JAVA ISLAND HOPING - PART 1


Ini adalah kisah pengembaraan 4 hari 3 malam sepasang manusia dari Malaysia ke tanah seberang.

Pengembaraan kali ini berkonsepkan back packer. Tak payah mewah2 sangat lah. Kita ikut keperluan jer. Yang penting nak grab the experience, jalan2 tempat orang bagi adventure sket. So semua kena buat sendiri, dari urusan logistik, penginapan, pemakanan, segala-galanyalah dengan harapan untuk meminimakan kos, tapi dalam masa yang sama dapat memaksimakan pengalaman yang dikutip sepanjang kehidupan di seberang. 

Rujukan utama adalah internet. Untuk mencari maklumat yang diperlukan, sila taip kat google, nanti dia akan senaraikan macam2 cerita tentang pengalaman orang lain yang pernah berada di Jakarta atau Bandung. Orang dah pergi sana, balik tanah air, tulis blog dan share dengan semua untuk dijadikan panduan. Maka saya rasa terpanggil untuk melakukan perkara yang sama dengan harapan dapat membantu orang lain pula. Bukankah bantu membantu itu amalan yang mulia lagi diberkati? Bak kata orang kampung saya... sharing is caring!

Cumanya kena spend masa sikitlah nak dapatkan info tu. Dah kata nak meminimakan kos. Kalau tak nak spend masa usaha sikit cari maklumat, bayar je kat travel agent habis cerita. Lagipun bukan susah nak cari maklumat. Berpeluh pun tak. Segalanya berada di hujung jari. Rajin dengan malas jer...

Strateginya disini adalah, blog orang lain dijadikan panduan, arah tuju misi ke seberang nanti. Laman web Indon pon gua redah walau pun kadang2 ada kekhilafan dengan bahasa dia, tapi gua cuba jugak lah olah ayat tu sesedap rasa. Janji mesej tu sampai. Apa sangatlah bahasa Indonesia tu kan? Kurang lebih macam bahasa melayu jugak. Kita kan serumpun.

Google Maps digunakan untuk mengetahui jarak & masa perjalanan dari satu lokasi ke lokasi yang lain.

Agoda dan Asiarooms.com menjadi alat untuk menempah bilik hotel.

XE.com sebagai rakan tukaran wang asing kami untuk congak2 duit belanja then convert ke RM bagi menguruskan soal kewangan.

Syarikat Antara Duit Ampang Park sebagai money changer rasmi.

And last but not least, input dari rakan2. 

Well… segala perancangan tersusun rapi, siap buat jadual lagi apa nak buat, mana nak pergi. Pejam celik maka sampailah masa dan ketikanya, jom terbang ke tanah seberang.

Tanggal 01.06.2013, sehari sebelum hari ulang tahun perkahwinan kami yang ke-9, misi dimulakan bersama berdua tak bawak anak-anak kacau daun jer orang nak honeymoon.  Booking flight dah lama, beberapa bulan sebelum tarikh keberangkatan, atau lebih tepat lagi pada 29 Oktober 2012. Kebetulan masa tu ada promotion kaw-kaw punya. Harga basic untuk dua orang dapat RM340.00 pergi balik. Macam ok jer untuk merayakan honeymoon yang berbahagia. Kalau tak, memang tak pergi pun. Maka ingin saya tegaskan disini bahawa faktor utama yang membawa kami menjejakkan kaki ke tanah Jakarta – Bandung ini adalah kerana tiket penerbangan yang murah. Tak murah, tak pergi.

Dari rumah, kami bawak kereta pergi Bandar Baharu Nilai. Modus operandinya adalah, bawak kereta pergi sana, singgah rumah member, ambik dia lepas tu mintak tolong hantar pergi LCCT, kereta tinggal kat rumah dia. Mission accomplished! Thank you my friend!

Memandangkan member tu dah expert sangat dengan selok belok laluan ke LCCT, jalan short cut long cut semua dia tahu, kami dapat sampai ke airport tepat pada masanya. Tak payah buang masa nak tunggu lama-lama, tercongok ke hulu ke hilir kat airport tu. Sampai jer terus check-in bagasi, lepas tu terus masuk ke balai berlepas.

Jam 9.50 pagi, pesawat QZ8191 akhirnya berlepas meninggalkan bumi Malaysia tercinta menuju ke Kota Jakarta tanpa sebarang delay. Bye-bye Malaysia.


