilapan serta merias kuku dengan warna. Maka selemah-lemah manicure itu adalah dengan memotong kuku.

macam-macam warna ada. boleh tunjuk-tunjuk mana yang berkenan. tapi awas! sekiranya anda seorang Muslim, sila pastikan warna-warna ini dihilangkan sepenuhnya dari kuku-kuku anda sebelum mengangkat hadas kecil atau besar.

Perkataan manicure berasal dari bahasa Latin: Manus untuk "tangan" Cura untuk "menjaga".
 
Manakala, pedicure pula sama sebijik macam manicure, cuma kali ini perhatian diberikan kepada bahagian kaki pula. Sila baca balik perenggan-perenggan di atas dan tukar perkataan manicure itu kepada pedicure dan tangan kepada kaki. Mudah! 

tapak kaki setelah dilumur dengan losyen khas ini dikatakan mampu memberi penerajang yang jitu sehingga kerbau pun boleh tercampak 5 kilometer jauhnya.
Aktiviti manicure dan pedicure dilakukan bukan sekadar untuk menyerlahkan kecantikan tangan dan kaki, bahkan ianya boleh membantu mencegah penyakit serta gangguan pada kuku. Kita ni orang Melayu, makan nasik dengan tangan. Baik punya gaul dengan budu, belacan, tempoyak semua ada kat dalam tu, kalau kuku penuh kotoran, tak ke cari penyakit namanya? 

Saya cadangkan supaya pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar menjalankan rawatan ini pada haiwan ternakan untuk mengelakkan penyakit kuku dan mulut berleluasa? 
(Deyyy... lembu mana ada tangan dowh!)

antara peralatan bling-bling yang boleh dilekatkan pada kuku bagi mendapatkan hasil seperti di atas (gambar mula-mula tu
Walau bagaimanapun, sebagai ummat Islam yang solehah, saya tidaklah menyuruh beliau untuk mewarnakan kuku sehingga ke tahap yang boleh menghalang daripada berwuduk. Kita gilap-gilap, polish-polish, shining-shining sudahlah, kan sayang!

seorang pekerja di pusat rawatan tersebut tekun "meng-servis" kuku beliau dengan penuh sopan santun
Bukankah kecantikkan itu hak milik setiap insan? 

TRANSIT ZUHRAH


Zuhrah adalah sebuah planet yang kedua terdekat dengan matahari. Dinamakan Zuhrah kerana mengambil nama dalam bahasa Arab yang bermaksud bunga, kerana bentuknya pada waktu pagi atau senja seakan-akan bunga. Saya kurang jelas dalam hal ini. Mungkin terpaksa menggunakan teropong khas untuk melihat bentuk bunga itu.

Dalam bahasa Inggerisnya pula dinamakan Venus, iaitu Tuhan cinta Rom. Apa kaitannya planet ini dengan Tuhan cinta Rom tidaklah dapat saya pastikan. Tapi apa yang pasti, kebanyakkan nama planet di dunia barat sememangnya dinamakan dengan nama Tuhan Yunani-Rom. Tetapi kita sebagai umat Islam yang bertaqwa dan beramal soleh tidak patut menyamakan mana-mana planet dengan nama Tuhan kita. Planet pun makhluk juga. Ciptaan Allah juga.

Dalam bahasa yang lebih puitis, umpamanya dalam sajak, lirik lagu atau pun madah orang bercinta, planet ini dinamakan Kejora, atau lebih tepat lagi bintang Kejora, kerana ianya adalah objek semula jadi yang paling terang di angkasa (selepas bulan) dan boleh dilihat dengan mata kasar pada waktu-waktu tertentu. Orang biasa mungkin susah nak beza bintang Kejora dengan bintang-bintang lain yang bertaburan di angkasa. Kena tanya orang yang arif dalam bidang astronomi.

Tanggal 06.06.2012, planet Zuhrah sekali lagi telah melintasi orbit matahari pada kedudukan sejajar dengan Bumi setelah melakukan perkara yang sama kali terakhir dulu pada 08.06.2004. Selepas daripada ini, anda harus menunggu sehingga ke tahun 2117 untuk menyaksikan fenomena yang sama. Bukan 10, 20 atau 30 tahun, tapi selama 105 tahun! Takkan mungkin engkau boleh melihat benda yang sama lagi, secara live!

Nampak macam tempoh masanya tidak konsisten bukan? 2004, 2012. Kenapa tidak 2020? Kenapa harus tunggu sehingga 2117 giler lama budak yang baru lahir hari ni pun kemungkinan besar tak dapat nak tengok.

Okeh... ceritanya macam ini. Bumi bergerak mengelilingi matahari selama 365 hari (lebih kurang) bagi melengkapkan satu pusingan lengkap yang kita namakan sebagai setahun. Ini semua orang tahu. Memandangkan kedudukan Zuhrah lebih hampir dengan Matahari, sudah tentu tempoh setahun di sana lebih singkat bilangan harinya, iaitu 243 hari sahaja untuk mengelilingi Matahari dengan lengkap.