Satu perkara yang saya belajar hari ini adalah berkenaan dengan kod pesawat. Biasanya AirAsia menggunakan kod penerbangan bermula dengan AK. Well, the fact is AK digunakan untuk pesawat yang berpengkalan di Malaysia. Berbeza dengan pesawat yang bermula dengan kod QZ, ia adalah pesawat yang berpengkalan di Indonesia. Kerana ia berpengkalan di Indonesia, maka ianya berada di bawah pengurusan AirAsia Indonesia. Oleh itu, kakitangan yang bertugas seperti juruterbang dan krew kabin terdiri daripada warga Indonesia. Malah bahasa yang digunakan sama ada ketika pengumuman atau notis2 yang tersiar di dalam pesawat semuanya menggunakan bahasa Indonesia, selain dari bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Kabin krew dia pulak tak sama langsung dengan orang Indonesia yang biasa kita lihat di negara kita, sama ada yang bekerja sebagai pembantu rumah, tukang cuci atau di restoran. Mereka sangat indah persis artis. Tak caya? Cer tengok gambor ni… Ini baru bener Indonesia!


Pemandangan dari udara, LCCT 2 dalam pembikinan. Disebelahnya tu (belah atas) adalah LCCT sedia ada.


Masa gua tengah syok layan majalah 3-Sixty dalam flight tu, tiba-tiba terdengar satu pengumuman, barangsiapa yang bukan dari Indonesia, beliau wajib kena isi borang. Borang apa pulak ni? Maka tersebutlah satu peraturan dari pemerintah Republik Indonesia, barangsiapa yang bukan warga Indonesia, wajib mengisytiharkan kemasukkan diri mereka ke Indonesia. Kalau orang asing nak masuk Malaysia, ada kena isi borang jugak ke? Rasa macam takde kan? 

Dah undang2 dia macam tu, nak buat macamane... follow je lah. Dalam flight tu jugak boleh dapat borang tu, nanti krew kabin edarkan. Isi borang tu, kalau boleh dalam flight tu jugak untuk mengelakkan dari terbuang masa kalau dah sampai airport baru nak isi. Lebih afdal kalau bawak pen sendiri. Nak share pen yang krew kabin tu bagi agak lambatlah jugak kena pulak dalam flight tu orang asing lagi ramai dari orang Indonesia. Lepas isi simpan. Nanti dekat imigresen sana baru serahkan pada pihak berkuasa.


Penerbangan mengambil masa dua jam dengan kelajuan sekitar 800 – 900 kilometer sejam. Kami dijangka mendarat di Lapangan Terbang Soekarno Hatta pada jam 10.50 pagi waktu tempatan. Bertolak 9.50am, sampai 10.50am. Sejam jer? Tak sampai dua jam pon?

Well, you all nampak tak my all tulis kat atas tu “waktu tempatan”? Ada perbezaan waktu antara bumi Kuala Lumpur dengan Jakarta. Jadi bila sampai disana, jangan lupa untuk mengundurkan jam anda satu jam kebelakang untuk diselarikan dengan waktu tempatan disana. Nanti confuse pulak bila nak balik Malaysia, take-off waktu Indonesia, jam di tangan waktu Malaysia.

Beberapa ketika sebelum hampir mendarat, kelihatan pemandangan yang menakjubkan ini dengan  kapal berpusu-pusu memenuhi lautan, bagaikan armada perang cerita Battleship pula lagaknya, berhampiran dengan Kota Jakarta. Saya kira itu adalah Selat Jakarta dimana tempat kapal2 dagang menjalankan operasinya di pelabuhan. Nampak begitu sibuk sekali. Kat Malaysia, Pelabuhan Klang pun tak macam ni. Almaklumlah, Indonesia ni penduduknya ramai. Beratus kali ganda dari penduduk Malaysia. Tentu banyak barang nak dipunggah.


Seketika kemudian, kami pun mendarat di Terminal 3 Lapangan Terbang Soekarno Hatta, atau ringkasnya Soetta. Cuaca redup macam nak hujan tapi nasib baik tak hujan. Tak best lah nak ber-holiday kalau hujan turun mencurah-curah kan?

Kalau di LCCT, kita kena jalan kaki dari kapal terbang ke bangunan terminal. Tapi di Soetta, anda tak perlu bersusah payah membakar kalori nak jalan kaki. Ada bas yang sedia menanti. Kenapa kat Malaysia takde ek?


Dalam bas kerusi tak banyak. Memang dia galakkan berdiri. Bukannya jauh sangat pun. Mamat sebelah gua tu macam Joe Wings lah. Tapi tak mungkin Joe Wings sebab dia kecek Indon.


Dalam terminal, urusan imigresen berjalan lancar tanpa sebarang syak wasangka dari pihak berkuasa. Jangan lupa serahkan dokumen perjalanan yang diisi dalam flight tadi beserta dengan passport sekali. Kegagalan menyerahkan dokumen berkenaan menyebabkan anda akan dihalau dari negara tersebut dengan serta merta. Simpan keratan dokumen tersebut. Jangan buang. Ianya sangat berguna sewaktu hendak pulang nanti.


Selesai urusan dengan pihak berkuasa, beg pun dah ambik, kami terus menuju ke hadapan terminal untuk mendapatkan kenderaan yang akan membawa kami ke destinasi seterusnya. Untuk menjadi backpacker sejati yang sedang berusaha untuk menjimatkan kos, kita kena naik bas. Teksi macam mewah sangat kan?

Nak naik bas kena beli tiket dulu. Mula2 duk bayang kaunter tiket dia tu macam kaunter tiket bas kat tempat kita ni. Yang ada cermin kaca tu... lepas tu ada lubang bulat kat tengah2. Nampaknya sangkaan ku meleset belaka. Rupanya simple macam ni jer...


Mula2 memang tak perasan. Lepas tanya orang "kaunter tiket bas damri dimana?", then baru jumpa. Di Jakarta, jangan segan silu untuk bertanya. Orang2 disini kebanyakkannya ramah tamah dan bersopan santun belaka. Nak kata semua sopan santun, bohong lah kan. Kat mana2, orang jahat mesti ada. Malu bertanya nanti sesat cari jalan. GPS memang tak boleh pakai lah kat sini sebab dalam gajet kita ni tak download peta Indonesia. Ada map Malaysia ngan Singapura sahaja donk!

Nak pergi mana? Ikut plan, destinasi kami adalah Stasiun Gambir. Objektifnya adalah untuk mendapatkan tiket keretapi bagi perjalanan ke Bandung pada keesokkan hari.


Nama kampeni bas tu adalah Perum Damri. Nampak macam bas ni jer yang monopoli pengangkutan bertaraf bas kat sini. Destinasinya pon banyak. Konsep bas ni bukan jenis boleh berhenti mana2 macam bas RapidKL yang ada kat KL ni. Saya rasa bas ni bas ni macam bas ekspres jugak, maknanya dia terus pergi ke destinasi tanpa henti, tapi destinasinya tu masih lagi dalam kawasan bandar. Jakarta ni luas, penduduknya padat berganda2 dari KL. Jakarta takde sistem tren dari airport ke bandar macam ERL kita tu. Jadi Bas Damri inilah jadi macam tren ERL tu. Lagipun airport dia memang dalam bandar, bukan tengah ladang sawit macam KLIA. 


Bas dia pon not bad... selesa dan ada air-cond. Setandinglah dengan bas ekspres yang ada kat negara kita ni. Siap ada WiFi dalam bas lagi.


Wah… hebat bas neh! Cepat2 keluarkan handphone, nak connect to internet. Masuk id dan password, yes… berjaya masuk WiFi punya local access! Cuba bukak facebook! Puiii… no connection! Tak dapat jugak nak akses internet. Tak bayar bil ke hape eh?

Masalah utama yang harus dihadapi oleh setiap warga Jakarta ni adalah kesesakkan lalu lintas. Disini ia dipanggil “macet”. Sesak sokmo banyak sungguh kenderaan. Kalau anda sibuk meraban meroyan tak tahan dengan jammed kat KL ni, cuba duduk Jakarta tengok macamana. Rasanya terus boleh masuk wad gila gamaknya. Dia punya sesak tu berkali ganda dari KL. Tak ikut time pulak tu. Bila2 masa boleh macet. Jadi kalau nak kemana-mana, sila rancang masa perjalanan anda.


Kurang lebih satu jam kemudian, kami pun sampailah ke Stasiun Gambir. Ini adalah salah satu stesen keretapi utama yang ada di Kota Jakarta. Misinya adalah membeli tiket keretapi untuk ke Bandung pada esok hari.

Apa lah susah2 beli awal? Kenapa tak beli masa nak pergi besok?

Sebagai pendatang, kami harus berwaspada. Buatnya besok nak naik baru nak beli, sekali tiket habis, habislah rosak program kami. Idea beli awal ni pun adalah nasihat daripada satu laman blog yang saya baca masa buat kajian.

Sebelum beli tiket, apehal2 pon kita makan dulu. Perut dah lapor. Kat stesen ni makan tak susah. Restoran pon banyak. In Shaa Allah halal belaka. Sebagai negara yang mempunyai penduduk Islam terbesar di dunia, soal makan sepatutnya tidak menjadi masalah.