Tambahan pula, orbit Zuhrah lebih kecil dan pergerakkannya juga lebih laju, maka ia akan melintasi bumi setiap 1.6 tahun. Bila genap masa 1.6 tahun tu, Matahari, Zuhrah dan Bumi akan berada dalam kedudukan selari, tapi bukan dalam satu garisan lurus.

Macamana pulak tu?

Ok, sekarang bayangkan orbit Zuhrah itu kedudukkan dia ada sedikit senget. Kerana itu, bila cukup masa 1.6 tahun itu, transit tidak berlaku kerana Zuhrah berada pada kedudukan sedikit ke atas atau ke bawah dari matahari, menyebabkan tiada halangan antara Bumi dan Matahari.

Tak boleh bayang jugak?
Sekarang sila lihat gambarajah ini.
Adalah sangat jarang Zuhrah akan berada tepat di antara Bumi dan Matahari. Sekiranya peristiwa itu berlaku, maka ijmak ahli falak telah bersepakat untuk menamakannya sebagai Transit Planet Zuhrah (Venus Transit).

Kerana itu fenomena ini tidak dapat dilihat selalu. Kena tunggu lebih dari seratus tahun, baru dia datang sekali. Namun sekiranya berlaku, ia akan berlaku dalam keadaan berpasangan untuk selang masa lapan tahun. Contoh, sebelum ini pernah berlaku pada tahun 1874 dan 1882 (1882-1874=8), kali ini pada 2004 dan 2012 (2012-2004=8). Jadi transit seterusnya hanya berlaku pada 2117 dan 2125. Anda yakin anda masih hidup lagi ketika itu?

Planet Zuhrah ini sebenarnya hampir sahaja saiznya dengan bumi. Malah jika dibandingkan, besar Bumi hanya 5% lebih besar dari Zuhrah. Namun disebabkan oleh jaraknya yang sangat jauh iaitu 41,388,750 kilometer (41 juta kilometer itu saaaaaaangat jauh okeh!), maka apabila dilihat menerusi teleskop, ianya kelihatan seperti satu titik hitam bulat diatas permukaan Matahari. Macam matahari itu ada tahi lalat pula rupanya.


Secara keseluruhannya, transit Zuhrah yang boleh disaksikan di Malaysia pada 06.06.2012 mengambil masa selama lebih dari enam jam, bermula dari "sentuhan pertama" fasa memasuki matahari yang bermula pada jam 6.09 pagi, sehinggalah ke "sentuhan terakhir" fasa keluar dari matahari yang berlaku pada jam 12.49 tengah hari.


Walau bagaimanapun, memandangkan pukul 6.09 pagi Matahari masih belum timbul lagi di semenanjung Malaysia, apatah lagi hujan pula di subuh hari itu menjadikan cuaca kurang memuaskan dengan kepulan awan tebal berjaya menyembunyikan Matahari sehinggalah ke hampir pukul 9.00 pagi, barulah Matahari bersinar dengan garangnya, maka sedar-sedar sahaja, penduduk di semenanjung dapat melihat planet Zuhrah sudah sedia berada di atas permukaan Matahari.

Saya menyertai peminat astronomi lain di Planetarium Negara pada waktu hampir 10.00 pagi setelah perancangan untuk pergi seawal jam 8.00 pagi terbantut kerana awan tebal.

Walau pun pengunjung tidak terlalu ramai, namun perkarangan Planetarium umpama pesta.

Ada beberapa teleskop khas siap dikonfigurasi telah diletakkan di perkarangan Planetarium untuk dinikmati oleh pengunjung. Sekarang siapa kata, meminati astronomi harus mengeluarkan belanja yang besar. Anda membeli teropong untuk melihat dengan jelas. Maka sekiranya telah tersedia, guna sahaja secara percuma. Hanya perlukan sedikit usaha untuk hadir ke Planetarium.
Seorang kakitangan Planetarium Negara sedang melaraskan teleskop supaya sentiasa fokus kepada Matahari. Kedudukan teleskop haruslah dilaraskan dengan kerap untuk mengikuti pergerakkan Matahari.
Sekarang saya sudah ada koleksi gambar Transit Zuhrah sendiri. Walau pun dirakam secara amatur, menerusi telescope view finder, koman-koman pun ada juga daripada takde langsung atau cedok gambar orang lain lepas tu mengaku gambar sendiri. Kepada yang masih belum mempunyai gambar Transit Zuhrah sendiri, lu tunggu lar lagi 105 tahun baru dapat shoot lagi.


Subhanallah!

Demi cintaku pada mu 
Ke mana saja kan ku bawa 
Ke hujung dunia 
Ke bintang Kejora 

IKLAN: Kami menyediakan perkhidmatan fotografi, dengan pengkhususan kepada majlis perkahwinan, keraian, hari jadi, aqiqah dan majlis-majlis rasmi, sesuai dengan kemampuan dan keperluan anda. Harga boleh bincang maaaa.... Sila hubungi kami di sini.