Kami pon tak tahu nak makan apa sangat, jadi ikut sedap rasa jer, masuk dalam satu restoran ni. Lupa dah apa nama dia. Dalam stesen keretapi tu jugak. Tak tahulah kenapa kami tergerak nak makan kat sini pulak. Mandrem dia lebih kot?

Ini adalah makanan pertama kami di Indonesia walau pun sebelum ni pernah jugak makan Indomie dan minum Indocafe dan juga ayam penyet, tapi kat Malaysia lah. Tapi kali ni truely Indonesia. Nasi apekebendantah nama dia. Macam nasi goreng pattaya, tapi nasi pattaya yang bungkusnya telur. Yang ini bukan telur, tapi tepung. Macam lempeng tu, tapi lempeng yang nipis macam telur dadar gitu. Sedap jugoklah, ditambah dengan rasa lapor time tu. 


Selesai menjamu selera, kami terus menuju ke kaunter tiket. Orang tak ramai, terasa girang di dalam hati.


Lepas beratur beberapa ketika, kami bagitau lah nak pergi Bandung. Soalnya bila? Esok... Maaf pak. Kalau besok bukan disini pak. Kalau disini untuk perjalanan hari ini aja!

Ooo begitu…  habis tu kat mana?
Jalan terus sampai sana. Kaunternya disana pak!

Hmmm... kat Indon semua orang panggil aku bapak. Bila masa aku kahwin ngan mak kau ntah! Muahahaha!

Sampai jer kaunter sana, Subhanallah… ramainya manusia! Cabaran apakah ini? Aduiii… nak tak nak kena ikut turn jugak. Marilah kita beratur beramai-ramai.


Ada satu undang2 yang agak pelik sebelum beli tiket keretapi di negara ni. Kita kena isi borang dulu. Tak kiralah warga tempatan ke, warga asing ke, masing2 kena isi borang dulu. Lepas tu masa nak beli nanti, selain dari duit, kena tunjuk jugak ID. Kita warga pendatang ni kena tunjuk passport lah. Deyyy… cakap jer nak pergi mana lepas tu bayar tak boleh ke? Mungkin ada sebab musabab dia bukan gitu. Ko baru sampai sehari banyak songeh pulak!



Setiap saat, minit dan jam dalam longgokan manusia yang beratur sangat menguji kesabaran gua. Dengan orang yang sangat ramai, suhu persekitaran semakin hangat kerana aircond pon takde. Cuma kipas sebijik jer. Pergerakkan pulak punyalah lembab, apa ke lama sangat sorang2 nak beli tiket ni?

Masa dekat nak sampai kaunter tu, saya perhatikan bakpe lah lambat sangat ni kan. Bagi borang, bagi duit lepas tu blah lah! Ini beli tiket hape sampai berejam. Rupanya macam2 hal diorang ni bila sampai kat depan kaunter tu. Ada yang nak tukar jumlah penumpang lah, ID tak cukuplah, nak tukar tarikh lah, nak tukar trip lah, refund lah, tak cukup duit lah. Macam2 soal jawab lah antara penjual dengan pembeli. Dah isi borang bagai pon, seolah2 macam tak bersedia. 

Dekat tiga jam! Saya ulangi… tiga jam punya beratur barulah sampai ke kaunter. Tiga jam nak beli tiket jer. Kalau naik tren, tiga jam tu dah boleh sampai Bandung! Kesabaran amat diperlukan disini.

Dah dapat tiket pegi solat jap kat musolla yang berdekatan untuk meredakan hangin puting beliung yang melanda satu badan. 

Untuk memudahkan komunikasi dengan supir dan juga kaum kerabat di Malaysia, kami menukar syarikat telco kami buat sementara waktu kepada syarikat yang berpengkalan di Indonesia. Senang bangat! Beli je mana2 prepaid punya starter pack ada jual bersepah kat Jakarta ni. Walaupun di phone saya dah set International Roaming, tapi saya tak guna pun sebab charge dia lagi mahal berbanding dengan kadar menggunakan telco tempatan. Tapi saya on jugak as backup dan juga standby kot ada emergency orang dari Malaysia nak telefon. Sim card Indon masuk dalam phone bini.

Destinasi kami seterusnya adalah bersiar-siar di Dataran Monas sambil berfoto gedik di sana. Lokasinya berhampiran saja dengan Stasiun Gambir. Sebelah menyebelah jer. Jadi kami tidak memerlukan sebarang kenderaan. Jalan kaki sudah memadai.



Apa yang menarik sangat dengan  Monas neh?

Ekceli takdelah benda yang fun sangat pon. Monas dah macam salah satu mercu tanda kat Jakarta ni. Datang sini pun sekadar untuk bergambar kenang-kenangan. Selain dari tu, boleh jugak lah cuci mata tengok kegiatan rekreasi masyarakat setempat kat sini.

Sedikit cerita tentang Monas. Monas adalah singkatan daripada Monumen Nasional. Ia merupakan sebuah menara konkrit yang dibina di tengah2 Dataran Merdeka Jakarta. Mula dibina pada tahun 1961 atas ilham Presiden Sukarno, namun mula dibuka pada awam pada tahun 1975. Mempunyai ketinggian sehingga 132 meter.  Menara ini mempunyai bentuk seperti obor dengan puncaknya disaduri dengan emas bagi menggambarkan api yang menyala. Ia dibina sebagai simbolik kepada perjuangan rakyat Indonesia dalam menuntut kemerdekaan.



Dalam pada kami duk mengkaji sejarah Monas ni, tiba2 kami didatangi oleh tiga orang anak muda yang menyapa kami dengan sopan santun sekali. Mereka memperkenalkan diri sebagai pelajar universiti. Katanya sedang mendapatkan maklum balas dari pelancong tentang persepsi mereka terhadap Kota Jakarta. Mereka juga nak tahu kenapa Jakarta menjadi destinasi pilihan. Haishhh… Nampak macam pelancong sangat ke aku nie?


Menjelang petang, kami meninggalkan Monas menuju ke Hotel Amaris Thamrin City. Dari pagi tadi sampai, sampai ke petang baru nak check-in hotel. Dah petang sangat, kami nak cepat, maka terus ambil teksi bluebird yang memang femes kat kota Jakarta ni. Keluar je Monas, terus dapat teksi. Senang bangat!

Hotel Amaris menjadi pilihan kami hasil daripada pencarian di internet. Dengan mengambil kira faktor kos, keselesaan, persekitaran senang nak jalan2, sumber makanan dan pengangkutan, ok sangat dah hotel ni.



Our night life hanya berkisar di sekitar hotel serta kawasan2 yang sewaktu dengannya. Dimulai dengan  lawatan mengejut ke toko pakaian berhampiran, Thamrin City ni rupanya sebuah kompleks membeli belah yang sarat dengan tekstil. Segala macam jenis busana muslim dan muslimah ada terjual kat sini. Takat nak cari tudung ke, telekung ke, tak yah gi Bandung. Kat sini pun bersepah. Harga pun lebih kurang. Yang penting, mulut mesti mau manis, pandai tawar menawar.




On the other side of Thamrin City, ada banyak premis makanan yang nampak macam eksklusif dengan dekorasi yang menawan serta lampu2 neon bergemerlapan menerangi Kota Jakarta.


Kami memilih Warung Tekko sebagai lokasi untuk bersantap pada malam ini. Nama jer warung, tapi bukan warung macam tepi jalan tu. Ianya sebuah restoran yang besar lagi eksklusif yang menyediakan menu asli citarasa Indonesia. Nampak jer macam eksklusif, tapi harga patut. Datang seorang pelayan, lelaki, dia punya cakap... aduhaiii… lemah lembut berbudi bahasa sungguh. Tersentuh soft spot gua. Dia bagi buku menu. Gua pun tak tahu nak order apa. Nampak makanan pelik belaka. Lepas pelayan tu datang balik, gua masih lagi tak buat keputusan nak order apa. Bersoal jawab pulak dengan pelayan tu tanya itu apa ini apa. Last2 gua order…




Paling excited sekali nak cuba iga penyet tu. Jenuh budak pelayan tu explain iga tu menatang apa. Dah ler bahasa Indonesia dia tu klasik yang amat. Last2 dapat tangkap jugak. Iga tu rupanya tulang rusuk lembu. Dia punya sambal tu…perghhhh! Menangissss! Pedas yang amat! Masa nak order tu pelayan tu tanya dah, nak sambal pedas ke, extra pedas ke, super pedas. Gua memang hantu pedas beb. Mula2 ingat nak belasah jer pedas tahap maksima. Tapi bila fikir kang mem sakit perut pulak, so gua turunkan sikit tahap kepedasan tu ke extra pedas.

Selesai menjamu selera dengan sambal extra pedas, kami jalan2 jer dekat tepi Thamrin City tu, depan2 restoran tu jugak sambil layan budak2 basking buat live band kat tepi tu. Not bad bakat diorang tu.

Kekenyangan dan keletihan, kami melangkah ke tempat penginapan tatkala Jakarta masih segar dengan suasana malamnya. 

To be continued... 

JAVA ISLAND HOPING - PART 2
JAVA ISLAND HOPING - PART 3
JAVA ISLAND HOPING - PART 4

No comments: